Piccredit: PBAKL
PEMINAT BUKU SUDAH KEMBALI
PESTABUKU
Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 baharu sahaja melabuhkan tirai. Reaksi spontan
di kalangan pempamer di pestabuku kali ini menunjukkan ia mendapat sambutan
yang lebih baik daripada tahun lalu. Malah, sudah terlukis bayangan senyuman mereka
yakin khalayak pembaca mula kembali ke pestabuku.
Pestabuku
Antarabangsa Kuala Lumpur sebenarnya menjadi barometer kepada iklim industri
buku dan tabiat membaca di Malaysia. Apabila pestabuku yang baharu lalu itu
kian meriah dengan para pelanggan yang mula bersesak ke reruai-reruai, maka ia
adalah bayangan suasana industri buku Malaysia bagi bulan-bulan yang mendatang.
Iya, khalayak
peminat buku sudah kembali untuk mencapai dan menatap buku. Di mana mereka pada
enam-tujuh tahun yang lalu? Sebenarnya, minat mereka mula teralih dengan
teknologi telefon pintar. Kegemaran mereka sudah terpaling kepada laman-laman
sosial seperti Facebook. Maka mereka
tenggelam dalam dunia sosial kerana asyik berbual dengan rakan-rakan di
laman-laman sosial. Perlahan-lahan buku dilupakan.
Dalam tempoh itu,
muncul banyak sekali pemain dalam industri pembacaan buku. Teknologi print-on-demand yang membolehkan
pencetak mengeluarkan sekitar 100 naskhah buku dengan harga yang cukup murah
membuka selera mereka untuk menjadi penerbit.
Banyak penerbit bererti
mereka mahukan lebih ramai penulis. Maka itulah yang terjadi. Mereka yang
mendapat ribuan likes di laman sosial
mula menjadi penulis dengan menghimpun catatan-catatan ringkas mereka. Banyak juga
karya di kalangan mereka yang tidak terpilih oleh penerbit besar dan
berpengalaman diambil oleh penerbit-penerbit yang baharu ini.
Bahasa bercakap
yang lebih terbuka dan berani menjadi sesuatu yang lumrah dan diterima Gen-Y
dan Gen-Z ini. Penerbit-penerbit dan penulis-penulis muda mengambil kesempatan
ini untuk memberi pakej yang diingini oleh khalayak ini. Akhirnya pasaran menjadi tepu dan sesak.
Khalayak pembaca
yang konvensional, yang gemarkan suasana yang tenang berasa pasaran sudah
bingit dan bising. Mereka berundur kerana tidak selesa dengan keadaan itu.
Buku-buku pilihan mereka sudah tidak terpamer di rak-rak hadapan. Ia dipenuhi
oleh buku-buku oleh penerbit-penerbit
indies yang punyai imej dan jalur cerita yang berbeza dengan selera mereka.
Bagaimana ini bisa terjadi? Bukankah banyak juga penerbit konvensional yang
bertahap gergasi?
Bagaimana pun,
penerbit-penerbit indies menang dari
sudut persepsi. Sebuah penerbit besar boleh menerbitkan 3,000 naskhah buku
untuk satu judul. Tetapi 10 penerbit-penerbit indies hanya perlu mencetak 300 naskhah buku untuk sebuah judul. Oleh
itu, yang kelihatan di rak-rak buku
ialah 10 judul baharu penerbit indies dan
hanya satu penerbit konvensional. 1:10! Buku konvensional tenggelam di
kelilingi buku-buku indies.
Ia memberi
persepsi bahawa masyarakat pada hari ini lebih sukakan bahan bacaan yang
santai, ringkas, terkini dengan gaya bahasa in-verbatim.
Dan ia juga memberi tanggapan bahawa pengkaryaan yang menggunakan bahasa
standard sudah out-of-date.
Dalam tempoh
tiga-empat tahun yang lalu juga muncul laman sosial baharu yang lebih intim
kepada khalayak penggunannya. Aplikasi Whatsapp,
Line dan Telegram mengasyikkan
khalayak pembaca. Mereka lebih gemar bersembang dan bertukar-tukar foto
daripada membelek buku.
Tetapi, manusia
akan kembali kepada fitrah. Jika makanan itu adalah santapan untuk perut,
membaca itu santapan minda. Akhirnya penggemar buku mula laparkan bahan bacaan.
Mereka kembali mencari buku. Mereka yang membeli berbakul buku sudah muncul
semula di pestabuku yang lalu. Mereka yang ke pestabuku tiga-empat kali hadir
semula di gelanggang pembacaan.
Semua ini
perlahan-lahan akan menghapus persepsi bahawa rakyat Malaysia tidak membeli
buku kerana sudah tidak minat membaca; tidak membeli buku kerana harganya yang
mahal. Sebenarnya, sesiapa yang meminati sesuatu akan berbelanja untuk
mendapatkannya walau betapa tinggi harganya.
Lihatlah, betapa novel
trilogi Tombiruo terbitan Alaf 21 yang berharga RM399 pun sudah mula menjadi
sebutan dan rebutan meskipun ia masih di peringkat editing. Ia petanda baik tentang
minat khalayak yang sudah kembali menggilai buku.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.5.17.
No comments:
Post a Comment