Piccredit: waroengsihat.com
PERKARA SAMA,
MAKNANYA
BERBEZA
SAYA tak boleh lupa bulan Ramadan sewaktu kecil dahulu. Tatkala belum tahan
berpuasa, emak mengajar saya agar berazam untuk berpuasa hanya dengan
membuatkan saya duduk jauh daripada abang yang berpuasa tatkala tiba waktu
berbuka. Abang dapat segala-galanya. Tetapi, saya cuma dapat sebuku kuih seri
muka.
Bila
saya disuruh duduk jauh daripada abang yang berpuasa, hati memanglah terasa
iri. Teruja sangat mendengar pinggan dan gelas berantukan serta bunyi mulut ahli
keluarga mengunyah atau menghirup air, sedangkan saya hanya duduk bersila di
lantai sementara mereka di kerusi. Tapi, siapa yang tak kenal emak. Bila abah
mula bangun untuk solat, mak akan menggamit saya untuk duduk semeja.
Perasaan
kena ‘main jauh-jauh’ kerana tidak berpuasa itu sudah cukup menimbulkan azam
agar saya segera berpuasa. Walaupun keesokannya saya mula berpuasa meskipun
sekerat hari, itu sudah cukup menggembirakan emak. Setelah seminggu kemudian saya
boleh berpuasa penuh, abah pun berbangga bila dia ajak duduk di sisinya.
Apabila
saya sudah bersekolah dan boleh berbasikal, saya ditugaskan untuk membeli air
batu untuk persediaan berbuka di kedai. Air batu ketika itu bukannya yang
terjual dalam bentuk ketulan kecil di dalam plastik seperti hari ini.
Sebaliknya air batu ketika itu dijual dalam bentuk kiub 15 X 15 sentimeter. Tidak ada beg
plastik yang disediakan.
Sebaliknya
ais itu dibalut dengan habuk kayu supaya ia kedap udara dan tak mudah cair
sebelum dibungkus dengan kertas surat khabar. Saya akan menyepit air batu itu
di carrier basikal sebelum mengayuh
pulang. Di rumah, setelah ais dibilas air untuk membuang habuk kayu, ia
kemudiannya digergaji dalam bentuk kiub yang kecil-kecil sebelum dimasukkan ke
dalam minuman.
Di
zaman kanak-kanak, solat terawih di surau memang sesuatu yang meriah. Selain
daripada solat berjemaah, moreh yang tersedia setelah solat itulah yang
dinanti. Sementara menunggu orang dewasa habis bersolat, kami bermain
kejar-kejaran. Bila penat, singgah untuk bertarawih. Kemudian, keluar untuk
bermain lagi.
Di
waktu itu, kami boleh bermain polis
sentry atau sembunyi ibu ke merata kampung. Sejauh mana pun berlari, kami
sudah tahu bila waktu tamat solat. Tiba-tiba sahaja sudah ada bersama orang tua
untuk menikmati moreh.
Apabila
meningkat dewasa dan mula belajar di kolej, sahur bukan lagi pada waktu
menjelang subuh, sebaliknya mulai jam 12.00 malam. Maklumlah, di kolej
masing-masing memang sukar bangun apabila sudah terlelap. Daripada memutar jam
supaya boleh jaga pada pukul 4.00 pagi, yang mana kita belum tentu akan bangun,
maka lebih baik mengawalkan sahur.
Hidangan
berbuka pun perlu dibeli seawal jam 4.00 petang. Jika terlewat berkunjung ke
gerai, alamat makanan sudah habis. Ayam goreng panas-panas pun boleh liat
kerana sejuk kerana diikat bersama seuncang air tebu. Di zaman menjadi pelajar
di universiti, tarawih dilakukan apabila ada kesempatan. Maklumlah seharian
penat berkuliah di bulan Ramadan. Konon!
Apabila
bekerja, puasa adalah waktu kita berkejar. Kena cepat bangun sahur, segera
solat agar dapat keluar rumah sebelum jalanraya sesak. Waktu pulang pun kena
segera kerana hendak berlari ke bazaar Ramadan untuk mendapatkan juadah
berbuka. Bertarawih di surau pun pada hujung-hujung minggu kerana di hari-hari
lain penat bekerja. Konon lagi.
Puasa
dan nilainya turut berubah apabila kita meningkat usia. Di zaman kanak-kanak
dahulu, ia adalah menahan lapar dan dahaga atau untuk menghayati apa yang
dilalui oleh orang miskin. Kemudian, upah berbentuk wang adalah motivasi untuk
menghabiskan puasa sebulan.
Apabila
meningkat remaja pula, puasa dilihat sebagai suatu aktiviti menjaga kesihatan.
Diet, kata orang. Jika kita menjaga makan dan minum, berat badan akan turun dan
kita akan menjadi cergas selepas itu. Walaupun begitu, selera orang muda juga
memang sentiasa ada. Akhirnya, kita akan membeli apa sahaja yang terpandang dan
teringin. Diet pun entah ke mana. Namun, kerana usia muda dan metabolism kita
baik, makan minum yang banyak di bulan puasa masih boleh menurunkan berat
badan.
Hanya
setelah kita meningkat usia, baharulah pemahaman berpuasa semakin boleh
dihayati. Apabila kita sudah merasai semua masam, manis, masin dan pahit,
apa-apa makanan yang terhidang pun sudah tidak mengujakan. Seronok, memanglah
seronok menghadap hidangan, tetapi makan pun sekadar ada agar tidak khayal
tatkala bertarawih akibat kekenyangan.
Mungkin
ketika kanak-kanak kita asyik menengok jam untuk mengira bilakah waktu berbuka.
Kini biarlah kita asyik menengok jam supaya dapat mencongak sempatkah kita
habiskan juz yang sedang dibaca sebelum masuk waktu berbuka. Yang penting, kita
mula terasa sempatkah kita melalui Ramadan ini dan Ramadan-Ramadan di
tahun-tahun hadapan?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.6.16.
No comments:
Post a Comment