Tuesday, July 21, 2015

CHANGING PERCEPTIONS


 
Piccredit: business2community.com
 
BAGAIMANA MENDEPANI  PERUBAHAN

SEWAKTU kecil, saya diajar bahawa selain daripada beribadah, berpuasa itu juga mengajar saya merasai lapar dan dahaga orang miskin. Dengan berpuasa, saya akan lebih prihatin dengan orang susah kerana saya merasai kesengsaraan mereka. Apabila saya dewasa, saya mendapat pengetahuan baharu pula. Saya mendapati, berpuasa itu bagus untuk kesihatan kerana berpuasa itu adalah suatu bentuk diet.

Terkini, saya mendapat satu lagi pengetahuan baharu. Melalui pembacaan, saya memahami bahawa berpuasa itu mengubah sistem tubuh badan untuk memulakan proses detoksifikasi. Ertinya, segala racun di dalam badan akan dinyahkan apabila kita berpuasa. Mengantuk itu adalah isyarat kepada tubuh badan supaya shut down atau tidur agar proses pemuliharaan tubuh lebih mudah dilakukan.

Tatkala kecil dahulu, apabila saya demam, emak akan suruh saya makan pil demam jenama Vinac dan terus berselimut. Kata emak, selepas badan berpeluh, demam akan cepat kebah. Kini, apabila anak saya demam, saya akan suruh dia segera mandi dan makan pil demam Panadol. Kata saya, biar panas badan itu disejukkan dengan air agar demam cepat hilang.

Dahulu, apabila saya sakit tekak, emak akan suruh saya minum air panas. Katanya, air panas akan bunuh kuman di tekak dan batuk cepat hilang. Kini, apabila anak saya sakit tekak, saya akan suruh dia makan aiskrim. Kata saya, ais yang sejuk itu akan redakan bengkak di tekak dan batuk akan hilang.

Dahulu, apabila kita sakit, kita akan ke hospital. Ada juga di kalangan kita yang mempercayai bomoh hingga ada frasa ‘sakit moden’ iaitu penyakit berbentuk fizikal dan ‘sakit Melayu’ untuk penyakit yang melibatkan hal-hal spiritual. Kini, selain daripada allopathy iaitu perubatan hospital dan perbomohan, kita terdedah kepada perubatan seperti homeopathy, accupunture, ayurveda, detox, syifa dan juga ruqyah. 

Samada kita sedar atau tidak, pandangan kita terhadap sesuatu perkara itu akan berubah apabila datangnya penemuan dan ilmu baharu. Kita perlu sentiasa terbuka dan belajar agar dapat menyesuaikan diri dengan segala penemuan baharu itu. Jika kita tidak peka dengan segala perubahan yang berlaku di sekeliling kita, kita akan ketinggalan dari segi pemikiran dan pengetahuan.

Saya masih ingat lagi, betapa pandangan masyarakat terhadap pelukis. Dahulu, pelukis adalah seniman jalanan. Dia berpakaian kusam dan duduk di tepi-tepi jalan untuk melukis. Orang ramai akan berdiri di sekeliling untuk melihat dia melukis. Harga lukisannya yang berpuluh ringgit dianggap mahal. Ketika itu, tak ramai yang mahu jadi pelukis. Malah, ramai yang mencemuh kerana tidak nampak pelukis boleh cari makan.

Kini, golongan pelukis adalah golongan profesional yang bergaya dan kaya raya. Hanya sebilangan daripada mereka sahaja yang melukis di kanvas. Tetapi lebih ramai lagi yang melukis di komputer kerana mereka adalah pelukis grafik, seni tekstil, seni perusahaan, seni fesyen, pereka dalaman dan juga arkitek.

Sebenarnya, masih banyak lagi pandangan-pandangan yang sudah ketinggalan dan tidak lagi praktikal menjadi pegangan kita pada hari ini.  Dalam bidang perniagaan, misalnya terdapat kepercayaan yang di antaranya ialah, ‘kalau nak berniaga, mestilah pandai menipu,’ ‘harga barangan di kedai Melayu biasanya lebih mahal’ dan ‘hanya orang Cina yang tahu menjual barangan komputer.’

Pada hari ini, ada banyak sekali premis perniagaan yang maju dengan perniagaan yang bersih dan beretika. Mereka mendapat pengiktirafan ISO, pensijilan halal JAKIM atau sijil premis yang bersih. Begitu juga, semakin banyak premis-premis perniagaan Melayu yang menjual barangan dengan harga yang setanding dengan harga barangan di kedai-kedai lain, misalnya di Gedung Mydin. Kedai-kedai barangan komputer kepunyaan orang Melayu juga semakin banyak yang muncul untuk bersaing dengan kedai-kedai lain.

Ia menafikan pandangan selama ini bahawa jika orang Melayu hendak berniaga, mereka mesti akan mengalibabakan lesen dan premis perniagaan mereka. Kedai-kedai yang bernamakan ‘Enterprise’ pun kini ada yang berniaga dengan nilai pendapatan ratusan ribu. Perniagaan di rumah kini pun bukan sekadar di sekitar kawasan kampung, malah menjangkau ke seluruh dunia dengan kemudahan interet yang ada. Semuanya sudah berubah. Yang masih kekal dan tidak mahu berubah mungkin hanya pandangan kita sahaja.

Perubahan yang berlaku di pelbagai bidang ekonomi, politik serta masyarakat menuntut kita mengubah pendirian dan world view kita. Segala perubahan ini seharusnya dirangkul atau embrace. Tidak boleh dijadikan pendirian yang kekal kerana pada hari esok, perubahan baharu akan melanda lagi.

Namun, biar betapa pantasnya dunia berputar, langkah kita mesti tertib. Walaupun segala keindahan dan kilauan dunia terdampar bersilih ganti di hadapan mata, nafsu kita tidak boleh gelojoh. Jika manusia semakin lantang dan terbuka percakapannya, pertuturan kita tidak boleh celupar.

Kerana, walaupun kita perlu menangani segala pembaharuan, pegangan agama kita tidak boleh sekali-kali berubah. Ia harus kekal terpahat di dalam diri kerana ia adalah pasak agar kita tegap berdiri mendepani arus kehidupan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 22.7.2015.

Tuesday, July 14, 2015

MEMAAFKAN ITU MULIA



Piccredit: adehermawati.wordpress

MAAFKANLAH WALAU
UNTUK SEKIAN KALI

APABILA hari raya aidilfitri menjelang, salah satu daripada budaya kita ialah bersalam-salaman untuk bermaaf-maafan. ‘Maaf zahir dan batin,’ adalah ungkapan yang menjadi sebutan yang lazim. Bagaimana pun, masih ramai daripada kalangan kita yang tidak pandai memohon maaf. Perbuatan itu dirasakan kekok untuk dilakukan. Maka peluang hari raya itulah menjadi pemangkin kepada tindakan bermaaf-maafan itu.

Sebesar mana pun salah dan silap, kita melihat hari raya sebagai hari baik bulan baik untuk memaafkan. Malah, ia sudah menjadi adat dan kewajipan. Apa jua salah dan silap, ia mesti dimaafkan. Oleh kerana itulah, mereka yang tidak pandai memohon maaf hanya dapat peluang keemasan itu pada hari raya.  Barangkali oleh kerana ia adalah peristiwa setahun sekali, maka airmata yang bertakung setahun itu tumpah berjurai-jurai di aidilfitri.

Sebenarnya, apakah sebuah maaf itu? Ia adalah sebuah lafaz untuk menyatakan kekesalan terhadap apa yang dilakukan terhadap seseorang. Ia jua adalah sebuah ekspresi kerana tidak dapat memenuhi sesebuah janji. Ataupun, ia hanya sebuah pernyataan sebelum menyatakan apa yang terbuku di hati ~ seperti pendekatan siri artikel-artikel kolum Maaf Cakap ini.

Kemaafan itu biasanya melibatkan dua pihak. Dan ia melibatkan tiga situasi. Situasi pertama, satu pihak bersalah dan memohon maaf, pihak yang satu lagi memberi maaf kepada yang memintanya. Misalnya, tersilap menuduh seseorang itu mencuri sedangkan dia hanya mendengar fitnah. Yang menuduh memohon maaf dan yang tertuduh memaafkan.

Dalam situasi kedua pula, kedua-dua pihak, masing-masing ada salah dan betulnya. Misalnya, dalam kes kemalangan dua buah kenderaan. Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kedua-duanya pasti ada salah dan betulnya. Kedua-dua pihak memohon maaf dan memaafkan.

Cuma, situasi ketiga pula adalah keadaan yang amat sukar apabila yang memohon maaf itu tidak mendapat kemaafan. Pasti dosa seseorang yang memohon maaf itu begitu besar hingga dia tidak dimaafkan. Mungkin ia kes yang melibatkan kehilangan besar seperti kehilangan  harta berupa wang yang tidak dipulang atau tanah yang tergadai. Ataupun, mungkin juga ia kes yang melibatkan kehilangan nyawa orang yang disayangi seperti kemalangan atau kematian.

Sebenarnya, walau betapa berat pun hati untuk memaafkan, kita tidak boleh tidak memaafkan langsung orang yang datang menghulurkan tangan. Biarlah kita memaafkan walau sebahagian daripada kesalahan seseorang terhadap kita. Sebuah maaf itu tidak bererti kita terus boleh tertawa dan bertepuk tampar dengan yang memohon maaf.

Jika ia tidak akan menghilangkan luka di hati si pemberi maaf sekali pun, ia juga tidak bermakna yang bersalah itu hilang terus rasa malu akibat kesalahannya terhadap kita. Sekurang-kurangnya  kita harus memaafkan atas dasar bahawa ia adalah takdir yang menimpa ke atas kita. Inilah hakikat beragama.

Memaafkan itu menandakan kita mula melangkah ke hadapan dan hari esok, tanpa membawa beban semalam. Sebelum maaf dipinta, pelbagai prasangka masih bersarang dalam fikiran. Selagi maaf belum dipinta, kita akan teringat-ingat apa yang berlaku. Apabila maaf dipinta, memaafkan itu lebih penting untuk diri sendiri kerana ia akan menghilangkan kusut di fikiran. Ia melegakan kerana ia memulihkan silaturrahim dan ini memang dianjurkan oleh Rasuluullah saw.

Meskipun sakit yang ditanggung mengambil masa untuk hilang, sekurang-kurangnya ia mula beransur-ansur pergi.  Ia adalah kerana, proses setelah memaafkan itu membuka jalan pemulihan jiwa setelah kita melalui tiga peringkat. Pertama, memaafkan itu memberi kita keseimbangan untuk melihat peristiwa pahit itu dan si pesalah terhadap kita.

Kedua, perasaan negative  kita terhadap si pemohon maaf mula berkurang dan rasa prihatin di atas kesilapannya mula bertambah. Ketiga dan akhirnya, kita akan berhenti daripada memikir untuk menghukum orang yang memohon maaf daripada kita. Jika seseorang itu perlu jiwa yang besar untuk memohon maaf, si pemberi maaf itu juga punyai hati yang besar juga. Ia sekali-kali tidak menggambarkan bahawa si pemberi maaf itu berhati kecil kerana kalah dengan lafaz ampun daripada si pesalah.

Memaafkan itu adalah ubat kerana tidak memaafkan itu membuatkan seseorang itu membungkam perasaannya dengan rasa marah, dendam dan benci. Perasaan negatif ini member kesan yang buruk pula terhadap kesihatan. Justeru itu, memaafkan itu bukan semata-mata untuk melegakan perasaan si pesalah, tetapi untuk kebaikan diri sendiri.

Sempena aidilfitri ini, maafkanlah sesiapa sahaja. Maafkanlah juga walau berapa kali pun dia melakukan kesalahan terhadap diri kita ini. Maafkanlah begitu sahaja. Tanpa syarat, tanpa janji tak buat lagi. Jika kita tidak memaafkan dia, maaf cakap… apakah patut kita memohon ampun dari ALLAH swt tanpa malu meskipun mengulangi kesilapan demi kesilapan? Bagaimana pula jika taubat demi taubat kita pula tidak diampunkan kerana kita berulangkali melakukan dosa terhadap-NYA? Renungkan…
INSYAALLAH artikelini akan terbit di akhabr Sinar Harian pada 15.7.2015

Tuesday, July 7, 2015

BACK TO BASICS


 
Piccredit:thisconsciouslife.com
 
BERSEDIA UNTUK
MENYINGSING LENGAN

LEBUHRAYA NKVE pada tengahari itu sesak sedikit. Kereta saya terpaksa bergerak dalam kelajuan 30 kilometer sejam. Dari jarak kira-kira 50 meter, saya ternampak sebuah kereta Mercedes putih yang tersadai di tepi Lebuhraya NKVE. ‘Pamcit…’ kata hati ini bila terpandang seorang lelaki separuh usia sedang bertungkus lumus membuka tayar kereta di sebelah pemandu. Pantas pergerakannya. Tidak terkial-kial.

Apabila kereta saya menghampiri, saya nampak dengan jelas kot lelaki itu disangkut ke pintu kereta yang separuh terbuka. ‘Ini orang berpangkat…’ detik hati saya lagi. Kulit putih wajahnya tampak memerah. Peluh kelihatan berkilat di kepalanya yang separuh botak. Daripada gayanya, saya menelah bahawa dia adalah tuanpunya kereta Mercedes itu, bukan drebarnya. Saya tak jadi berhenti untuk membantu lelaki itu apabila perasan ada dua buah motorsikal baharu berhenti untuk membantu lelaki itu.

Sambil terus memandu, saya terfikir mengapa lelaki itu tidak kekok langsung menukar tayar keretanya. Ada banyak situasi yang kerap saya lihat di mana orang yang berpangkat hanya duduk di dalam keretanya menunggu bantuan sampai bila kenderaannya menghadapi masalah. Dia juga boleh sahaja menunggu pasukan PlusRonda tiba untuk menukar tayarnya atau memanggil sahaja trak tunda swasta. Tetapi sebaliknya, dia menyelesaikan masalahnya sendiri dengan menyingsing lengan.

Ya. Menyingsing lengan. Inilah sikap yang ada pada lelaki itu. Walaupun sudah somebody dengan kereta mewah itu, dia sanggup mengotorkan tangannya apabila keadaan memerlukan. Ia berbeza dengan sebilangan di kalangan kita yang baharu sahaja senang sedikit sudah tidak pandai bersusah-susah lagi.

Kadangkala, seseorang itu baharu sahaja terpilih dari kalangan rakan-rakan yang sejawatan untuk menjadi ketua di jabatannya. Tetapi dia cepat lupa dengan kedudukan lama. Baharu sahaja dapat tempat duduk yang bersekat, dia sudah tidak mahu senyum dengan mereka yang sepangkat dengannya. Sudah hanya berkawan dengan mereka yang ‘atas-atas.’

Kalau dahulu, dialah yang mudah membantu kak Tipah kerani menarik kertas yang tersangkut dari mesin fotostat, kini bila terpandang dengan masalah itu lagi, dia buat-buat tak nampak. Itu belum lagi dilihat wajahnya yang mula ketat bila memandang orang. Kalau hendak baca akhbar pun, sudah tak pandai mengambil sendiri. Pekerja lain yang harus dapatkan untuknya. Tatkala sama-sama sepangkat dahulu, dia memang suka mengeluh kerana banyak kerja. Kini dia hanya pandai berdehem kerana asyik menyuruh orang lain membuat kerjanya.

Ada juga dari kalangan suri rumah yang berperangai begitu. Bila sudah ada pembantu rumah, dapur pun tidak mahu dijejaki. Memasak, membasuh, menggosok, mengemas dan mengasuh anak dilepaskan bulat-bulat pada pembantu rumah. Akhirnya apabila pembantunya berhenti, dia tidak tahu di mana letaknya sudu garfu, pinggan mangkuk dan asam garam kerana dia sudah lama tidak mahu menyingsing lengan.

Perihal orang yang naik pangkat, bertambah kuasa dan semakin kaya tetapi tidak mahu menyingsing lengan memang banyak sekali terjadi. Bila kita memikir sejenak, pasti kita teringat akan sesiapa di sekeliling kita yang berperangai begitu. Bila sudah naik pangkat dan berubah tempat duduk di bahagian yang lebih tinggi, mereka tidak mahu turun ke bawah melihat mereka yang turut bersusah payah mensejahterakan syarikat dan jabatan.

Apabila sudah bertambah kuasa, mereka hilang pertimbangan dan rasa prihatin akan apa yang dialami oleh mereka yang sebelum ini siang malam berganding bahu bersama-samanya. Segala susah payah yang dihadapi oleh orang bawahan dianggap enteng. Bertanya khabar jauh sekali walau sekadar untuk memujuk jiwa-jiwa yang menderita akibat tindak-tanduknya mencengkam kuasa.

Yang bertambah kaya pula tidak ingat betapa orang lain menyeluk saku meraba wang untuk mengagak berapakah jumlah duit yang dia ada. Mana tahu, wang di poket tidak cukup untuk  membeli apa yang diingini anak-anak di rumah. Orang yang tidak cukup duit masih boleh menjerit untuk komplen. Tetapi, orang yang sudah jatuh miskin hanya mampu menelan liur dan memendam perasaan. Mereka jadi pendiam. Malangnya, orang yang bertambah kaya itu berasakan semuanya bagus kerana tiada sesiapa yang bising-bising.

Orang berkedudukan lebih baik tetapi sudah tak pandai menyingsing lengan sebenarnya tidak hidup di alam realiti. Mereka lupa yang hidup ini seperti roda. Mereka tidak ingat mutiara kata, ‘kalau merenung bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi.’ Oleh kerana dah tak pandai bersusah-susah atau back to basics apabila suasana memaksa, orang begini tidak akan sedar lantai bila yang dipijak sudah rapuh. Dia bukan sahaja tidak bersedia, malah tidak mahu bersiap siaga untuk mempastikan kukuhnya tempat dia berdiri.

Akibat sentiasa menganggap semuanya okey sahaja, dia akan K.O apabila hukum graviti ditakdirkan ke atas dirinya.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok 8.7.2015...