Piccredit: walldevil.com
SEBUAH MIMPI
YANG PELIK
Malam tadi saya
bermimpi. Mimpi yang pelik. Saya berjalan di sebuah padang yang luas menghijau.
Tiba-tiba muncul sebuah dewan yang besar secara perlahan-lahan dari dalam bumi.
Kedengaran suara-suara orang berbual diselangi dengan gelak ketawa. Sesaat
kemudian kedengaran tangisan pula! Pintu dewan terbuka.
Saya melangkah
dan memasukinya. Lalu tampak lima kelompok manusia sedang duduk bersembang
dalam lima buah bulatan yang besar. Saya menghampiri bulatan yang pertama. Oh,
rupanya saya kenal mereka. Mereka adalah saudara-mara saya. Ada abang, adik,
sepupu, anak saudara, cucu saudara dan ramai lagi ipar duai.
Mereka semua
sedang berbincang mengenai rombongan mengiringi pengantin pada hujung minggu
ini. Anak saudara saya Fatiha, akan berkahwin dengan orang Kelantan! Tiba-tiba
Zaidi, salah seorang anak saudara saya mencelah mengenai isu El-Nino. Maka
kesemua yang lain menukar topik perbualan mereka kepada isu El Nino. Saya
keliru, mengapa mereka boleh menukar tajuk perbincangan? Kerana malas berfikir
panjang, saya menapak ke kumpulan kedua.
Mereka ini juga
saya kenali kerana mereka adalah teman-teman sekolej saya. Saya gembira kerana
ramai di antara mereka yang sudah berpuluh tahun tidak saya temui rupanya ada
di situ. Saya memasang telinga. Mereka bercakap mengenai percutian. Salah
seorang rakan saya mengajak kami semua untuk bercuti di kawasan rekreasinya di
Kedah.
Masing-masing
begitu gembira kerana bakal bertemu dengan rakan-rakan sekolej yang lain di
kawasan rekreasi itu. Bolehlah bertukar cerita suka duka, pahit manis sejarah
kami termasuk kisah cinta di zaman kolej. Sedang bergelak ketawa, muncul rakan
kami Alamin yang entah dari mana. Kami semua terkejut tetapi gembira dengan
kehadirannya. Alamin seorang yang kelakar. Tiba-tiba dia menunjukkan foto
sekumpulan monyet yang menyeringai tertawa. Semua yang hadir tertawa. Ada yang
terguling-guling kerana geli hati. Kisah percutian sudah dilupakan.
Sambil tersenyum
dengan perlakuan mereka, saya bergerak ke kumpulan seterusnya. Mereka juga saya
kenali kerana mereka adalah jiran-jiran saya. Masing-masing sedang bercakap
mengenai hal-hal agama. Kedengaran suara azan. Ada di antara mereka yang
beredar. Tetapi ada yang tinggal membuka cerita tempat makan yang sedap. Mengapa
mereka yang tinggal itu tidak beredar untuk ke masjid? Entah.
Di kumpulan
berikutnya saya bertemu dengan mereka yang terdiri dari kalangan staf saya.
Masing-masing berbual mengenai pelbagai perkara yang berlaku. Ada yang bercakap
mengenai kemalangan, rompakan, kemarau, longkang tersumbat, hutan terbakar dan
entah apa lagi. Masing-masing kelihatan hendak menyampaikan apa yang mereka
tahu. Tetapi, yang lain tidak peduli pun kerana mereka juga ada berita yang
dibawa. Pening saya melihat mereka semuanya bercakap serentak dan akhirnya
tiada sesiapa pun yang ambil perhatian apa yang orang lain kata.
Bila menghampiri
ke kumpulan yang kelima, hanya beberapa orang sahaja yang saya kenali. Mereka
sedang berhujah mengenai isu 1MDB. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka yang
tidak saya kenali membawa khabar mengenai kematian seseorang. Hampir serta
merta, mereka kesemuanya terdiam. Masing-masing terhenti berhujah lalu mengucap
takziah dan mensedekahkan surah Al-Fatihah. Saya pun sugul mendengar berita itu
lalu menyeluk poket dan mengeluarkan senaskhah Al-Quran. Selepas menyelak
beberapa halaman, saya temui surah Ali-Imran ayat 185 lalu membacanya dengan
penuh tertib. "Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Kiamat."
Mereka
yang mendengarnya hanya terangguk-angguk. Apabila salah seorang daripada mereka
membuka topik perbualan mengenai sukan golf pula, yang lain pun menyampuk dengan
ceria. Di mana isu 1MDB yang hangat diperdebatkan? Mengapa pula wajah sugul
masing-masing boleh berubah dalam sesaat apabila topik lain dibicarakan?
Anda
para pembaca sekalian… mimpi saya hanyalah rekaan! Saya hanya ingin membuat
tamsilan mengenai kumpulan sosial Whatsapp.
Apabila anda membuka Whatsapp, ia
umpama seperti kita berjalan di dalam sebuah dewan yang besar. Kita singgah
dari kumpulan ke kumpulan sembang, samada sebagai pemerhati atau aktif
menyertai perbincangan.
Apabila
kita bertandang dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain, perasaan kita
akan berubah. Sekejap kita akan marah, sekejap sugul ataupun gembira mengikut
apa yang diperbualkan. Perasaan kita boleh berubah dalam sekelip mata. Soalnya,
apakah kita benar-benat marah, sugul atau gembira jika dalam sesaat kita sudah
berubah perasaan? Dan, tidakkah kita terfikir, manusia yang berubah-ubah
perasaan pada setiap saat itu, maaf cakap… tergolong di kalangan orang yang
kurang siuman?
No comments:
Post a Comment