Tuesday, April 26, 2016

BERUBAH-UBAH BERTUKAR-TUKAR



Piccredit: walldevil.com

SEBUAH MIMP
YANG PELIK

Malam tadi saya bermimpi. Mimpi yang pelik. Saya berjalan di sebuah padang yang luas menghijau. Tiba-tiba muncul sebuah dewan yang besar secara perlahan-lahan dari dalam bumi. Kedengaran suara-suara orang berbual diselangi dengan gelak ketawa. Sesaat kemudian kedengaran tangisan pula! Pintu dewan terbuka.

Saya melangkah dan memasukinya. Lalu tampak lima kelompok manusia sedang duduk bersembang dalam lima buah bulatan yang besar. Saya menghampiri bulatan yang pertama. Oh, rupanya saya kenal mereka. Mereka adalah saudara-mara saya. Ada abang, adik, sepupu, anak saudara, cucu saudara dan ramai lagi ipar duai.

Mereka semua sedang berbincang mengenai rombongan mengiringi pengantin pada hujung minggu ini. Anak saudara saya Fatiha, akan berkahwin dengan orang Kelantan! Tiba-tiba Zaidi, salah seorang anak saudara saya mencelah mengenai isu El-Nino. Maka kesemua yang lain menukar topik perbualan mereka kepada isu El Nino. Saya keliru, mengapa mereka boleh menukar tajuk perbincangan? Kerana malas berfikir panjang, saya menapak ke kumpulan kedua.

Mereka ini juga saya kenali kerana mereka adalah teman-teman sekolej saya. Saya gembira kerana ramai di antara mereka yang sudah berpuluh tahun tidak saya temui rupanya ada di situ. Saya memasang telinga. Mereka bercakap mengenai percutian. Salah seorang rakan saya mengajak kami semua untuk bercuti di kawasan rekreasinya di Kedah.

Masing-masing begitu gembira kerana bakal bertemu dengan rakan-rakan sekolej yang lain di kawasan rekreasi itu. Bolehlah bertukar cerita suka duka, pahit manis sejarah kami termasuk kisah cinta di zaman kolej. Sedang bergelak ketawa, muncul rakan kami Alamin yang entah dari mana. Kami semua terkejut tetapi gembira dengan kehadirannya. Alamin seorang yang kelakar. Tiba-tiba dia menunjukkan foto sekumpulan monyet yang menyeringai tertawa. Semua yang hadir tertawa. Ada yang terguling-guling kerana geli hati. Kisah percutian sudah dilupakan.

Sambil tersenyum dengan perlakuan mereka, saya bergerak ke kumpulan seterusnya. Mereka juga saya kenali kerana mereka adalah jiran-jiran saya. Masing-masing sedang bercakap mengenai hal-hal agama. Kedengaran suara azan. Ada di antara mereka yang beredar. Tetapi ada yang tinggal membuka cerita tempat makan yang sedap. Mengapa mereka yang tinggal itu tidak beredar untuk ke masjid? Entah.

Di kumpulan berikutnya saya bertemu dengan mereka yang terdiri dari kalangan staf saya. Masing-masing berbual mengenai pelbagai perkara yang berlaku. Ada yang bercakap mengenai kemalangan, rompakan, kemarau, longkang tersumbat, hutan terbakar dan entah apa lagi. Masing-masing kelihatan hendak menyampaikan apa yang mereka tahu. Tetapi, yang lain tidak peduli pun kerana mereka juga ada berita yang dibawa. Pening saya melihat mereka semuanya bercakap serentak dan akhirnya tiada sesiapa pun yang ambil perhatian apa yang orang lain kata.

Bila menghampiri ke kumpulan yang kelima, hanya beberapa orang sahaja yang saya kenali. Mereka sedang berhujah mengenai isu 1MDB. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka yang tidak saya kenali membawa khabar mengenai kematian seseorang. Hampir serta merta, mereka kesemuanya terdiam. Masing-masing terhenti berhujah lalu mengucap takziah dan mensedekahkan surah Al-Fatihah. Saya pun sugul mendengar berita itu lalu menyeluk poket dan mengeluarkan senaskhah Al-Quran. Selepas menyelak beberapa halaman, saya temui surah Ali-Imran ayat 185 lalu membacanya dengan penuh tertib. "Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Kiamat."

Mereka yang mendengarnya hanya terangguk-angguk. Apabila salah seorang daripada mereka membuka topik perbualan mengenai sukan golf pula, yang lain pun menyampuk dengan ceria. Di mana isu 1MDB yang hangat diperdebatkan? Mengapa pula wajah sugul masing-masing boleh berubah dalam sesaat apabila topik lain dibicarakan?

Anda para pembaca sekalian… mimpi saya hanyalah rekaan! Saya hanya ingin membuat tamsilan mengenai kumpulan sosial Whatsapp. Apabila anda membuka Whatsapp, ia umpama seperti kita berjalan di dalam sebuah dewan yang besar. Kita singgah dari kumpulan ke kumpulan sembang, samada sebagai pemerhati atau aktif menyertai perbincangan.

Apabila kita bertandang dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain, perasaan kita akan berubah. Sekejap kita akan marah, sekejap sugul ataupun gembira mengikut apa yang diperbualkan. Perasaan kita boleh berubah dalam sekelip mata. Soalnya, apakah kita benar-benat marah, sugul atau gembira jika dalam sesaat kita sudah berubah perasaan? Dan, tidakkah kita terfikir, manusia yang berubah-ubah perasaan pada setiap saat itu, maaf cakap… tergolong di kalangan orang yang kurang siuman?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.4.16. 




Tuesday, April 19, 2016

SAMPAI BILA MAHU RASIS?



ravenswoodelementary.org

TIDAK PERLU 
JADI RASIS

MANUSIA dijadikan daripada pelbagai suku, kaum dan bangsa. Hidup mereka di sesebuah wilayah itu membentuk identiti mereka melalui adat, budaya, bahasa dan juga psikologi. Manusia juga bergerak dan mengembara jauh dari tempat asal mereka. Malah ada di antara mereka yang merantau jauh merentasi laut ke benua yang lain.

Pada zaman dahulu, mereka berhijrah untuk mencari kehidupan baharu. Ada juga yang bertujuan untuk menakluk. Akhirnya, samada dengan cara berhijrah secara aman ataupun berperang, mereka yang berpindah ke tempat baharu itu akan berasimilasi dengan masyarakat tempatan melalui pergaulan mahupun perkahwinan. Ada juga yang terus mengekalkan sosio-budaya masing-masing kerana itu menjadi jati diri kelompok mereka. Inilah identiti bangsa.

Bagaimana pun, ini juga akan mencambah perasaan bangga bangsa yang jika tidak dikawal akan melahirkan pula sikap rasis, iaitu bukan setakat berbangga kepada kehebatan kaumnya, tetapi juga memandang rendah kepada kaum yang lain hingga menganiaya mereka.

Maaf cakap, semakin sehari, kita makin diacum sentimen hingga  muncul rasa ketidakselesaan dengan kehadiran bangsa lain. Padahal, di sekolah, kita tidak pernah diasuh untuk hidup dengan rasa penuh curiga dengan bangsa lain. Mengapa ini terjadi?

Selama ini, bukankah kita tidak punyai masalah jika terpaksa memperlahankan kenderaan di jalanraya kerana ada perarakan Thaipusam di hadapan. Kita terima sahaja bunyi gendang di perarakan kematian orang Cina. Ataupun tidak kisah jika memparkir kenderaan hingga menutup separuh jalan raya untuk bersolat Jumaat.

Selama ini, orang India tidak rasa bersalah untuk memecah kelapa di jalan raya dalam perarakan Thaipusam, orang Cina tidak berasa bersalah membakar mercun untuk perayaan Chap Goh Meh ataupun orang Melayu tidak berasa bersalah kerana menggunakan pembesar suara untuk melaungkan azan. Kita semua tidak berasa bersalah kerana kita tahu, kita semua bertoleransi kerana kita dididik untuk menghormati adab resam bangsa lain ~ co-exist.

Tetapi telinga kita mula menipis bila kita terpengaruh dengan hasutan bahawa bangsa kita akan tewas, hilang identiti, hancur segala-galanya jika kita benarkan kaum lain terus menerus berpegang kepada identiti mereka. Maaf cakap, mereka yang kerap bercakap mengenai kepentingan bangsa hingga kita berasa marah dengan kaum lain ialah orang politik! Tidak kiralah sama ada mereka orang politik dari pihak mana pun!

Kita tidak dengar orang berniaga bersikap rasis sepertimana orang politik. Begitu juga ahli-ahli akademik, peguam, doktor, akitek apatah lagi ahli-ahli sukan. Kalau pun ada kita dengar hal-hal rasis diperkatakan dalam bidang-bidang profesional, jika kita kaji susur galurnya, kita akan dapati ia berakar daripada inklinasi politik seseorang itu.

Maknanya, apabila sahaja kita membuka mulut dan bercakap mengenai politik, maka hal-hal perkauman ini akan muncul seiring dengannya. Padahal, jika kita bergaul rapat dengan orang politik, mereka bukan setakat tidak memilih bangsa dalam bersosial, malah ramai yang menjadi rakan niaga ataupun berkahwin dengan bangsa yang lain. Jadi, kata-kata penuh emosi untuk merangsang rasa curiga terhadap kaum lain itu adalah untuk apa?

Pada dasarnya kita sendiri tidak kisah pun dengan rasa rasis ini. Sebab itulah, dalam kehidupan seharian, kita boleh telan char kuey teow atau memamah muruku. Kita boleh berkurta, bersari, berjiran dengan bangsa lain, bercakap mengikut telo bangsa lain ataupun bersenam taici. Tidak ada masalah pun.

Jika kita lihat apa yang baik, apa kelebihan yang ada pada kaum lain dan tidak melihat keburukan semata-mata, maka rasa rasis itu boleh dikendurkan. Semua insan mahukan kedamaian. Itu fitrah manusia. Malah, ia adalah tuntutan semua agama.

Mengapa makin sehari, kita semakin jauh mengenepikan semangat cinta negara? Jika kita mengakui inilah negara kita, kita kenalah terima kehadiran mereka yang dilindungi perlembagaan negara. Tidak bolehlah, kerana mahu kekal berkuasa atau merebut kuasa, kita menggadai masa depan anak bangsa dengan mencetus emosi perkauman sesama kita. Dalam situasi hari ini, dengan segala faktor yang ada, tiada siapa akan menang segala, tiada siapa yang akan kalah semuanya. Yang menang akan jadi arang, yang kalah akan jadi abu jika kita biar pergeseran sesama kita menjadi bara hingga mencetuskan api perkauman.

In sya ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.4.16.








Tuesday, April 5, 2016

SUKA SIKIT-SIKIT, BENCI SIKIT-SIKIT



Piccredit: angelicpanagos.com

APABILA KITA
MENGHAKIMI MANUSIA

KITA tentu biasa memerhati anak-anak kecil bermain sesama mereka. Kalau kita yang membawa anak kecil kita ke rumah saudara yang juga mempunyai anak yang sebaya, kita akan nampak bagaimana mereka pada mulanya malu-malu untuk berkomunikasi. Tetapi bila anak kepada saudara kita itu mula mengeluarkan mainannya, anak kita akan mengendeng terlebih dahulu. Sedikit demi sedikit dia akan merapat, mencuit-cuit mainan itu dan akhirnya mereka akan main bersama.

Namun biasanya anak-anak kecil ini tidak menentu emosinya. Sekejap sahaja mereka akan bergaduh merebut mainan. Mungkin akan berlaku pukul memukul dan berakhir bila kedua-duanya melalak. Dalam keadaan marah,  apa yang terpacul dari mulut salah seorang daripada mereka biasanya ialah, ‘Saya tak nak kawan lagi dengan awak!’

Dengan kata-kata itu, mereka berdua saling mencebir atau menjelir lidah. Ya. Mereka sudah putus sahabat. Hanya kesilapan kecil merebut mainan, mereka boleh bertumbuk dan membenci. Seolah-olah besar sangat kesalahan di antara mereka hingga tidak mahu berkawan lagi.

Tetapi keadaan begitu tidak lama. Hanya dalam beberapa minit, salah seorang daripada mereka akan mendekat, menguit-ngiut mainan yang seorang lagi dan akhirnya mereka boleh bermain bersama kembali. Seolah-olah pergaduhan yang berlaku sebentar tadi tidak pernah terjadi.

Itulah kanak-kanak. Pertimbangan mereka terhadap sesiapa sahaja di sekeliling mereka hanya berdasarkan nilai hitam dan putih. Tiada kelabu. Salah, atau betul. Tiada situasi mungkin ada salah, mungkin ada betulnya. Walaupun mereka mesra berkawan, namun hanya kerana sesuatu salah faham, mereka boleh bergaduh dan pukul memukul dengan geramnya seolah-olah tiada maaf bagimu. Tetapi tidak lama kemudian mereka boleh bertepuk tampar dan berkejar-kejaran.

Kita? Dalam beberapa keadaan kita semakin berperangai seperti budak-budak. Apabila kita sukakan seseorang, kita sanjung dia. Kita menjadi taksub dengannya. Dia tiada salah di mata kita. Semua yang dilakukannya baik belaka. Lihatkah betapa pandangan kita terhadap ahli-ahli politik, ahli perniagaan, ustaz atau artis yang diminati. Mereka orang yang amat baik, terlalu sempurna di mata kita. Tiada cacat celanya.    

Tetapi, jangan pula kita mula membenci. Ada banyak sebab yang boleh membuat kita benci. Kadang-kadang kerana perbuatannya. Tapi selalunya kita tidak tahu sebab membencinya melainkan kerana orang lain membencinya. Kita membenci kerana ikut-ikut sahaja kerana membenci seseorang itu sudah menjadi trending. Bila peraaan benci sudah tiba, apa jua kebaikan seseorang itu sudah kita lupakan. Dialah sejahat-jahat manusia. Tidak layak lagi disanjung, apatah lagi dihormati. Sebenarnya, adilkah kita terhadap diri sendiri dengan pendirian itu?

Kalau kita sukakan seseorang, seelok-eloknya biarlah kita suka seadanya. Sukakan kebaikan, budi pekerti dan personalitinya. Tidak perlu suka sampai kita menyanjung atau mengidolisasikannya. Lebih-lebih lagi hingga kita menghebahkan kepada dunia akan kebaikannya. Sebaliknya, jika kita tidak menyukai seseorang, biarlah kita tidak suka bahagian-bahagian daripada dirinya. Mungkin, perawakannya, tutur katanya atau tindakannya menangani sesuatu isu. Mesti objektif, bukan konklusif.

Tidak boleh kita membenci seseorang secara mutlak. Apa sahaja yang dilakukannya buruk-buruk belaka. Apa sahaja kebaikan yang pernah dilakukannya dahulu sudah tidak masuk kira. Seolah-olah kita sudah write-off dirinya. Bagai dia tiada peluang lagi menjadi baik kerana kita yakin dia tidak akan menjadi baik. Sebenarnya, apakah kita benar dengan keyakinan itu?

Apakah kita tidak judgemental atau telah menjatuhkan hukuman pancung terhadap segala kebaikannya? Siapa pula kita untuk menghukumnya? Apakah bukti-bukti kukuh yang dia sudah tidak baik? Apa pula bukti-bukti nyata yang dia tidak akan menjadi baik kembali? Jika kita berani meletakkan sesuatu hukuman terhadap seseorang, apakah itu bermakna kita sudah jadi hakim? Siapa pula yang lantik kita menjadi hakim?

Orang yang jahat, boleh menjadi baik dan boleh jadi jahat semula. Orang yang baik, boleh menjadi jahat dan boleh jadi baik kembali. Kita jangan sekali-kali mematerikan sesuatu ketetapan terhadap seseorang itu dan jatuhkan hukuman dan berkata, ‘Case closed!’

Jika begitu, tiadalah konsep mizan atau neraca pertimbangan. Penentuan kebaikan atau keburukan  seseorang itu dibuat setelah menimbang baik dan buruknya. Jika buruk memberati timbangan melebihi kebaikan, maka buruklah akhir seseorang itu. Jika baik memberati timbangan melebihi keburukan, maka baiklah akhiran seseorang itu.


Tidak ada pertimbangan baik dan buruk dengan melihat kepada kebaikan sahaja atau keburukan semata-mata.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.4.16.