Tuesday, December 27, 2016

TIGA KOMPONEN KEJAYAAN



Piccredit: msi college

BAGAIMANA KITA MENGUKUR KEJAYAAN?

RAMAI yang inginkan kejayaan dalam apa jua bidang yang diterokai. Daripada jumlah yang mahukan kejayaan, hanya sebahagian sahaja yang bertindak dan bergerak untuk memperoleh kejayaan itu. Sebahagian daripada mereka hanya memikirkan mengenai kejayaan tanpa melakukan apa-apa. Jika begitu, mereka sebenarnya sedang menempah kegagalan kerana kebarangkalian untuk gagal itu lebih besar jika tidak melakukan apa-apa.

Kejayaan mencapai sesuatu yang diimpikan itu adalah suatu nikmat. Ia nikmat apabila berasa puas memperoleh apa yang diusahakan setelah mengorbankan masa, tenaga dan material untuk menggapainya. Lagi banyak pengorbanan yang dilakukan untuk mencapai sesuatu yang diidamkan, lagi besar rasa nikmat di atas kejayaan itu.

Apabila berjaya, kesemua yang berjaya itu mahu agar kejayaan itu sentiasa di tangan. Ramai juga yang mahukan ia kekal dan inginkan pula kejayaan yang lebih besar. Untuk memateri kejayaan, maka strategi dan taktik yang selama ini digunapakai untuk mencapai kejayaan akan dijadikan rujukan.  Strategi dan taktik sama digunakan secara berulang dikenali sebagai formula kejayaan.

Andainya kejayaan dapat dikekal atau dilipatgandakan dengan menggunakan formula yang sama, maka lama kelamaan seseorang yang berjaya itu akan punyai persepsi bahawa formula yang digunakan itu kalis kegagalan. Inilah yang menyebabkan  seseorang itu terus menerus menggunakan formula yang sama kerana takut, pendekatan yang lain akan menemui kegagalan.

Malangnya, formula yang mencetak kejayaan itu bisa menjadikan seseorang itu berasa hebat. Perasaan  sombong dan besar kepala mula menyelinap di sanubari dengan kejayaan yang diperoleh. Perangai ini akan memakan diri apabila seseorang itu terlupa hakikat bahawa tidak ada suatu pun yang kekal di dunia ini. Dinamika suasana dan elemen-elemen yang mempengaruhi pola kejayaan itu pula sentiasa berubah. Kerana itu, tidak akan ada formula kejayaan yang kekal. Samada cepat atau lambat, formula yang berjaya akan menjadi lemah kerana hilang auranya. Pengguna formula kejayaan itu akhirnya  akan menemui kegagalan secara perlahan-lahan mahupun secara mengejut. Dia hanya sedar yang dia kian lumpuh tatkala keadaan sudah terlewat. Secara analoginya, dia perlu bingkas bangun dan berlari dari kegagalan jika tidak mahu lemas di dasarnya.

Dalam pada itu, ada juga di antara mereka yang amat berhati-hati dengan kejayaan yang diperoleh. Peka menjaga setiap sudut komponen kejayaan itu seperti menjaga enjin kereta yang diservis secara berkala. Kejayaan yang dirangkul itu dipertahankan bagai menatang minyak yang penuh. Dalam apa jua tindakan, orang yang berjaya itu tidak mahu rugi walau sedikit. Kekalahan sementara begitu menakutkan kerana dalam fikirannya, kekalahan yang kecil itu menandakan kegagalan sedang menanti untuk menghancurkan apa yang diusahakannya.

Mereka paranoid jika bersikap begini. Kesilapan kecil dilihat sebagai suatu kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan. Ini pula akan menakutkan mereka yang di sekelilingnya. Lazimnya, sistem sokongan daripada keluarga dan sahabat handailah yang memungkinkan sesebuah kejayaan itu. Apabila mereka sudah takut untuk menegur, ini akan merugikan orang yang berjaya untuk mendapat maklumbalas agar kejayaannya itu terus diperkekal.

Kejayaan berformula  yang cuba dipertahankan dengan melakukan perulangan tindakan akan gagal juga akhirnya. Begitu juga kegagalan akan datang pada kejayaan yang terlalu diperkukuhkan dengan tindakan-tindakan yang rigid dan statik. Kejayaan tidak boleh ditangani secara sambil lewa, apatah lagi secara keras dan autokratik.

Justeru, bagaimana cara kita mengekalkan kejayaan? Yang harus dilihat dalam sesebuah kejayaan itu adalah makna kejayaan itu sendiri kepada tiga komponen iaitu kejayaan terhadap mental, fizikal dan spiritual kita. Jika kejayaan itu mengubah kita menjadi sentiasa positif, tidak takut untuk terus mencuba, tidak hairan dengan sedikit kekecewaan, maka itu adalah kejayaan mental.

Seandainya kejayaan itu menjadikan kita sentiasa bertenaga, segar dan tidak suka bermalas-malasan seperti tidur berlebihan dan di luar masa, maka ia kejayaan fizikal. Sekiranya pula kejayaan itu memberi kita ketenangan, lapang dada dan semakin mengutamakan ALLAH swt dalam setiap urusan, maka kita berjaya daripada segi spiritual.


Malangnya, pada hari ini kita sentiasa mengukur kejayaan daripada aspek material iaitu harta dan wang ringgit. Jika itulah kayu ukurnya, maka pada hakikatnya, tidak ada manusia yang berjaya di dunia ini.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.12.16. 

Tuesday, December 20, 2016

TEMAN TATKALA SUSAH



Piccredit: sheknows.com

APA BAHAGIANYA 
JADI TEMAN MENANGIS?

ARMAN termenung sebaik sahaja berhenti bermesej dengan seseorang. Perbualan kami sering terencat apabila mesej-mesej masuk ke telefonnya. Kerana menganggap ia penting, saya tangguhkan perbualan dan membelek telefon saya pula setiap kali Arman mendapat mesej-mesejnya. Cuma kini, apabila Arman termangu, saya mula ambil peduli. Hendak tahu juga jika Arman sedang hadapi masalah. Jika tidak dapat membantu pun, mana tahu andainya saya mampu memberi pandangan, alang-alang kami sedang bersantai di restoran ini.

Seraya mengeluh, Arman mengadu yang dia memperoleh mesej daripada salah seorang kawan lamanya. Sudah 20 tahun mereka tidak bersua. Khabar berita pun tidak sampai samada melalui mana-mana media sosial mahupun melalui khabar daripada kawan-kawan. Tiba-tiba pada hari ini, kawannya itu menghubunginya dengan sebuah masalah. Masalah kehilangan anak tunggalnya pergi menghadap illahi.

Kata Arman, mereka berdua memang kawan baik. Sama sekuliah, sama sebilik asrama. Biasa makan maggi sama-sama. Biasa juga bertukar baju. Malah pernah tidur baring di kampung masing-masing pada cuti semester. Bila mereka tamat belajar dan mula bekerja, persahabatan mereka mula renggang dan akhirnya berpisah tanpa berita.

Arman juga hairan, bagaimana kawannya itu memperoleh nombor telefonnya. Dan yang lebih pelik, mengapa pula dia menjadi tempat rujukan meminta semangat? Secara logiknya tentu kawan Arman punyai berpuluh, jika tidak beratus orang kawan di sekelilingnya. Mengapa Arman juga yang dicarinya? Sesungguhnya, apa yang Arman alami ini adalah sisi wajah sebuah kehidupan.

Saya teringat senikata lagu Resam Dunia nyanyian penyanyi pop yeh-yeh, J. Sham. Di antara senikata lagu itu berbunyi, ‘Teman ketawa senang didapat,
Teman menangis sukar dicari.’ Bait lagu yang dipetik dari maksud sebuah pantun Melayu lama itu mengingatkan kita bahawa betapa mudah kita memperoleh teman-teman di waktu kita senang, gembira dan bahagia. Namun, apabila kita berdepan dengan keadaan sukar dan sedih, kita akan dapati hampir semua kawan-kawan kita pergi menghilangkan diri.

Jika kita bertuah, semua manusia ingin rapat dan merasai tempias tuah yang kita alami. Namun, apabila kita menghadapi musibah, tidak ramai yang akan setia berdiri di sisi untuk memberi semangat agar kita bangkit kembali. Malah, dalam keadaan masakini, mereka yang rapat, yang senyum, yang ketawa bersama dengan kita pun boleh mengumpat bila kita ditimpa kesukaran.

Di laman-laman sosial pula, mereka yang tidak kenal kita pun mengambil kesempatan untuk mengata cerca apabila sesuatu keburukan telah kita lakukan. Tanpa salam, tanpa maaf, mereka ini senang sekali menikam dan merobek perasaan kita tanpa rasa kasihan. Kerana itu, kita sentiasa diingatkan agar berwaspada meskipun kita berada dalam keadaan senang lenang.
Ingatan-ingatan sebegitu sememangnya bagus untuk kita simpan sebagai sempadan.

Bagaimana pun, ingatan sedemikian adalah pandangan dari sudut negatif. Betapa pula, dalam pada kita sentiasa beringat-ingat akan kehilangan rakan tatkala kesusahan, jangan pula kita menjadi manusia yang begitu. Jika kita tidak suka kehilangan kawan apabila ditimpa musibah, kita perlu sedia menjadi teman menangis kepada mana-mana teman kita yang berada di dalam kesusahan.

Hidup umpama roda. Ada tempoh senang, ada tempoh sukar. Hari ini hari dia, esok pula hari kita. Apabila teman senang, mari sama-sama raikan. Tatkala mereka susah, genggamlah tangannya untuk memberinya semangat dan kekuatan.  Biarlah kita menjadi seorang-dua teman yang boleh diharap oleh mereka yang di dalam kesusahan. Sekurang-kurangnya sebagai tempat mereka melepas cerita derita.

Bagi Arman pula, dia adalah di antara manusia yang dicari meskipun telah tenggelam di dalam lipatan memori temannya. Mengapa? Kerana dia punyai kekuatan sebagai orang yang bersedia untuk tampil, bersedia untuk mendengar dan bersedia untuk memberi pandangan dan kata-kata semangat agar temannya dapat berdiri, bertatih, berjalan dan berlari semula di denai kehidupan.


Menjadi teman menangis memang turut ada sakit dan siksanya. Kita terpaksa memberi masa dan tenaga yang tinggal sedikit itu untuk orang yang mahukan masa itu. Sedekahkan secubit rasa gembira yang kita ada kepada yang datang meminta. Mudah-mudahan itu akan memberi bahagia berganda apabila kita diberi pula berita gembira sebelum menutup mata.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.12.16.

Tuesday, December 13, 2016

DEFINISI BAHARU PERSURATKHABARAN


Piccredit: researchguides.com

NEWS, STOP PRESS, 
SCOOP DAN EKSKLUSIF

PETANG kelmarin, saya ditemubual oleh Ferdaus, Aiman, Balqis, Hazwani, Nurul Anina dan Ramziah, para siswa semester dua, Pengurusan Industri Kreatif dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM untuk memenuhi tugasan subjek yang mereka pelajari. Sambil bercakap, saya perasan mengenai beberapa sudut pandang baharu dalam dunia persuratkhabaran. Maklumlah, bila kita bercakap, kita sendiri mendengar apa yang kita katakan. Pada banyak keadaan, kita akan terlafaz sesuatu telahan yang belum pernah terlintas di fikiran kita selama ini.
Telahan-telahan itu membuat saya sedar mengenai betapa senario persuratkhabaran pada hari ini sudah berubah. Pada saya, warga industri akhbar perlu peka segala perubahan ini. Tidak boleh lagi berpegang kepada tafsiran lama. Warga akhbar perlu learn, unlearn dan relearn perkara-perkara ini kerana terdapat tafsiran baharu mengenainya.
Yang paling menyerlah ialah definasi news atau berita itu sendiri. Berita membawa maksud hal atau perkara yang terjadi. Dalam bahasa Inggeris, berita disebut sebagai news. Mengikut kamus Oxford, news adalah peristiwa yang baharu terjadi yang dilapor melalui akhbar bercetak, laman web, radio, TV dan lelain media.

Jika mengikut kata dasar pula, new itu bermaksud baharu. Oleh kerana itu, news pula membawa maksud yang baharu-baharu. Pada pendapat saya,  news bukan sahaja mengenai peristiwa yang baharu terjadi, tetapi jenis peristiwa yang belum pernah atau jarang sekali berlaku. Biasanya dalam kuliah kewartawanan, analogi kalau 'orang kena gigit anjing itu bukan berita,' tetapi bila 'orang gigit anjing itulah berita.' Namun, berapa ramai daripada petugas media yang benar-benar mengambil analogi 'orang gigit anjing' sebagai suatu keutamaan dalam memilih laporan beritanya? Maksud saya, memilih news bukan semata-mata kerana ia baharu berlaku, tetapi news sebagai sesuatu daripada sudut pandang baharu.

Pada hari ini, lebih separuh berita yang terpapar di media hanyalah sekadar peristiwa yang baharu berlaku, bukannya sesuatu yang baharu. Ia merupakan kisah yang berulang. Cuma mereka yang terlibat, masa dan tempat adalah berbeza. Berita kereta berlanggar, kapalterbang terhempas, tanah runtuh, demonstrasi rakyat, Presiden diguling mahupun gunung berapi meletup sebenarnya hanya news kerana ia baharu berlaku. Ia bukannya news dalam ertikata baharu kerana sudah banyak kali dilapor sebelum ini. Jadi, mengapa berita-berita yang berulang-ulang ini menjadi pilihan? Ia bukannya news kerana apa yang terjadi sudah pernah berlaku sebelum ini. Jika demikian, tidakkah ia layak dipanggil olds dan bukannya news!

Jika dahulu, terdapat pendekatan stop press iaitu memberhentikan mesin cetak untuk memasukkan sesuatu yang baharu terjadi, bagi saya, konsep stop press tidak lagi terpakai di dunia persuratkhabaran pada hari ini. Kemunculan internet telah mengambilalih peranan sebagai saluran berita seandainya akhbar pada malam itu sudah masuk ke mesin cetak. Walaupun berita kemalangan besar berlaku tatkala percetakan akhbar esok sudah bermula, mesin cetak tidak akan diberhentikan untuk stop press kerana berita itu akan disalurkan secara dalam talian pula.

Konsep berita scoop itu sendiri pun bagai tidak ada maknanya. Jika dahulu, sesebuah akhbar dikatakan hebat kerana memperoleh berita scoop yang mendahului akhbar lain dalam memaparkan sesebuah berita, kemunculan media sosial pada hari ini  menyukarkan scoop itu sendiri. Media sosial dengan wartawan-wartawan bebas mempunyai sumber yang tidak terbatas. Dalam banyak keadaan, media rasmi akan kalah dalam menyampaikan berita scoop ini kerana perlu menyemak kesahihan sesebuah berita itu.

Berita-berita eksklusif juga sukar diperoleh pada hari ini. Personaliti mahupun selebriti pun sudah pandai. Mereka tak mahu penampilan secara eksklusif dengan memilih hanya sebuah media semata-mata. Andainya ada sesuatu yang penting untuk dihebahkan, mereka akan panggil semua media untuk datang membuat liputan. Dengan cara itu, mereka akan memperoleh liputan meluas dan serentak. Kalaupun sesebuah media boleh mendabik taraf eksklusif beritanya, pada hari yang sama, media pesaing akan dapat memaparkan berita daripada sudut pandang yang lebih eksklusif.

Dunia persuratkhabaran pada hari ini sememangnya semakin pantas. Cuma bezanya, wartawan dahulu perlu memburu berita. Pada hari ini, banyak sekali kejadian yang didatangkan oleh khalayak ramai untuk dimasak dan dihidangkan sebagai sebuah berita.














Tuesday, December 6, 2016

BAGAIMANA MENJAGA STAMINA



Piccredit: wonderopolis.com
BILA BERJOGING,
BILA PULA MEMECUT

USIA saya sudah menghampiri 60 tahun. Namun saya biasa bertarung di gelanggang badminton secara berterusan hingga ke rubber set. Saya bermain tidak kurang empat hari seminggu selama sekurang-kurangnya sejam untuk setiap kali permainan. Dan, teman-teman badminton saya hampir kesemuanya separuh daripada usia saya.

Apa yang saya hendak nyatakan di sini bukanlah untuk tunjuk aksi yang saya ini hebat dan pantas di gelanggang. Tidak. Saya tidaklah sehandal mana pun bermain di dalam sukan itu. Sebaliknya apa yang saya hendak sampaikan ialah bagaimana saya mengendalikan tenaga agar dapat bermain selincah orang yang jauh lebih muda. Panduannya ialah tahu mengagak pukulan lawan, membaca kelemahannya dan juga mengukur staminanya.

Bila saya dapat mengagak pukulan lawan, saya dapat memintas di manakah dia hendak menghantar bulutangkisnya. Setelah membaca kelemahan lawan, saya akan memukul bulutangkis jauh ke sudut yang menyukarkan dia membalas pukulan. Apabila saya nampak dia termengah-mengah, saya tahu dia penat dan saya boleh buat hantaran-hantaran ke baseline atau dropshot untuk melelahkan dia. Nampaknya mudah. Tetapi cara begitulah yang membuatkan saya boleh menang dan jarang sekali ketinggalan di bawah 10 mata apabila tewas.

Sebagai warga emas, saya kena tahu bila hendak memecut menggunakan seluruh tenaga atau tahu tatkala bilakah yang seharusnya saya bergerak perlahan dalam melakukan sesuatu. Kena tahu bilakah perlu berjoging, bila pula mahu memecut. Bukan semua perkara itu harus dilakukan cepat-cepat. Dan, tidak semua benda boleh ditangani dengan cara lambat-lambat.

Sebenarnya, dalam keadaan kehidupan yang sentiasa berubah dengan pantas, kita juga tidak semestinya perlu pantas dalam setiap perkara. Benarlah, ada frasa ‘merebut peluang’ di mana merebut sudah semestinya merampas sesuatu dengan cepat. Tetapi, ada banyak keadaan bilamana dalam kita sibuk merebut itu, kita tersalah cekup peluang.

Banyak cerita mengenai betapa ramai mereka yang merebut peluang itu akhirnya kecundang kerana beberapa sebab seperti peluang yang dianggap akan mendatangkan bagus itu rupa-rupanya buruk. Lebih teruk lagi, apa yang dianggap best itu rupa-rupanya hanyalah suatu penipuan. Ada juga peluang yang datang itu tidak sesuai dengan citarasa kita sendiri, seperti jenis aset, jenis perniagaan, jenis aktiviti mahupun pasangan hidup.

Kesilapan boleh berlaku kerana hendak cepat-cepat memperoleh apa yang dihajati tanpa memikirkan masalah mahupun liabiliti yang datang bersamanya. Mujurlah jika kita dapat melepaskan apa yang sudah dalam genggaman. Malanglah seandainya kita sukar melepaskan apa yang sudah menjadi milik kita seperti tersilap melabur dalam mana-mana skim yang memerlukan komitmen masa, tenaga dan wang ringgit yang bukannya sedikit.

Kecepatan sebenarnya boleh membunuh. Bangun tidur dengan mengejut dikatakan mengganggu perjalanan darah ke kepala. Ia bakal meningkatkan degupan jantung dan membuat kita memulakan hari dengan perasaan tidak sabar. Makan dengan cepat akan mengganggu penghazaman. Begitu juga jika kita melaksanakan semua kerja dengan pantas hingga berebut-rebut. Kesilapan yang terjadi akan membuatkan kita terpaksa bermula kembali. Wal hasil balik asal.

Dalam pada itu, tentulah kita tidak boleh melakukan sesuatu secara lambat-lambat dan terlalu berhati-hati kerana terlalu berhati-hati itu akan membawa kepada sikap bertangguh pula. Ruginya jika banyak peluang yang baik itu tidak diambil semata-mata kerana melayani fikiran yang lembab dan berbolak-balik. Akibat tidak mahu berdepan dengan apa-apa risiko, maka peluang yang ada di depan mata itu berlalu begitu sahaja.

Bertindak lambat-lambat juga boleh membunuh. Ia menjadikan kita lembab berfikir, rasa ketinggalan, berasa tewas dalam kehidupan dan juga membunuh keseronokan kehidupan seharian. Memandu terlalu perlahan akan mengakibatkan kita menjadi punca kesesakan lalulintas. Menyiapkan kerja lambat-lambat biasanya akan mengakibatkan terbabas deadline. Memanglah jika kita lambat-lambat, kesilapan dapat dielakkan. Tetapi bagaimana jika dalam berlambat-lambat itu baharu kita tersedar apa yang kita lakukan itu seluruhnya suatu kesilapan? Tentu ia mengambil masa yang lebih lama untuk diperbaiki.

Kita tidak mahu menjadi arnab yang senantiasa bergerak pantas ke mana-mana sahaja. Begitu juga, tidak cantik menjadi kura-kura yang begitu lambat menapak. Yang elok ialah bila kita dapat menyesuaikan diri menjadi arnab yang bergerak lambat pada ketikanya dan kura-kura yang berlari laju pada saat-saat yang memerlukannya berbuat begitu.


Jalan hidup ini penuh dengan persimpangan, selekoh, cerun, bukit, onak dan duri. Di jalan yang lurus, kita boleh sahaja bergerak laju. Sebaliknya di kawasan-kawasan yang perlu berhati-hati, maka kita menapaklah lambat-lambat dengan penuh waspada. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.12.16.