Piccredit: Odessey
MEMBACA BUKU BAKAL BERKUBUR?
SAYA tidak boleh lupa kepada kajian pembacaan daripada
Universiti Putra Malaysia, pimpinan Allahyarham Prof. Atan Long, 33 tahun yang
lalu. Kajian pada tahun 1983 menunjukkan, rakyat Malaysia membaca dua halaman
setahun! 13 tahun kemudian, kajian
Profil Membaca Rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapati
setiap orang secara purata membaca dua buku setahun. Ada perkembangan positif.
Saya yang terlibat untuk mengembangkan perniagaan penerbitan syarikat Alaf
21 mulai tahun 1997 hingga 2009 sentiasa berasa tercabar untuk meningkatkan
amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia. Statistik itu menjadi cabaran
kepada diri dan juga karyawan syarikat. Dengan usaha penerbit, pengedar,
penjual dan pihak berwajib, perkembangan minat membaca masyarakat Malaysia
kemudiannya meningkat begitu mendadak.
Pada awal tahun 2000, banyak kedai-kedai buku mula membuka cawangan dan
rangkaian masing-masing. Selain daripada Kedai Buku MPH dan Kedai Buku Popular,
banyak lagi rangkaian kedai buku yang berkembang pesat seperti Pustaka Seri
Intan dan juga Syarikat Muda Osman. Kedai-kedai buku individu tidak lagi
mempamer buku-buku yang lusuh dan berhabuk.
Industri buku umum berkembang begitu pesat. Membaca buku bukan sahaja
menjadi kegiatan para pelajar sekolah dan universiti. Ia menjadi kegemaran
ramai. Pesta-pesta buku diadakan di merata tempat. Mulai 2009, muncul pesta
buku mega The Big Bad Wolf yang mempamer tidak kurang tiga juta buku untuk
sekali pesta.
Percetakan digital yang mana memungkinkan print-on-demand iaitu menerbitkan buku serendah satu naskhah untuk
jualan. Sebelum ini kos menerbitkan 100 naskhah buku secara konvensional adalah
begitu mahal. Tempoh percetakan konvensional yang memakan masa tiga hari untuk
menerbitkan 1000 naskhah buku boleh dipendekkan menjadi setengah hari untuk
jumlah naskhah yang sama.
Seperti biasa, apabila sesebuah industri itu dilihat begitu menguntungkan,
ia memunculkan ramai pemain-pemain industri yang baharu. Ada yang menerbit buku
kerana minat. Tetapi ramai lagi yang mencebur diri kerana ia menguntungkan.
Ketika itu, mereka di dalam industri buku tidak nampak awan mendung yang
berarak yang akhirnya meredup dan menyejukkan kehangatan perniagaan buku.
Kemunculan selfon mula mengalih minat membaca daripada buku kepada membaca
di skrin telefon. Novel selfon yang bermula di Jepun mendapat sambutan para
peminat novel. Meskipun ia pendek, kira-kira 70 aksara untuk satu bab, namun ia
cepat berkembang ke beberapa negara di dunia. Kemunculan telefon pintar kemudiannya
mengalih terus minat membaca daripada buku.
Media sosial menjadikan minat membaca buku menjadi parah. Tumpuan seseorang
sudah teralih langsung daripada membaca kerana mereka boleh pula bersembang
secara menghantar mesej, foto dan juga video sesama kenalan. Sehingga ke hari
ini, nampaknya telefon pintar semakin menguasai minat dan masa seseorang.
Akhirnya membaca buku kian menjadi aktiviti yang terpinggir. Namun, apakah
aktiviti membaca bakal berkubur di negara ini? Terlalu awal untuk mengatakan
begitu. Ini adalah kerana tabiat manusia akan berubah jika sesuatu itu diberi
nafas baharu.
Suatu masa dahulu, ramai orang kata pawagam akan berkubur. Namun hari ini,
perubahan imej pawagam dengan sistem audio visual seperti Dolby Stereo, D-Box
dan Atmos yang canggih menjadikan ia industri yang bertenaga kembali. Malah,
kehebatan teknologi itu mengangkat selera penggemarnya ke citarasa yang begitu
tinggi hingga ramai penonton hilang teruja dengan CD cetak rompak. Mereka malas
lagi membeli CD dengan imej yang kabur, lonjong atau senget bila ia dicuri
rakam dari pawagam.
Begitu juga dengan industri muzik. Apakah kemunculan single baharu Andainya
Takdir nyanyian penyanyi Anuar Zain bakal mencerahkan semula industri musik
tanah air? Tontonan video lagu itu di YouTube mencecah melebihi 1.5 juta setelah
ia dimuatnaik pada September lalu. Begitu juga jualan albumnya telah melebihi
10,000 unit. Jika diukur pada standard industri musik yang masih malap, jualan
album itu boleh dikatakan meletup.
Industri filem dan muzik nampaknya kembali hidup kerana ia menggunakan
nafas baharu dalam persembahannya. Teknologi baharu dan platform multimedia
telah digunakan untuk menjadikan ia bentuk hiburan yang semasa.
Untuk itu, buku perlu dipersembahkan dalam pakej audio, visual selain
daripada paparan aksara bagi menyahut selera para pembaca yang sudah tidak lagi
mahu menoleh kepada buku bercetak kerana persembahan begitu sudah dianggap old school!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.11.16.
Saya bersetuju dengan apa yang dibayangkan mengenai masa depan buku dan budaya membaca yang perlu diberikan nafas baharu.
ReplyDeleteAtas faktir tersebut saya telah mengubahsuai program jelajah buku menjadi Jelajah Buku dan Multimedia yang fokus tetap mendorong pembacaan melalui buku bercetak kerana keunikan tersendiri yang dimiliki oleh buku.
Wah! Tuan begitu tegar sebagai aktivis buku. Tahniah!
ReplyDelete