Tuesday, November 29, 2016

SAIZ BUKAN PENENTU



Piccredit: nature network

JANGAN PERKECIL YANG KECIL

PANDANGAN DS Zahid Hamidi sebagai Naib Presiden Umno, bahawa partinya tidak boleh memperlekeh ancaman gelombang besar  atau gelombang kecil adalah suatu pandangan yang waras. Sebagai sebuah parti yang besar, ia tidak boleh menganggap hanya ancaman yang besar sahaja yang berbahaya tetapi tidak memerhati kepada ancaman yang kecil.
Mana-mana organisasi pun akan diuji dengan ancaman-ancaman yang besar dan juga kecil. Namun lazimnya, ancaman yang besar itu didepani dengan penuh siap siaga kerana ia mudah dilihat. Tambahan pula, ancaman yang besar itu lazimnya akan melanda dan meranap dalam waktu yang sekejap.
Betapa pun, ancaman yang kecil itu punyai musibah yang sukar dikenalpasti kerana saiznya. Oleh kerana ia kecil, ia bisa datang tanpa disedari  untuk menyusup masuk dan meruntuhkan apa sahaja dari dalam. Sesebuah organisasi mungkin tidak tahui apa yang berlaku sehinggalah ia bergoyang dan tumbang. Dalam pada itu, terdapat juga ancaman  yang kecil itu tiba dalam bentuk yang pelbagai. Oleh kerana ia kecil-kecil, ia tidak dilihat sebagai berbahaya, sedangkan kesannya tidak kurang buruknya kepada sesebuah organisasi itu.
Banyak organisasi yang besar-besar tidak dapat melihat ancaman kecil tetapi yang pelbagai ini. Pimpinan organisasi yang besar lazimnya  masih lagi percaya, hanya ancaman yang besar sahaja yang berbahaya dan perlu ditangani segera, sedangkan yang kecil dianggap enteng, malah tidak diambil peduli langsung.
Padang permainan untuk mana-mana jenis organisasi samada politik, pendidikan dan perniagaan misalnya sudah banyak berubah. Manusia pada hari ini pula lebih berani memilih citarasa yang tidak semestinya digemari oleh majoriti masyarakat. Hari ini diminati ramai, esok tidak dipeduli lagi. Akibatnya, yang besar dan gah hari ini boleh dilupakan hingga ia luput dari ingatan.
Daripada sudut organisasi politik misalnya, parti Barisan Nasional adalah sebuah gabungan politik yang besar. Ia wujud sejak tahun 1973 dan terkenal sebagai sebuah parti yang berjaya dengan rekod yang cemerlang. Namun, BN mula digugat apabila munculnya gabungan parti-parti kecil pada setiap kali pilihanraya.  Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat iaitu gabungan parti-parti politik pembangkang pernah menggugat Barisan Nasional pada PRU ke-9.
Pada PRU berikutnya wujud pula Barisan Alternatif dan diikuti dengan Pakatan Rakyat pada PRU ke-13. Dan kini wujud Pakatan Harapan dan ada pula Gagasan Sejahtera. Kesemua gabungan ini dianggotai dengan parti-parti yang kecil daripada segi saiz, namun tetap menggugat gergasi BN.
Daripada sudut pendidikan pula, memang kita melihat sekolah arus perdana Kementerian Pendidikan adalah yang terbesar. Namun, sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, jenis kebangsaan India, sekolah agama rakyat dan sekolah-sekolah swasta, sekolah antarabangsa mahupun sekolah agama swasta mempunyai pendekatan yang pelbagai. Walaupun ia perlu mematuhi beberapa syarat dasar pendidikan, tetapi sekolah-sekolah aliran yang lain itu telah merencamkan fikiran anak bangsa dengan tafsiran pemikiran yang mengancam  acuan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Ancaman kecil dalam dunia perniagaan pula paling sengit. Banyak sekali organisasi besar yang runtuh kerana wujudnya ancaman-ancaman kecil ini. Selama ini, perusahaan yang besar amat digeruni oleh perusahaan yang kecil. Malah, terdapat istilah simbiosis perniagaan iaitu betapa perusahaan kecil menjalankan kerjasama dengan perusahaan yang besar agar berlakunya situasi menang-menang. Yang kecil lazimnya menghormati yang besar.
Kini tidak lagi. Yang kecil-kecil biasanya mengancam industri yang besar. Pada hari ini, dengan modal kurang RM1,000, sesiapa sahaja boleh membina industri yang boleh menandingi pemain besar. Di negara kita sendiri, lihat  sahaja saingan industri kecil produk konsumer samada sabun, syampu, pewangi, minuman, biskut, kek, produk kesihatan, penerbitan buku dan apa jua jenis pakaian. Kesemua pemain yang kecil-kecil ini sedang menggigit kek pasaran segmen-segmen industri berkaitan dari pemain-pemin industri yang besar lagi berpengalaman.
Si kecil yang memberi ancaman dan seterusnya mengalahkan yang besar, sentiasa berlaku jika kita perhatikan pada alam binatang. Semut dan lebah biasa mengalahkan binatang-binatang yang lebih besar. Meskipun ia kecil, jumlahnya banyak. Ikan piranha juga menyerang dan mengalahkan mangsa yang lebih besar kerana jumlahnya. Untuk diri kita sendiri pun, kita kalah dengan kuman dan virus dan akhirnya menghidap penyakit kerana jumlahnya begitu banyak menyerang tubuh.
Jadi, tiada hebatnya kegergasian organisasi yang kita anggotai, samada ia entiti politik mahupun perniagaan. Ia bisa dikalahkan pada bila-bila masa oleh yang kecil-kecil jika ditangani satu persatu. Sedangkan yang kecil-kecil yang banyak jumlahnya itu perlu dirangkum andainya ia mahu ditewaskan.

Jka kita berada di pihak yang kecil pula, peluang untuk berjaya dalam apa jua bidang kini terbuka luas. Padang permainan sudah berubah. Sesiapa sahaja yang berusaha akan berjaya. Sesiapa sahaja yang alpa akan kecundang akhirnya.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.11.16.

Tuesday, November 22, 2016

PEMBACA DAH UBAH SELERA


Piccredit: sinarharian
PEMBACA KEMBALI 
PERCAYAI AKHBAR PERDANA

SEWAKTU kecil, saya berpeluang mengenali seorang wartawan sambilan atau stringer di daerah kelahiran saya ~ Mersing. Dia menulis berita di sebuah buku nota. Apabila dia hendak menghantar berita ke syarikat akhbar, dia akan gunakan telefon awam. Saya biasa memerhatinya bercakap kuat dan sepatah-sepatah dengan orang yang menerima panggilan, yang saya percaya seorang penulis kopi mahupun penyunting akhbar.
Jika dia menulis rencana, baharulah dia menggunakan mesin taip dan akan menyertakan gambar bersama berita itu sebelum mengeposnya. Jika bernasib baik, dalam masa tiga hari, beritanya yang terpilih itu akan tersiar. Jika tidak, makan minggu juga untuk diterbitkan. Kerja wartawan pada waktu dahulu bolehlah dikatakan sukar dan cerewet. Hanya mereka yang benar-benar berminat dapat menjiwai kerjanya hingga menjadi kerjaya. Berbeza dengan keadaan wartawan pada hari ini yang serba canggih.
Baru-baru ini saya menyampaikan telefon bimbit percuma kepada 16 orang wartawan daerah Sinar Harian, yang kami gelar sebagai Skuad Cakna. Mereka terpilih kerana amat komited dengan tugas. Masing-masing dikatakan komited bukan sahaja kerana boleh menulis berita untuk Sinar Harian edisi cetak. Malah, mereka pantas mengirim berita dalam bentuk video untuk dipapar di portal Sinar Online dan juga SinarTV ~ tiga medium persembahan Sinar Harian pada hari ini.
Pada peringkat awal penubuhan akhbar Sinar Harian 10 tahun lalu, seseorang wartawan itu dibekalkan dengan alat PDA, kamera dan telefon bimbit. Kini sebuah telefon pintar sudah dapat memenuhi tuntutan kerja mereka. Sekali jalan, mereka boleh menyampaikan berita dalam bentuk tulisan melalui e-mel atau Whatsapp, mengirim foto dan video sebelum menamatkan tugas mereka pada satu-satu hari itu.
Inilah penyampaian berita melalui medium multi-media. Seorang wartawan menjadi pemberita, jurufoto dan juga juruvideo. Sekali pandang, seolah-olah kerja tiga orang menjadi kerja seorang. Untunglah Sinar Harian mendapat khidmat seorang karyawan untuk menjalankan kerja tiga orang pekerja. Bagaimana pun ia tidak diukur sebegitu. Walaupun seorang petugas perlu menggunakan tiga jenis medium penyampaian, namun hasil kerja yang glossy dan clean cut tidak diperlukan kerana selera pembaca akhbar pada hari ini sudah jauh berbeza.
Jika dahulu, pembaca selesa menatap foto-foto tokoh-tokoh VIP mahupun selebriti yang posing dengan mengeraskan badan, mengukir senyum nampak gigi,’ subjek foto sesebuah berita pada hari ini lebih santai. Gambar-gambar pak menteri sedang berjalan, duduk di sisi katil pesakit atau mendukung bayi tidak memerlukan jurufoto khas untuk hadir mengambil gambar.
Begitu juga, selebriti pada hari ini tidak semestinya bermake-up dan berdandan bling-bling. Cukup sekadar berpakaian kasual, malah berposing dengan wajah lawak pun sudah boleh diterima pembaca pada hari ini. Foto-foto begitu hanya memerlukan seseorang wartawan mengambil foto atau video  dengan sebelah tangan sebelum mengirimnya ke akhbar versi cetak mahupun atas talian.
Tidak perlu kepada jurufoto untuk mengambil syotnya. Ini adalah kerana jurufoto pada hari ini lebih diperlukan untuk mendapatkan syot-syot yang mempunyai 1,000 cerita daripada sekeping foto. Tugas itu lebih berat kerana mereka tidak lagi bermain di padang berita yang pantas dan mendatar, tetapi di ladang cerita yang perlahan dan mendalam.
Selera pembaca pada hari ini sememangnya sudah jauh berubah. Mereka tidak menunggu akhbar rasmi untuk menyampaikan sesuatu berita.  Mereka mahukan kecepatan dalam menerima berita. Bagaimana pun, oleh kerana sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai berita, sumber yang tiba kepadanya terlebih dahulu akan membentuk persepsinya. Namun, jika tidak lama dahulu, persepsi seseorang itu kekal terbentuk pada berita-berita paling awal yang diterimanya, kini ia tidak lagi begitu.
Khalayak pembaca pada hari ini lebih canggih. Meskipun mereka mendapat sesebuah berita daripada mana-mana sumber pun, mereka tetap membuka akhbar cetak mahupun laman web rasmi sesebuah agensi berita untuk mensahihkan berita yang mereka peroleh. Maknanya, berita daripada sumber rasmi akhbar perdana kini kembali diyakini oleh masyarakat.
Kerana anjakan keyakinan khalayak pembacalah maka banyak media pada hari ini terutamanya Sinar Harian menitikberatkan penyampaian berita dengan menggunakan tiga media iaitu media cetak, atas talian dan juga video. Pengalaman bekerja beserta kecepatan dan kecekapan mereka menyalurkan berita itu kini berjaya memaling perhatian audien untuk kembali kepada persembahan akhbar-akhbar rasmi.
Comscore, iaitu agensi pembekal sukatan audien secara digital telah mencatat peningkatan minat pelayar internet terhadap berita. Jelas sekali, berita-berita daripada penerbit rasmi seperti daripada Kumpulan Utusan, Media Prima mahupun The Star Media Group turut mengungguli carta portal-portal yang mendapat jumlah pelayar yang lebih tinggi berbanding daripada laman-laman bebas. Yang kerap menjuarai carta biasanya ialah akhbar Sinar Harian yang pernah mencatat lebih daripada 30 juta pageviews ataupun satu juta pelayar dalam sehari!
 Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.11.16. 

Tuesday, November 15, 2016

MENGAPA CARI KAWAN SAHAJA?



Piccredit: Pethealthnetwork
MARI KITA MENAMBAH SAHABAT

Saya menerima sebuah mesej WhatsApp daripada Ramlee Awang Murshid. Ramlee adalah seorang novelis yang memegang jolokan Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia. Bagi mereka yang tidak mengenali beliau, dia ini entah siapa-siapa. Tetapi, jika saya katakan yang Ramlee adalah seorang novelis jutawan, sudah menulis 29 naskhah novel dan novelis yang punyai puluhan ribu peminat di Malaysia, mungkin ada yang terkejut. Ramai juga yang tidak percaya.
Tidak mengapa. Yang penting, saya hendak menceritakan bagaimana mesejnya itu memberi kesan kepada saya. Beliau mengirim video melalui Whatsapp cebisan temubual beliau sebagai seorang novelis prolifik dengan televisyen Astro Awani. Di antara soalan yang ditanya kepadanya ialah, novel penulis manakah yang paling diminatinya? Beliau menjawab,  Eyman Hykal dengan novel Detik Debarnya. Tentu sekali saya terharu kerana Ramlee memilih novel tulisan saya sebagai novel paling disukainya.
Ramlee adalah di antara penulis yang rapat dengan saya. Beliau di antara novelis yang senior di syarikat penerbitan Alaf 21 di mana saya bertugas pada suatu ketika dahulu. Di syarikat inilah Ramlee bertapak, berkembang dan menjadi seorang penulis yang hebat. Di sepanjang urusan berkaryanya dengan syarikat ini, kami membina perhubungan hingga menjadi erat. Sudah hampir 20 tahun kami bersahabat.
Namun, sejak saya meninggalkan syarikat penerbitan Alaf 21 dan mula bertugas di akhbar Sinar Harian, perhubungan kami mula renggang. Sekali-sekala bila berpeluang, kami akan berjumpa dan makan-makan. Tatkala itulah kami semasakan kembali perkembangan masing-masing. Walaupun tidak berhubungan, kami sentiasa tahu masing-masing berada di ceruk mana di dunia ini.
Apabila muncul Whatsapp, kami dan seorang lagi sahabat membuka kumpulan sembang. Tetapi kumpulan ini tidak riuh seperti kumpulan sembang yang lain. Jika ada sesuatu yang penting, mesej akan dihantar. Pada hari yang sama juga masing-masing akan menerima respon.
Apabila merenung dan berfikir bagaimana Ramlee masih mengingati karya yang saya tulis lima tahun lalu, maka saya mengerti yang dia jujur dengan pujiannya terhadap novel saya lima tahun dahulu. Masa menentukan wajah sebuah perhubungan, apakah ia setakat kawan-kawan atau menjelma menjadi sebuah persahabatan dalam ertikata yang sebenar.
Saya teringat kisah seorang rakan sekolej saya, Hakim. Dua hari dia tidak pulang ke asrama. Tatkala itu tiada telefon bimbit untuk mengirim mesej bertanya khabar. Saya dan rakan-rakan sebilik yang lain amat risau tentang Hakim. Dia menghidap penyakit asma. Kami semua khuatir kalau apa-apa yang buruk terjadi kepadanya. Hampir sahaja kami buat laporan kepada bahagian hal ehwal pelajar.
Pada hari ketiga, Hakim pulang. Dia kelihatan letih tetapi tersenyum-senyum. Kami semua berkerumun hendak tahu apa yang hendak disampaikannya. Hakim bercerita, dia ke utara tanahair untuk menguruskan perkahwinan bekas kekasihnya, Hanissa! Kami terpempan. Kami tahu sejarah kisah cinta Hakim dan Hanissa. Hakim merana bila dia ditinggalkan.
Tetapi, apa maksud Hakim bila menyatakan yang dia menguruskan perkahwinan bekas kekasihnya? Jawab Hakim, dia merisik bagi pihak bakal suami Hanissa! Dia sanggup bertemu dengan keluarga Hanissa untuk menyampaikan hasrat mereka. Memang seperti filem Hindustan. Kami seperti tidak puashati dengan kebaikan Hakim. Mengapa dia begitu baik dengan bekas kekasihnya? Hakim menjawab, walaupun mereka sudah putus kasih, mereka tidak putus sahabat.
Dunia ini tidak seluas mana jika kita ada sahabat. Kita tidak akan kesunyian dalam bersendirian. Orang bersendirian lebih mudah menghadapi risiko kegagalan. Sebaliknya orang bersahabat umpama mempunyai satu lagi percikan api kejayaan. Seorang sahabat itu sentiasa membekal tenaga di dalam jiwa kita. Malah, ada kalanya kita menemui diri kita yang satu lagi di dalam dirinya.
Pada hari ini, kita punyai ribuan kawan-kawan yang kita tak kenal di media sosial. Kita punyai ratusan kawan-kawan di pelbagai kumpulan sembang, puluhan kawan-kawan di tempat kerja, di kawasan tempat tinggal, kawan bisnes, malah kawan dari kawan. Kita mengumpul kawan yang kita namakan sebagai networking untuk memberi kita erti dan guna kepada perhubungan itu. Padahal, kita akan melupakan mereka sebaik sahaja kita tidak menemui mereka.
Bila kita asyik menambah jumlah kawan, kita lupa untuk mengumpul sahabat. Sedangkan sahabatlah yang akan berada di sisi pada waktu susah dan senang kita. Menjadi teman menangis dan ketawa, malah menjadi pengiring pada hari mati kita. Jika kita punyai ribuan kawan, berapa orang sahabat yang kita ada? Apakah puluhan jumlahnya seperti apa yang Rasulullah S.A.W ada?
Insya-ALLAH artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.11.16.


Tuesday, November 8, 2016

PENTINGNYA NAFAS BAHARU



Piccredit: Odessey
 MEMBACA BUKU BAKAL BERKUBUR?

SAYA tidak boleh lupa kepada kajian pembacaan daripada Universiti Putra Malaysia, pimpinan Allahyarham Prof. Atan Long, 33 tahun yang lalu. Kajian pada tahun 1983 menunjukkan, rakyat Malaysia membaca dua halaman setahun! 13 tahun kemudian, kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapati setiap orang secara purata membaca dua buku setahun. Ada perkembangan positif.
Saya yang terlibat untuk mengembangkan perniagaan penerbitan syarikat Alaf 21 mulai tahun 1997 hingga 2009 sentiasa berasa tercabar untuk meningkatkan amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia. Statistik itu menjadi cabaran kepada diri dan juga karyawan syarikat. Dengan usaha penerbit, pengedar, penjual dan pihak berwajib, perkembangan minat membaca masyarakat Malaysia kemudiannya meningkat begitu mendadak.
Pada awal tahun 2000, banyak kedai-kedai buku mula membuka cawangan dan rangkaian masing-masing. Selain daripada Kedai Buku MPH dan Kedai Buku Popular, banyak lagi rangkaian kedai buku yang berkembang pesat seperti Pustaka Seri Intan dan juga Syarikat Muda Osman. Kedai-kedai buku individu tidak lagi mempamer buku-buku yang lusuh dan berhabuk.
Industri buku umum berkembang begitu pesat. Membaca buku bukan sahaja menjadi kegiatan para pelajar sekolah dan universiti. Ia menjadi kegemaran ramai. Pesta-pesta buku diadakan di merata tempat. Mulai 2009, muncul pesta buku mega The Big Bad Wolf yang mempamer tidak kurang tiga juta buku untuk sekali pesta.
Percetakan digital yang mana memungkinkan print-on-demand iaitu menerbitkan buku serendah satu naskhah untuk jualan. Sebelum ini kos menerbitkan 100 naskhah buku secara konvensional adalah begitu mahal. Tempoh percetakan konvensional yang memakan masa tiga hari untuk menerbitkan 1000 naskhah buku boleh dipendekkan menjadi setengah hari untuk jumlah naskhah yang sama.
Seperti biasa, apabila sesebuah industri itu dilihat begitu menguntungkan, ia memunculkan ramai pemain-pemain industri yang baharu. Ada yang menerbit buku kerana minat. Tetapi ramai lagi yang mencebur diri kerana ia menguntungkan. Ketika itu, mereka di dalam industri buku tidak nampak awan mendung yang berarak yang akhirnya meredup dan menyejukkan kehangatan perniagaan buku.
Kemunculan selfon mula mengalih minat membaca daripada buku kepada membaca di skrin telefon. Novel selfon yang bermula di Jepun mendapat sambutan para peminat novel. Meskipun ia pendek, kira-kira 70 aksara untuk satu bab, namun ia cepat berkembang ke beberapa negara di dunia. Kemunculan telefon pintar kemudiannya mengalih terus minat membaca daripada buku.
Media sosial menjadikan minat membaca buku menjadi parah. Tumpuan seseorang sudah teralih langsung daripada membaca kerana mereka boleh pula bersembang secara menghantar mesej, foto dan juga video sesama kenalan. Sehingga ke hari ini, nampaknya telefon pintar semakin menguasai minat dan masa seseorang. 
Akhirnya membaca buku kian menjadi aktiviti yang terpinggir. Namun, apakah aktiviti membaca bakal berkubur di negara ini? Terlalu awal untuk mengatakan begitu. Ini adalah kerana tabiat manusia akan berubah jika sesuatu itu diberi nafas baharu.
Suatu masa dahulu, ramai orang kata pawagam akan berkubur. Namun hari ini, perubahan imej pawagam dengan sistem audio visual seperti Dolby Stereo, D-Box dan Atmos yang canggih menjadikan ia industri yang bertenaga kembali. Malah, kehebatan teknologi itu mengangkat selera penggemarnya ke citarasa yang begitu tinggi hingga ramai penonton hilang teruja dengan CD cetak rompak. Mereka malas lagi membeli CD dengan imej yang kabur, lonjong atau senget bila ia dicuri rakam dari pawagam.
Begitu juga dengan industri muzik. Apakah kemunculan single baharu Andainya Takdir nyanyian penyanyi Anuar Zain bakal mencerahkan semula industri musik tanah air? Tontonan video lagu itu di YouTube mencecah melebihi 1.5 juta setelah ia dimuatnaik pada September lalu. Begitu juga jualan albumnya telah melebihi 10,000 unit. Jika diukur pada standard industri musik yang masih malap, jualan album itu boleh dikatakan meletup.
Industri filem dan muzik nampaknya kembali hidup kerana ia menggunakan nafas baharu dalam persembahannya. Teknologi baharu dan platform multimedia telah digunakan untuk menjadikan ia bentuk hiburan yang semasa.
Untuk itu, buku perlu dipersembahkan dalam pakej audio, visual selain daripada paparan aksara bagi menyahut selera para pembaca yang sudah tidak lagi mahu menoleh kepada buku bercetak kerana persembahan begitu sudah dianggap old school!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.11.16.

Tuesday, November 1, 2016

DIPERMAINKAN PERSEPSI



Piccredit: psychologist diary

USAH RATAPI PERSEPSI 
NEGATIF ORANG

PADA suatu pagi, dalam kesesakan lalulintas untuk ke tempat kerja, kita terpandang seorang pemandu sedang mengibar-ngibarkan tangannya kepada seorang anggota polis trafik. Anggota polis itu pula kelihatan terjerit-jerit ke arah pemandu itu. Apakah tanggapan kita?
Mungkin lelaki itu memarahi anggota polis kerana menahan kenderaannya. Mungkin anggota polis itu menegur kesalahannya dengan bahasa kasar. Tetapi kita tidak tahu sebenarnya pemandu kereta dan anggota polis itu adalah sahabat sekampung. Mereka bertanya khabar. Oleh kerana keadaan bising di jalanraya, maka kedua-duanya terpaksa meninggikan suara.
Kita sedang berjoging di taman rekreasi. Kelihatan dua orang pekerja am sedang duduk bersembang di bangku sambil bergelak ketawa. Tanggapan kita ialah, mereka berdua curi tulang dengan duduk bersembang. Makan gaji buta! Padahal, mereka berdua sedang menunggu mandur tiba untuk membawa mereka ke lokasi lain bagi memulakan tugas yang memerlukan tindakan semerta.
Saban hari, kita berdepan dengan pelbagai situasi yang membuat kita mentafsir sesuatu yang kita pandang. Malangnya, sebahagian besar daripada kita akan mempunyai persepsi negatif. Persepsi negatif ini adalah suatu bentuk sangkaan. Ia tidak bagus kerana persepsi negatif itu adalah petanda yang kita punyai pemikiran negatif.
Sangkaan-sangkaan negatif ini tidak membahayakan orang lain jika ia hanya berlegar di minda kita semata-mata. Kita pandang, kita berasa jengkel pada mulanya. Apabila kita tahu keadaan sebenar, maka kita hanya tersenyum sendirian kerana tertipu dengan sangkaan buruk kita sendiri.
Malangnya, kemunculan media sosial menjadikan kita sentiasa dihujani dengan pelbagai tulisan, foto dan video yang menimbulkan persepsi. Apa yang kita anggap biasa dan tidak apa-apa boleh bertukar menjadi sesuatu yang sebaliknya. Yang biasa menjadi luarbiasa. Yang serius menjadi kelakar. Yang baik menjadi yang buruk.
Media sosial menyebarluaskan persepsi peribadi seseorang apabila ia dikirim kepada orang lain. Jika sebelum ini, apa jua yang negatif itu hanya tersimpan di hati seseorang, kemudahan media sosial itu mempengaruhi seseorang yang tidak punyai apa-apa pengetahuan mengenai sesuatu perkara untuk sama-sama memberi reaksi kepada apa yang disampaikan kepadanya. Apa sahaja yang terjadi di mana-mana pelosok dunia akan sama-sama kita tatap dalam beberapa saat sahaja. Lazimnya yang diwarnakan secara negatif itulah yang mendapat sambutan. Dalam seminit, satu dunia boleh ketawa atau menangis melihat sesuatu insiden yang diviralkan.
Mudah sangat kita ketawakan orang. Senang sangat kita perlekeh manusia lain. Kita mengata tentangnya walaupun dia tak kenal kita dan dia tak kenal kita pun. Hidup kita tidak akan lebih baik atau lebih buruk dengan berkata tentangnya. Jika pun kita memujinya, dia tidak akan tahu. Sebaliknya,bila kita mengejinya, kejian kita itu tidak didengarinya. Pendek kata dia tidak akan berubah perasaan atau tindakan kerana dia tidak tahu kita memuji atau mengejinya. Kerana, apa yang kita lakukan itu adalah sesuatu yang sia-sia.
Bayangkan jika ia terjadi sebaliknya. Kita menjadi subjek kutukan satu negara, malah satu dunia kerana keaiban kita dapat ditatap oleh manusia sejagat. Satu dunia menatap video kita yang hampir tergelincir dari bumbung rumah. Sempat berpaut pada kuali televisyen sebelum jatuh terduduk ke atas simen.
Satu dunia boleh ketawa. Dan ramai sangat yang akan kritik mengatakan kita kedekut sangat kerana tidak mahu memanggil pekerja teknikal untuk pemasang kuali televisyen. Padahal, satu dunia tidak tahu yang sebenarnya kita memanjat bumbung untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang takut terjun ke tanah. Dunia tidak nampak anak kucing itu kerana video tidak merakamnya.
Kita yang mengalami keadaan sebenar akan berasa kecewa. Kecewa kerana dunia mempunyai tanggapan yang tersasar jauh daripada apa yang mereka tonton. Kita terkilan kerana mereka lihat kita yang kedekut, bukan kita sebagai seorang penyelamat seekor kucing. Sifat mulia kita dipandang keji oleh orang.
Sebagai orang yang tahu apa yang sebenarnya terjadi, kita harus berlapang dada walaupun satu dunia mengatakan kita si kedekut. Malah, dalam apa jua keadaan, jika kita di pihak yang benar, maka kita memang benar tanpa perlu bersusah payah membuktikan. Manusia yang sudah punyai sesebuah persepsi memang sukar mengubah persepsi itu.

Buang masa sahaja melayani persepsi orang, apatah lagi meratapi akan kesilapan persepsi itu. Que sera sera. Apa nak jadi, jadilah sebab masing-masing akan ditanya apa yang masing-masing lakukan di akhir nanti.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.11.16.