Piccredit: psychologist diary
USAH
RATAPI PERSEPSI
NEGATIF ORANG
PADA suatu pagi, dalam kesesakan lalulintas untuk ke tempat kerja, kita terpandang
seorang pemandu sedang mengibar-ngibarkan tangannya kepada seorang anggota
polis trafik. Anggota polis itu pula kelihatan terjerit-jerit ke arah pemandu
itu. Apakah tanggapan kita?
Mungkin
lelaki itu memarahi anggota polis kerana menahan kenderaannya. Mungkin anggota
polis itu menegur kesalahannya dengan bahasa kasar. Tetapi kita tidak tahu
sebenarnya pemandu kereta dan anggota polis itu adalah sahabat sekampung.
Mereka bertanya khabar. Oleh kerana keadaan bising di jalanraya, maka
kedua-duanya terpaksa meninggikan suara.
Kita
sedang berjoging di taman rekreasi. Kelihatan dua orang pekerja am sedang duduk
bersembang di bangku sambil bergelak ketawa. Tanggapan kita ialah, mereka
berdua curi tulang dengan duduk bersembang. Makan gaji buta! Padahal, mereka
berdua sedang menunggu mandur tiba untuk membawa mereka ke lokasi lain bagi memulakan
tugas yang memerlukan tindakan semerta.
Saban
hari, kita berdepan dengan pelbagai situasi yang membuat kita mentafsir sesuatu
yang kita pandang. Malangnya, sebahagian besar daripada kita akan mempunyai
persepsi negatif. Persepsi negatif ini adalah suatu bentuk sangkaan. Ia tidak
bagus kerana persepsi negatif itu adalah petanda yang kita punyai pemikiran
negatif.
Sangkaan-sangkaan
negatif ini tidak membahayakan orang lain jika ia hanya berlegar di minda kita
semata-mata. Kita pandang, kita berasa jengkel pada mulanya. Apabila kita tahu
keadaan sebenar, maka kita hanya tersenyum sendirian kerana tertipu dengan
sangkaan buruk kita sendiri.
Malangnya,
kemunculan media sosial menjadikan kita sentiasa dihujani dengan pelbagai tulisan,
foto dan video yang menimbulkan persepsi. Apa yang kita anggap biasa dan tidak
apa-apa boleh bertukar menjadi sesuatu yang sebaliknya. Yang biasa menjadi
luarbiasa. Yang serius menjadi kelakar. Yang baik menjadi yang buruk.
Media
sosial menyebarluaskan persepsi peribadi seseorang apabila ia dikirim kepada
orang lain. Jika sebelum ini, apa jua yang negatif itu hanya tersimpan di hati
seseorang, kemudahan media sosial itu mempengaruhi seseorang yang tidak punyai
apa-apa pengetahuan mengenai sesuatu perkara untuk sama-sama memberi reaksi
kepada apa yang disampaikan kepadanya. Apa sahaja yang terjadi di mana-mana
pelosok dunia akan sama-sama kita tatap dalam beberapa saat sahaja. Lazimnya
yang diwarnakan secara negatif itulah yang mendapat sambutan. Dalam seminit,
satu dunia boleh ketawa atau menangis melihat sesuatu insiden yang diviralkan.
Mudah
sangat kita ketawakan orang. Senang sangat kita perlekeh manusia lain. Kita
mengata tentangnya walaupun dia tak kenal kita dan dia tak kenal kita pun.
Hidup kita tidak akan lebih baik atau lebih buruk dengan berkata tentangnya.
Jika pun kita memujinya, dia tidak akan tahu. Sebaliknya,bila kita mengejinya,
kejian kita itu tidak didengarinya. Pendek kata dia tidak akan berubah perasaan
atau tindakan kerana dia tidak tahu kita memuji atau mengejinya. Kerana, apa
yang kita lakukan itu adalah sesuatu yang sia-sia.
Bayangkan
jika ia terjadi sebaliknya. Kita menjadi subjek kutukan satu negara, malah satu
dunia kerana keaiban kita dapat ditatap oleh manusia sejagat. Satu dunia
menatap video kita yang hampir tergelincir dari bumbung rumah. Sempat berpaut
pada kuali televisyen sebelum jatuh terduduk ke atas simen.
Satu
dunia boleh ketawa. Dan ramai sangat yang akan kritik mengatakan kita kedekut
sangat kerana tidak mahu memanggil pekerja teknikal untuk pemasang kuali
televisyen. Padahal, satu dunia tidak tahu yang sebenarnya kita memanjat
bumbung untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang takut terjun ke tanah.
Dunia tidak nampak anak kucing itu kerana video tidak merakamnya.
Kita
yang mengalami keadaan sebenar akan berasa kecewa. Kecewa kerana dunia mempunyai
tanggapan yang tersasar jauh daripada apa yang mereka tonton. Kita terkilan
kerana mereka lihat kita yang kedekut, bukan kita sebagai seorang penyelamat
seekor kucing. Sifat mulia kita dipandang keji oleh orang.
Sebagai
orang yang tahu apa yang sebenarnya terjadi, kita harus berlapang dada walaupun
satu dunia mengatakan kita si kedekut. Malah, dalam apa jua keadaan, jika kita
di pihak yang benar, maka kita memang benar tanpa perlu bersusah payah
membuktikan. Manusia yang sudah punyai sesebuah persepsi memang sukar mengubah
persepsi itu.
Buang
masa sahaja melayani persepsi orang, apatah lagi meratapi akan kesilapan
persepsi itu. Que sera sera. Apa nak
jadi, jadilah sebab masing-masing akan ditanya apa yang masing-masing lakukan
di akhir nanti.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.11.16.
No comments:
Post a Comment