Piccredit: suaramujahirin313.blogspot
MENJADI KETUA HINGGA KE TUA
APABILA anak bongsu saya ke sekolah untuk mengambil
keputusan peperiksaan SPMnya baru-baru ini, saya sudah menjangka yang
keputusannya akan lebih baik daripada keputusan peperiksaan SPM saya sendiri.
Benar, apabila dia mengirim imej kertas keputusan peperiksaan melalui WhatsAppnya, jelas sekali pencapaiannya jauh
lebih baik daripada keputusan SPM yang saya ambil pada tahun 1974. Keputusan
SPM saya tiada ‘A,’ sementara keputusan peperiksaan anak saya punyai
berderet-deret ‘A.’
Tatkala saya menimba ilmu dahulu, saya berasakan
yang saya lebih bijak daripada kedua-dua ibubapa saya. Saya belajar hingga ke universiti
sedangkan kedua-dua orang tua saya belajar tidak sampai ke sekolah menengah
kerana di waktu Jepun dahulu tiada sekolah menengah. Bila kita renungkan,
sistem pendidikan kita membolehkan generasi terkemudian menjadi lebih bijak
daripada orang tua mereka sendiri, sekurang-kurangnya dari segi akademik.
Generasi terdahulu memang kurang terdedah dengan
teknologi. Kita pernah dengar kisah kononnya ada orang dahulu membeli peti
sejuk hanya untuk menyimpan pakaian. Walaupun entah benar atau tidak, ia adalah
cerita mengenai penerimaan orang dahulu dengan perkembangan teknologi. Orang
dahulu mandi air perigi dan memasang pelita. Apabila terdapat air paip dan
elektrik, timbul ungkapan ‘api dalam kaca, air dalam besi’ untuk mengambarkan teknologi
yang umpama magis itu. Sekaligus menggambarkan bahawa orang tua tidak cerdik
berbanding orang muda.
Sememangnya golongan yang mudah memahami sesuatu
yang baharu dan sentiasa peka dengan peredaran masa adalah golongan muda.
Mereka yang digolongkan dalam kategori generasi X, iaitu mereka yang lahir di
antara 1966-1976 adalah golongan yang sukakan aktiviti ekstrim; kembara, panjat
gunung, sukan lasak dan seumpamanya. Generasi Y yang lahir di antara tahun
1977-1994 adalah golongan yang dikatakan suka menyelidik serta mencipta sesuatu
yang baharu. Generasi Z iaitu mereka yang lahir di antara tahun 1995 hingga
2012 pula adalah generasi yang punyai kepantasan, kecekapan dalam semua semua
tindakan mereka.
Sejak zaman bersaman, sebelum muncul istilah
generasi X, Y dan juga Z, golongan muda sentiasa memberi nafas, tenaga dan semangat
baharu kepada masyarakat mereka. Ramai pemimpin terbilang terdahulu juga
terdiri daripada anak-anak muda. Sultan Muhammad al-Fateh, yang memerintah
empayar Uthmaniyyah dan terkenal sebagai penakluk kota Constantinople naik
takhta ketika usianya 19 tahun. Shun-Chih Fulin, seorang maharaja Dinasti Qing yang menawan kota Beijing
memerintah pada usianya 12 tahun.
Joan of Arc, yang menghalau British dari tanah airnya
Perancis menjadi serikandi tatkala usia remaja. Alexander the Great diberi
peluang memerintah Macedonia oleh ayahandanya ketika usianya 16 tahun. Muhammad
Qasim, seorang jeneral di zaman Ummayah menegapalai bala tentera tatkala
usianya 17 tahun. Isaac Newton, Albert Einstein, Aristiotle, Galileo Galilei
dan Alexander Graham Bell kesemuanya mula menunjukkan kecenderungan, ketokohan
sains dan pemikiran masing-masing tatkala remaja lagi.
Kalaulah golongan muda tidak dibenarkan mencambah idea dan
diyakini sebagai memimpin sejak zaman
berzaman, mengapa pula kita pada hari ini memandang golongan muda bagai nasi
tambah? Mengapa golongan tua berasa
mereka sentiasa bagus? Apa hebatnya kita yang tua pada zaman ini berbanding
dengan anak-anak muda yang penuh dengan idea dan inspirasi? Dalam apa jua
bidang sekali pun, mereka yang tua nampaknya hendak memegang tampuk kuasa dan
suasana, seolah-olah golongan muda tidak layak memimpin masyarakat dan
negaranya.
Golongan muda digambarkan sebagai golongan yang tidak sabar,
kurang pengalaman, gopoh, tiada visi dan seumpamanya. Golongan mat rempit, kaki
lepak, suka berhibur, releks-releks sahaja adalah golongan muda. Sedangkan golongan
tua menonjolkan kehebatan melalui kekuatannya mencengkam tampuk kuasa. Mereka
hendak jadi ketua hingga ke tua. Masyarakat kononnya wajar dipimpin oleh
golongan tua supaya keadaan menjadi aman, stabil dan sejahtera.
Padahal, aman itu diperoleh dengan cara menggula-gulakan masa
depan dengan ole-ole jangka pendek. Stabil terpamer dengan membendung segala
bentuk pandangan yang berbeza daripada golongan muda dan sejahtera pula
dipelihara dengan bertatih perlahan kerana takut jatuh hingga masyarakat tercicir
daripada peredaran masa.
Apa beza orang muda dan orang tua? Bezanya hanyalah pada
waktu. Orang tua lahir lebih dahulu ke dunia sementara orang muda lahir
kemudian. Itu sahaja. Namun, daripada segi tenaga dan pemikiran, orang mudalah
yang sentiasa dapat bergerak pantas kerana mereka tidak sakit-sakit sendi
apabila melangkah, apatah lagi berlari.
Kita yang sudah tua di zaman ini perlu menoleh dan melihat
sejarah. Lihatlah bagaimana anak-anak muda yang punyai idea dan pandangan yang
segar berjaya memimpin bangsanya hingga menakluk dunia melalui tindakan dan
pemikiran mereka. Jika kita masih berasakan dunia ini hanya orang tua yang
punya, bangsa kita akan tenggelam ditelan zaman.
Berilah peluang kepada anak-anak muda. Orang tua sepatutnya
hanya memerhati dan membantu mereka untuk bangun jika mereka tergelincir.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 30.3.16.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 30.3.16.
No comments:
Post a Comment