Piccredit: sites.psu.edu
MENGAPA KITA
MENCARI KETAKUTAN?
‘HANTU dah masuk ke Sinar Harian?’ demikian soal
hati saya apabila terdengar suara staf perempuan terjerit-jerit seperti
kerasukan di luar bilik mesyuarat. Tatkala itu, saya sedang berbincang dengan para
editor saya mengenai perancangan akhbar untuk hari itu. Sedikit sebanyak ia
mengganggu tumpuan kami yang sedang bermesyuarat.
Selang beberapa minit kemudian, saya kaget bila
terpandang sesusuk lembaga terhendap-hendap menuju ke bilik mesyuarat. Ia menghampiri
cermin bilik mesyuarat menyeringai ke arah saya. Salah seorang editor
memberitahu, sebuah syarikat sedang mempromosi program ‘takut-takut’ di pusat
rekreasinya. Yang jadi hantu itu adalah staf pemasarannya. Lantas saya memberi isyarat
agar petugas itu beredar sahaja kerana tidak mahu dia masuk mengganggu kami
dengan promosinya.
Kini, semakin banyak pihak yang menggunakan elemen
menakut-nakutkan sebagai pelaris perniagaan. Kita membaca laporan bagaimana ada
bomoh yang menggunakan jin sebagai medium dalam pengubatannya. Jika ada pesakit
datang dengan cerita yang pelik-pelik seperti tidak nyenyak tidur, kerap
bermimpi dan ternampak bayang-bayang, si bomoh akan menggunakan pendekatan yang
menakutkan pesakit.
Hal-hal seperti saka, tuju-tuju dan buatan
orang dirumus sebagai diagnosisnya. Si pesakit yang barangkali sudah lemah
semangat akan mengikut sahaja program rawatan meskipun ia menelan belanja
beratus ringgit. Semakin lama si pesakit menemui bomoh, semakin tenggelamlah ia
di dalam cengkaman psikologi si bomoh yang menggunakan pendekatan secara
menakut-nakutkan. Pesakit itu akan semakin sakit dengan cara pengubatan
sebegitu.
Betapa pun, seseorang pesakit menemui bomoh
untuk membuang sesuatu yang menakutkannya.
Bagaimana pula kita yang pada hari ini yang
mencari ketakutan? Pada hari ini ketakutan boleh ditemui melalui drama dan filem. Hiburan yang
menggunakan kesan audio dan visual itu mengeksploitasi elemen menakut-nakutkan
dengan menggunakan imej-imej hantu. Filem dan drama sebegini mempunyai pengikut
yang ramai.
Namun, formulanya sudah stereotaip. Ia bermula
dengan watak-wataknya diganggu hantu yang mendiami sesebuah rumah, bangunan
atau kawasan. Akan terjadi suatu peristiwa yang menggemparkan sekumpulan manusia
dengan kehadiran hantu itu. Hantu itu boleh membunuh atau menyebabkan
pembunuhan.
Kemudian akan hadir penyelamat yang akan
menewaskan hantu dalam suatu pertarungan. Keadaan akan menjadi aman kembali. Jika
kita meneliti bahan-bahan penulisan seperti novel, cerita-cerita seram menjadi
pilihan sebilangan pembaca. Pendekatan dan formulanya sama juga seperti filem
dan drama.
Penonton atau pembaca pula mengalami elemen
menakutkan apabila penulis skrip mahupun novel dapat ‘menghantukan’ apa sahaja
di sekelilingnya untuk dijadikan cerita. Rumah besar boleh berhantu apabila ia
digambarkan sebagai bekas kawasan perkuburan askar Jepun. Kipas angin di dalam
bilik boleh berhantu kerana ia tempat orang menggantung diri. Bahan-bahan
seperti keris dan barang kemas boleh jadi berhantu kerana dipakai oleh mangsa suatu
pembunuhan.
Soalnya, elemen yang menakutkan itu sudah sebati
dengan masyarakat kita. Jika dahulu kita tidak suka dimomokkan dengan rasa
takut, pada hari ini kita mencari ketakutan. Malah ia menjadi pilihan pula. Dalam
kehidupan seharian pun kita sudah berdepan dengan pelbagai ketakutan seperti
takut gagal, takut rugi, takut kehilangan, takut tak naik gaji, takut sampai
lewat ke pejabat atau takut miskin, mengapa kita tidak fokuskan sesuatu yang
sebaliknya tatkala kita ingin merehatkan diri daripada segala jenis ketakutan?
Untuk menghilangkan rasa takut, apa yang harus
kita cari dan ialah mencari keberanian. Dalam mencari keberanian, kita kenalah
menggali dan mengenali tokoh-tokoh yang berani seperti pejuang, pahlawan,
maharaja, pemimpin dan juga nabi. Setelah menemui mereka yang berani, baharulah
kita boleh belajar menjiwai apa itu keberanian.
Menjiwai keberanian ialah membuat pasak ke
dalam diri dan minda agar dipenuhi dengan rasa berani. Ia lebih mudah jika kita
tidak melayani apa-apa elemen yang menakutkan meskipun ia dianggap hiburan. Maafcakaplah…
berhibur dengan elemen-elemen yang menakutkan itu membuka ruang di dalam diri
untuk melayani rasa takut hingga terbawa-bawa setelah televisyen dipadam, lampu
pawagam bernyala atau sesudah novel ditutup.
Tepuk dada, tanyalah diri apakah aku
benar-benar berani meninggalkan ketakutan itu sendiri?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.10,16.
No comments:
Post a Comment