Piccredit: wonderopolis.com
BILA
BERJOGING,
BILA PULA MEMECUT
BILA PULA MEMECUT
USIA saya sudah menghampiri 60 tahun. Namun saya biasa bertarung
di gelanggang badminton secara berterusan hingga ke rubber set. Saya bermain tidak kurang empat hari seminggu selama
sekurang-kurangnya sejam untuk setiap kali permainan. Dan, teman-teman
badminton saya hampir kesemuanya separuh daripada usia saya.
Apa yang saya hendak nyatakan di sini bukanlah untuk tunjuk aksi
yang saya ini hebat dan pantas di gelanggang. Tidak. Saya tidaklah sehandal
mana pun bermain di dalam sukan itu. Sebaliknya apa yang saya hendak sampaikan
ialah bagaimana saya mengendalikan tenaga agar dapat bermain selincah orang
yang jauh lebih muda. Panduannya ialah tahu mengagak pukulan lawan, membaca
kelemahannya dan juga mengukur staminanya.
Bila saya dapat mengagak pukulan lawan, saya dapat memintas di
manakah dia hendak menghantar bulutangkisnya. Setelah membaca kelemahan lawan, saya
akan memukul bulutangkis jauh ke sudut yang menyukarkan dia membalas pukulan.
Apabila saya nampak dia termengah-mengah, saya tahu dia penat dan saya boleh
buat hantaran-hantaran ke baseline atau
dropshot untuk melelahkan dia.
Nampaknya mudah. Tetapi cara begitulah yang membuatkan saya boleh menang dan
jarang sekali ketinggalan di bawah 10 mata apabila tewas.
Sebagai warga emas, saya kena tahu bila hendak memecut menggunakan
seluruh tenaga atau tahu tatkala bilakah yang seharusnya saya bergerak perlahan
dalam melakukan sesuatu. Kena tahu bilakah perlu berjoging, bila pula mahu
memecut. Bukan semua perkara itu harus dilakukan cepat-cepat. Dan, tidak semua
benda boleh ditangani dengan cara lambat-lambat.
Sebenarnya, dalam keadaan kehidupan yang sentiasa berubah dengan
pantas, kita juga tidak semestinya perlu pantas dalam setiap perkara. Benarlah,
ada frasa ‘merebut peluang’ di mana merebut sudah semestinya merampas sesuatu
dengan cepat. Tetapi, ada banyak keadaan bilamana dalam kita sibuk merebut itu,
kita tersalah cekup peluang.
Banyak cerita mengenai betapa ramai mereka yang merebut peluang
itu akhirnya kecundang kerana beberapa sebab seperti peluang yang dianggap akan
mendatangkan bagus itu rupa-rupanya buruk. Lebih teruk lagi, apa yang dianggap best itu rupa-rupanya hanyalah suatu
penipuan. Ada juga peluang yang datang itu tidak sesuai dengan citarasa kita
sendiri, seperti jenis aset, jenis perniagaan, jenis aktiviti mahupun pasangan
hidup.
Kesilapan boleh berlaku kerana hendak cepat-cepat memperoleh apa
yang dihajati tanpa memikirkan masalah mahupun liabiliti yang datang
bersamanya. Mujurlah jika kita dapat melepaskan apa yang sudah dalam genggaman.
Malanglah seandainya kita sukar melepaskan apa yang sudah menjadi milik kita
seperti tersilap melabur dalam mana-mana skim yang memerlukan komitmen masa,
tenaga dan wang ringgit yang bukannya sedikit.
Kecepatan sebenarnya boleh membunuh. Bangun tidur dengan mengejut
dikatakan mengganggu perjalanan darah ke kepala. Ia bakal meningkatkan degupan
jantung dan membuat kita memulakan hari dengan perasaan tidak sabar. Makan dengan
cepat akan mengganggu penghazaman. Begitu juga jika kita melaksanakan semua
kerja dengan pantas hingga berebut-rebut. Kesilapan yang terjadi akan
membuatkan kita terpaksa bermula kembali. Wal hasil balik asal.
Dalam pada itu, tentulah kita tidak boleh melakukan sesuatu secara
lambat-lambat dan terlalu berhati-hati kerana terlalu berhati-hati itu akan
membawa kepada sikap bertangguh pula. Ruginya jika banyak peluang yang baik itu
tidak diambil semata-mata kerana melayani fikiran yang lembab dan
berbolak-balik. Akibat tidak mahu berdepan dengan apa-apa risiko, maka peluang
yang ada di depan mata itu berlalu begitu sahaja.
Bertindak lambat-lambat juga boleh membunuh. Ia menjadikan kita
lembab berfikir, rasa ketinggalan, berasa tewas dalam kehidupan dan juga
membunuh keseronokan kehidupan seharian. Memandu terlalu perlahan akan
mengakibatkan kita menjadi punca kesesakan lalulintas. Menyiapkan kerja
lambat-lambat biasanya akan mengakibatkan terbabas deadline. Memanglah jika kita lambat-lambat, kesilapan dapat
dielakkan. Tetapi bagaimana jika dalam berlambat-lambat itu baharu kita
tersedar apa yang kita lakukan itu seluruhnya suatu kesilapan? Tentu ia
mengambil masa yang lebih lama untuk diperbaiki.
Kita tidak mahu menjadi arnab yang senantiasa bergerak pantas ke
mana-mana sahaja. Begitu juga, tidak cantik menjadi kura-kura yang begitu
lambat menapak. Yang elok ialah bila kita dapat menyesuaikan diri menjadi arnab
yang bergerak lambat pada ketikanya dan kura-kura yang berlari laju pada
saat-saat yang memerlukannya berbuat begitu.
Jalan hidup ini penuh dengan persimpangan, selekoh, cerun, bukit,
onak dan duri. Di jalan yang lurus, kita boleh sahaja bergerak laju. Sebaliknya
di kawasan-kawasan yang perlu berhati-hati, maka kita menapaklah lambat-lambat dengan
penuh waspada.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.12.16.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.12.16.
Bhai Eyman..
ReplyDeleteTerbaik. Satu kupasan yang cukup menarik kalau kita teliti pengkisahannya secara mendalam. Ada metafora... ada fakta... Syabas.
C++
CipanTapirTenuk.Blogspot
Terima kasih. Semoga kita peroleh manfaat. Amin.
ReplyDelete