Piccredit: researchguides.com
NEWS, STOP PRESS,
SCOOP DAN EKSKLUSIF
PETANG kelmarin, saya ditemubual oleh Ferdaus,
Aiman, Balqis, Hazwani, Nurul Anina dan Ramziah, para siswa semester dua, Pengurusan
Industri Kreatif dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM untuk memenuhi
tugasan subjek yang mereka pelajari. Sambil bercakap, saya perasan mengenai
beberapa sudut pandang baharu dalam dunia persuratkhabaran. Maklumlah, bila
kita bercakap, kita sendiri mendengar apa yang kita katakan. Pada banyak
keadaan, kita akan terlafaz sesuatu telahan yang belum pernah terlintas di
fikiran kita selama ini.
Telahan-telahan itu membuat saya sedar mengenai
betapa senario persuratkhabaran pada hari ini sudah berubah. Pada saya, warga industri
akhbar perlu peka segala perubahan ini. Tidak boleh lagi berpegang kepada
tafsiran lama. Warga akhbar perlu learn,
unlearn dan relearn
perkara-perkara ini kerana terdapat tafsiran baharu mengenainya.
Yang paling
menyerlah ialah definasi news atau
berita itu sendiri. Berita membawa maksud hal atau perkara yang terjadi. Dalam
bahasa Inggeris, berita disebut sebagai news.
Mengikut kamus Oxford, news adalah
peristiwa yang baharu terjadi yang dilapor melalui akhbar bercetak, laman web,
radio, TV dan lelain media.
Jika mengikut
kata dasar pula, new itu bermaksud
baharu. Oleh kerana itu, news pula membawa maksud yang baharu-baharu. Pada
pendapat saya, news bukan sahaja mengenai peristiwa yang baharu terjadi, tetapi
jenis peristiwa yang belum pernah atau jarang sekali berlaku. Biasanya dalam
kuliah kewartawanan, analogi kalau 'orang kena gigit anjing itu bukan berita,'
tetapi bila 'orang gigit anjing itulah berita.' Namun, berapa ramai daripada
petugas media yang benar-benar mengambil analogi 'orang gigit anjing' sebagai
suatu keutamaan dalam memilih laporan beritanya? Maksud saya, memilih news bukan semata-mata kerana ia baharu
berlaku, tetapi news sebagai sesuatu daripada
sudut pandang baharu.
Pada hari
ini, lebih separuh berita yang terpapar di media hanyalah sekadar peristiwa
yang baharu berlaku, bukannya sesuatu yang baharu. Ia merupakan kisah yang
berulang. Cuma mereka yang terlibat, masa dan tempat adalah berbeza. Berita
kereta berlanggar, kapalterbang terhempas, tanah runtuh, demonstrasi rakyat,
Presiden diguling mahupun gunung berapi meletup sebenarnya hanya news kerana ia baharu berlaku. Ia
bukannya news dalam ertikata baharu
kerana sudah banyak kali dilapor sebelum ini. Jadi, mengapa berita-berita yang
berulang-ulang ini menjadi pilihan? Ia bukannya news kerana apa yang terjadi sudah pernah berlaku sebelum ini.
Jika demikian, tidakkah ia layak dipanggil olds
dan bukannya news!
Jika dahulu,
terdapat pendekatan stop press iaitu
memberhentikan mesin cetak untuk memasukkan sesuatu yang baharu terjadi, bagi
saya, konsep stop press tidak lagi terpakai
di dunia persuratkhabaran pada hari ini. Kemunculan internet telah
mengambilalih peranan sebagai saluran berita seandainya akhbar pada malam itu
sudah masuk ke mesin cetak. Walaupun berita kemalangan besar berlaku tatkala
percetakan akhbar esok sudah bermula, mesin cetak tidak akan diberhentikan
untuk stop press kerana berita itu
akan disalurkan secara dalam talian pula.
Konsep berita
scoop itu sendiri pun bagai tidak ada
maknanya. Jika dahulu, sesebuah akhbar dikatakan hebat kerana memperoleh berita
scoop yang mendahului akhbar lain
dalam memaparkan sesebuah berita, kemunculan
media sosial pada hari ini menyukarkan scoop itu sendiri. Media sosial dengan
wartawan-wartawan bebas mempunyai sumber yang tidak terbatas. Dalam banyak
keadaan, media rasmi akan kalah dalam menyampaikan berita scoop ini kerana perlu menyemak kesahihan sesebuah berita itu.
Berita-berita
eksklusif juga sukar diperoleh pada hari ini. Personaliti mahupun selebriti pun
sudah pandai. Mereka tak mahu penampilan secara eksklusif dengan memilih hanya
sebuah media semata-mata. Andainya ada sesuatu yang penting untuk dihebahkan,
mereka akan panggil semua media untuk datang membuat liputan. Dengan cara itu,
mereka akan memperoleh liputan meluas dan serentak. Kalaupun sesebuah media
boleh mendabik taraf eksklusif beritanya, pada hari yang sama, media pesaing
akan dapat memaparkan berita daripada sudut pandang yang lebih eksklusif.
Dunia
persuratkhabaran pada hari ini sememangnya semakin pantas. Cuma bezanya,
wartawan dahulu perlu memburu berita. Pada hari ini, banyak sekali kejadian
yang didatangkan oleh khalayak ramai untuk dimasak dan dihidangkan sebagai
sebuah berita.
No comments:
Post a Comment