piccredit: visionaryadvertising.co.uk
PEKERJA BAGAIMANA
YANG BOS MAHU?
YANG BOS MAHU?
SAYA berjumpa dengan kawan lama, Hussaini melalui staf saya
yang menemubual beliau untuk suatu tugasan. Baharu saya dapat tahu yang dia
sudah lama berjaya dalam perniagaan. Sejak dulu lagi, dia jenis lelaki yang
sentiasa on-the-go. Suka bertukar
kerja hingga saya pernah menganggap yang Hussaini lambat akan ‘jadi orang.’
Tetapi kini… bayangkan, jika dia mampu mengimport tiga
kontena pakaian setiap bulan untuk butik-butiknya, saya kira dia adalah seorang
jutawan senyap. Saya mengajak Hussaini keluar
minum apabila dia berkunjung untuk suatu urusan di Shah Alam. Pakaiannya simple
seperti orang biasa. Yang tampak sedikit luarbiasa ialah telefon pintar xperia-z5-premium-dualnya.
Kami berbual fasal kerja dan kerjaya. Lantas menyentuh
mengenai pencari-pencari kerja pada hari ini. Katanya, di sebalik sukarnya
graduan memperoleh kerja, ada ramai lagi graduan yang tidak bekerja kerana
terlalu memilih. Ramai yang mahu jadi pekerja kolar putih, sedangkan peluang untuk
pekerjaan kolar biru banyak berlambak.
Saya sempat mengunjuk satu kajian dijalankan oleh portal
mencari kerja JobStreet.com Malaysia kepadanya. Kajian yang melibatkan 7,958
responden, mengumpul maklumat 10 syarikat manakah yang paling diidamkan oleh
rakyat negara ini bagi membentuk kerjaya. Syarikat-syarikat yang digemari
adalah Public Bank, Tenaga Nasional Berhad, Intel, Nestle, Air Asia, Maybank,
Sime Darby, Google, Shell dan Petronas.
Menurut laporan itu, di antara faktor-faktor yang menarik calon
untuk memilih sesebuah syarikat itu adalah faktor gaji, ganjaran, insentif,
budaya, suasana kerja, perkembangan kerjaya dan reputasi syarikat tersebut.
Biasalah bagi kebanyakan calon, apa yang menjadi perkara pokok ialah
pendapatan. Mereka mahu gaji yang besar apabila memilih sebuah syarikat yang
besar.
Hussaini tergelak kerana
ramai yang mahu bekerja di tempat yang besar, tetapi tidak sanggup membesarkan
fikiran dan impian masing-masing agar setanding dengan kehendak syarikat yang
dianggotainya. Katanya, apabila seseorang itu berjaya terpilih untuk bertugas
di sesebuah syarikat, ia belum membuktikan apa-apa.
Dia tidak boleh lagi bersandar
kepada dokumen-dokumen yang tampak bagus di kertas dan kemahiran menjawab
soalan ketika temuduga. Dokumen-dokumen kelayakan dan soal jawab pada sesi
temuduga hanyalah proses membuka pintu hingga calon itu dibenarkan masuk untuk
bertugas.
Calon itu sebenarnya hanya berjaya dari segi personalitinya.
Belum lagi apa-apa. Yang mahu dilihat majikan ialah sikapnya. Sebab, jika
diukur daripada segi kelulusan semata-mata, ada berpuluh calon lain yang punyai
kelulusan serupa mahupun yang lebih baik tatkala proses temuduga berlangsung.
Kerana itu, dia hanya bernasib baik kerana terpilih, Mungkin yang terbaik di
antara yang baik.
Sebagai seorang majikan
kepada lebih 100 orang pekerja, Hussaini memerhati pekerjanya daripada hari
pertama. Yang dikenalpasti ialah kedatangan. Apakah datang awal dan balik lewat
daripada waktu pejabat? Itu ciri pertama yang menggambarkan seseorang itu
berminat untuk bekerja. Ada ciri-ciri keusahawanan kerana seseorang usahawan
bekerja tidak mengira waktu.
Kedua ialah ketepatan
masa samada ketepatan masa menghadiri mesyuarat, menyiapkan tugas mahupun
ketepatan masa menunaikan solat. Seandainya jam bukan menjadi rujukan seseorang
pekerja, seseorang itu tidak boleh menjadi anggota pasukan kerja.
Ketidaktepatan waktu mungkin sekali menjadikan dia punca kelewatan seluruh
organisasi.
Menurut Hussaini, perkara
ketiga yang dimahunya ialah rasa empunya seseorang terhadap tugasnya. Rasa
empunya ini bakal mencetuskan rasa ketaatan yang tidak berbelah bahagi.
Menurutnya, dia sendiri perlu tekun dan fokus dengan misi dan visi syarikatnya
kerana ini adalah periuk nasinya. Jika kesemua wargakerjanya punyai rasa sebegitu,
insya-ALLAH poket masing-masing akan dapat dipenuhkan pada setiap bulan.
Dan akhir sekali ialah pick-up. Maksud Hussaini, kemahiran
untuk mentafsir apa yang diimpikan oleh majikan hingga menjadikan ia realiti.
Dalam memberi tugasan, seseorang ketua mungkin melihat dari sudut teori.
Seseorang pekerja yang baik mampu menzahirkan idea majikannya hingga menjadi
realiti. ‘Bagaimana maksudnya?’ tanya saya. Jawab Hussaini, andainya bos itu sultan
dan pekerja itu bendahara dan suatu hari, sultan terpandang buah nangka di atas
pokok lalu berkata, ‘Cantik sungguh buah nangka itu, bendahara.’ Tanpa
menjawab, si bendahara terus memetik nangka, membelah lalu mempersembahkannya
kepada sultan lalu berkata, ‘Dipersilakan untuk santap, tuanku!’
Maknanya, seseorang pekerja
yang terbaik adalah seorang penafsir mimpi buat bosnya.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.6.16.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.6.16.
penafsir mimpi bos impian bg stiap bos di dunia ni. boleh jd pkerja kesygn klu ada ciri itu.
ReplyDeletePenafsir mimpi bos biasanya akan menjadi bos akhirnya...
Delete