Tuesday, February 28, 2017

DOSA YANG SETINGGI GUNUNG



Piccredit: sinarharian.com.my

TIDAK KENAL 
SIAPA YANG DIZALIMI

HAMPIR setiap minggu, ada sahaja tangkapan dan siasatan SPRM yang diumumkan kepada kita. Bagus kerana ia menunjukkan SPRM berjaya menghidu dan membongkar perbuatan rasuah di kalangan mereka yang menyalahgunakan kuasa. Tidak bagus pula kerana ia seolah-olah menggambarkan bahawa rasuah sudah menjadi makanan harian mereka yang terlibat.

Betapa ada yang menyimpan wang di dalam laci, almari malah di dalam dinding. Betapa pula berkotak-kotak, berikat-ikat wang ringgit, matawang asing, barang kemas, motorsikal dan sejumlah kereta yang disita untuk menjadi barang bukti pendakwaan.

Rasuah pada hari ini nampaknya bukan lagi tindakan yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi atau berpakat secara senyap-senyap untuk satu-dua transaksi sahaja. Ataupun ia berbentuk komisyen yang dibayar secara beransur-ansur untuk sebuah kelulusan. Bukan duit kopi yang dihulur kerana mempercepatkan permohonan. Bukan juga wang yang diselit ke dalam kotak mancis untuk lepas dari dikenakan saman.

Sebaliknya rasuah pada hari ini sudah menjadi suapan tetap seperti ufti yang dibayar oleh pemberi kerana berasakan dirinya kecil, kepada penerima yang dianggapnya amat berkuasa. Lebih buruk lagi, ia bukan diberi kepada seorang. Tetapi ia dihulur kepada sekelompok mereka di sesebuah bahagian pentadbiran. Maknanya rasuah yang berlaku itu dianggotai oleh sebuah sindiket.

Ia adalah jenayah terancang. Ada yang meluluskan, ada yang jadi pengutipnya, ada yang jadi pengawal dan ada yang jadi penyimpan harta haram yang diperoleh. Hampir pasti, yang meluluskan sesebuah permohonan untuk mendapat habuan itu adalah orang yang  berkuasa.

Jika rampasan itu bernilai berjuta ringgit, tentulah orang yang meluluskan itu punyai kuasa meluluskan permohonan yang bernilai juta-juta juga. Dan oleh kerana ia dilakukan oleh sebuah kumpulan, tentu sekali setiap anggotanya sama-sama lindung melindungi. Tidak ditukar ke mana-mana bahagian lain demi menutup rapat kebusukan angkara durjana itu.

Kita yang mengikuti berita-berita mengenai tangkapan ke atas mereka yang bakal didakwa melakukan rasuah ini mula berasakan bahawa perbuatan keji ini sudah berakar umbi. Sudah menjadi budaya. Bayangkan, bagaimana bila seorang petugas yang baharu memasuki organisasi itu?

Dia akan dipengaruh hingga akhirnya menjadi salah seorang anggota rahsia itu. Apabila hari demi hari dia melihat penyelewengan yang sudah menjadi prosedur standard operasi jabatannya, akhirnya dia lemas dan tenggelam menjadi salah seorang daripada mereka. Bagaimana pun, jika dia berdegil kerana punyai prinsip dan pegangan agama yang kukuh, mungkin sekali dia akan disisihkan atau ditukar sahaja ke bahagian yang lain.

 Bagaimana pula kesan si perasuah itu terhadap keluarganya? Barangkali pada mulanya si anak isteri hanya dikongsi habuan dalam bentuk hadiah istimewa ulangtahun, lulus peperiksaan, percutian, malah juga umrah untuk mencuci dosa. Lama kelamaan, bau harum ringgit, bau beg kulit, kerlipan rantai dan loket dan deruman enjin kereta mengaburi deria mata hati si anak isteri hingga akhirnya mereka tidak sedar dunia hitam yang mereka lalui.

Tidak menghairankan apabila sudahnya, satu keluarga buat-buat tidak tahu daripada manakah hasil luar biasa yang diperoleh oleh si ketua keluarga. Dan satu keluarga turut ketagihan dengan kemewahan dunia penuh lip-lap sehingga mereka boleh enjoy berbelanja daripada sumber pendapatan yang begitu pelik banyaknya dan aneh daripada mana datangnya.

Maknanya perbuatan rasuah bukan sahaja diterima sebagai sesuatu yang biasa di dalam sesebuah bahagian yang punyai kuasa. Tetapi ia dianggap rezeki oleh segenap anggota keluarga. Tidak keterlaluan jika terdapat saudara-mara yang memperoleh tempias daripada kekayaan ini kerana bersubahat dengan si perasuah itu sebagai penerima habuan sebagai proksinya.

Pelaku yang menjadi pelakon utama sebenarnya bukannya tidak sedar dunia gelap yang dia heret keluarganya lalui. Sesekali fitrah insaniah akan menyentuh hati kecilnya akan betapa besarnya dosa yang ditanggung apabila memberi kepada yang tidak berhak kerana menafikan yang berhak.

Namun, pelakunya begitu jauh dan panjang angan-angannya. ‘Esok lusa, aku akan bertaubat. ALLAH Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Tentu Dia akan ampunkan segala dosa-dosaku.’ Dia terlupa bahawa dosanya itu melibatkan manusia yang dizalimi. Kepada mereka inilah yang perlu dia pohon ampun. Logiknya, sempatkah dia pohon ampun kepada ratusan malah ribuan manusia yang dia zalimi itu? Apakah dia masih ingat malah kenal setiap orang daripada mereka itu?

"Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seakan-akan dia berdiri di kaki gunung. Ia takut gunung itu akan menimpa dirinya. Sementara orang durhaka melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang dengan begini saja (sambil menepiskan tangan), maka dengan mudah lalat akan terbang". [HR. Bukhari Muslim].

Kembalilah ke jalan yang dirahmati kerana di situ ada pengampunan. Membawa sebutir dosa itu lebih berat dari memikul seguni wang dari hasil yang haram. Nauzu billahi min zalik.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.3.17.

Tuesday, February 21, 2017

DUNIA BUKU YANG SURAM



Piccredit: chimes biola

APA NAK JADI 
DENGAN DUNIA BUKU?

SEMALAM saya diundang makan tengahari bersama tiga orang aktivis buku. Sambil menjamu selera, mereka meminta pandangan saya mengenai pasaran buku pada masakini. Menurut mereka, pasaran buku sudah lesu. Soal mereka, apakah kelesuan pasaran buku kini sama dengan keadaan yang saya alami ketika gawat pada tahun 1997 dahulu?

Jawapan saya, keadaan 20 tahun lalu tatkala saya menerajui syarikat penerbitan Alaf 21 hanya sama daripada segi kelembapannya sahaja. Tetapi, faktor-faktor melesetnya pasaran buku adalah berbeza. Pada zaman gawat dahulu, khalayak pembaca memang kurang. Oleh kerana itu, kegawatan ekonomi tatkala itu bukannya penyebab lesunya industri buku ketika itu.

Khalayak pembaca buku tatkala itu hanyalah tergolong di kalangan mereka di dunia pendidikan iaitu golongan pensyarah, guru, mahasiswa dan para pelajar. Masyarakat tidak meminati buku. Ibubapa hanya singgah ke kedai buku pada waktu awal tahun untuk membeli buku-buku teks anak-anak mereka.

Buku-buku umum tidak banyak. Novel-novel sebagai bahan bacaan untuk menjinakkan pembaca kepada buku pun sedikit. Syarikat yang aktif menerbitkan novel iaitu Creative Enterprise memang membekal novel. Namun jumlah pembacanya pun belum ramai meskipun mereka berjaya mengumpul kabilah pembaca yang tersendiri.

Kalau adapun buku-buku yang sentiasa diulangcetak hanyalah kitab-kitab rumi mengenai doa-doa lazim, jenis-jenis solat sunat, panduan solat mahupun panduan mandi junub. Kitab kecil Yassin dan al-Quran memang menjadi bahan bacaan yang diulangcetak. Namum, jualannya begitu-begitu sahaja.

Pada hemat saya, kelesuan dunia pembacaan pada hari ini bukan semata-mata kerana keadaan ekonomi di mana harga barang-barang melambung. Buku, sebagai bahan bacaan secara relatifnya memang lebih mahal. Tetapi, harganya bukan menjadi penyebab pembaca semakin kurang memilihnya. Sebaliknya, ia tertumpu kepada kualiti bahan bacaan itu sendiri.

Buku adalah santapan minda, seperti juga makanan untuk santapan perut. Peminat buku, sama juga seperti peminat makanan tidak akan berkira seandainya hidangan yang disajikan itu menepati citarasa. Apa yang kita hadapi pada hari ini adalah imej industri buku yang tidak menyelerakan!

Sebenarnya, kemunculan syarikat-syarikat kecil dalam penerbitan buku yang lebih dikenali sebagai syarikat-syarikat indie menarik golongan baharu dalam meminati buku. Judul-judul yang selamba dan garang memang menarik mereka yang belum rapat dengan dunia pembacaan. Kemunculan buku-buku indie yang menggunakan bahasa yang santai dan lepas ini telah berjaya mengumpul tribe yang tersendiri.

Tetapi, penerbit-penerbit yang tersohor pula berasa tercabar dengan kemunculan syarikat-syarikat indie ini. Mereka berasakan khalayak mereka akan beralih arah untuk memilih buku-buku indie pula. Lalu, penerbit-penerbit ini cuba mengadaptasi genre penerbitan mereka untuk menyaingi aliran baharu ini.

Akibatnya, penerbit-penerbit yang besar ini hilang fokus. Mereka meninggalkan kubu kekuatan masing-masing. Dengan stamina pemasaran dan kewangan yang kukuh, mereka berjaya mendapat secebis segmen pembaca buku-buku jenis indie ini. Tetapi, malangnya mereka telah meninggalkan golongan pembaca setia mereka yang selama ini telah bersama mereka.

Mungkin bukan seperti situasi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran secara total. Tetapi, mereka hilang sebahagian besar pengikut yang setia pada jenama mereka. Ditambah dengan pengaruh internet yang punyai bernanika bentuk persembahan dalam bentuk tulisan, imej dan video, golongan yang setia pada buku-buku konvensional ini akhirnya meninggalkan dunia pembacaan buku.

Sebenarnya, jenama penerbit pun sudah tenggelam dan larut. Tiada sebuah syarikat penerbitan pun yang boleh mendakwa bahawa syarikatnyalah yang paling terkenal dan menjadi pilihan ramai. Pada hari ini, sesiapa sahaja boleh menerbitkan buku. Dan, jumlah buku yang diterbitkan begitu banyak.

Penulis-penulis buku sendiri pun tidak seprolifik dahulu. Ramai yang handal-handal semakin jarang menulis. Ini menjadikan peminat-peminat mereka kehilangan minat untuk mendapatkan karya penulis-penulis lain dan akhirnya hilang minat membaca buku samasekali.

Banyaknya judul buku, penulis tersohor tidak rajin menulis, banyaknya penerbit buku, penerbit buku besar menerbitkan buku untuk segmen kecil dan ditambah dengan indah dan mengancamnya dunia internet telah membuat khalayak pembaca putus selera untuk membaca buku. Di pasaran kita sudah tidak kenal siapa penerbit tersohor, siapa penulis terhebat atau apa buku terlaris. Khalayak nampak semuanya lebihkurang sama. Tiada yang hebat. Bila khalayak bingung, mereka akan berpaling dan berlalu. 

Semuanya ini bukan kerana harga buku!

Insya-allah artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 22.2.17.









Tuesday, February 14, 2017

BEKERJALAH KAMU SEBELUM DIKERJAKAN!



Piccredit: lolasabe.com

KITA BOLEH 
JADI APA SAHAJA

SAYA temui Rayyan dan kawan-kawannya ketika dia menunggu bapanya yang lewat tiba untuk membawanya pulang. Sebelum itu, Rayyan dan kawan-kawannya datang membeli buku di Karangkraf Mall.  Saya yang juga menunggu seorang tamu sedang duduk menanti, semeja dengan mereka. Rayyan mengenali saya yang bertugas di akhbar Sinar Harian. Malah, dia ada mengikuti kolum Maafcakap saya.

Rayyan bertanya mengenai latarbelakang pendidikan saya. Dia dan kawan-kawannya kaget kerana saya mengambil bidang senilukis dan senireka sewaktu belajar dahulu. Mereka hairan kerana saya bukan datang dari bidang komunikasi massa. Bila mendapati mereka begitu berminat hendak mengetahui jalur kerjaya saya, maka saya nyatakan bahawa lebih separuh daripada bidang kerjaya yang telah saya ceburi tidak ada kena mengena langsung dengan bidang seni.

Saya mengambil bidang senilukis dan senireka, jurusan senireka perusahaan tatkala menuntut di Institut Teknologi MARA (kini UiTM). Meskipun melukis adalah bidang yang saya amat minati sejak di bangku sekolah, pendedahan dunia pelbagai bidang ilmu di kampus membuatkan saya lebih terbuka hendak ambil tahu disiplin ilmu lain.

Di kolej, saya ada ramai kawan-kawan yang mengambil bidang pentadbiran awam. Sebagai pelajar seni yang berjeans koyak dan berambut separas bahu, saya pelik dengan pakaian kemas dan rambut pendek mereka. Mereka membawa buku ke hulu ke hilir. Belajar di perpustakaan dan pandai berhujah kerana pengucapan awam adalah antara subjek yang dipelajari.

Saya rambang perasaan dan teringin hendak belajar mentadbir. Di kolej, saya aktif dalam persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS) hingga menjadi jawatankuasanya. Dengan berpersatuan, saya berpeluang mengikuti projek-projek khidmat masyarakat. Tentu sekali dengan berpersatuan, saya belajar pengucapan awam dan mentadbir.

Setelah keluar dari kampus, saya tidak menceburi bidang senilukis dan senireka. Sebaliknya menjadi Setiausaha Kerja GPMS di peringkat nasional. Sebagai NGO, GPMS juga mengambil bahagian dalam memperjuangkan isu-isu pendidikan. Pasti ia juga tidak lari daripada membicarakan hal-hal politik. Daripada situ, saya meminati politik pula.

Apabila saya mendapat peluang menganggotai Biro Penyelidikan Belia (kini Biro Tatanegara), ia seperti bulan jatuh ke riba. Saya belajar menganalisa isu-isu semasa nasional dan turut berbicara hal-hal politik secara khusus pula.

Pelawaan seorang kenalan menganggotai Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah (kini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) di Unit Serantanya membuka peluang yang lebih luas kepada saya untuk memperdalami politik. Tatkala itu, saya boleh dikatakan masak dalam hal-hal politik Umno dan Pas di kawasan pembangunan wilayah seperti Felda, Felcra dan juga Risda.

Berniaga juga adalah minat saya. Saya diperkenalkan kepada seorang tokoh korporat yang punyai lebih 50 buah syarikat dengan perniagaan bernilai berbilion ringgit. Dan saya mengambil keputusan untuk bekerja dengannya. Di sana, saya banyak sekali belajar selok belok politik perniagaan, perundangan dan perbankan. Dalam sehari, saya akan hadiri tidak kurang dari tiga mesyuarat. Namun, pencarian ilmu saya belum tamat.

Seorang kawan lain pula mengajak untuk menganggotai sebuah kolej swasta bernama Klang Valley College, mematikan angan-angan saya untuk menceburkan diri dalam bidang politik berparti. Di kolej itu, saya bertugas di Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Di situ, saya mentadbir hal pelajar. Pengalaman saya di bidang-bidang sebelum ini amat membantu. Hanya setelah kolej itu terkubur (di atas sebab politik juga), maka saya kembali ke bidang seni.

Saya membuka syarikat perkongsian yang menerbitkan komik Kreko (kini masih ada di pasaran). Bila perniagaan gagal, saya bertugas di sebuah syarikat pengiklanan.  Dunia pengiklanan punyai kegilaannya yang tersendiri. Diri saya sebagai anak seni muncul kembali di sini.

Kerjasama syarikat itu dengan Kumpulan Karangkraf akhirnya membawa saya untuk bertugas di syarikat ini. Padang kerjaya di Karangkraf ini begitu luas. Di sini, saya pernah menjadi Editor Majalah Gelihati, sebuah majalah kartun. Kemudian saya mengetuai Jabatan Pemasaran, Jabatan Latihan, Jabatan Sumber Manusia dan akhirnya menerajui syarikat penerbitan buku, Alaf 21. Dua belas tahun di Alaf 21, saya melangkah ke bidang persuratkhabaran di Sinar Harian.

Rayyan dan kawan-kawannya memandang saya bagai tidak percaya. Bagi saya, jalur kerjaya saya bukan luarbiasa kerana pada asasnya ia adalah kerja. Bila ditanya, bagaimana saya boleh menguasai bidang-bidang itu? Jawab saya ringkas, “Buku! Baca bidang profesion yang baharu kamu ceburi. Belajar teorinya dan praktikkan. Nescaya, kamu boleh buat apa sahaja kerja!”

Bila ditanya lagi apa tip lain? Kata saya, kita kenalah percaya kepada rezeki ilmu dan kerjaya yang ALLAH SWT tentukan.  Kita boleh pilih jurusan sains di sekolah, tetapi memasuki bidang kemanusiaan di kolej. Setelah lulus di universiti, rezeki kita mungkin di bidang kulineri yang tidak pernah kita impikan!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit d akhbar Sinar Harian pada 15.2.17.








Tuesday, February 7, 2017

KITA MAKIN KURANG BERMAIN


Piccredit: fluentu.com

KENAPA TERLALU SERIUS 
DALAM HIDUP?

SAYA teringat lagi tatkala di usia kanak-kanak, tiada istilah pembahagian waktu di antara yang serius dan yang main-main. Malah, bermain memenuhi hampir keseluruhan aktiviti seharian. Bangun tidur, saya akan bermain, bermain dan bermain hingga masuk tidur. Bila hendak mandi pagi, saya bermain air hingga abang mengetuk pintu bilik air kerana lama sangat saya di dalamnya.

Bila di sekolah, saya bermain di dalam bilik darjah. Tatkala menanti cikgu subjek berikutnya, saya dan rakan-rakan sekelas boleh bermain kejar-kejar. Ketika cikgu mengajar pun saya masih bermain baling roket kertas. Di waktu rehat jangan cakaplah apa jenis permainan yang saya sertai. Saya akan berlari, berkejar dan bergelut dengan permainan police and thief hingga baju berdebu kerana terjatuh dikejar lawan.

Pada sebelah petang pun sempat bermain dengan mandi laut sebelum masuk ke kelas agama. Di dalam kelas masih boleh bermain sembunyi kitab Muqaddam kawan. Bila pulang dari sekolah pun masih bermain dengan berlumba basikal pulang ke kampung.

Bila bersolat di surau, akan tergigil ketawa bila kawan menyebut ‘amin’ lebih kuat dari imam. Setelah solat maghrib, saya dan kawan-kawan berlawan siapa yang lebih banyak dapat melastik cicak. Usai isyak, menggulung kain saperah sujud pun masih boleh berlumba dengan kawan siapa yang lebih pantas siap menggulung.

Di usia remaja, kita bersukan sebagai satu bentuk permainan. Ada permainan padang seperti bolasepak dan permainan gelanggang seperti badminton. Bezanya, permainan pada usia yang begini dilayani dengan cara yang lebih serius.

Di alam remaja juga kita mencuba sesuatu yang kita belum pernah buat atas ajakan kawan-kawan. Itu pun satu bentuk permainan juga. Kita cuba lepas tangan bila berbasikal atau merempit melebihi had laju. Walaupun ia melanggar undang-undang, ia disertai dengan niat untuk bermain. Di usia sebegini, apa sahaja yang baharu ingin dicuba dengan hasrat ingin bermain. Hingga bercinta pun boleh dibuat main. 

Bila kita melangkah di alam kerjaya, stres kehidupan menjadikan kita lebih serius. Kita Sseperti bermain dengan berlari bila mengejar bas. Berlumba jugalah untuk menyiapkan kerja menepati deadline agar tidak dibahasakan bos. Boleh main tangguh-tangguh untuk membayar sewa rumah. Begitulah, permainan yang kita jalani lebih berbentuk serius.

Kita meningkat dewasa dengan segala keseriusan. Permainan sudah semakin jarang kita lakukan. Bekerja untuk masa depan, tanggungjawab kepada keluarga dan anak-anak. Makan minum bersama keluarga pun adalah kerana kita hendak memberi masa kepada mereka. Beribadah pun bukan lagi kerana ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Menciptakan kita. Tetapi kerana ia sudah menjadi rutin orang beragama.

Bermain mempunyai peranan yang semakin mengecil mengikut peringkat umur. Semakin berusia, bermain semakin jarang dilakukan. Kita semakin serius dalam menghadapi kehidupan. Apakah kita menjadi semakin bahagia ataupun semakin sengsara kerana keseriusan kita mendepani segala?

Kerana itu, tidak hairanlah jika kita lebih menggemari untuk meneliti segala masalah yang berlaku di dunia ini. Ulah Presiden Donald Trump menjadi kebimbangan kita. Hal-hal pelarian Syria dan Rohingya menjadi topik perbualan malah menjadi carian utama apabila melayari internet. Tetapi setakat cari dan baca sahajalah. Menderma, jauh sekali.

Sudah tentulah apa yang berlaku di negara kita ini menjadi kerisauan kita selama berhari-hari. Hal politik menjadi kebimbangan, meskipun kita tidak mendaftar pun menjadi pengundi. Apatah lagi menjadi ahli mana-mana parti politik. Kisah artis berkawan dengan anak raja pun menjadi kerisauan kerana tidak mahu artis yang disayangi berpaling kasih.

Begitu juga kita turut marah-marah dengan pihak berwajib apabila kolam bauksit tidak dikambus hingga mengakibatkan kematian. Walhal, kita tidak tahupun wujudnya kolam yang tidak berkambus sebelum ini. Kita bimbang, kita risau dan kita marah kepada sesuatu yang bukan menjadi tanggungjawab kita sendiri. Sedangkan hal-hal yang berlaku jauh daripada kita itu tidak menjejaskan sama sekali kehidupan kita.

Semua bahagian ada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menanganinya. Seharusnya kita ikuti sahaja seadanya. Jika masalah itu selesai, kita berasa gembira. Jika ia tidak beres, kita tidak patut pula berasa geram dan marah. Apakah kita tidak prihatin atau cakna sekiranya kita tidak ambil tahu apa yang berlaku d sekeliling kita? Tidak. Kita sepatutnya meletakkan sesuatu itu kepada tempatnya.

Dalam kita mencari keadilan, berlakulah adil kepada diri sendiri. Tumpukan kepada apa yang seharusnya menjadi tanggungjawab kita. Samada ia tanggungjawab kepada kerja, keluarga dan juga diri sendiri. Jangan nanti bila kita asyik berbincang mengenai apa yang orang yang bertanggungjawab harus lakukan, orang berkenaan hanya berpendirian, ‘ada aku kisah?’

Kembalilah kepada diri kita yang menyulam kehidupan dengan bermain. Tidak perlu terlalu serius dengan permainan orang. Kerana, bila direnungi kepada apa yang berlaku secara berulang-ulang itu, sedarkah kita bahawa barangkali kita ini dipermainkan isu-isu di sekeliling kita!

Insya-ALLAH, artikel ini akan erbit di akhbar Sinar Harian pada 8.2.17.