Piccredit: aloypro.wordpress.com
APABILA TERTIPU
DENGAN KEJAYAAN
SEBENARNYA bukannya senang untuk berjaya. Namun, bukan sukar ia diperoleh asalkan kita
berusaha dengan konsisten untuk mencapainya apabila kita menapak mengikuti
pelan tindakan yang dilakar. Apabila kejayaan dalam genggaman, apa yang dirasa
adalah kepuasan.
Yang
sukar dirasa senang. Yang payah dirasakan mudah. Hilang segala pemikiran
negatif tatkala mengharungi cabaran untuk berjaya. Yang difikir hanyalah yang
positif. Rasa puas sangat. Tetapi biasalah… kepuasan kita hanyalah seketika.
Dahaga
kepada kejayaan yang seterusnya menjadikan kita meningkatkan target pencapaian.
Seperti seorang pendaki gunung, kita mahu menjejakkan kaki di gunung Everest
sebagai petanda yang kita sudah benar-benar berjaya. Mujurlah ia gunung
tertinggi di dunia. Jika ada lagi gunung yang lebih tinggi, tentu sekali kita
mendaki gunung yang lain itu pada keesokan harinya.
Manusia
punyai sikap ingin cuba memperbaiki kejayaannya. Apabila berjaya mencapai
matlamat ‘A’ misalnya, mengulangi pencapaian itu dirasakan begitu mudah. Jika
formulanya sudah menjadi peta kejayaan, apa yang perlu dilakukan ialah dengan
menggunakan formula yang sama. Ulangilah apa jalan yang dilalui. Mengikut hukum
akal, kejayaan akan diperoleh secara pasti.
Namun,
kejayaan itu punyai tipu dayanya yang tersendiri. Tipuan pertama ialah perasaan
bahawa ia pasti diperoleh jika kita gunakan pendekatan yang serupa. Kita
terlupa, pelan adalah teori. Tindakan pula, walau digerakkan, ia melalui iklim
sekeliling yang berbeza.
Analoginya,
jika sebelum ini kita melangkah menuju kejayaan merentas padang yang dipenuhi
bunga pelbagai warna, kali ini kita mengharung padang yang diliputi salji
tebal. Jalannya sama, tetapi suasana persekitarannya berbeza. Kejayaan bakal
dipeoleh jua tetapi dengan mengambil masa yang lebih lama dan mengharungi cabaran
yang berbeza.
Tipuan
kedua ialah perasaan tidak boleh gagal. Sementelah pernah berjaya, mengapa berasa kejayaan itu hak kita? Mengapa
terus mencuba di sesuatu bidang yang baharu tanpa berfikir panjang kerana
berasa sempat berfikir untuk menyesuaikan tindakan tatkala bergerak. Sedangkan
cara yang sepatutnya ialah berfikir dan merancang dahulu sebelum bertindak.
Tindakan bertindak sebelum merancang sepenuhnya itu petanda over-confident. Ia pendirian yang tidak praktikal.
Kejayaan sebelum ini adalah perkara dahulu. Yang didepani kini adalah usaha
baharu yang perlu ditangani secara semasa.
Tipuan
ketiga pula ialah sikap tidak mengizinkan kesilapan. Jika setahun diambil untuk
mengukir kejayaan yang pertama, kita mahu ia dicapai pada masa yang lebih singkat.
Kerana terlalu taksub tidak mahu melakukan kesilapan, tindakan kita seperti
maju selangkah ke hadapan tetapi berundur dua langkah. Akibat takut melakukan
kesilapan, masa yang diambil lebih lama. Tenaga dan material pasti lebih
banyak. Pendek kata, rugi banyak sebelum bermula pun.
Tipuan
keempat pula ialah perasaan seronokkan kejayaan. Apa sahaja ingin dicuba. Diri
dirasakan seperti mitos Yunani iaitu Raja Midas yang boleh menukar apa sahaja
yang disentuh menjadi emas. Seseorang yang berasa diri begitu hebat hingga mahu
menceburi apa sahaja bidang sebenarnya rambang mata. Satu pun tidak akan
menjadi kerana kejayaan itu perlukan fokus.
Tipuan
kelima pula ialah meninggalkan formula yang menjadikan seseorang itu berjaya. Banyak
usaha yang berjaya menemui kegagalan bukan sebab faktor luaran. Sebaliknya ia
datang daripada faktor dalaman iaitu tidak menggunakan sepenuhnya apa yang
mendatangkan kejayaan. Malah, meninggalkan terus kubu di mana kejayaan itu
terpasak. Tentera Islam di Perang Uhud adalah contoh bagaimana kejayaan
menjelma menjadi kegagalan akibat meninggalkan tempat asal yang telah menjamin
kejayaan.
Orang
yang gagal pun punyai banyak masalah seperti orang yang berjaya. Tetapi orang
yang gagal biasanya bergelumang dengan masalah. Sedangkan orang yang berjaya
selalunya menjemput masalah datang menghurunginya. Orang yang gagal sedar dia
inginkan kejayaan. Tetapi orang yang berjaya tidak sedar ia mahu merasa
kegagalan melalui tindakan-tindakan bodohnya.
Insya-allah artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 11.1.2017.
No comments:
Post a Comment