Piccredit: immediatefuture
TAK GUNA ASYIK
MENJAGA HATI
PADA dasarnya kita adalah insan yang cintakan keamanan. Peace loving humans. Sebab itulah
kita tidak gemar berbeza pendapat, berhujah, apatah lagi berbalah dan
bertengkar meskipun ia bertujuan menyatakan pandangan peribadi terhadap sesuatu
perkara yang subjektif. Seboleh mungkin, kita cuba mengelak daripada menyatakan
sesuatu yang bertentangan daripada apa yang diutarakan oleh orang lain.
Sikap
menggunakan minda kritikal yang panas dan pedas hanya diaplikasikan di
bilik-bilik kuliah, bilik-bilik mesyuarat dan dewan seminar. Sebaik sahaja
keluar daripada suasana ilmiah itu, kita kembali dengan pemikiran simple, menurut kata dan pandangan
orang, semata-mata kerana tidak mahu berfikir dalam mengeluarkan pendapat dan
pendirian yang sebenarnya mencerminkan identiti dan wibawa seseorang itu.
Ini
terjadi apabila kita bersembang. Kata orang, kita cuba bermanis mulut. Sambil
menanti tren dan apabila orang di sebelah memberi komen mengenai jerebu, kita
akan mengiyakan. Malah, kita akan mengulas kata-katanya dengan konotasi yang
seiring dengan komennya. Sementara
berbaris untuk membayar harga makanan, kalau teman bercakap mengenai kesesakan
jalanraya, kita pun menambah-nambah sokongan kata-katanya siap dengan beberapa
contoh. Ujarlah apa sahaja dan kita akan memberi komen yang senada dan seirama.
Apakah
ini bagus? Bagus juga. Tetapi bagus setakat menjaga perhubungan secara
mengambil hati. Walhal jika kita mengutamakan suasana yang aman dan tenteram
tetapi tidak mahu menzahirkan pandangan yang boleh memperbetul sesuatu
tanggapan, kita menyumbang kepada pembinaan persepsi umum atau public perception.
Sedangkan public
perception itu tidak semestinya baik dan betul.
Apa
akan terjadi apabila masing-masing cuba menyedapkan hati orang lain semata-mata
untuk menjaga keharmonian? Walhal ini hanya akan menjadikan sesebuah masyarakat
itu lemah dan lembam sebab kesemuanya sepakat untuk melihat sesuatu hal itu
sebagai okey dan baik-baik sahaja.
Apabila
kita malas mengeluarkan pendapat semata-mata kerana tidak mahu mengeruhkan
suasana perhubungan, padahal pendapat kita itu ada kewajaran dan kebenarannya,
kita sebenarnya membiarkan orang lain mempunyai pandangan yang salah.
Membiarkan masyarakat mempunyai pandangan yang salah itu sama seperti
menyetujui pandangan yang salah kerana kita sendiri berada di dalam masyarakat
itu.
Benarlah,
menyuarakan sesuatu pandangan yang berbeza mengenai sesuatu yang besar itu
barangkali tidak akan mengubah apa-apa. Mungkin seperti anjing menyalak bukit.
Tetapi, yang penting kita akan berasa puas hati kerana telah menyatakan sesuatu
kebenaran. Orang tak tahu, tidak mengapa. Orang lain tidak setuju pun tidak
mengapa. Seperti juga bila kita
berpakaian baharu… orang lain mungkin tak perasan kita mengenakan baju baharu
pada hari itu. Tetapi yang penting kita berasa puas dan selesa dengan pakaian
itu. Inilah syok sendiri yang positif!
Ubahlah
pandangan dan pendirian masyarakat seandainya kita punyai pandangan yang jitu
dan betul. Bagaimana pun, seandainya kita dah cuba menyatakan pandangan dengan
mereka di sekliling kita, terserahlah kepada keadaan samada masyarakat akan
mengubah pandangan mahu pun sebaliknya.
Bagaimana
pun, seandainya pandangan kita tidak diterima, maka teruslah dengan pandangan
dan pendirian kita yang tersendiri itu. Dan, jangan lupa untuk bertindak
berseorangan. Impak kepada perubahan itu tidak semestinya dilakukan oleh
sekumpulan manusia. Seorang insan pun sudah boleh mengubah segala. Kitalah
insan itu.
Jika
kita rajin meneliti perangai manusia di kalangan kawan-kawan kita, misalnya
dalam kumpulan Whatsapp,
kita akan temui mereka yang kerap punyai pandangan dan pendirian yang berbeza
daripada yang lain. Lazimnya mereka ini pada zahirnya tampak menyetujui segala
apa yang dibicarakan. Malah tidak semestinya aktif mengeluarkan pandangan.
Tetapi dalam diam, mereka berbuat sesuatu yang sebaliknya daripada pandangan
kumpulan.
Orang
bersembang, dia bersembang. Orang bermain, dia pun bermain. Tetapi orang lain
tak lulus peperiksaan, dia lulus dengan cemerlang. Dia boleh bersetuju dengan
kata-kata kita bahawa kehidupan pada hari ini semakin sukar kerana kenaikan
harga barang, GST, 1MDB, rasuah dan apa sahaja.
Tetapi
tatkala kita asyik berkata sama seperti orang lain, gerakannya menongkah arus
pandangan kita. Kehidupannya semakin senang sedangkan kita masih ditakuk lama
dengan masalah negara yang kita fikir ia masalah kita yang terpaksa kita pikul.
Orang
tua kata, inilah manusia diam-diam ubi berisi.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.1.17.
No comments:
Post a Comment