Piccredit: fluentu.com
KENAPA TERLALU SERIUS
DALAM
HIDUP?
SAYA teringat lagi tatkala di usia kanak-kanak, tiada istilah pembahagian waktu di
antara yang serius dan yang main-main. Malah, bermain memenuhi hampir
keseluruhan aktiviti seharian. Bangun tidur, saya akan bermain, bermain dan
bermain hingga masuk tidur. Bila hendak mandi pagi, saya bermain air hingga
abang mengetuk pintu bilik air kerana lama sangat saya di dalamnya.
Bila
di sekolah, saya bermain di dalam bilik darjah. Tatkala menanti cikgu subjek
berikutnya, saya dan rakan-rakan sekelas boleh bermain kejar-kejar. Ketika
cikgu mengajar pun saya masih bermain baling roket kertas. Di waktu rehat
jangan cakaplah apa jenis permainan yang saya sertai. Saya akan berlari,
berkejar dan bergelut dengan permainan police
and thief hingga baju berdebu kerana terjatuh dikejar lawan.
Pada
sebelah petang pun sempat bermain dengan mandi laut sebelum masuk ke kelas
agama. Di dalam kelas masih boleh bermain sembunyi kitab Muqaddam kawan. Bila
pulang dari sekolah pun masih bermain dengan berlumba basikal pulang ke
kampung.
Bila
bersolat di surau, akan tergigil ketawa bila kawan menyebut ‘amin’ lebih kuat
dari imam. Setelah solat maghrib, saya dan kawan-kawan berlawan siapa yang lebih
banyak dapat melastik cicak. Usai isyak, menggulung kain saperah sujud pun
masih boleh berlumba dengan kawan siapa yang lebih pantas siap menggulung.
Di
usia remaja, kita bersukan sebagai satu bentuk permainan. Ada permainan padang
seperti bolasepak dan permainan gelanggang seperti badminton. Bezanya,
permainan pada usia yang begini dilayani dengan cara yang lebih serius.
Di
alam remaja juga kita mencuba sesuatu yang kita belum pernah buat atas ajakan
kawan-kawan. Itu pun satu bentuk permainan juga. Kita cuba lepas tangan bila
berbasikal atau merempit melebihi had laju. Walaupun ia melanggar
undang-undang, ia disertai dengan niat untuk bermain. Di usia sebegini, apa
sahaja yang baharu ingin dicuba dengan hasrat ingin bermain. Hingga bercinta
pun boleh dibuat main.
Bila
kita melangkah di alam kerjaya, stres kehidupan menjadikan kita lebih serius.
Kita Sseperti bermain dengan berlari bila mengejar bas. Berlumba jugalah untuk
menyiapkan kerja menepati deadline agar
tidak dibahasakan bos. Boleh main tangguh-tangguh untuk membayar sewa rumah.
Begitulah, permainan yang kita jalani lebih berbentuk serius.
Kita
meningkat dewasa dengan segala keseriusan. Permainan sudah semakin jarang kita
lakukan. Bekerja untuk masa depan, tanggungjawab kepada keluarga dan anak-anak.
Makan minum bersama keluarga pun adalah kerana kita hendak memberi masa kepada
mereka. Beribadah pun bukan lagi kerana ingin mengucapkan terima kasih kepada
Yang Menciptakan kita. Tetapi kerana ia sudah menjadi rutin orang beragama.
Bermain
mempunyai peranan yang semakin mengecil mengikut peringkat umur. Semakin
berusia, bermain semakin jarang dilakukan. Kita semakin serius dalam menghadapi
kehidupan. Apakah kita menjadi semakin bahagia ataupun semakin sengsara kerana
keseriusan kita mendepani segala?
Kerana
itu, tidak hairanlah jika kita lebih menggemari untuk meneliti segala masalah
yang berlaku di dunia ini. Ulah Presiden Donald Trump menjadi kebimbangan kita.
Hal-hal pelarian Syria dan Rohingya menjadi topik perbualan malah menjadi
carian utama apabila melayari internet. Tetapi setakat cari dan baca sahajalah.
Menderma, jauh sekali.
Sudah
tentulah apa yang berlaku di negara kita ini menjadi kerisauan kita selama
berhari-hari. Hal politik menjadi kebimbangan, meskipun kita tidak mendaftar
pun menjadi pengundi. Apatah lagi menjadi ahli mana-mana parti politik. Kisah
artis berkawan dengan anak raja pun menjadi kerisauan kerana tidak mahu artis
yang disayangi berpaling kasih.
Begitu
juga kita turut marah-marah dengan pihak berwajib apabila kolam bauksit tidak
dikambus hingga mengakibatkan kematian. Walhal, kita tidak tahupun wujudnya
kolam yang tidak berkambus sebelum ini. Kita bimbang, kita risau dan kita marah
kepada sesuatu yang bukan menjadi tanggungjawab kita sendiri. Sedangkan hal-hal
yang berlaku jauh daripada kita itu tidak menjejaskan sama sekali kehidupan
kita.
Semua
bahagian ada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menanganinya. Seharusnya
kita ikuti sahaja seadanya. Jika masalah itu selesai, kita berasa gembira. Jika
ia tidak beres, kita tidak patut pula berasa geram dan marah. Apakah kita tidak
prihatin atau cakna sekiranya kita tidak ambil tahu apa yang berlaku d
sekeliling kita? Tidak. Kita sepatutnya meletakkan sesuatu itu kepada
tempatnya.
Dalam
kita mencari keadilan, berlakulah adil kepada diri sendiri. Tumpukan kepada apa
yang seharusnya menjadi tanggungjawab kita. Samada ia tanggungjawab kepada
kerja, keluarga dan juga diri sendiri. Jangan nanti bila kita asyik berbincang
mengenai apa yang orang yang bertanggungjawab harus lakukan, orang berkenaan
hanya berpendirian, ‘ada aku kisah?’
Kembalilah
kepada diri kita yang menyulam kehidupan dengan bermain. Tidak perlu terlalu
serius dengan permainan orang. Kerana, bila direnungi kepada apa yang berlaku
secara berulang-ulang itu, sedarkah kita bahawa barangkali kita ini
dipermainkan isu-isu di sekeliling kita!
Insya-ALLAH, artikel ini akan erbit di akhbar Sinar Harian pada 8.2.17.
No comments:
Post a Comment