Piccredit: nature network
JANGAN PERKECIL YANG KECIL
JANGAN PERKECIL YANG KECIL
PANDANGAN DS Zahid Hamidi sebagai
Naib Presiden Umno, bahawa partinya tidak boleh memperlekeh ancaman gelombang besar
atau gelombang kecil adalah suatu
pandangan yang waras. Sebagai sebuah parti yang besar, ia tidak boleh
menganggap hanya ancaman yang besar sahaja yang berbahaya tetapi tidak memerhati
kepada ancaman yang kecil.
Mana-mana organisasi pun akan diuji dengan
ancaman-ancaman yang besar dan juga kecil. Namun lazimnya, ancaman yang besar itu
didepani dengan penuh siap siaga kerana ia mudah dilihat. Tambahan pula,
ancaman yang besar itu lazimnya akan melanda dan meranap dalam waktu yang
sekejap.
Betapa pun, ancaman yang kecil itu
punyai musibah yang sukar dikenalpasti kerana saiznya. Oleh kerana ia kecil, ia
bisa datang tanpa disedari untuk
menyusup masuk dan meruntuhkan apa sahaja dari dalam. Sesebuah organisasi
mungkin tidak tahui apa yang berlaku sehinggalah ia bergoyang dan tumbang.
Dalam pada itu, terdapat juga ancaman yang
kecil itu tiba dalam bentuk yang pelbagai. Oleh kerana ia kecil-kecil, ia tidak
dilihat sebagai berbahaya, sedangkan kesannya tidak kurang buruknya kepada sesebuah
organisasi itu.
Banyak organisasi yang besar-besar
tidak dapat melihat ancaman kecil tetapi yang pelbagai ini. Pimpinan organisasi
yang besar lazimnya masih lagi percaya,
hanya ancaman yang besar sahaja yang berbahaya dan perlu ditangani segera,
sedangkan yang kecil dianggap enteng, malah tidak diambil peduli langsung.
Padang permainan untuk mana-mana
jenis organisasi samada politik, pendidikan dan perniagaan misalnya sudah
banyak berubah. Manusia pada hari ini pula lebih berani memilih citarasa yang
tidak semestinya digemari oleh majoriti masyarakat. Hari ini diminati ramai,
esok tidak dipeduli lagi. Akibatnya, yang besar dan gah hari ini boleh
dilupakan hingga ia luput dari ingatan.
Daripada sudut organisasi politik
misalnya, parti Barisan Nasional adalah sebuah gabungan politik yang besar. Ia wujud
sejak tahun 1973 dan terkenal sebagai sebuah parti yang berjaya dengan rekod
yang cemerlang. Namun, BN mula digugat apabila munculnya gabungan parti-parti
kecil pada setiap kali pilihanraya. Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat iaitu
gabungan parti-parti politik pembangkang pernah menggugat Barisan Nasional pada
PRU ke-9.
Pada PRU berikutnya wujud pula Barisan
Alternatif dan diikuti dengan Pakatan Rakyat pada PRU ke-13. Dan kini wujud Pakatan
Harapan dan ada pula Gagasan Sejahtera. Kesemua gabungan ini dianggotai dengan
parti-parti yang kecil daripada segi saiz, namun tetap menggugat gergasi BN.
Daripada sudut pendidikan pula,
memang kita melihat sekolah arus perdana Kementerian Pendidikan adalah yang
terbesar. Namun, sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, jenis kebangsaan India,
sekolah agama rakyat dan sekolah-sekolah swasta, sekolah antarabangsa mahupun
sekolah agama swasta mempunyai pendekatan yang pelbagai. Walaupun ia perlu
mematuhi beberapa syarat dasar pendidikan, tetapi sekolah-sekolah aliran yang
lain itu telah merencamkan fikiran anak bangsa dengan tafsiran pemikiran yang mengancam
acuan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Ancaman kecil dalam dunia perniagaan
pula paling sengit. Banyak sekali organisasi besar yang runtuh kerana wujudnya
ancaman-ancaman kecil ini. Selama ini, perusahaan yang besar amat digeruni oleh
perusahaan yang kecil. Malah, terdapat istilah simbiosis perniagaan iaitu
betapa perusahaan kecil menjalankan kerjasama dengan perusahaan yang besar agar
berlakunya situasi menang-menang. Yang kecil lazimnya menghormati yang besar.
Kini tidak lagi. Yang kecil-kecil
biasanya mengancam industri yang besar. Pada hari ini, dengan modal kurang
RM1,000, sesiapa sahaja boleh membina industri yang boleh menandingi pemain
besar. Di negara kita sendiri, lihat sahaja saingan industri kecil produk konsumer samada
sabun, syampu, pewangi, minuman, biskut, kek, produk kesihatan, penerbitan buku
dan apa jua jenis pakaian. Kesemua pemain yang kecil-kecil ini sedang menggigit
kek pasaran segmen-segmen industri berkaitan dari pemain-pemin industri yang
besar lagi berpengalaman.
Si kecil yang memberi ancaman dan
seterusnya mengalahkan yang besar, sentiasa berlaku jika kita perhatikan pada
alam binatang. Semut dan lebah biasa mengalahkan binatang-binatang yang lebih
besar. Meskipun ia kecil, jumlahnya banyak. Ikan piranha juga menyerang dan mengalahkan
mangsa yang lebih besar kerana jumlahnya. Untuk diri kita sendiri pun, kita
kalah dengan kuman dan virus dan akhirnya menghidap penyakit kerana jumlahnya
begitu banyak menyerang tubuh.
Jadi, tiada hebatnya kegergasian
organisasi yang kita anggotai, samada ia entiti politik mahupun perniagaan. Ia bisa
dikalahkan pada bila-bila masa oleh yang kecil-kecil jika ditangani satu
persatu. Sedangkan yang kecil-kecil yang banyak jumlahnya itu perlu dirangkum
andainya ia mahu ditewaskan.
Jka kita berada di pihak yang kecil
pula, peluang untuk berjaya dalam apa jua bidang kini terbuka luas. Padang
permainan sudah berubah. Sesiapa sahaja yang berusaha akan berjaya. Sesiapa sahaja
yang alpa akan kecundang akhirnya.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.11.16.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.11.16.
No comments:
Post a Comment