Piccredit: chimes biola
APA NAK JADI
DENGAN DUNIA BUKU?
SEMALAM saya diundang makan tengahari bersama tiga orang aktivis buku. Sambil menjamu
selera, mereka meminta pandangan saya mengenai pasaran buku pada masakini.
Menurut mereka, pasaran buku sudah lesu. Soal mereka, apakah kelesuan pasaran
buku kini sama dengan keadaan yang saya alami ketika gawat pada tahun 1997
dahulu?
Jawapan
saya, keadaan 20 tahun lalu tatkala saya menerajui syarikat penerbitan Alaf 21
hanya sama daripada segi kelembapannya sahaja. Tetapi, faktor-faktor melesetnya
pasaran buku adalah berbeza. Pada zaman gawat dahulu, khalayak pembaca memang
kurang. Oleh kerana itu, kegawatan ekonomi tatkala itu bukannya penyebab
lesunya industri buku ketika itu.
Khalayak
pembaca buku tatkala itu hanyalah tergolong di kalangan mereka di dunia
pendidikan iaitu golongan pensyarah, guru, mahasiswa dan para pelajar.
Masyarakat tidak meminati buku. Ibubapa hanya singgah ke kedai buku pada waktu
awal tahun untuk membeli buku-buku teks anak-anak mereka.
Buku-buku
umum tidak banyak. Novel-novel sebagai bahan bacaan untuk menjinakkan pembaca
kepada buku pun sedikit. Syarikat yang aktif menerbitkan novel iaitu Creative
Enterprise memang membekal novel. Namun jumlah pembacanya pun belum ramai
meskipun mereka berjaya mengumpul kabilah pembaca yang tersendiri.
Kalau
adapun buku-buku yang sentiasa diulangcetak hanyalah kitab-kitab rumi mengenai
doa-doa lazim, jenis-jenis solat sunat, panduan solat mahupun panduan mandi
junub. Kitab kecil Yassin dan al-Quran memang menjadi bahan bacaan yang
diulangcetak. Namum, jualannya begitu-begitu sahaja.
Pada
hemat saya, kelesuan dunia pembacaan pada hari ini bukan semata-mata kerana
keadaan ekonomi di mana harga barang-barang melambung. Buku, sebagai bahan
bacaan secara relatifnya memang lebih mahal. Tetapi, harganya bukan menjadi
penyebab pembaca semakin kurang memilihnya. Sebaliknya, ia tertumpu kepada
kualiti bahan bacaan itu sendiri.
Buku
adalah santapan minda, seperti juga makanan untuk santapan perut. Peminat buku,
sama juga seperti peminat makanan tidak akan berkira seandainya hidangan yang
disajikan itu menepati citarasa. Apa yang kita hadapi pada hari ini adalah imej
industri buku yang tidak menyelerakan!
Sebenarnya,
kemunculan syarikat-syarikat kecil dalam penerbitan buku yang lebih dikenali
sebagai syarikat-syarikat indie menarik golongan baharu dalam meminati buku.
Judul-judul yang selamba dan garang memang menarik mereka yang belum rapat
dengan dunia pembacaan. Kemunculan buku-buku indie yang menggunakan bahasa yang
santai dan lepas ini telah berjaya mengumpul tribe yang tersendiri.
Tetapi,
penerbit-penerbit yang tersohor pula berasa tercabar dengan kemunculan
syarikat-syarikat indie ini. Mereka berasakan khalayak mereka akan beralih arah
untuk memilih buku-buku indie pula. Lalu, penerbit-penerbit ini cuba
mengadaptasi genre penerbitan mereka untuk menyaingi aliran baharu ini.
Akibatnya,
penerbit-penerbit yang besar ini hilang fokus. Mereka meninggalkan kubu
kekuatan masing-masing. Dengan stamina pemasaran dan kewangan yang kukuh,
mereka berjaya mendapat secebis segmen pembaca buku-buku jenis indie ini.
Tetapi, malangnya mereka telah meninggalkan golongan pembaca setia mereka yang
selama ini telah bersama mereka.
Mungkin
bukan seperti situasi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran secara
total. Tetapi, mereka hilang sebahagian besar pengikut yang setia pada jenama
mereka. Ditambah dengan pengaruh internet yang punyai bernanika bentuk
persembahan dalam bentuk tulisan, imej dan video, golongan yang setia pada
buku-buku konvensional ini akhirnya meninggalkan dunia pembacaan buku.
Sebenarnya,
jenama penerbit pun sudah tenggelam dan larut. Tiada sebuah syarikat penerbitan
pun yang boleh mendakwa bahawa syarikatnyalah yang paling terkenal dan menjadi
pilihan ramai. Pada hari ini, sesiapa sahaja boleh menerbitkan buku. Dan,
jumlah buku yang diterbitkan begitu banyak.
Penulis-penulis
buku sendiri pun tidak seprolifik dahulu. Ramai yang handal-handal semakin
jarang menulis. Ini menjadikan peminat-peminat mereka kehilangan minat untuk
mendapatkan karya penulis-penulis lain dan akhirnya hilang minat membaca buku
samasekali.
Banyaknya
judul buku, penulis tersohor tidak rajin menulis, banyaknya penerbit buku,
penerbit buku besar menerbitkan buku untuk segmen kecil dan ditambah dengan
indah dan mengancamnya dunia internet telah membuat khalayak pembaca putus
selera untuk membaca buku. Di pasaran kita sudah tidak kenal siapa penerbit
tersohor, siapa penulis terhebat atau apa buku terlaris. Khalayak nampak
semuanya lebihkurang sama. Tiada yang hebat. Bila khalayak bingung, mereka akan
berpaling dan berlalu.
Semuanya ini bukan kerana harga buku!
Insya-allah artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 22.2.17.
No comments:
Post a Comment