Piccredit:evil english
WIRA-WIRA
BUTANG TELEFON
BUTANG TELEFON
KITA tentu
tahu mengenai istilah keyboard warriors.
Keyboard ialah papan kekunci. Warriors
pula bermaksud, wira. Jadi, keyboard warriors
bermaksud wira papan kekunci. Daripada segi istilah, ia dianggap sebagai suatu
gelaran penghormatan.
Namun
sebenarnya, gelaran keyboard warriors
mengikut urban dictionary bermaksud,
seseorang yang tidak mampu menzahirkan kemarahannya dengan perbuatan. Mungkin
kerana dia bacul atau sebenarnya tiada sesuatu prinsip dalam hidup di dunia
realiti.
Kerana
itu, dia memanifestasikan emosi itu merlalui gaya tulisan yang cabul, kasar dan celupar. Bagi dirinya, mengeluarkan
pendapat dalam menyelesaikan masalah itu semestinya secara konfrontasi dan
bukannya secara berhujah, apatah lagi melalui perundingan.
Bagi
dirinya juga, kematian adalah penyelesaian cepat kepada semua musuh virtualnya
yang ditemui dalam internet. Istilah please
die adalah kesimpulan mudah dalam mana-mana pertengkaran. ‘Sila meninggal’ pula
adalah versi tempatannya. (Kerana itu ramai yang berkecil hati dengan saranan
ini).
Betapa
pun, pendekatan kasar yang tidak perlu di dalam dunia komunikasi ini dilihat
sebagai tindakan mereka yang tewas atau
losers. Saya cenderung untuk mengatakan bahawa istilah keyboard warriors itu tidak tepat. Mereka bukannya wira, sebaliknya
mereka adalah keyboard worrior ~ orang
yang bimbang.
Tatkala
laman-laman sosial mula popular, kita dapati kemunculan ramai sekali golongan
ini. Orang timur tidak ramai yang berani ke depan untuk menyuarakan pendapat,
apatah lagi memperjuangkan kebenaran secara lantang. Oleh kerana golongan ini
riuh bersuara di sebalik papan kekunci masing-masing, maka mereka yang lantang
dan celupar ini menjadi golongan yang disegani, kalau tidak pun digeruni kerana
keberanian mereka bersuara di sebalik papan kekunci masing-masing.
Masa
beranjak dan mana-mana kumpulan mula berhimpun dengan mereka yang seinspirasi. Penjajaran
persahabatan mula berlaku. Yang minat agama, politik, pembacaan, aktiviti luar,
aktiviti ekstrim, ekonomi dan kemasyarakatan mula berhimpun dalam kumpulan
masing-masing. Sudah tiada kelihatan keyboard
warriors di merata tempat kecuali seorang dua ataupun sekali sekala di
dalam kumpulan-kumpulan popular dan umum.
Lagi pula,
jika dahulu begitu ramai di antara kita yang membuka diri seluas-luasnya di
laman sosial kerana kemaruk mendapat ribuan kawan, pada hari ini keadaan sudah
berubah. Ramai yang mengecilkan setting keterbukaan kerana sudah pandai
menyaring permintaan seseorang untuk menjadi kawan. Biar tak ramai kawan, tapi
biarlah mereka yang sekepala.
Bagaimana
pun, laman-laman sosial di komputer pada hari ini mula berpindah pula ke
telefon pintar masing-masing. Ia mengubah kembali penjajaran media sosial. Jika
sebelum ini seseorang itu berkumpul di dalam grup yang sama minat, sama latar
belakang, media sosial di telefon pintar telah melakar kembali penjajaran itu
kepada kumpulan yang lebih intim.
Aplikasi
seperti Whatsapp, Telegram dan Line
seumpamanya menghimpun grup yang lebih kecil. Kumpulan rakan setadika, sekelas,
sekolej, seasrama, sekerja, sepejabat, seideologi, seperjuangan dan seketurunan
menjadi ikatan siber yang lebih kukuh kerana ia kecil. Dalam kebanyakan
kumpulan ini, hampir semua orang kenal dengan semua ahli kumpulan.
Oleh
kerana itu, perhubungan yang terjadi dilatari rasa kekitaan, persaudaraan dan
saling menghormati. Daripada segi idealnya ia amat baik. Namun mula menjadi
masalah apabila di dalam jajaran ini muncul juga keyboard worrier yang cukup mengganggu.
Jika di
laman sosial yang lebih besar seperti Facebook,
seseorang itu boleh leave group
secara diam-diam, di dalam aplikasi bermesej telefon pintar yang kecil, semua
orang akan nampak apabila kita menarik diri. Kerana itu, mahu tak mahu ramai
yang telan liur sahaja dengan apa jua mesej, imej dan video mengarut yang
dikirim oleh salah seorang anggota kumpulan yang kini menjadi ‘phone button warrior.’
Apa nak
buat. Mereka itu mungkin saudara tua, rakan berpangkat yang dihormati atau
seorang saudara yang terpelajar. Di khalayak, mereka menjaga perangai. Tetapi
di dalam grup kecil di aplikasi telefon pintar, mereka tak jaga kelakuan
menyebarkan sesuatu yang tak molek ataupun tak benar.
Hendak
tegur takut tercalar persaudaraan. Tak tegur, takut membiarkan perbuatan yang
lagha. Kita tiada jawapan penyelesaian. Yang boleh hanya mengeluh dan
menggeleng kepala tanda terkilan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 17.5.17.
No comments:
Post a Comment