Piccredit: sheknows.com
APA BAHAGIANYA
JADI TEMAN MENANGIS?
ARMAN termenung sebaik sahaja berhenti bermesej
dengan seseorang. Perbualan kami sering terencat apabila mesej-mesej masuk ke
telefonnya. Kerana menganggap ia penting, saya tangguhkan perbualan dan membelek
telefon saya pula setiap kali Arman mendapat mesej-mesejnya. Cuma kini, apabila
Arman termangu, saya mula ambil peduli. Hendak tahu juga jika Arman sedang
hadapi masalah. Jika tidak dapat membantu pun, mana tahu andainya saya mampu
memberi pandangan, alang-alang kami sedang bersantai di restoran ini.
Seraya mengeluh, Arman mengadu yang dia memperoleh
mesej daripada salah seorang kawan lamanya. Sudah 20 tahun mereka tidak bersua.
Khabar berita pun tidak sampai samada melalui mana-mana media sosial mahupun
melalui khabar daripada kawan-kawan. Tiba-tiba pada hari ini, kawannya itu
menghubunginya dengan sebuah masalah. Masalah kehilangan anak tunggalnya pergi
menghadap illahi.
Kata Arman, mereka berdua memang kawan baik. Sama
sekuliah, sama sebilik asrama. Biasa makan maggi sama-sama. Biasa juga bertukar
baju. Malah pernah tidur baring di kampung masing-masing pada cuti semester.
Bila mereka tamat belajar dan mula bekerja, persahabatan mereka mula renggang
dan akhirnya berpisah tanpa berita.
Arman juga hairan, bagaimana kawannya itu
memperoleh nombor telefonnya. Dan yang lebih pelik, mengapa pula dia menjadi
tempat rujukan meminta semangat? Secara logiknya tentu kawan Arman punyai
berpuluh, jika tidak beratus orang kawan di sekelilingnya. Mengapa Arman juga
yang dicarinya? Sesungguhnya, apa yang Arman alami ini adalah sisi wajah sebuah
kehidupan.
Saya teringat senikata lagu Resam Dunia nyanyian penyanyi pop yeh-yeh, J. Sham. Di antara
senikata lagu itu berbunyi, ‘Teman
ketawa senang didapat,
Teman menangis sukar dicari.’ Bait lagu yang dipetik
dari maksud sebuah pantun Melayu lama itu mengingatkan kita bahawa betapa mudah
kita memperoleh teman-teman di waktu kita senang, gembira dan bahagia. Namun,
apabila kita berdepan dengan keadaan sukar dan sedih, kita akan dapati hampir
semua kawan-kawan kita pergi menghilangkan diri.
Jika
kita bertuah, semua manusia ingin rapat dan merasai tempias tuah yang kita
alami. Namun, apabila kita menghadapi musibah, tidak ramai yang akan setia
berdiri di sisi untuk memberi semangat agar kita bangkit kembali. Malah, dalam
keadaan masakini, mereka yang rapat, yang senyum, yang ketawa bersama dengan
kita pun boleh mengumpat bila kita ditimpa kesukaran.
Di laman-laman sosial pula, mereka
yang tidak kenal kita pun mengambil kesempatan untuk mengata cerca apabila
sesuatu keburukan telah kita lakukan. Tanpa salam, tanpa maaf, mereka ini
senang sekali menikam dan merobek perasaan kita tanpa rasa kasihan. Kerana itu,
kita sentiasa diingatkan agar berwaspada meskipun kita berada dalam keadaan
senang lenang.
Ingatan-ingatan
sebegitu sememangnya bagus untuk kita simpan sebagai sempadan.
Bagaimana
pun, ingatan sedemikian adalah pandangan dari sudut negatif. Betapa pula, dalam
pada kita sentiasa beringat-ingat akan kehilangan rakan tatkala kesusahan,
jangan pula kita menjadi manusia yang begitu. Jika kita tidak suka kehilangan
kawan apabila ditimpa musibah, kita perlu sedia menjadi teman menangis kepada
mana-mana teman kita yang berada di dalam kesusahan.
Hidup
umpama roda. Ada tempoh senang, ada tempoh sukar. Hari ini hari dia, esok pula
hari kita. Apabila teman senang, mari sama-sama raikan. Tatkala mereka susah,
genggamlah tangannya untuk memberinya semangat dan kekuatan. Biarlah kita menjadi seorang-dua teman yang
boleh diharap oleh mereka yang di dalam kesusahan. Sekurang-kurangnya sebagai
tempat mereka melepas cerita derita.
Bagi
Arman pula, dia adalah di antara manusia yang dicari meskipun telah tenggelam di
dalam lipatan memori temannya. Mengapa? Kerana dia punyai kekuatan sebagai
orang yang bersedia untuk tampil, bersedia untuk mendengar dan bersedia untuk
memberi pandangan dan kata-kata semangat agar temannya dapat berdiri, bertatih,
berjalan dan berlari semula di denai kehidupan.
Menjadi
teman menangis memang turut ada sakit dan siksanya. Kita terpaksa memberi masa
dan tenaga yang tinggal sedikit itu untuk orang yang mahukan masa itu.
Sedekahkan secubit rasa gembira yang kita ada kepada yang datang meminta.
Mudah-mudahan itu akan memberi bahagia berganda apabila kita diberi pula berita
gembira sebelum menutup mata.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.12.16.
Инстраграмм являться самой популярной площадкой для продвижения собственного бизнеса. Но, как показывает практика, люди гораздо чаще подписываются на профили в каких уже достаточное количество подписчиков. В случае если заниматься продвижение своими силами, потратить на это вы можете очень множество времени, потому гораздо лучше обратиться к спецам из Krutiminst.ru по ссылке https://krutiminst4.contently.com/
ReplyDelete