Tuesday, March 29, 2016

ORANG TUA DAN ORANG MUDA



Piccredit: suaramujahirin313.blogspot

MENJADI KETUA HINGGA KE TUA

APABILA anak bongsu saya ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan SPMnya baru-baru ini, saya sudah menjangka yang keputusannya akan lebih baik daripada keputusan peperiksaan SPM saya sendiri. Benar, apabila dia mengirim imej kertas keputusan peperiksaan melalui WhatsAppnya, jelas sekali pencapaiannya jauh lebih baik daripada keputusan SPM yang saya ambil pada tahun 1974. Keputusan SPM saya tiada ‘A,’ sementara keputusan peperiksaan anak saya punyai berderet-deret ‘A.’

Tatkala saya menimba ilmu dahulu, saya berasakan yang saya lebih bijak daripada kedua-dua ibubapa saya. Saya belajar hingga ke universiti sedangkan kedua-dua orang tua saya belajar tidak sampai ke sekolah menengah kerana di waktu Jepun dahulu tiada sekolah menengah. Bila kita renungkan, sistem pendidikan kita membolehkan generasi terkemudian menjadi lebih bijak daripada orang tua mereka sendiri, sekurang-kurangnya dari segi akademik.

Generasi terdahulu memang kurang terdedah dengan teknologi. Kita pernah dengar kisah kononnya ada orang dahulu membeli peti sejuk hanya untuk menyimpan pakaian. Walaupun entah benar atau tidak, ia adalah cerita mengenai penerimaan orang dahulu dengan perkembangan teknologi. Orang dahulu mandi air perigi dan memasang pelita. Apabila terdapat air paip dan elektrik, timbul ungkapan ‘api dalam kaca, air dalam besi’ untuk mengambarkan teknologi yang umpama magis itu. Sekaligus menggambarkan bahawa orang tua tidak cerdik berbanding orang muda.

Sememangnya golongan yang mudah memahami sesuatu yang baharu dan sentiasa peka dengan peredaran masa adalah golongan muda. Mereka yang digolongkan dalam kategori generasi X, iaitu mereka yang lahir di antara 1966-1976 adalah golongan yang sukakan aktiviti ekstrim; kembara, panjat gunung, sukan lasak dan seumpamanya. Generasi Y yang lahir di antara tahun 1977-1994 adalah golongan yang dikatakan suka menyelidik serta mencipta sesuatu yang baharu. Generasi Z iaitu mereka yang lahir di antara tahun 1995 hingga 2012 pula adalah generasi yang punyai kepantasan, kecekapan dalam semua semua tindakan mereka.

Sejak zaman bersaman, sebelum muncul istilah generasi X, Y dan juga Z, golongan muda sentiasa memberi nafas, tenaga dan semangat baharu kepada masyarakat mereka. Ramai pemimpin terbilang terdahulu juga terdiri daripada anak-anak muda. Sultan Muhammad al-Fateh, yang memerintah empayar Uthmaniyyah dan terkenal sebagai penakluk kota Constantinople naik takhta ketika usianya 19 tahun. Shun-Chih Fulin, seorang maharaja Dinasti Qing yang menawan kota Beijing memerintah pada usianya 12 tahun.

Joan of Arc, yang menghalau British dari tanah airnya Perancis menjadi serikandi tatkala usia remaja. Alexander the Great diberi peluang memerintah Macedonia oleh ayahandanya ketika usianya 16 tahun. Muhammad Qasim, seorang jeneral di zaman Ummayah menegapalai bala tentera tatkala usianya 17 tahun. Isaac Newton, Albert Einstein, Aristiotle, Galileo Galilei dan Alexander Graham Bell kesemuanya mula menunjukkan kecenderungan, ketokohan sains dan pemikiran masing-masing tatkala remaja lagi.

Kalaulah golongan muda tidak dibenarkan mencambah idea dan diyakini sebagai  memimpin sejak zaman berzaman, mengapa pula kita pada hari ini memandang golongan muda bagai nasi tambah?  Mengapa golongan tua berasa mereka sentiasa bagus? Apa hebatnya kita yang tua pada zaman ini berbanding dengan anak-anak muda yang penuh dengan idea dan inspirasi? Dalam apa jua bidang sekali pun, mereka yang tua nampaknya hendak memegang tampuk kuasa dan suasana, seolah-olah golongan muda tidak layak memimpin masyarakat dan negaranya.

Golongan muda digambarkan sebagai golongan yang tidak sabar, kurang pengalaman, gopoh, tiada visi dan seumpamanya. Golongan mat rempit, kaki lepak, suka berhibur, releks-releks sahaja adalah golongan muda. Sedangkan golongan tua menonjolkan kehebatan melalui kekuatannya mencengkam tampuk kuasa. Mereka hendak jadi ketua hingga ke tua. Masyarakat kononnya wajar dipimpin oleh golongan tua supaya keadaan menjadi aman, stabil dan sejahtera.

Padahal, aman itu diperoleh dengan cara menggula-gulakan masa depan dengan ole-ole jangka pendek. Stabil terpamer dengan membendung segala bentuk pandangan yang berbeza daripada golongan muda dan sejahtera pula dipelihara dengan bertatih perlahan kerana takut jatuh hingga masyarakat tercicir daripada peredaran masa.

Apa beza orang muda dan orang tua? Bezanya hanyalah pada waktu. Orang tua lahir lebih dahulu ke dunia sementara orang muda lahir kemudian. Itu sahaja. Namun, daripada segi tenaga dan pemikiran, orang mudalah yang sentiasa dapat bergerak pantas kerana mereka tidak sakit-sakit sendi apabila melangkah, apatah lagi berlari.

Kita yang sudah tua di zaman ini perlu menoleh dan melihat sejarah. Lihatlah bagaimana anak-anak muda yang punyai idea dan pandangan yang segar berjaya memimpin bangsanya hingga menakluk dunia melalui tindakan dan pemikiran mereka. Jika kita masih berasakan dunia ini hanya orang tua yang punya, bangsa kita akan tenggelam ditelan zaman.


Berilah peluang kepada anak-anak muda. Orang tua sepatutnya hanya memerhati dan membantu mereka untuk bangun jika mereka tergelincir.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 30.3.16. 

Tuesday, March 22, 2016

ARE LAWS MADE TO BE BROKEN?



Piccredit: notafikir.com

DI ANTARA PERATURAN
DAN BUDIBICARA

SEJAK di zaman persekolahan, kita diajar untuk mematuhi peraturan jalanraya. Di antara yang wajib diikuti ialah mematuhi lampu isyarat. Bila lampu berwarna hijau, kita mesti bergerak. Jika kuning, kita patut memperlahankan kenderaan dan apabila merah, kita mesti berhenti. Sesiapa yang melanggar isyarat lampu, dia telah melakukan kesalahan lalulintas.

Seandainya terdapat anggota polis yang nampak akan kesalahan kita melanggar lampu merah,  maka kita akan ditahan dan didenda. Terdapat juga kamera yang terpasang di persimpangan jalan. Ia berfungsi untuk merakam kesalahan yang kita lakukan. Dalam tempoh sebulan, kita akan menerima saman, bersama dengan sekeping gambar kita di dalam kenderaan sebagai bukti.

Tetapi,  bagaimana pula jika terdapat anggota polis trafik di persimpangan jalan yang mengarahkan kita bergerak walau pun lampu trafik berwarna merah? Apakah itu bermakna anggota polis itu telah memaksa kita melanggar peraturan jalanraya? Seharusnya kita menerima saman kerana telah melanggar lampu merah. Dan, anggota polis trafik yang menyuruh kita bergerak walaupun lampu trafik berwarna merah patut menerima beribu-ribu saman kerana dialah yang menyuruh beribu-ribu kenderaan melanggar lampu merah!

Begitulah, jika kita mengikut logik peraturan dan undang-undang jalanraya. Namun, kita semua sedia maklum bahawa tujuan anggota polis mengarahkan kita bergerak walaupun lampu trafik berwarna merah, malah menyuruh kita berhenti meskipun lampu berwarna hijau itu semata-mata bertujuan untuk melancarkan trafik.

Dari segi undang-undangnya, sememangnya kita yang salah. Tetapi dari segi moralnya, kita bergerak ketika lampu merah kerana kita bekerjasama dengan pihak polis untuk kesejahteraan pemanduan. Justeru, manakah yang lebih mustahak? Melanggar undang-undang agar semua dapat sampai ke destinasi dengan selesa, atau mematuhi undang-undang secara lurus walaupun ia mengakibatkan kesesakan jalanraya?

Dalam pelbagai situasi, kita perlu mempertimbang yang mana satukah yang lebih penting. Apakah peraturan itu yang perlu diutamakan atau budibicara yang harus diambilkira sebelum kita membuat keputusan? Seperti kes baru-baru ini mengenai seorang penganggur yang mencuri di sebuah pasaraya; tindakan mencuri adalah menyalahi undang-undang.

Tetapi perlakuan salahnya itu dimaafkan oleh pengurus pasaraya itu setelah beliau menyelidik latarbelakang si pesalah yang rupa-rupanya mencuri kerana tidak berduit. Kerana itu, pesalah itu dilepaskan dan sebaliknya ditawarkan untuk bekerja di pasaraya itu. Dalam kes ini, budibicaralah yang mengatasi peraturan atau undang-undang.

Betapa pun, dalam banyak ketika, kita bukan sahaja mempertimbang menggunakan peraturan dan budibicara pada situasi yang sesuai. Malangnya, ada di antara kita yang menyalahgunakannya untuk kepentingan diri. Apabila berdepan dengan tuduhan berupa persepsi, kita menggunakan peraturan dan undang-undang untuk menghalang persepsi itu.

Sebaliknya apabila undang-undang pula digunakan dalam sesuatu tuduhan, kita menggunakan pula persepsi untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap kesalahan undang-undang yang telah kita lakukan. Seolah-olah kita berlari dan bersembunyi samada di kubu ‘peraturan’ atau ‘budibicara’ mengikut selera kita untuk menepis segala perkara yang akan mencemar imej kita.

Jika kita memahami secara tulus konsep ‘legally right, but morally wrong’ atau ‘legally wrong, but morally right’ maka kita akan mengerti peri pentingnya kita mempertimbangkan yang manakah yang sesuai untuk sesuatu situasi, bukan untuk menyalahgunakannya. Misalnya, kita boleh terus memecut apabila lampu trafik bertukar hijau. Apabila kita dilanggar kenderaan dari persimpangan, kita tidak salah kerana mematuhi undang-undang. Yang langgar lampu merah itulah yang salah. Betul. Tetapi dari segi moralnya kita salah juga.

Alangkah baiknya jika kita memastikan tiada kenderaan yang bergerak dari arah lain sebelum kita meneruskan pemanduan. Walaupun terpaksa berhenti ketika lampu trafik bertukar hijau, dari segi moralnya, kita betul kerana tidak terlibat dalam kemalangan yang akan mengakibatkan kedua-dua pihak rugi masa, tenaga dan wang ringgit untuk membuat laporan polis, membaiki kenderaan dan merawat kecederaan.
Terdapat kata-kata bahawa peraturan itu dibuat supaya ia dilanggar, atau rules are made to be broken. Difahami secara literal, ia tidak bermaksud agar peraturan itu wajar dilanggar sewenang-wenangnya. Sebaliknya, budibicaralah yang harus digunapakai mengikut pertimbangan akal.


Peraturan itu memang sifatnya ketat dan statik agar ia tidak dipermainkan oleh manusia yang suka membelit di sekeliling peraturan. Setelah peraturan itu dilentur, dia menggunakan sentimen budibicara pula untuk mengaburi fakta kesalahan yang telah dilakukan.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.3.16. 

Tuesday, March 15, 2016

LANSKAP POLITIK BAHARU MALAYSIA


Piccredit: darisungaiderhaka.com

POLITICAL FUSION
ATAU
POLITICAL CONFUSION?

ADA suatu senario menarik yang sedang menjelma di dalam politik Malaysia. Senario ini adalah pembentukan jajaran baharu parti-parti politik dan para pemainnya. Yang bermusuh sudah boleh duduk semeja walaupun belum semestinya boleh duduk sebangku. Ada yang sudah tidur sebantal walaupun masih bermimpi lain-lain. Sebaliknya, yang berkawan selama ini sudah ada yang bagai berpatah arang.

Pendekatan setuju untuk tidak setuju kian menjadi pegangan yang diterima pakai sebagai keperluan berpolitik pada hari ini. Ia makin mengesahkan madah  ahli politik German, Otto von Bismarck bahawa ‘politik itu adalah seni serba kemungkinan’ atau ‘Politics is the art of the possible.’

Pada hari ini, Pas akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang yang baharu. Blog ketiga seperti yang didedahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini adalah kerjasama parti itu dengan sebuah parti politik. Terdapat juga spekulasi yang mengatakan terdapat juga NGO yang akan menyertai blok itu. Dahulu, NGO ditaja oleh parti politik. Kini, NGO sudah menjadi pendesak parti politik.

Dap tidak yakin akan keberkesanan blog ketiga yang bakal diumumkan Pas. Kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, gagasan politik baharu itu perlu bersifat inklusif, berupaya menangani isu seperti rasuah serta mampu mentadbir lebih baik daripada BN. PKR, rakan Pas dalam Pakatan Rakyat pula berpendirian untuk tunggu dan lihat. Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli berkata, partinya menanti pengumuman rasmi Pas sebelum membincangkannya di peringkat parti.  

Pas kini bersama PKR di dalam Pakatan Rakyat. Ia tidak menyertai Pakatan Harapan kerana tidak setuju dengan Dap, apatah lagi dengan Amanah. Pada waktu yang sama, Pas dilihat berbaik-baik dengan Umno dan memainkan peranan sebagai penasihat yang akan mengecam Umno pada perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan agama. Tetapi, Pas juga menjunjung sistem demokrasi. Oleh kerana itu ia tidak akan bersama menggugat institusi politik negara dalam Gerakan Selamatkan Malaysia yang bakal dianjurkan pada 27 Mac akan datang.

Dua minggu lalu, dalam sebuah sidang media, mantan perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan Deklarasi Rakyat yang menggariskan empat tuntutan. Turut hadir di sidang itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Shafie Apdal, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta beberapa tokoh UMNO seperti Tan Sri Sanusi Junid. Apa yang menarik ialah kehadiran sama musuh-musuh politik UMNO seperti Lim Kit Siang(Dap), Mohamed Sabu(Amanah), Datuk Seri Azmin Ali(PKR), Datuk Mustafa Ali(Pas) dan Datuk Zaid Ibrahim. Mereka semua hadir dan duduk sebaris dengan Tun Mahathir sebagai rakyat Malaysia yang bimbang terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial di dalam negara.

Tun Mahathir adalah seorang tokoh UMNO yang disegani. Beliau mengumumkan keluar daripada parti yang pernah dipimpinnya. Malah, tatkala UMNO diisytiharkan haram pada tahun 1988, beliau juga yang bertungkus lumus untuk menghidupkannya kembali. Dan, ketika itu Datuk Seri Najib sebagai Ketua Pemuda UMNO menjalankan tugas yang signifikan untuk menarik ramai anak muda menyertai UMNO Baru yang kemudiannya dinamakan UMNO semula. Menjadikan ia satu-satunya parti politik di dalam dunia yang sudah mati dan hidup kembali! Hebat kerjasama erat mereka. Tetapi pada hari ini, pendirian mereka saling bertentangan.

Senario politik pada hari ini kian menampakkan mereka yang menjadi ahli sesebuah parti politik tidak semestinya menjadi penyokong taksub di dalam parti. Kewujudan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia yang membawa aliran kritis terhadap pimpinan UMNO adalah manifestasi trend sokongan atau tentangan berprinsip mengikut pendirian masing-masing terhadap sesebuah isu. Ia adalah gerakan yang punyai nama yang jelas. Bukan lagi seperti dahulu di mana kumpulan yang tidak sealiran merupakan  kem-kem rahsia yang punyai label tidak rasmi.

Apakah fenomena ini merupakan political fusion atau adunan politik yang menarik? Ya. Dalam pada itu, apakah ia juga adalah political confusion? Ya juga jika kita lihat daripada sudut pandang ahli-ahli akar umbi. Ahli-ahli biasa yang dididik untuk setia tanpa berbelah bahagi kepada parti atau menyokong pemimpin sampai mati kini terpinga-pinga dengan suasana jaringan politik yang kelihatan bersimpang-siur ini.

Ahli-ahli parti tidak tahu samada hendak menyokong atau menentang, percaya atau tidak terhadap pendirian parti atau ketua mereka. Jelas, mereka belum bersedia untuk berpolitik dengan cara ‘sokong dalam hal ini tetapi menentang dalam hal itu.’ Akibatnya mereka hanya tunggu dan lihat drama yang sedang dilakonkan oleh para pemimpin mereka. 


Apakah kesannya? Ahli-ahli parti tidak akan punyai semangat kental, aktif dan lantang seperti lazimnya kerana mereka terpaksa mendengar pendirian yang pelbagai para pemimpin mereka. Akhirnya, mereka jadi pasif dalam bertindak. Akhirnya, parti-parti politik akan lesu kerana akarnya tidak segar dan pucuknya juga layu!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.3.16.

Tuesday, March 8, 2016

USAH MEMENDAM PERASAAN



Piccredit: blog.omvana.com

MEMBUAT KEPUTUSAN
UNTUK ORANG LAIN

TATKALA  di usia 20an, saya pernah menjadi ejen di sebuah syarikat jualan langsung antarabangsa. Saya sertai syarikat itu setelah mendengar penerangan dan impian yang dibentang oleh rakan sepejabat yang kemudiannya menjadi penaja saya.

Pada mulanya saya sertainya semata-mata kerana ingin memperoleh tambahan pendapatan. Cukup selesa  jika dapat tambahan pendapat sekitar dua tiga ratus ringgit sebulan. Sebagai orang bujang, tambahan pendapatan melebihi RM100 pada tahun 80an pun dikira banyak juga. Tiket wayang pun RM4 ketika itu. Makanan ringan seperti ayam goreng pun tidak melebihi RM5 untuk satu set hidangan. Setelah saya menghadiri mesyuarat-mesyuaratnya, saya semakin berminat untuk terus melabur masa, tenaga dan wang ringgit ‘untuk masa depan saya.’

Bagaimana pun, saya lembab dalam mengajak kenalan dan saudara mara saya menyertainya. Setelah sebulan, saya hanya mampu mengajak dua orang. Sedangkan orang lain di dalam kumpulan saya secara puratanya dapat membawa empat orang kenalan menyertai perniagaan masing-masing.

Suatu hari, upline saya bertanya mengapa saya tidak dapat mengajak ramai rakan dan taulan menyertainya sedangkan saya punyai ramai kenalan. Jawapan saya, mereka nampaknya tiada masa tidak berminat menyertai perniagaan saya.  Lantas upline dan mentor saya berkata, sebab utama kegagalan saya ialah kerana saya telah membuat keputusan untuk orang lain.

Apa maksud ‘membuat keputusan untuk orang lain?’ Beliau menerangkan, saya sebenarnya telah membuat keputusan untuk mereka bahawa mereka tidak berminat. Bagaimana saya boleh tahu, sedangkan saya belum pun membuka mulut memperkenalkan perniagaan saya? Jika saya memperkenalkan perniagaan saya, barangkali akan ada yang berminat kerana semua orang pada dasarnya inginkan pendapatan tambahan dan mencuba sesuatu yang baharu. Jika saya tidak membuka jalan, bagaimana saya boleh kata mereka sudah menolaknya? Ertinya, saya sudah berkata ‘tidak’ sebelum mencuba.

Kata-kata itu menyentap dan masuk ke dalam fikiran saya. Ya. Saya tidak boleh mempunyai andaian bahawa seseorang itu akan setuju ataupun tidak setuju dengan apa yang saya akan sarankan selagi saya belum memberi penerangan kepadanya terhadap sesuatu yang saya ingin sarankan.

Dari semasa ke semasa, kita kerap berada dalam situasi di mana kita seolah-olah sudah tahu jawapan seseorang sedangkan kita belum pun bertanya kepadanya. Bagaimana boleh begitu? Mengapa kita judgemental atau memberi jawapan ‘setuju’ atau ‘tidak’ meskipun persoalan belum dilontar?

Banyak keadaan dan ketika di mana kita punyai masalah kerana kita tidak bertanya, tidak menerangkan mahupun tidak mengkhabarkan sesuatu kepada seseorang. Andainya si  suami tidak mahu menerangkan kepada isterinya akan penyakit kronik yang dihidapinya semata-mata kerana khuatir isterinya akan meraung, dia akan mendiamkannya sehingga keadaan sebegitu genting dan isterinya benar-benar meraung mendengarnya.

Andainya seorang ketua tidak memberitahu kepada stafnya akan tindakan yang akan dihadapi seandainya selalu lewat menyiapkan tugas kerana tidak mahu stafnya berkecil hati, dia akan menangguhkan nasihatnya itu sehingga prestasi seluruh jabatannya merudum. Akibatnya, bukan sahaja seluruh staf jabatan itu sakit hati kepada staf yang bermasalah itu. Sebaliknya, mereka jadi meradang dengan ketua yang tidak menjalankan tugas menyelia staf yang bermasalah itu.

Andainya seorang jejaka berkenan dengan seseorang gadis tetapi setakat menyimpan hati kerana bimbang lamarannya ditolak, akhirnya dia sendiri putih mata apabila lamarannya benar-benar ditolak apabila si gadis mengkhabarkan yang dia menerima lamaran orang lain kerana berasakan dirinya tidak diminati oleh jejaka itu.

Berkatalah apa yang perlu diperkatakan kepada seseorang itu walaupun di hati berasa bimbang seandainya apa yang disuarakan itu ditolak. Jika jawapannya negatif, sekurang-kurangnya kita sudah mencuba. Sebaliknya, jika jawapannya positif, alangkah ia baik untuk perhubungan kedua-dua pihak? Pilihlah masa yang sesuai untuk menyatakan apa yang ingin disampaikan meskipun berlapis-lapis lapik katanya.


Yang penting, seandainya kita menyimpan perasaan dan persoalan, kita telah membuat keputusan untuk orang lain. Cara itu tidak adil kepadanya. Pendekatan  itu juga tidak adil kepada diri kita sendiri. 

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 8.3.16.

Tuesday, March 1, 2016

APAKAH KITA MENGHIDAP FOOD ANXIETY?



Piccredit:beritaviral.click

KENAPA MAKAN
APA YANG ORANG MAKAN?

DI ANTARA perkembangan yang dinamik dalam dunia perniagaan di Malaysia pada hari ini ialah perniagaan makanan. Di zaman ekonomi meleset dan harga barangan naik, kita masih lagi menjamu selera seperti biasa, meskipun harga sesetengah makanan sudah naik melebihi kadar biasa. Jika sebelum ini, sepuluh sen kenaikan harga teh tarik akan membuat ramai orang bising, kini kenaikan segelas teh yang melebihi dua puluh sen tidak lagi menjadi topik bualan. Kita bayar sahaja tanpa soal. Untuk tawar menawar, jauh sekali kerana akan dianggap gila. Walhal, bukankah tawar menawar itu sendiri adalah adat jual beli?

Tekak antarabangsa masyarakat Malaysia yang boleh makan apa sahaja yang dihidang menjadikan tempat-tempat makan menjadi tempat tumpuan popular. Malah, makan sudah menjadi suatu rekreasi keluarga. Satu keluarga boleh keluar untuk makan malam di gerai mahupun restoran dan kemudian terus pulang ke rumah. Dan, satu keluarga akan puas dengan rekreasi sebegitu.

Kita juga mempunyai trending  atau arah aliran hidangan masakan. Pada sesuatu ketika, kita akan menggilai sesuatu hidangan. Tidak lama kemudian, selera kita berubah kepada hidangan yang lain pula secara beramai-ramai dan meninggalkan hidangan yang sebelum ini amat diminati. Kegemaran pada sesuatu hidangan itu seolah-olah seperti fesyen pakaian yang datang dan pergi. Cuma daripada segi hidangan masakan, apa yang telah ditinggalkan, belum ada lagi diminati kembali, seperti fesyen pakaian yang ada kitaran zamannya.

Beberapa tahun yang lalu, jambu batu potong yang ditabur dengan asam boi menjadi makanan ringan yang popular. Gerai-gerai jambu batu potong dan jus jambu batu menjadi kegilaan, bukan sahaja kepada mereka yang berminat untuk berniaga, malah para pelanggan. Jualan serbuk asam boi turut meningkat. Banyak pasaraya membekalkan serbuk asam boi dalam bentuk paket.

Tidak lama selepas itu, timbul pula hidangan durian crepe. Selain terdapat jualan di kiosk-kiosk di pasaraya, resipinya juga turut dicari oleh golongan wanita. Ramai yang mencuba melalui resipi di internet dan ia berjaya. Ramai juga yang menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan. Malah, durian crepe juga boleh dibeli secara talian.

Kesukaan kita kepada minuman teh bubble yang kemudiannya melahirkan trend minuman ice-blended. Banyak kiosk muncul di pasaraya. Malah, terdapat pula kedai minuman beryogut yang menjadi kegilaan dan stail. Kemudian, datang trend makan nasi Arab seperti nasi mandy, nasi haneeth dan nasi kabsa daging kambing mahupun ayam.

Setahun dua yang lalu, timbul pula kegilaan pisang goreng keju. Banyak gerai-gerai pisang goreng keju dibuka. Harga pisang goreng yang boleh dibeli dengan harga lima biji seringgit, ada yang meningkat ke harga RM5-RM7. Kuahnya bukan sahaja keju cair, tetapi terdapat pelbagai jenis perisa seperti coklat, coklat putih, karamel, kayu manis dan kopi.

Yang mutakhir setelah redanya kegilaan terhadap pisang goreng keju ialah kegilaan kepada kopi tepi jalan. Apa sahaja yang terjual di bistro terkenal seperti Coffee Bean dan Starbucks kini boleh didapati di simpang-simpang jalan dengan harga yang relatifnya lebih murah, meskipun harganya dua kali ganda daripada harga air sirap di tepi jalan. Oh, ya. Ada minuman yang mula menjadi trendy ~ aiskrim sumi jelly!

Apa ertinya semua ini? Pertama, ia menggambarkan budaya makan sudah bertukar menjadi sesuatu yang bermusim.  Yang penting ialah herd mentality untuk kita sama-sama mencuba apa yang kini menjadi habuan halwa tekak. Jika tidak merasa seperti ramai orang lain, kita rasa ketinggalan.

Kedua, keselesaan sudah mengatasi perkiraan harga. Ertinya, tabiat kepenggunaan kita mengutamakan kehendak, tidak kira berapa harga ataupun sesukar mana sesuatu makanan itu diperolehi. Jika kita terpaksa bergerak berpuluh kilometer hanya untuk menjamah sepinggan hidangan atau terpaksa menunggu lama kiriman makanan secara talian untuk tiba ke rumah, kita sanggup menunggu walau berapa kosnya.


Ketiga, apabila selera kita berubah mengikut trend, makanan kini adalah bayangan kepada keadaan psikologi kita. Makanan sudah menjadi bahan untuk memujuk diri daripada segala kekusutan fikiran. Kita tidak berasa selamat jika tidak makan apa yang orang lain sedang sukakan. Sebab itulah, kita tidak peduli walaupun kebanyakan makanan yang trendy ini tinggi kalori, tinggi gula dan garamnya. Gara-gara food anxiety, kita makan sahaja tanpa memikirkan apakah ia selamat untuk kesihatan tubuh dan poket sendiri!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.3.16.