Piccredit: notafikir.com
DI ANTARA
PERATURAN
DAN BUDIBICARA
DAN BUDIBICARA
SEJAK di zaman persekolahan,
kita diajar untuk mematuhi peraturan jalanraya. Di antara yang wajib diikuti ialah
mematuhi lampu isyarat. Bila lampu berwarna hijau, kita mesti bergerak. Jika
kuning, kita patut memperlahankan kenderaan dan apabila merah, kita mesti
berhenti. Sesiapa yang melanggar isyarat lampu, dia telah melakukan kesalahan
lalulintas.
Seandainya terdapat anggota
polis yang nampak akan kesalahan kita melanggar lampu merah, maka kita akan ditahan dan didenda. Terdapat juga
kamera yang terpasang di persimpangan jalan. Ia berfungsi untuk merakam
kesalahan yang kita lakukan. Dalam tempoh sebulan, kita akan menerima saman, bersama
dengan sekeping gambar kita di dalam kenderaan sebagai bukti.
Tetapi, bagaimana pula jika terdapat anggota polis
trafik di persimpangan jalan yang mengarahkan kita bergerak walau pun lampu
trafik berwarna merah? Apakah itu bermakna anggota polis itu telah memaksa kita
melanggar peraturan jalanraya? Seharusnya kita menerima saman kerana telah melanggar
lampu merah. Dan, anggota polis trafik yang menyuruh kita bergerak walaupun
lampu trafik berwarna merah patut menerima beribu-ribu saman kerana dialah yang
menyuruh beribu-ribu kenderaan melanggar lampu merah!
Begitulah, jika kita
mengikut logik peraturan dan undang-undang jalanraya. Namun, kita semua sedia maklum
bahawa tujuan anggota polis mengarahkan kita bergerak walaupun lampu trafik
berwarna merah, malah menyuruh kita berhenti meskipun lampu berwarna hijau itu
semata-mata bertujuan untuk melancarkan trafik.
Dari segi undang-undangnya,
sememangnya kita yang salah. Tetapi dari segi moralnya, kita bergerak ketika
lampu merah kerana kita bekerjasama dengan pihak polis untuk kesejahteraan
pemanduan. Justeru, manakah yang lebih mustahak? Melanggar undang-undang agar
semua dapat sampai ke destinasi dengan selesa, atau mematuhi undang-undang secara
lurus walaupun ia mengakibatkan kesesakan jalanraya?
Dalam pelbagai situasi,
kita perlu mempertimbang yang mana satukah yang lebih penting. Apakah peraturan
itu yang perlu diutamakan atau budibicara yang harus diambilkira sebelum kita
membuat keputusan? Seperti kes baru-baru ini mengenai seorang penganggur yang
mencuri di sebuah pasaraya; tindakan mencuri adalah menyalahi undang-undang.
Tetapi perlakuan salahnya
itu dimaafkan oleh pengurus pasaraya itu setelah beliau menyelidik
latarbelakang si pesalah yang rupa-rupanya mencuri kerana tidak berduit. Kerana
itu, pesalah itu dilepaskan dan sebaliknya ditawarkan untuk bekerja di pasaraya
itu. Dalam kes ini, budibicaralah yang mengatasi peraturan atau undang-undang.
Betapa pun, dalam banyak
ketika, kita bukan sahaja mempertimbang menggunakan peraturan dan budibicara
pada situasi yang sesuai. Malangnya, ada di antara kita yang menyalahgunakannya
untuk kepentingan diri. Apabila berdepan dengan tuduhan berupa persepsi, kita
menggunakan peraturan dan undang-undang untuk menghalang persepsi itu.
Sebaliknya apabila
undang-undang pula digunakan dalam sesuatu tuduhan, kita menggunakan pula
persepsi untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap kesalahan undang-undang yang
telah kita lakukan. Seolah-olah kita berlari dan bersembunyi samada di kubu ‘peraturan’
atau ‘budibicara’ mengikut selera kita untuk menepis segala perkara yang akan
mencemar imej kita.
Jika kita memahami secara
tulus konsep ‘legally right, but morally
wrong’ atau ‘legally wrong, but morally
right’ maka kita akan mengerti peri pentingnya kita mempertimbangkan yang
manakah yang sesuai untuk sesuatu situasi, bukan untuk menyalahgunakannya. Misalnya,
kita boleh terus memecut apabila lampu trafik bertukar hijau. Apabila kita
dilanggar kenderaan dari persimpangan, kita tidak salah kerana mematuhi
undang-undang. Yang langgar lampu merah itulah yang salah. Betul. Tetapi dari
segi moralnya kita salah juga.
Alangkah baiknya jika kita
memastikan tiada kenderaan yang bergerak dari arah lain sebelum kita meneruskan
pemanduan. Walaupun terpaksa berhenti ketika lampu trafik bertukar hijau, dari
segi moralnya, kita betul kerana tidak terlibat dalam kemalangan yang akan
mengakibatkan kedua-dua pihak rugi masa, tenaga dan wang ringgit untuk membuat
laporan polis, membaiki kenderaan dan merawat kecederaan.
Terdapat kata-kata bahawa
peraturan itu dibuat supaya ia dilanggar, atau rules are made to be broken. Difahami secara literal, ia tidak
bermaksud agar peraturan itu wajar dilanggar sewenang-wenangnya. Sebaliknya, budibicaralah
yang harus digunapakai mengikut pertimbangan akal.
Peraturan itu memang sifatnya
ketat dan statik agar ia tidak dipermainkan oleh manusia yang suka membelit di
sekeliling peraturan. Setelah peraturan itu dilentur, dia menggunakan sentimen budibicara
pula untuk mengaburi fakta kesalahan yang telah dilakukan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.3.16.
Sangat setuju la bos. Betul tu.
ReplyDeleteTq. :)
ReplyDelete