Tuesday, May 14, 2019

SAMPAI BILA MEMOMOKKAN 13 MEI?

SAMPAI BILA MEMOMOKKAN 13 MEI?

TIBA-TIBA beberapa buah media menyajikan kita dengan liputan peristiwa 13 Mei 1969. Maka liputan yang menjadi perbincangan itu pun melarat ke media sosial. Setakat tinjauan rambang, apa yang dibincangkan tertumpu kepada rentetan peristiwa hingga meletusnya tragedi berdarah yang menjadi hari malang bagi Malaysia.

Dan seperti mana-mana isu sensitif bermulalah kutuk mengutuk di antara kaum yang memanaskan kembali keadaan. Mujurlah, meskipun ia panas di gelanggang media sosial, ia masih lagi terkawal kerana kelompok orang Melayu misalnya, mengutuk orang Cina dalam perbincangan sesama mereka. Begitu juga, kelompok orang Cina juga mengutuk orang Melayu dalam media sosial mereka. Kalau ada pun kutukan yang ‘menyeberang’ kepada kaum lain, ia terjadi pada media yang melaporkan peristiwa itu.

Sebenarnya, untuk apa dihidupkan kembali kisah hitam itu semata-mata kerana 13 Mei 2019 lalu adalah ulangtahun ke 50 peristiwa itu? Andainya artikel yang dipaparkan oleh sesetengah media itu berupa laporan dari catatan sejarah, maka ia bagus untuk masyarakat kita mengimbau peristiwa pahit itu sebagai sempadan.

Tetapi apabila ia disampaikan dalam bentuk cerita daripada individu-individu yang terpilih, maka tidak boleh tidak ia punyai unsur-unsur fiksyen yang ditokok tambah untuk menyedapkan pembacaan. Katabual dalam laporan yang menggunakan gantinama orang pertama itu sendiri telah menghidupkan kembali sesuatu yang telah berlalu itu menjadi sesuatu yang here and now.
Setelah setengah abad, kisah yang dikhabarkan melalui temubual individu-individu ini boleh sahaja merupakan pandangan yang berat sebelah kerana mereka yang menceritakan peristiwa itu dari kacamata mereka sendiri. Dan, penceritaan ini diangkat menjadi sebuah laporan yang kemudiannya disangkal dan menimbulkan polemik.

Yang pasti, ramai di kalangan kita pada hari ini sudah lupa ataupun tidak tahu akan wujudnya laporan kertas putih mengenai peristiwa 13 Mei 1969 yang dikeluarkan oleh Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN. Mereka juga tidak pernah membelek buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas, catatan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman.

Rata-ratanya apabila kita meninjau ke media sosial, mereka yang memberi respon kepada topik 13 Mei 1969 ini majoritinya terdiri daripada mereka yang berusia 50 tahun ke bawah. Ertinya mereka sendiri tidak merasai peristiwa hitam itu tetapi mengutarakan komen mereka berdasarkan cerita-cerita yang mereka dengar dan baca. Dan, untuk apa pula komen-komen panas ini diberi pada sesuatu yang telah terjadi?

Komen-komen mengenai apa yang telah berlaku ini tidak boleh mengubah sejarah. Sedangkan sejarah itu dipelajari untuk diteladani agar tidak berulang lagi. Jadi, apa yang perlu diperkatakan ialah bagaimana kita menjaga keharmonian kaum supaya kita semua dapat move on.
Tetapi, pihak yang manakah yang seharusnya lebih menonjol dalam membicarakan tentang peristiwa 13 Mei dan bagaimana untuk mengelaknya daripada terjadi lagi? Golongan yang patut ke hadapan untuk bercakap mengenai peristiwa ini tentulah ahli-ahli politik kerana tragedi 13 Mei itu tercetus berikutan dengan ketegangan kaum setelah PRU-3.

Malah, sebahagian daripada mereka masih hidup. Samada mereka dari kalangan UMNO, MCA, MIC, Gerakan, Dap, Pas dan lain-lain parti, mereka tidak boleh berdiam diri dengan melihat warganegara Malaysia khususnya anak-anak muda pada hari ini membicara atau saling kutuk mengutuk tentang peristiwa 13 Mei berdasarkan persepsi mereka.

Ahli-ahli politik seharusnya menonjolkan diri untuk mengajak masyarakat Malaysia merenung kembali kepada kesilapan yang telah berlaku di zaman mereka memimpin dahulu. (Sebahagian daripada mereka juga masih memimpin pada hari ini). Dan apa yang diketahui ialah, mereka sendiri tidak mahu langsung memperkatakan mengenai tragedi berdarah ini seolah-olah ia sebuah taboo.

Jika mereka sendiri berasa segan silu atau berasa risau bila topik 13 Mei ini timbul dan ingin menyapu ia di bawah karpet, 13 Mei ini akan menghantui perhubungan di antara kaum. Walau betapa buruknya 13 Mei itu,  para pemimpin politik seharusnya bersikap gentleman untuk memperkatakannya di depan rakyat.

Samada mereka dari kalangan para pemimpin Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, mereka sepatutnya berani menceritakan ‘mereka yang semalam’ dengan janji bahawa ‘mereka hari ini’ tidak rela ia berulang kembali.

Masih tidak lewat untuk kita semua sama-sama mengingati peristiwa hitam itu secara rasmi dengan mengadakan satu hari untuk kedamaian. Adakan pelbagai forum, seminar, kempen dan perayaan pada hari itu. Ia dimulakan oleh sekalian ahli-ahli politik yang duduk semeja lalu menyatakan ikrar untuk bersama menjaga tanahair ini bagi masa depan rakyat Malaysia.

Adakan ‘jamuan muhibbah’ sepertimana yang diadakan di merata pelosok tanah air pada bulan-bulan selepas 13 Mei 1969 dahulu. Dalam rawatan psikologi, konsep habit replacement ini bertujuan untuk menggantikan ingatan kepada sesuatu yang buruk kepada sesuatu yang menggembirakan. Hari kedamaian adalah upacara yang gembira menggantikan yang menyedihkan.


Jangan biarkan generasi muda mewarisi luka semalam akibat dendam tujuh keturunan seperti orang dahulu kala.

Tuesday, May 7, 2019

SUDAH JAWAB TAPI TAK SEND


SUDAH JAWAB TAPI TAK SEND

BARU-BARU
ini, saya berada di dalam situasi yang kurang molek. Saya katakan kurang molek kerana akibat tidak menghadirkan diri, sebuah perjumpaan yang penting telah terbatal. Semua itu gara-gara kesilapan saya sendiri juga.

Seminggu sebelum itu, sahabat saya Saufie menghubungi saya. Beliau bertanya samada saya sudi menghadiri sebuah diskusi bersama beberapa orang anggota sebuah NGO alam sekitar. Kata Saufie, mereka ini sudah mengumpul bahan-bahan mengenai pemuliharaan alam. Bahan-bahan itu hendak dijadikan sebuah buku. Sudah tentu saya begitu teruja hendak membantu dalam penerbitan apa-apa buku pun.

Kami berbincang melalui Whatsapp. Dan sebuah tarikh perbincangan telah dipersetujui. Tetapi pada pagi hari diskusi, saya mendapat mesej dari seorang lagi kawan bernama Arif. Dia berhajat bertemu dengan saya di Shah Alam.

Arif pula adalah seorang junior saya di kolej. Di zaman itu, Arif rapat dengan saya. Boleh dikatakan saya menjadi mentornya kerana dia kerap meminta nasihat saya dari segi pembelajarannya. Sebab itu dia berasa terhutang budi dengan saya meskipun saya sendiri tidak berasa begitu.

Memandangkan dia hendak terbang ke luar negara pada petang itu juga, saya bersetuju menemuinya. Lantas saya cuba hubungi Saufi, minta dia melewatkan sejam waktu diskusi dengan anggota-anggota NGO itu. Beberapa kali panggilan saya tidak dijawab. Oleh kerana itu saya mengirim mesej kepada Saufi meminta pertemuan itu ditukar ke hari lain jika ia tidak dapat dilewatkan.

Pertemuan saya dengan Arif berlangsung dengan mesra. Apabila hendak ke kereta, saya membelek telefon dan mendapati ada beberapa panggilan dari Saufi yang masuk. Apabila saya menelefonnya, Saufi bersuara dengan nada kecewa bertanyakan mengapa saya tidak hadir? Akibat ketidakhadiran saya, pertemuan itu dibatalkan!

Saya katakan yang saya menghubunginya beberapa kali tetapi panggilan tidak berjawab. Saya juga telah menghantar mesej meminta dia menangguhkan waktu pertemuan atau menukar tarikhnya. Saufi menjawab, yang dia tidak menerima apa-apa mesej daripada saya. Pelik!

Ya, ALLAH… apabila saya menelusuri mesej perbualan saya dengannya, baharulah saya tersedar yang saya tidak mengirim pun mesej tersebut. Ertinya, setelah saya menaip mesej, saya terlupa untuk mengirimnya. Begitulah… sudah jawab, tetapi tidak send!

Ini adalah di antara penyakit bermesej. Jika kita bercakap di telefon, kita boleh dengar biji butir perbualan. Tetapi apabila kita menjawab dengan mesej, kita mungkin terlupa untuk menghantarnya walaupun setelah menjawab dengan panjang lebar. Dengan berpuluh-puluh komunikasi kita dengan rakan dan taulan, akan terjadi kes kita terlupa mengirim jawapan kerana terlepas pandang.

Tetapi mesej yang tidak dihantar itu samalah juga seperti mesej yang tidak berjawab. Orang yang menanti jawapan tidak menerima apa-apa respon. Oleh kerana itu, masing-masing tidak mendapat reaksi yang sepatutnya. Dalam kes saya, Saufi kecewa kerana beranggapan yang saya mungkir untuk hadir ke pertemuan itu.

Begitulah, dalam hidup kita ini banyak juga kes di mana kita menjawab tetapi tidak send jawapan kita itu. Ia bukan sahaja berlaku ketika bermesej di telefon, malah dalam komunikasi seharian.

Contohnya, anak meminta izin hendak menonton wayang. Kita tidak setuju kerana ini bulan Ramadan. Tetapi kita hanya menjawab di dalam hati dan tidak send jawapan itu ke pendengarannya. Isteri meminta kita masukkan baju ke dalam mesin basuh. Kita menjawab ‘iya’ di dalam hati sambil terus menatap komputer.  Ketika memandu, kita mahu membelok, tetapi hanya berniat sahaja tanpa memberi lampu signal.

Apabila si anak pergi juga menonton tanpa pengetahuan kita, isteri tarik muka masam kerana tidak membantu kerja rumahnya dan kita dilempang penunggang motorsikal kerana membelok tanpa memberi signal, silap faham telah berlaku dan ini akan menyusahkan diri kita juga akhirnya.

Pada bulan Ramadan ini pun, kita punyai begitu banyak doa yang mahu dipohon agar dikabulkan ALLAH. Tetapi bagaimana halnya, bila tiba waktu berdoa, kita hanya pandai aminkan doa pak imam atau hanya melafazkan doa lazim secara laju-laju?

Cara begitu menggambarkan seolah-olah kita tidak meminta apa-apa doa yang istimewa pada bulan yang berkat ini. Segala niat, hasrat dan hajat yang tidak dilafazkan satu persatu dengan penuh khusyuk dan tawaduk itu samalah seperti meminta jawapan dari ALLAH, tetapi tidak send permintaan itu!