Piccredit:sadcatdiary.com
BILA SEPATUTNYA MENOLAK MAAF
POLIS membuka kertas siasatan
berhubung penyiaran muka depan akhbar The Star pada Sabtu lepas di bawah Akta
Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Polis akan memanggil mereka yang
bertanggungjawab bagi membantu siasatan berikutan banyak laporan diterima
mengenai paparan muka depan akhbar itu melibatkan foto dan kapsyen yang
menyinggung perasaan masyarakat Islam.
Walaupun pihak
polis telah membuka kertas siasatan, ada juga suara-suara sinis yang mengatakan,
sebaik sahaja akhbar tersebut memohon maaf, sudah pasti tidak akan ada tindakan
susulan yang akan diambil.
Sebelum ini, banyak
kes yang menyentuh sensitiviti umat Islam tidak berpanjangan sebaik sahaja
pihak yang melakukan kesalahan itu memohon maaf. Selepas itu, masyarakat Islam
yang bising pada mulanya akan senyap sunyi. Kes ditutup kerana maaf mereka
diterima!
Sikap pemaaf
adalah sikap yang terpuji. Namun sikap itu boleh menjadi keji seandainya si
pemaaf itu masih lagi memaafkan meskipun sesuatu kesalahan itu dilakukan
berulang-ulang terhadapnya. Mereka mungkin jujur hingga ke peringkat lurus
bendul kerana mempunyai pendirian pemaaf tanpa peka untuk membaca perangai si
pelaku samada dia benar-benar silap ataupun sengaja menguji tahap kesabaran mereka.
Apakah masyarakat
Islam sengaja dipermainkan sementelah kerana mereka berpegang kepada sikap
mudah memaafkan? Mengapakah masyarakat Islam kelu lidah dan tidak bertindak walaupun
jelas pihak yang meminta maaf itu mengulangi-ulang tindakan salah yang kononnya
tidak sengaja itu?
Sebagai manusia,
kita biasa melakukan kesilapan. Adab berbuat silap ialah memohon maaf kepada
mereka yang dianiaya. Namun, mudah sangatlah mengungkap kata-lata ‘saya mohon
maaf’ seandainya luka-luka perasaan itu dilupakan sebegitu sahaja. Apabila
kesalahan diulangi berkali-kali hingga menimbulkan bengkak, si mangsa pula
bertindak kasar akibat rasa amarah. Yang akan terjadi ialah, si mangsa yang
marah itu pula dipersalahkan kerana kononnya emosional. Keadaan jadi terbalik.
Yang melakukan kesalahan pula berlagak maksum.
Mana-mana pihak
yang melakukan kesilapan sepatutnya memohon maaf. Tetapi, yang memaafkan pula
mestilah mengenakan syarat. Pertama, dia kenalah beri penerangan mengapa
kesilapan itu boleh dilakukan. Kedua, dia mesti berjanji untuk tidak mengulangi
lagi kesalahan itu dalam apa jua bentuk pun. Ketiga, si mangsa akan memaafkan
seandainya si pelaku bersumpah akan sanggup menerima apa jua tindakan sekiranya
mengulangi perbuatan salahnya.
Maaf bersyarat
itu akan menjadikan mereka yang salah lebih berhati-hati daripada mengulangi
kesilapan. Dan, seandainya yang salah
itu memang punyai agenda tersembunyi, dia sendiri akan sedar, pihak yang
dipermainkan itu sudah tahu belangnya.
Naluri kita boleh membaca kejujuran mahupun helah seseorang.
Permohonan maaf itu tidak lagi bererti seandainya si pelaku memohon maaf
setelah didesak. Ataupun ia dilakukan secara begitu mudah seolah-olah sebuah
pernyataan formaliti semata-mata.
Walau
bagaimana pun, seandainya sesebuah permohonan maaf itu dibuat secara jujur, ia
akan benar-benar memadam api kemarahan. Ia menzahirkan bahawa orang yang
melakukan kesilapan itu benar-benar ingin menjaga hati orang yang terkesan
dengan kesilapannya itu. Tambahan pula, jika si pelaku salah itu segera memohon
maaf tanpa dipinta-pinta. Dan, orang yang jujur dalam permohonan maafnya pasti
tidak akan ulangi kesilapannya lagi. Dia sedar yang dia alpa melakukan
kesilapan itu. Dia peka bahawa dia telah mencalar perasaan pihak yang satu
lagi.
Betapa pun,
permohonan maaf yang baik dan terpuji adalah permohonan maaf melalui lafaz dan
bukannya secara bertulis. Bila melafaz, mata akan bertentang mata. Bahasa mata
boleh menjalar terus ke hati. Genggaman tangan yang memohon maaf itu juga
petanda kesungguhan.
Action speaks louder than words. Jangan tulis
aje. Itu formaliti yang tidak ambil kira sensitiviti! Maaf sebegitu sepatutnya
tertolak!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 31.5.17
No comments:
Post a Comment