Piccredit: uglydogbooks.com
BUKU MASIH ADA HARI ESOK
AHAD lalu, saya ke Pestabuku Antarabangsa Kuala
Lumpur di PWTC. Ini adalah pestabuku yang terhebat dan terbesar di tanahair.
Lazimnya, tapak pesta akan dikunjungi oleh pelbagai golongan khalayak pencinta
buku. Puluhan ribu pengunjung akan bersantai di sini.
Hari itu 1 Mei. Mengikut pengalaman saya yang pernah
aktif dalam industri buku, 1 Mei adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap
pempamer buku. Ini adalah hari kemuncak pestabuku. Lazimnya tarikh 1 haribulan
Mei adalah hari membuat untung besar. Khalayak bersesak-sesak di semua ruai,
semua aras, malah melimpah ke luar kawasan pesta. Jangan sebut tentang penuhnya
parkir. Kesesakan pengunjung yang datang dengan komuter menambah kepadatan.
Tetapi itu dulu. 1 Mei pada Ahad lalu begitu berbeza
kerana keadaannya lengang. Hanya ada empat-lima orang pengunjung yang menapak
dari stesyen komuter menuju ke PWTC. Waktu itu sudah jam 9.00 pagi. Andaian
saya benar. Apabila saya memasuki ruang legar PWTC, keadaannya tidak sesesak
tahun-tahun sebelumnya.
Yang riuh hanyalah suara dari alat siaraya dan juga
suara panel perbincangan mengenai buku di pentas utama. Saya merayau untuk
merasai suasana pesta yang lazim saya hirup tatkala ke mari pada tahun-tahun
lalu. Kali ini rasa suasana sedikit tawar kerana meriahnya ada, tetapi pengunjung
yang berkurang.
Apa sudah jadi? Siapa nak beli ratusan ribu buku
yang terpamer? Di manakah penggila buku? Apakah mereka sudah tidak minat
membaca? Apakah mereka lebih gemar membaca melalui e-book atau lebih gemar berwhatsapp atau berfacebook di telefon pintar masing-masing? Apakah membaca sudah
mati?
Saya sempat melontarkan persoalan apakah orang sudah
tidak minat membaca kepada beberapa orang aktivis buku, tuanpunya syarikat buku
dan juga para pengunjung. Rata-rata jawapan mereka sama seperti andaian saya.
Orang masih gemar membaca. Jika begitu, mengapa PBAKL kali ini tidak ramai yang
mengunjungi?
Menurut
mereka, sebenarnya yang meramaikan pestabuku pada tahun-tahun yang lalu adalah
mereka yang terkena dengan tempias kepopularan membaca. Lima tahun lalu, begitulah
keadaannya. Penerbit-penerbit besar menjadi penerbit gergasi. Maka mereka yang
melihat trend ini mula mewujudkan syarikat penerbitan dan menerbit buku untuk
merebut peluang membuat duit.
Kemajuan internet membolehkan sesiapa sahaja mula
menerbitkan buku. Kewujudan media sosial seperti Facebook membolehkan mereka menjual buku secara langsung kepada
pembeli. Tidak perlu melalui ejen pengedar mahupun kedai buku lagi. Melalui
kekuatan komunikasi sosial, banyak penerbit bebas yang membina kabilah
masing-masing. Anggota kabilah atau tribe
inilah yang menularkan apa jua buah tangan syarikat-syarikat kecil ini hingga
ia mendapat sambutan yang menggerunkan penerbit-penerbit gergasi.
Lagi sekali, itu cerita dulu. Cerita hari ini punyai
skrip yang bakal menunjukkan penyudah yang berbeza. Ya, tatkala buku pelbagai
genre begitu digilai, membaca dan buku menjadi kegilaan sementara oleh mereka
yang menganut herd mentality. Mereka
suka apa yang khalayak suka. Kita lihat musim kegilaan tudung, gila ubat kuat,
gila ubat kurus, gila kek red velvet dan juga yang gila buku.
Pada hari ini, kesemua kegilaan ini menjadi suam. Termasuk
juga kegilaan kepada buku. Mudah sahaja jika kita perhatikan berapa banyak iklan
pelbagai barangan yang kini hanya dapat mengumpul hanya ratusan like dan share. Bukan lagi ribuan like
dan share. Ertinya ia adalah
kegilaan sementara.
Namun khalayak pencinta buku adalah golongan yang
tegar. Dalam apa jua keadaan pun, mereka tetap menyukai buku. Itulah santapan
minda mereka yang terbaik. Mereka tetap ke pestabuku. Golongan pencinta buku
ini adalah golongan yang amat cerdik. Maklumlah, mereka hidup di sekeliling
buku.
Kerana itu, penerbit tak boleh lagi hasilkan buku
yang sembrono lagi. Jika penerbit masih degil dan hendak mengejar wang dengan
menerbitkan apa sahaja, mereka akan dilupakan. Pencinta buku tahu yang mana
intan, yang mana kaca.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.5.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.5.17.
No comments:
Post a Comment