Tuesday, January 29, 2013

INGATAN UNTUK YANG HIDUP



Photo credit: engineerography.com
 
DETIK DEBAR
TATKALA MENITI MAUT

Tengahari Ahad lalu, saya memandu dalam hujan lebat di NKVE menghala ke Shah Alam dengan kelajuan 100km/jam. Tiba-tiba sebuah kereta berwarna perak muncul di belakang. Mungkin model Honda City, Toyota Vios atau yang sama saiz dengannya. Saya terus beralih di lorong tengah. Tidak semena-mena, setelah memotong lebih kurang 30 meter di hadapan, kereta itu membrek dan tergelincir!

 Aksi ala-drifting itu membuat kereta itu terus berada di kedudukan melintang di laluan saya! Saya terpempan seketika dan segera menyalakan lampu hazard. Mata saya menjeling ke cermin belakang. Minda terus mencongak apa yang akan terjadi kalau ada banyak kenderaan lain di belakang?

Andainya kereta itu terbalik, sempatkah saya mengelak ke lorong kiri atau ke kanan? Apa akan jadi kalau ada kenderaan lain berhampiran dengan kereta saya? Mungkin kenderaan itu pula yang melanggar kereta saya dan momentum itu akan membuat kereta saya merempuh kereta yang tergelincir itu pula!

 Alhamdulilah. Saya lihat, semua kenderaan berada kira-kira 100 meter jauh di belakang. Kerana itu saya sempat untuk mengelak jika keadaan memaksa. Kereta yang tergelincir itu terus terundur ke lorong sebelah kiri dan masuk ke lorong kecemasan lalu terus terhenti. Saya rasa pemandunya selamat. Mungkin kerana dia cekap. Mungkin juga kerana dia bernasib baik. Lantas saya menelefon PLUS membuat laporan. Kemudian meneruskan pemanduan.

 Di rumah, saya bercerita pada isteri apa yang berlaku. Sempat juga menceritakan yang saya tak panik ketika itu bila terbayangkan adegan kereta yang kejar mengejar dalam filem The Last Stand lakonan Arnold Schwarzenegger yang baru saya tonton. Mungkin, tontonan itulah yang membuatkan fikiran saya mencampuraduk di antara realiti dan fiksyen hingga saya ada berasa teruja pula dalam keadaan yang cemas itu.

Namun, reaksi isteri setelah mendengar cerita itu membuat saya terpempan. Katanya, ‘ALLAH telah selamatkan awak! Apa akan jadi andainya kereta itu terhenti di tengah-tengah laluan? Kemalangan boleh berlaku dan awak cedera atau mati! Ini kali kedua awak berdepan dengan maut!’

Saya termenung bila mendengar peringatan itu. Benar. Ini kali kedua saya berdepan dengan maut dalam waktu yang singkat. Akhir tahun lalu, saya tidak sedar yang saya amat sakit bila di masukkan ke hospital akibat diabetes. Seminggu menjelang tarikh saya ke hospital, tubuh saya terasa semakin lemah. Fikiran menjadi lembab.

Setelah diperiksa, doktor memberitahu, kandungan gula di dalam darah saya sudah 32 millimol. Saya bukan sahaja disahkan diabetik, malah ketika itu sudah menghidapi hyperglycemia iaitu terlalu banyak gula di dalam darah setelah pankreas saya gagal mengeluarkan insulin yang cukup untuk menjana tenaga tubuh. Ia boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang, sistem neuro, jantung, kerosakan mata, kaki dan juga tangan. Malah,  saya boleh maut andainya tidak menerima rawatan segera.

Alhamdulilah. Setelah sebulan berlalu, saya berasa sihat kembali. Maklumat doktor yang terkini menunjukkan tiada anggota tubuh yang rosak. Pankreas dan buah pinggang saya berfungsi dengan baik. Saya ingat betapa terkedunya saya bila rakan-rakan sepejabat menceritakan yang mereka lihat tubuh saya semakin kurus dan muka sudah pucat dan mula mencengkung sebelum dimasukkan ke wad.

Bila saya merenung kembali, sebenarnya sebelum ini sudah tiga kali saya berdepan dengan ajal. Kali pertama di usia 13 tahun tatkala terjatuh dari tangga bas sekolah. Bas sudah hendak bergerak dan saya tidak dapat berbuat apa-apa. Mujurlah ada pelajar lain yang nampak kedudukan saya dan menjerit kepada pemandu bas agar tidak bergerak. Jika tidak, kepala saya akan tergilis tayarnya.

Kali kedua di usia 14 tahun ketika berseronok berbasikal untuk melihat banjir di kampung.   Tatkala berhenti di tepi sungai melihat air deras, basikal saya tiba-tiba bergerak diheret arus. Mujurlah ada seorang abang yang menarik carrier basikal saya. Pada usia 16 tahun pula, saya hampir lemas ketika mandi laut. Nasib saya baik kerana diselamatkan oleh kawan.

Justeru itu, sudah lima kali saya berdepan dengan ajal. Saya menyampaikan bukan untuk berbangga betapa cerdiknya saya boleh menipu ajal ~ cheating death! Maaf cakap, frasa ini tidak tepat langsung untuk kita yang mempercayai maut itu akan tiba tanpa terlewat walau sesaat pun.

Saya bertanya kawan-kawan apakah mereka pernah berdepan dengan situasi yang boleh membawa kematian seperti yang saya alami. Tiada yang ada pengalaman seperti saya. Apakah saya beruntung? Saya tidak berani kata begitu melainkan jika saya seperti anda yang meyakini petanda seperti yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W:

Hadis riwayat at-Tirmidzi, dihasankan oleh an-Nasa’i dan Ibnu Majah; daripada Umar, katanya: “Pernah ditanyakan kepada Rasullulah S.A.W,” Siapakah orang mukmin yang paling cerdik?” Menjawab Baginda: “Iaitulah, siapa yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persiapannya menghadapi masa-masa sesudahnya. Mereka itulah orang-orang yang cerdik.”
 
Artikel ini akn terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.1.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, January 22, 2013

PERANAN AKHBAR


Photo credit: howstuffwork.com
Masalah teknikal. tiada imej setakat ini. maaf.


AKHBAR SUDAH
TIADA KUASA MEMUKAU


Syarikat akhbar menghebahkan berita untuk tatapan ramai. Ia memperoleh sumber lisannya daripada ucapan rasmi, ceramah, sidang akhbar dan juga temubual. Ia mendapat sumber bertulis pula daripada kenyataan akhbar, Facebook, Twitter, blog dan laman web rasmi individu yang menjadi bahan berita.

Oleh kerana adanya pelbagai medium maklumat dan terbukanya individu atau sesuatu organisasi pada hari ini, kenyataan-kenyataan daripada ‘sumber yang layak dipercayai’ sudah tidak lagi layak dipercayai. Taktik dan teknik memperoleh bahan berita daripada sumber ketiga mahupun keempat, secara intai-intai, agak-agak, spekulatif dengan rumusan yang condong ke kiri ataupun ke kanan sudah ketinggalan zaman. Malah, semakin sehari, ia menjadi sumber yang tidak lagi digunakan oleh media, kecuali untuk tujuan sensasi daripada media yang kehabisan modal dan idea mencanai berita.

Pada hari ini, berita mesti dihidangkan pada bila-bila masa kepada para pembaca sebagai santapan minda mereka. Tidak seperti dahulu, bilamana berita hanya dipaparkan di akhbar pada pagi atau malam hari. Ataupun orang ramai hanya memperolehnya tatkala siaran berita pada masa-masa yang ditetapkan melalui televisyen atau radio.

Kini, berita mesti panas dan kerap terhidang sekurang-kurangnya pada setiap jam. Kerana itu, para wartawan perlu sentiasa bersiap siaga mendapatkan bahan berita, mengarang dan menyalurkannya ke pejabat untuk dipersembahkan dalam bentuk cetak, elektonik  mahupun melalui internet.

Kepantasan menghidang berita daripada pelbagai sumber rujukan membolehkan seseorang wartawan itu mudah dalam melaksanakan tugasnya. Justeru itu adalah hampir mustahil  andainya seseorang wartawan pada hari ini berkata kepada pengarangnya yang dia tiada apa-apa berita untuk disampaikan.

Dalam dunia persuratkhabaran, no news is bad news. Bagaimana pun, bad news is not necessarily good news. Oleh kerana itu, penyampaian berita itu perlu seimbang kerana para pembaca mahukan sesuatu yang dia boleh pertimbangkan. Mereka tidak lagi boleh menelan berita yang muluk-muluk belaka mahupun berita yang hanya menyesakkan fikiran. Berita yang semata-mata pro atau pun yang kontra akan diketepikan. Hampir semua perkara ada baik dan buruknya. There are always two sides of a coin. Pembaca pada hari ini berhak mendapat maklumat yang seimbang. Mereka tidak akan menelan bulat-bulat apa yang diterima.

Kerana itulah, mereka yang menjadi bahan berita perlu menyedari pentingnya maklumat, pendapat dan buah fikiran mereka dikongsi dengan khalayak ramai. Mereka tidak boleh lagi jual mahal, berdiam diri dengan harapan sesuatu yang diperkatakan mengenainya itu akan sejuk dan tenggelam daripada radar ingatan orang ramai.

Dalam pada itu, mereka juga tidak boleh lagi cuba menguasai wartawan apatah lagi media akhbar hingga mahu beritanya sahaja yang disiarkan pada setiap hari. Mereka yang memanggil sidang media dengan memberi persepsi seolah-olah media yang dijemput itu sahajalah yang terpilih secara khas; walhal apabila tiba masa sidang, berpuluh-puluh wakil media lain sudah berbaris menunggu. Ini akan mengecewakan semua yang hadir kerana digula-gulakan seolah-olah mereka sahajalah yang istimewa. Di lain waktu, tidak ramai wakil media akan datang lagi ke majlisnya.

Jika memanggil media semata-mata untuk menyampaikan apa yang sudah diperkatakan sebelum ini, besar kemungkinan apa yang disampaikan itu tidak akan terpilih menjadi bahan berita. Jika diri sendiri bukannya newsmaker seperti Tun Dr. Mahathir yang sentiasa mempunyai idea, saranan dan hujah baharu, tidak usahlah cuba menarik perhatian dengan kata-kata kosong yang berulang-ulang.  

Para pembaca pada hari ini dihujani dengan pelbagai bahan komunikasi. Minda mereka sudah tepu. Ini menjadikan mereka punyai memori yang singkat kerana begitu cepat bosan dengan sesuatu. Justeru itu, kekerapan kemunculan seseorang di mata khalayak sebenarnya akan membuat dirinya over-exposed. Ini bermakna, kekerapan kemunculan seseorang di khalayak ramai itu tidak semestinya akan mempopularkan dirinya. Malah boleh berlaku kesan sebaliknya iaitu imejnya sudah tidak mempunyai impak dan ingin dinyah segera daripada kotak fikiran pembaca.

Akhbar sudah tiada kuasa mahupun pengaruh untuk menaik mahupun menjatuhkan imej seseorang kerana khalayak sudah lebih berhati-hati dengan apa yang mereka tatap. Yang menentukan naik turun atau jatuh bangun seseorang itu ditentukan oleh individu sendiri.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.1.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, January 15, 2013

BILA MULA BERNIAGA



Picture credit: 123rf.com
MENGENAL SI PENIPU
DALAM BISNES
SEMALAM, seorang teman saya, Fairus mengadu yang dia hampir ditipu dalam urusniaga. Fairus yang menjual buku secara online itu menerima tempahan 21 buah buku yang sama judulnya daripada seseorang. Oleh kerana dia baru berniaga, pesanan 21 buah buku yang berilai lebih RM400 itu amat besar bagi perniagaan yang berpendapatan kasar tidak sampai RM1000 sebulan. Nalurinya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pesanan yang banyak itu. Mujur Fairus juga ada rakan-rakan yang berniaga secara online.
Daripada nasihat kawan-kawannya, Fairus diminta berhati-hati. Jarang sekali seseorang individu memesan banyak judul secara online. Hanya pengedar buku sahaja yang memesan sesuatu judul dengan jumlah yang banyak. Itupun biasanya secara pembelian runcit secara bersemuka. Dengan nasihat itu, Fairus menghubungi si penempah untuk mempastikan jumlah pesanan.
Fairus meminta nombor telefon, alamat, e-mel dan juga bayaran tempahan secara online sebelum menempah buku daripada pembekal. Tiba-tiba si penempah mula mengurangkan jumlah pesanan daripada 21 naskhah kepada 10 naskhah. Kemudian apabila dihubungi untuk melangsaikan bayaran, panggilan Fairus sudah tidak berjawab. Sejam dia menelefon dan setiapkali juga panggilannya dimatikan. Akhirnya, Fairus tahu sendiri bahawa si pembeli bertujuan untuk menipu. Andainya dia tidak mendengar kata hatinya, mungkin Fairus putih mata.
Dunia perniagaan sama ada yang kecil mahupun yang besar sentiasa berdepan dengan manusia yang menipu. Para peniaga baru yang inginkan bisnes biasanya akan terpesona dengan pembeli yang memperagakan personaliti yang mengagumkan. Kad niaga yang cantik dengan alamat premis di Segitiga Emas, pakaian yang kemas, beg bimbit yang berkilat atau kenderaan import yang menjalar amat mudah mengaburi mata orang yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.
Tawaran menjadi rakan kongsi, joint-venture, bekalan berterusan, kontak baik, pasaran ke luar negara dan kabel besar dengan pihak atasan adalah di antara gula-gula yang ditayang oleh si penipu untuk memenangi kepercayaan yang akhirnya menjerat orang yang baru hendak mula berniaga. Kalau pun sudah menjadi rakan niaga atau pelanggan, tidak mustahil si peniaga akan tertipu apabila memberi kredit kepada si penipu. Bayaran akan mula lewat daripada 30 hari kepada 60 hari, 90 hari dan akhirnya si penipu akan lesap meninggalkan hutangnya.
Bagaimana untuk mengenal si penipu? Sukar sekali. Namun sebagai orang bisnes, kita sendirilah yang harus sentiasa bersedia dan berwaspada untuk tidak tertipu. Dalam dunia perniagaan, adalah baik bila kita sentiasa meletakkan rasa waspada dan berhati-hati terhadap mereka yang hendak berurusan dengan kita.
Yang penting, bukannya jumlah wang dan peluang membuat keuntungan yang menjadi ukuran bagus atau tidaknya urusniaga itu. Siapa kata, peluang hanya datang sekali? Dan, bila seseorang yang hendak berurusniaga dengan kita itu mempamerkan peluang, jangan terus merebutnya. Kalau peluang itu mendatangkan kerugian, tunggulah berpuluh-puluh peluang lain yang akan mendatang.
Yang mustahak buat kita adalah orang yang ingin berusniaga itu sendiri. Bukan pakaiannya, bukan kenderaannya, bukan gayanya yang harus kita lihat tetapi tutur katanya. Orang yang sentiasa berkata boleh, boleh dan boleh biasanya tak boleh. Begitu juga orang yang sentiasa berkata okey, okey dan okey biasanya tak okey. Orang bisnes yang selalu bermain dengan janji biasanya tidak akan menepatinya. Maknanya, mereka yang tidak hanya berkata yang indah-indah tentang perniagaan dan sebaliknya memperkatakan mengenai masalah itulah yang boleh diletak kepercayaan.
Riak wajah dan gerak laku orang yang menipu juga mudah dikenali. Dia akan mencuri pandang ketika kita tidak memandangnya, mencuri pandang apa yang ada di atas meja kita, di sekeliling kita mahupun apa yang kita bawa. Awal-awal lagi sudah mencuri dengan pandangan, akhirnya akan mencuri pula kepercayaan kita.
Orang yang benar-benar berbisnes biasanya tidak akan membuang masa. Bualan bertanya khabar hanya sekadar berbasa-basi sebelum soal perniagaan dibicarakan. Ketika perbincangan, gangguan panggilan lain akan dimatikan kerana ia gambaran seseorang yang fokus dengan apa yang dia lakukan. Setelah perjanjian dimeterai, dia akan segera berlalu kerana dia juga fokus kepada matlamatnya. Orang beginilah yang harus kita contohi.
Bila kita berwaspada dengan mereka yang begini, insya-ALLAH kita tidak akan tertipu. Dalam pada itu, kita pula mesti elakkan daripada berperangai begitu jika tidak mahu menjadi seorang penipu pula.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.1.2013, insya-ALLAH... 

Tuesday, January 8, 2013

BERIBADAH DI MANA SAHAJA


Photo credit: coperatech.blogspot.com

BILA PEJABAT
DAH JADI RUMAH
PADA jam 6.30 pagi tadi, saya terserempak dengan anak jiran saya sewaktu hendak ke kedai akhbar. Anak muda yang baharu sebulan menjadi juruanalisa sistem itu sedang bergegas ke LRT. Fazmie mendapat takdir yang baik. Belum pun menghadiri majlis konvokesyen, dia sudah dilamar oleh sebuah syarikat Jepun.
Tapi kerjanya lasak. Pagi-pagi lagi sudah ke pejabat di segitiga emas Kuala Lumpur. Lewat malam baru pulang ke rumah. Saya perasan, dia juga bekerja pada hari-hari Ahad dan hari-hari kelepasan am. Kesungguhannya bekerja saya kagumi. Mudah-mudahan, dia memperoleh masa depan kerjaya yang cemerlang.
Seperti Fazmie, pada hari ini, semakin ramai pekerja yang bertugas tidak setakat lapan jam sehari. Tidak kira sama ada seseorang itu pekerja kolar putih mahupun kolar biru, bekerja lebih masa sudah menjadi kebiasaan. Perkembangan teknologi juga membolehkan seseorang itu bekerja walaupun dia berada di luar pejabat. Telefon dan e-mel boleh sahaja dijawab di mana-mana, pada bila-bila masa.
Justeru itu, masa kerja seseorang di antara 10 hingga 12 jam sudah menjadi norma. Hinggakan biasa juga kita dengar orang kata, ‘pejabat dah jadi rumah’ kerana mengibaratkan masa di pejabat jauh lebih panjang daripada di rumah. Tuntutan kerja perlu ditaati oleh seseorang pekerja. Pihak majikan pula mesti patuh dengan undang-undang yang melindungi para pekerja dengan memberi gaji, elaun mahupun imbuhan yang sepatutnya bila mereka bertugas melebihi waktu pejabat yang sepatutnya.
Dalam pada itu, bagaimana pula dengan kita yang sudah ‘berumah’ di pejabat? Bekerja dari pagi hingga ke malam. Bersarapan, makan tengahari dan kadangkala terpaksa makan malam sahaja di pejabat. Kehidupan sosial mula diketepikan bila tidak dapat menghadiri kenduri-kendara dan majlis keramaian anjuran jiran di kawasan perumahan. Program menambah ilmu seperti menghadiri majlis ceramah dan usrah tidak dapat disertai.
Begitu juga, kita terpaksa mewakilkan isteri atau ahli keluarga yang lain ke sekolah untuk mengambil kad laporan anak, tidak dapat menjenguk dia berlari dalam sukan tahunan mahupun setakat berdiri di ambang pintu untuk menyambut anak pulang daripada sekolah.
Masa bertugas di pejabat hingga ke hujung-hujung minggu juga mengorbankan masa kita berekreasi bersama keluarga. Kita sudah jarang dapat pergi jalan-jalan cari makan, menonton wayang, ekspo ataupun menziarahi sanak saudara.
Hidup berjiran pula semakin sukar diamalkan. Kalau setakat bertukar senyuman atau berbalas salam tatkala menghidup enjin kereta masing-masing, apakah erti kita hidup berjiran? Kerana kesibukan bekerja, kita hidup sebagai pekerja siang dan malam. Peranan sebagai sebagai ibu, ayah mahupun jiran kepada orang di sebelah rumah semakin mengecil.
Bahagiakah kita dengan kehidupan begini? Sukakah kita bila termasuk ke dalam lingkaran rutin harian yang tidak membolehkan kita hidup sebagai manusia tetapi hanya sebagai pekerja? Tidak perlu berasa sedih mahupun terkilan. Kita tidak akan berasa bahagia dan tentu sekali tidak akan suka dengan kerja yang kita lakukan andainya kita tidak mengubah sudut pandang kita sendiri.
Jika kita terpaksa bekerja lebih daripada 12 jam hingga waktu di pejabat melebihi masa di rumah, bila kita tidak sempat solat di surau di kawasan kediaman, mengaji atau menghadiri majlis-majlis keilmuan dan kenduri, ia tidak bermakna kita manusia yang tidak berpeluang beribadah. Kerja itu juga adalah ibadah. Malah, mungkin apa kita lakukan itu adalah fardu kifayah. Kita penyelamat bagi orang lain kerana kita sahaja yang punyai sesuatu kepakaran itu. Orang lain dapat beribadah secara berjemaah, kita juga beribadah meskipun bersendirian. Pahala tetap kita perolehi.
Oleh kerana masa kita lebih banyak berada di pejabat dan tidak dapat berjiran di kawasan kediaman, bukankah mereka di sebelah meja kita itu juga umpama jiran? Apakah kita layani  mereka sebagai jiran seperti berlemah lembut, menjaga kepentingannya, prihatin terhadap sakit peningnya, masalahnya dan kebajikannya?  Jika definasi jiran itu dalam lingkungan 40 buah rumah, apakah kita tidak boleh melihat jiran-jiran kita di pejabat dalam lingkungan 40 buah meja? Mungkin, seluruh ruang pejabat itu adalah jiran-jiran kita.
Ya. Bila pejabat sudah jadi seperti rumah, kita masih boleh hidup bermasyarakat. Malah, bukan setakat makan dan minum bersama. Sakit pening dan susah payah mereka juga boleh kita rasai bersama. Berlanjutan daripada itu, dengan teman-teman sepejabat juga kita boleh berekreasi, menjalankan majlis-majlis ibadah di pejabat atau membuat kebajikan kepada orang lain di luar pejabat.
Di mana pun kita berada, walau apa pun yang kita buat, kita sendirilah yang sepatutnya sedaya upaya menghidupkan ukhwah Islamiah. Kita tidak boleh tenggelam di dalam kesibukan dunia sendiri.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 9.1.2013, insya-ALLAH...