Piccredit: darisungaiderhaka.com
POLITICAL FUSION
ATAU POLITICAL CONFUSION?
ATAU POLITICAL CONFUSION?
ADA suatu senario menarik
yang sedang menjelma di dalam politik Malaysia. Senario ini adalah pembentukan
jajaran baharu parti-parti politik dan para pemainnya. Yang bermusuh sudah
boleh duduk semeja walaupun belum semestinya boleh duduk sebangku. Ada yang
sudah tidur sebantal walaupun masih bermimpi lain-lain. Sebaliknya, yang
berkawan selama ini sudah ada yang bagai berpatah arang.
Pendekatan setuju untuk
tidak setuju kian menjadi pegangan yang diterima pakai sebagai keperluan
berpolitik pada hari ini. Ia makin mengesahkan madah ahli politik German, Otto von Bismarck bahawa
‘politik itu adalah seni serba kemungkinan’ atau ‘Politics is the art of the possible.’
Pada hari ini, Pas akan
mengumumkan pembentukan blok pembangkang yang baharu. Blog ketiga seperti yang
didedahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini adalah
kerjasama parti itu dengan sebuah parti politik. Terdapat juga spekulasi yang
mengatakan terdapat juga NGO yang akan menyertai blok itu. Dahulu, NGO ditaja
oleh parti politik. Kini, NGO sudah menjadi pendesak parti politik.
Dap tidak yakin akan
keberkesanan blog ketiga yang bakal diumumkan Pas. Kata Setiausaha Agungnya Lim
Guan Eng, gagasan politik baharu itu
perlu bersifat inklusif, berupaya menangani isu seperti rasuah serta mampu
mentadbir lebih baik daripada BN. PKR, rakan Pas dalam Pakatan Rakyat pula
berpendirian untuk tunggu dan lihat. Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli berkata,
partinya menanti pengumuman rasmi Pas sebelum membincangkannya di peringkat
parti.
Pas kini bersama PKR di
dalam Pakatan Rakyat. Ia tidak menyertai Pakatan Harapan kerana tidak setuju
dengan Dap, apatah lagi dengan Amanah. Pada waktu yang sama, Pas dilihat
berbaik-baik dengan Umno dan memainkan peranan sebagai penasihat yang akan
mengecam Umno pada perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan agama. Tetapi,
Pas juga menjunjung sistem demokrasi. Oleh kerana itu ia tidak akan bersama menggugat
institusi politik negara dalam Gerakan Selamatkan Malaysia yang bakal
dianjurkan pada 27 Mac akan datang.
Dua minggu lalu, dalam
sebuah sidang media, mantan perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah
mengumumkan Deklarasi Rakyat yang menggariskan empat tuntutan. Turut hadir di sidang itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk
Shafie Apdal, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta beberapa tokoh UMNO seperti Tan
Sri Sanusi Junid. Apa yang menarik ialah kehadiran sama musuh-musuh politik
UMNO seperti Lim Kit Siang(Dap), Mohamed Sabu(Amanah), Datuk Seri Azmin
Ali(PKR), Datuk Mustafa Ali(Pas) dan Datuk Zaid Ibrahim. Mereka semua hadir dan
duduk sebaris dengan Tun Mahathir sebagai rakyat Malaysia yang bimbang terhadap
keadaan politik, ekonomi dan sosial di dalam negara.
Tun Mahathir adalah seorang
tokoh UMNO yang disegani. Beliau mengumumkan keluar daripada parti yang pernah
dipimpinnya. Malah, tatkala UMNO diisytiharkan haram pada tahun 1988, beliau
juga yang bertungkus lumus untuk menghidupkannya kembali. Dan, ketika itu Datuk
Seri Najib sebagai Ketua Pemuda UMNO menjalankan tugas yang signifikan untuk
menarik ramai anak muda menyertai UMNO Baru yang kemudiannya dinamakan UMNO
semula. Menjadikan ia satu-satunya parti politik di dalam dunia yang sudah mati
dan hidup kembali! Hebat kerjasama erat mereka. Tetapi pada hari ini, pendirian
mereka saling bertentangan.
Senario politik pada hari
ini kian menampakkan mereka yang menjadi ahli sesebuah parti politik tidak
semestinya menjadi penyokong taksub di dalam parti. Kewujudan Gabungan Ketua
Cawangan Malaysia yang membawa aliran kritis terhadap pimpinan UMNO adalah
manifestasi trend sokongan atau tentangan berprinsip mengikut pendirian
masing-masing terhadap sesebuah isu. Ia adalah gerakan yang punyai nama yang
jelas. Bukan lagi seperti dahulu di mana kumpulan yang tidak sealiran
merupakan kem-kem rahsia yang punyai
label tidak rasmi.
Apakah fenomena ini
merupakan political fusion atau
adunan politik yang menarik? Ya. Dalam pada itu, apakah ia juga adalah political confusion? Ya juga jika kita
lihat daripada sudut pandang ahli-ahli akar umbi. Ahli-ahli biasa yang dididik
untuk setia tanpa berbelah bahagi kepada parti atau menyokong pemimpin sampai
mati kini terpinga-pinga dengan suasana jaringan politik yang kelihatan
bersimpang-siur ini.
Ahli-ahli parti tidak tahu
samada hendak menyokong atau menentang, percaya atau tidak terhadap pendirian
parti atau ketua mereka. Jelas, mereka belum bersedia untuk berpolitik dengan
cara ‘sokong dalam hal ini tetapi menentang dalam hal itu.’ Akibatnya mereka
hanya tunggu dan lihat drama yang sedang dilakonkan oleh para pemimpin
mereka.
Apakah kesannya? Ahli-ahli
parti tidak akan punyai semangat kental, aktif dan lantang seperti lazimnya
kerana mereka terpaksa mendengar pendirian yang pelbagai para pemimpin mereka. Akhirnya,
mereka jadi pasif dalam bertindak. Akhirnya, parti-parti politik akan lesu
kerana akarnya tidak segar dan pucuknya juga layu!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.3.16.
No comments:
Post a Comment