Piccredit: entrepreneur.com
SAMPAI BILA HENDAK MENGATA?
SAMPAI BILA HENDAK MENGATA?
KITA berada di zaman teknologi maklumat. Apa sahaja yang diingini boleh dicapai di
hujung jari. Internet memampukan kita menjelajah ke lautan dalam pasifik mahupun
terbang melayang di angkasa lepas. Taip sahaja apa yang diingini di komputer dan
dalam beberapa saat sahaja, apa yang dihajati itu akan terpapar di depan mata.
Dalam
pada kita mencari apa yang dihasratkan, akhir-akhir ini kita pula diterjah
dengan segala bentuk maklumat yang kita tidak fikir kita mahukan. Dulu, kita
mencari maklumat. Kini lebih banyak maklumat pula yang memburu kita. Oleh
kerana seringnya ia muncul tanpa diundang, lama-lama kita dipaksa menatap dan
akhirnya terheret lalu tenggelam di alam sesawang.
Kemudahan
telefon pintar bukan sahaja turut membolehkan kita melihat dunia di hujung
jari. Sebaliknya, oleh kerana pentingnya telefon itu, kita akan bawa ia ke mana
sahaja. Tanpa kita sedari, sebenarnya kita juga membawa sebuah perangkap halus
yang membuat kita melekat hingga tidak mampu keluar dari alam sesawang itu
sendiri.
Denting
telefon itu sudah cukup membuat kita teruja untuk membuka telefon dan menatap
mesejnya. Selain daripada sembang kawan-kawan di perisian Whatsapp, kita boleh tengok apa yang kawan kita masak di laman Facebook atau Instagramnya. Dan, melalui video YouTube yang terdapat di laman sesawang, kita mampu melihat upacara
angkat sumpah Donald Trump sebagai Presiden Amerika.
Bukan
setakat itu sahaja. Kita boleh tatap dan mula mengenali wajah Melania Trump,
isteri Donald. Dan dapat pula melihat wajah masam mencuka Melania sebaik sahaja
Donald berpaling daripadanya. Perang dingin suami isteri itu diperkatakan ke
seluruh dunia internet. Tetapi, apakah kita perlu maklumat seperinci demikian?
Tidak. Jadi, mengapa kita menatapnya? Alasan yang kita berikan, kita
menontonnya kerana seseorang rakan telah mengirim video itu kepada kita.
Apabila
kita disua dengan artikel, foto dan video tanpa diundang, kita menatapnya
kerana ia terdapat di dalam telefon pintar kita. Okey jugalah andainya kita
mengambil bahagian untuk menyebarkannya kepada rakan yang lain untuk berkongsi
tontonan. Kita lakukan ia kerana kita mahu sebarkan apa yang menguja kita.
Tetapi,
ia menjadi tidak molek, malah sia-sia dan membuang masa apabila kita turut sama
memberi komen-komen terhadap apa yang kita sebarkan. Komen-komen biasa selalunya
terbabas menjadi kritik dan akhirnya kita mengutuk perlakuan manusia di dalam
artikel, foto mahupun video yang ditularkan. Ia biasa melarat menjadi lawak lalu
kita mula mempersenda apa sahaja mesej, imej dan video yang kita terima.
Selepas
seorang, seorang lagi individu yang kita kutuk dan tertawakan. Padahal asalnya
kita hanya ingin berkongsi sesuatu yang mungkin rakan kita minati. Akhirnya
sikap mengutuk apa yang ditatap itu menjadi suatu kebiasaan.
Kita
yang pada asalnya mahu berkongsi perkara-perkara yang baik atau berdakwah kepada
rakan-rakan akhirnya hanya memilih sesuatu yang amat melalaikan bila kita akan
tertawa dan tertawa apabila menatap keaiban orang. Peribadi kita yang jarang
sekali mengumpat orang sudah berubah sama sekali.
Betapa
malang apabila kita tidak sedar akan perubahan peribadi kita kerana teman-teman
lain pun sama. Mereka pun tidak sedar akan perubahan diri masing-masing.
Apabila satu kelompok kawan-kawan punyai perangai yang serupa, siapakah yang
dapat menyedarkan anda agar menjaga perilaku?
Mari
kita renungi sudah berapa lamakah kita bebas mengutuk selepas seorang, seorang
lagi personaliti yang kita kongsikan di laman internet ataupun lelain perisian laman
sosial. Setahun? Dua tahun? Atau lebih daripada itu? Apakah yang kita peroleh
apabila kesemua komen dan kritik kita itu tidak sampai pun kepada si empunya
diri?
Kita
tidak mendapat apa-apa. Dan si empunya diri sudah tentu tidak tahu kita ada memberi
komen terhadap dirinya. Meskipun ia baik, orang yang dikritik itu tidak dapat
memperbetul kelemahannya kerana tidak tahu kita ada memberi pandangan terhadap
kesilapannya.
Sebenarnya,
ramai sekali orang yang kita kritik melalui laman-laman sosial itu tidak
berguna walau satu sen kepada kita! Apa yang mereka lakukan itu tidak langsung memberi
kesan terhadap diri kita. Jika perlakuan mereka benar-benar menjejaskan
kehidupan kita, pasti kita mencari orang itu untuk kita ajar dia secukupnya!
Sebaliknya,
rasa marah kita, benci kita, meluat kita itu ditumpahkan dalam bentuk tulisan.
Beranikah kita sebenarnya jika hanya menegur sesuatu kesilapan, kelemahan
mahupun keaiban hanya dengan cara menulis? Dan tulisan kita tidak pun setajam
mata pedang!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.2.17.
No comments:
Post a Comment