Piccredit: panduanmalaysia.com
CABARAN PASARAN NOVEL TERKINI
SEKARANG ini sedang
berlangsung Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016. Pesta ini bermula pada 29
April dan berakhir pada 9 Mei 2016. Buat julung-julung kalinya, pestabuku ini
diadakan di Malaysian Agro Exposition Park, Serdang atau MAEPS. Ada banyak juga
kompelin daripada para peminat buku apabila ia tidak diadakan di PWTC pada
tahun ini. Betapa pun, mereka tetap ke pesta itu.
Selain daripada peminat
buku dan syarikat-syarikat penerbitan, mereka yang turut teruja dengan
pestabuku adalah golongan penulis kreatif atau novelis. Boleh dikatakan,
merekalah kelompok yang teramai berbanding dengan penulis-penulis daripada
genre yang lain. Inilah hari raya buat mereka.
Para penulis dari sesebuah
penerbitan akan bertemu dengan mereka daripada penerbitan yang lain untuk bersalam-salaman,
beramah mesra, bergurau senda serta berwefie.
Tidak ada perasaan business rival
tatkala pestabuku ini. Jika ada yang bermasam muka kerana tersilap kata dan
tersalah bahasa selama ini, maka di pestabukulah segala kemengkalan hati akan lembut
kembali. Begitulah semangat berhari raya.
Masing-masing pula akan
melaram dengan karya terkini di gerai jualan dan juga di media sosial
masing-masing. Sebab itu, novelis yang tidak punyai karya terbaharu akan berasa
seperti memakai baju lama di hari raya mereka ini. Agaknya, mereka yang
mempunyai dua atau tiga karya terkini akan berasa seperti mempunyai dua tiga
pasang baju untuk diperagakan.
Sebahagian besar daripada
para novelis yang telah menghasilkan novel pada hari ini tidak mempunyai latar
belakang formal dalam bidang penulisan kreatif.
Hanya sebilangan daripada mereka mungkin datang daripada bidang yang
mempunyai kaitan dengan bidang penulisan seperti kewartawanan, pengajian bahasa
mahupun daripada kalangan guru. Ramai juga daripada mereka yang terdiri dari
golongan yang tidak ada kena mengena langsung dengan bidang penulisan seperti
kulineri, perundangan, ekonomi, akauntan, kejuruteraan, kejururawatan, sains
komputer, insuran atau hiasan dalaman.
Kesemua mereka lahir
sebagai novelis kerana minat. Rata-rata dari kalangan mereka ini mula menulis
setelah membaca beberapa buah karya. Lazimnya, ia bermula kerana tidak puashati
dengan jalan cerita novel yang dibacanya dan berasa mereka boleh menulis jalan
cerita yang lebih baik. Bersandarkan perasaan tidak puashati itu, maka mereka
mula menulis.
Di sepanjang jalan
pengkaryaan, mereka menambah pengetahuan dan kemahiran menulis dengan merujuk
kepada karya-karya penulis yang terdahulu, berbincang sesama mereka ataupun
menghadiri kursus-kursus pendek penulisan yang biasanya dianjurkan oleh penulis
ataupun syarikat penerbitan. Pendek kata, belajar secara sendiri-sendiri.
Namun, apakah cara belajar sebegini ini mencukupi buat seseorang penulis? Sudah
tentu ia belum lengkap kerana mereka yang melalui pendidikan formal penulisan
pun belum tentu dapat menjadi seorang novelis yang baik.
Baik, bukan sahaja
daripada aspek teknik, penyampaian dan nilai-nilai murni di dalam tulisannya,
bahkan baik dalam ertikata karyanya diterima oleh khalayak. Kerana itulah,
seseorang penulis yang menghasilkan sebuah novel yang meletup, belum tentu
dapat menulis novel yang baik.
Pada hari ini, media
sosial menjadi pemangkin untuk menghebah dan melariskan sesebuah karya.
Syarikat-syarikat penerbitan pun galak mengadakan pelbagai promosi karya para
penulisnya. Hasilnya, terdapat juga karya-karya yang kurang baik yang laku
kerana kempen pemasaran yang hebat. Dengan wujudnya berpuluh-puluh karya dari
penulis baharu dalam sebulan, para pembaca kerap juga terbeli sesebuah karya
yang tawar.
Malah, sikap novelis yang
hanya merujuk karya-karya tempatan sebagai sumber idea akhirnya hanya
melahirkan karya-karya yang klise. Sikap ingin merebut hasil jualan yang
lumayan inilah yang akhirnya bakal meruntuh genre sesebuah karya kreatif.
Contohnya, novel-novel cinta semakin kurang diminati kerana dikatakan mempunyai
garapan yang hampir serupa ~ ala formula filem Hindustan.
Kini, novel-novel seram
dan thriller pula mengambil tempat di carta terlaris. Berbanding dengan
nama-nama hebat novelis cinta, belum ada lagi nama besar penulis seram dan thriller kecuali novelis Ramlee Awang
Murshid. Novelis-novelis genre ini kelihatan sebaris dan sebaya. Belum ada pesaing
bagi Ramlee. Jika tiada nama-nama yang benar-benar dikenali dalam waktu
terdekat ini, adalah dikhuatiri genre ini juga bakal menjadi suam dan suram.
Sebenarnya, genre novel
masih begitu banyak yang belum diteroka. Genre perundangan, sejarah, perubatan,
sains fiksi, fantasi, purbawara, biografi, travelog malah agama masih belum
benar-benar muncul dengan kluster para novelisnya. Memandangkan kepada minat
para pembaca pada hari ini terhadap novel-novel yang ringan, yang lebih nipis
mahupun bentuk antologi, ia menggambarkan khalayak tidak punyai kelestarian
berfikir. Jika tren ini berterusan, ia petanda bahawa minat membaca karya
kreatif juga bakal terkubur.
In Sya ALLAH tulisan ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 4.5.16.
No comments:
Post a Comment