Tuesday, January 30, 2018

AKIBAT BERHENTI MEMBACA


MASYARAKAT YANG LEMAU PEMIKIRAN

Tatkala menjalankan tugas, saya bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Biasa juga berdepan dengan berbagai kerenah dan bersemuka dengan bermacam tahap pemikiran. Saya selalu bertemu dengan anak muda yang pandai berhujah dan terjumpa juga dengan orang berusia yang bercakap macam budak-budak. Kesemuanya membuat saya pelik dan mula mengerti akan kata-kata orang dahulu, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.

Kadangkala saya berurusan dengan orang yang nampak selamba dan toya. Tetapi bila bercakap, ayat-ayatnya tersusun bagai sebuah teks ucapan yang betul nahunya. Ada ketikanya saya bercakap dengan individu yang tampak hebat lagi berpersonaliti. Bagaimana pun, apabila bertukar pendapat, kata-katanya begitu klise, yang saya pernah dengar di mana-mana.

Mengapa terjadi begitu? Mengapa usia itu tidak dapat mencerminkan tahap pemikiran seseorang? Bukankah sedari kecil, apabila seseorang itu memasuki tadika, dia dilatih untuk mengenal abjad dan hafal turutan nombor? Lazimnya hampir kesemua daripada mereka dapat mengenal dan menghafal abjad dan nombor-nombor itu.

Menginjak ke darjah satu, dua, tiga dan seterusnya… kesemua pelajar mendapat ilmu yang sama. UPSR menjadi pengukur tahap pemahaman mereka. Apabila memasuki sekolah menengah, ada pula PT3, SPM, STPM dan pelbagai peperiksaan yang menyeragamkan kesemua kefahaman para pelajar secara setara.

Di universiti pula, walaupun masing-masing mengambil jurusan yang berbeza, mereka kesemua akhirnya mempunyai kemahiran asas berfikir yang hampir serupa. Mereka terlatih dalam pemahaman dan kefahaman, berfikiran secara kritikal, menyelesai masalah, mentafsir, menganalisa dan merumus. Jadi, secara asasnya, apabila mereka keluar dari menara gading, masing-masing mempunyai aras pemikiran yang setara.

Sistem pelajaranlah yang menyelaraskan tahap pemikiran para pelajar mengikut usia. Sukatan pelajaran yang tertentu telah membentuk dan menjadi acuan agar kesemua mereka yang belajar hingga ke tahap universiti akan mempunyai satu aras pemikiran yang setara.

Jadi, mengapa juga kita akan terjumpa para pensyarah yang boleh tertipu dalam skim yang palsu? Mengapa kita temui ahli-ahli politik yang berhujah dengan alasan-alasan yang kartun? Bagaimana pula kita temui ahli perniagaan yang membina empayar dengan cara menipu dan tidak dengan cara menggembleng pemikiran intelektualnmya untuk memperoleh untung?

Setelah merenung, saya cenderung untuk mengatakan bahawa sebahagian besar mereka yang telah tamat zaman pendidikan masing-masing telah membuang buku jauh-jauh dari diri mereka. Pendekata, mereka tidak lagi mahu atau suka membaca. Keterujaan untuk menimba ilmu sudah tiada lagi dalam kamus hidup mereka. Akhirnya, usia mental mereka telah terhenti sebaik sahaja mereka mendapat segulung ijazah.

Keseronokan mencari ilmu sudah hilang dari sanubari mereka. Mata mereka lebih meliar bila berkunjung ke butik pakaian kerana riang melihat pelbagai jenis pakaian. Mereka terlalu seronok menatap menu sajian di restoran. Tetapi ramai ibubapa yang bertahap intelektual hanya membelek majalah di gedung-gedung buku sementara menanti si anak mendapatkan novel siri kegemarannya.

Keinginan untuk menambah ilmu sudah mati. Bila usia semakin lanjut dan ilmu tidak bertambah, otak yang ada semakin berkarat. Ia mudah lemah bila tidak diberi santapan minda berupa bahan-bahan bacaan. Akibatnya, sebilangan besar daripada mereka membuat keputusan hidup bersandarkan dengan apa yang orang lain lakukan. Bukan hasil dapatan original diri sendiri hasil dari bahan bacaan yang lain daripada orang lain.

Kita berdepan dengan masyarakat yang lemau pemikiran. Jika mereka setuju pada sesebuah pandangan, mereka akan mengulas balik apa yang mereka perolehi secara bombastik dan berlebih-lebihan umpama burung kakak tua. Sebaliknya jika mereka tidak setuju dengan sesebuah pendapat,  mereka bukannya memberi pandangan yang kontra terhadap pendapat itu. Sebaliknya, membelasah si pemberi pendapat itu sekali!

Tuesday, January 23, 2018

SIAPA MENANG?


APAKAH KITA AKAN DIKUASAI ROBOT?

Keutamaan di antara kualiti dan kuantiti sering diperdebatkan. Ada pandangan mengatakan, bila kita terlalu menitikberatkan kualiti, maka kita tidak akan dapat mencapai sasaran kuantiti. Sebaliknya, apabila kita menekankan kuantiti, maka kualiti pula terabai. Pendek kata, kualiti itu penting, tetapi ia melambatkan produktiviti. Kuantiti pula mustahak, tetapi kecepatan untuk meningkat kuantiti boleh menjadikan hasil yang tiada kualiti.

Bagaimana pun, kita hidup di dunia yang serba pantas. Kesemuanya menjadi cepat, kesemuanya mahu laju. Kenderaan dan lebuhraya menjadikan perhubungan kita dari sebuah tempat ke sebuah tempat menjadi sekejap. dunia komunikasi pula apatah lagi. Apa yang berlaku di hujung dunia dapat ditonton kita pada real time secara live. Malah, kita boleh tatap apa yang anak kita lakukan di luar negara pada bila-bila masa. Seolah-olah mereka berada di depan mata.

Di bidang pekerjaan, komputer mengganti mesin taip, mesin fotostat mengganti kertas karbon dan surat yang hendak dipos diganti dengan e-mel.  Semua kecepatan itu meningkatkan produktiviti. Teknologilah yang membolehkan kecepatan itu dapat dilakukan dengan tepat. Bidalan kata, biar lambat asal selamat sudah tidak relevan. Kini, kita boleh berkata, biar cepat asal selamat. Kuantiti dan kuantiti boleh seiring!

Bagaimana pun, manusia yang berdepan dengan teknologi yang pantas ini perlulah mengendalikan usahanya dengan lebih cekap. Jika kita lihat pekerja di sesebuah premis makanan segera, mereka bekerja pantas menyiapkan burger. Kita lihat cara kerja mereka semua adalah serupa. Mereka sudah melalui latihan prosedur operasi standard agar mereka menyiapkan hidangan mengikut disiplin dan tatakerja yang telah ditetapkan.

Jika salah seorang daripada mereka melanggar sistem yang telah ditentukan, seluruh operasi premis makanan segera itu akan terjejas. Penyediaan makanan boleh jadi lambat, hiasan pada hidangan tidak molek, pembungkusan juga menjadi tidak elok. Manusia juga, meskipun hidup di era yang serba pantas ini, mereka juga perlu bertindak mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Daripada satu segi, manusia memang merobotkan dirinya. Malah, sebahagian daripada kerja mereka bakal diganti dengan robot. 

Barangkali ramai yang tidak perasan akan kewujudan robot bernama Sophia. Robot yang dimajukan oleh Hanson Robotics, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong itu begitu canggih kerana boleh memimik 62 ekspresi pada wajahnya. Ia juga telah banyak kali ditemubual oleh media di merata dunia. Kepakaran pasukan penciptanya telah menjadikan Sophia bijak menjawab pelbagai soalan sepetah seorang manusia. Kelakar juga apabila negara Arab Saudi memberi kerakyatan Sophia pada tahun lalu!

Kita akan berdepan dengan pelbagai jenis robot pada masa hadapan. Meskipun pada hari ini kita mula berinteraksi dengan ciptaan yang punyai ciri-ciri robot seperti aplikasi GPS yang memberi arahan kepada perjalanan kita serta bersoal jawab dengan alat Google Home, kewujudan robot-robot yang mempunyai artificial inttelligence akan berada di sekeliling.

Berbeza daripada robot yang berbentuk robot seperti di filem Star Wars, robot pada hari esok akan punyai bentuk manusia seperti Sophia. Di kala itu, mahu tidak mahu kita akan berebut dengan robot-robot itu, misalnya, kita berebut menaiki MRT. Siapa tahu pada masa akan datang, apabila robot menjadi pembantu rumah, kita cemburu dengan robot yang pandai melayan kerenah anak hingga si anak lebih mendengar cakap robot daripada cakap kita.

Kita mungkin tertawa dengan keadaan ini. Dahulu, serba-serbi dirasakan hanya fantasi dan fiksi. Tetapi kini apa yang tertayang di filem bakal berlaku. Kita akan hidup dengan robot-robot ini. Kita akan bersaing, malah ada banyak kemungkinan yang menjadikan kita kalah dengan mereka!

Kerana itulah, siang-siang lagi kita perlu memahami akan kehadiran ciptaan berupa manusia ini. Ia dicipta sebagai alat, sebagai hamba kepada manusia. Tetapi, jika kita terpesona dan asyik dengan kepintaran palsu ciptaan itu, kehidupan kita akan tenggelam dalam ciptaan teknologi itu.

Sebagai manusia, kita masih khalifah di muka bumi. Meskipun kita tidak sepantas robot yang juga sejenis mesin untuk menghasilkan kerja yang berkualiti dan berkuantiti, kita punyai roh, punyai emosi, budi bicara dan cinta yang membezakan kita daripada ciptaan itu.
dede
Cuma, pengukur apakah kita akan menang atau tewas dengan mesin itu pada masa akan datang terletak pada telefon pintar. Apakah kita menguasai telefon itu atau telefon itu yang menguasai kita?

Insya-ALLAH artikle ini akan terbit i akhbar Sinar Harian pada

Tuesday, January 16, 2018

WAL HASIL BALIK ASAL


KENAPA MEMBAZIR SETELAH BERJIMAT?

Petang tadi, saya terpandang Erisya, anak staf saya sedang membuat latihan matematiknya. Bila emaknya tak dapat mengambilnya dari sekolah, ayahnya membawa Erisya ke pejabat sebagai tempat transit. Di sisi gadis sunti itu terdapat sebuah mesin kira. Hati kecil saya berkata, betapa mudah pelajar sekarang menyudahkan latihan matematiknya.

Sewaktu saya sekolah dahulu, saya menggunakan batang aiskrim sebagai alat mengira. Bukan saya sahaja, malah kawan-kawan sedarjah yang lain pun sama. Kami kutip batang-batang aiskrim yang bersepah di kawasan sekolah. Setelah dibasuh dan dijemur, kami gunakan ia sebagai alat mengira untuk menyudahkan latihan ilmu hisab.

Saya terfikir, kanak-kanak sekarang tidak mempelajari konsep campur, tolak, darab dan bahagi melalui jalan kerja yang panjang sepertimana saya dan mereka seangkatan dengan saya terokai. Cara yang kami lalui itu sukar dan cerewet. Tetapi cara itulah yang melekat di fikiran hingga ke hari ini. Saya faham mengapa dua kali lima jawabnya sepuluh kerana mengiranya satu demi satu menggunakan batang aiskrim. Pelajar sekarang tahu jawapannya sebab kalkulator memberi jawapan sebegitu!

Hidup kita pada hari ini memang dipermudahkan dengan pelbagai peralatan. Menggosok baju hanya menggunakan seterika elektrik. Tekan swis dan terus gosok pakaian. Di zaman membesar saya dahulu, emak membakar arang di dapur. Arang yang merah membara itu dimasukkan ke dalam seterika. Bila panas, baharulah menggosok pakaian. Seterika arang tiada termostat yang menganggar tahap kepanasan seterika. Bila baju yang digosok mula berbau hangit, emak akan renjis permukaan seterika untuk menyejukan sedikit permukaannya sebelum menggosok semula.

Pada hari ini juga, meskipun sudah ada mesin basuh, kian ramai di antara kita yang sanggup melepak di kedai-kedai dobi 24 jam. Baju yang dibasuh boleh terus dikeringkan. Tidak perlu terintai-intai ke luar tingkap melihat samada pakaian di jemuran dipanah matahari atau disimbahi hujan.

Bila teringin hendak makan apa sahaja, koyakkan sahaja pek-pek perencah anika jenis masakan. Dan, walla… kita boleh makan apa yang kita ingini. Andainya tidak mahu lakukan itu, buka sahaja grup Whatsapp bisnes dan pilih sahaja hidangan makan malam. Bukan piza dan burger sahaja yang ada penghantaran hingga ke rumah. Masakan ikan pari asam pedas pun sudah boleh dipesan. Tak perlu ke restoran.  Dalam masa tak sampai sejam, makanan sampai ke rumah.

Oleh kerana serba serbi menjadi mudah, hidup kita makin senang. Tetapi, seperti kata pepatah Inggeris, easy come, easy go. Mudah mendapat, senang juga ia dilupakan. Kehidupan kita yang dipermudahkan itu menjadikan kita tidak melalui fasa berusaha dan mencuba sebagai proses pembelajaran.

Tatkala berusaha itulah kita akan hadapi kesukaran. Kesukaran itu mengajar kita erti kesabaran. Kesabaran itu pula menjadikan kita orang yang tekun. Dan ketekunan itu membina peribadi yang kental.

Zaman di mana kita membina sahsiah diri dalam kehidupan seharian seperti  belajar memasak air, menanak nasi, membasuh, membilas dan memerah pakaian itu semuanya sudah berlalu. Jangan kita tanya hal-hal yang kian ramai kita tak pandai buat seperti menjahit butang, apatah lagi menjahit pakaian. Tidak usah kita tanya bagaimana pula menanam dan menjaga serai, ubi dan pisang. Entah-entah, kita tak pandai pun mencabut kemuncup di kaki seluar.

Kita telah lama tinggalkan zaman yang sukar. Zaman yang cerewet, apabila kita mengambil masa yang begitu lama untuk menyudahkan sesuatu. Dengan pelbagai peralatan elektronik dan elektrik, ditambah pula dengan teknologi komunikasi,  kita telah menjimatkan banyak masa. Malangnya, masa yang kita jimatkan itu dijolikan pula dengan pelbagai hal-hal yang akhirnya membuang masa.
Ertinya, masa yang dijimat itu dibuang. Wal hasil, balik asal! Back to square one!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.1.18.

Tuesday, January 9, 2018

SEBIJAK-BIJAK MANUSIA

-->
APAKAH KITA SEBENARNYA BIJAK?

SUDAH lebih seminggu bayaran tol di Batu Tiga telah dimansuhkan. Saban hari saya melalui plaza itu. Namun, masih terdapat kenderaan yang berhenti untuk membayar tol! Jika sebelum ini banyak juga kenderaan di belakang yang bagi can kepada mereka yang berhenti untuk membayar tol yang tiada, kelmarin ada kenderaan yang sudah membunyikan hon kepada yang memperlahankan kenderaan di plaza tol.

Mengapa ini terjadi? Yang pasti, plaza tol yang masih belum diruntuhkan itu telah menjadikan para pemandunya teragak-agak hingga memperlahankan kenderaan. Maklumlah, setelah berpuluh tahun mereka berhenti untuk membayar tol, ketiadaan tol itu umpama suatu kehilangan, seolah-olah mereka tidak boleh hidup tanpa tol.  Barangkali, seandainya palang tol dipasang kembali dan para pemandu perlu membayar tol, mungkin ramai yang tidak perasan pun kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu!

Inilah kesan conditioning daripada sudut psikologi. Ia adalah proses pembelajaran di mana sesuatu tabiat akan itu akan terpahat melalui hukuman dan hadiah. Dalam konteks ini, apabila mesin imbas di plaza tol digosok dengan kad Touch N Go, palang tol akan terangkat. Bila palang tol terpacak, si pemandu akan berasa lega kerana dapat meneruskan perjalanan.

Perlakuan ini dibuat dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan tahun demi tahun. Akhirnya, apabila tol dimansuh, itulah sebab mengapa sesetengah pemandu tak tahu nak buat apa apabila palang tol sudah tidak kelihatan! Seolah-olah si pemandu sudah menjadi pakar psikologi B.F. Skinner yang bereksperimen dengan sang tikus untuk menghidupkan teori Law of Effect melalui pengulangan. Cuma barangkali bagi situasi ini, si pemandu pula menjadi sang tikus kerana mereka adalah objek yang hidup!

Sebenarnya tanpa kita sedari, rutin seharian telah menjadikan kita bagai robot. Kita memberi reaksi yang serupa kepada sesuatu, oleh kerana kita bertindak seperti sudah diprogram. Lebih separuh daripada apa yang kita lakukan saban hari adalah perkara yang sama. Yang rutin. Bangun pagi, gosok gigi, mandi, minum, pergi kerja, makan tengahari, sambung kerja, balik kerja, mandi, tonton TV dan tidur. Semuanya sudah diatur. Jangan ada perbezaan yang sedikit seperti LRT rosak, kereta pamcit atau gerai makan tutup, kita akan panik dan haru-biru seperti robot yang terputus wayar. 

Tengoklah bagaimana kita melayani perisian Whatsapp… doa yang dikirim sahabat handai tidak dibaca tetapi dipadamkan kerana perasan doa yang sama telah dikirim semalam. Walhal, di antara kunci istiqamah ialah mengulang-ulang. Apa jua mesej atau video tular yang diterima akan dikirim kepada grup yang lain tanpa usul periksa kesahihannya.

Mungkin juga tak manis mengirim mesej tanpa meneliti apa yang sedang dibicarakan di grup lain. Entah-entah mereka semua saling mengucap takziah di atas peristiwa malang di antara ahli grup. Kita terus sahaja mengirim mesej atau video kartun hingga menyentap mereka yang sednag bersedih.

Kita menanti pengumuman penetapan harga minyak pada minggu itu. Samada minyak naik atau turun, kita berpusu-pusu untuk mengisi tangki pada malam Khamis hingga menyesakkan suasana di stesen minyak. Kita tidak sedar pola perlakuan kita ke stesen minyak bukan kerana mengambil peluang sebelum harganya naik pada keesokannya, tetapi akhirnya bila harga turun pun kita tetap ke stesen minyak kerana kali ini dengan alasan tidak mahu bersesak pada esok hari. Jika begitu, isilah pada bila-bila masa.

Kita tahu, kesan memakan makanan segera. Tetapi, setiap kali ada peluang makan di luar, ke situ jugalah tempat yang kita tuju. Kita biasa diingatkan mengenai ubat-ubatan yang perlu ada kelulusan Kementerian Kesihatan sebelum mengambilnya. Tetapi sebaik sahaja diperkenalkan produk baharu dengan riuh rendah dan sebegitu tularnya, kita beli juga sebab sudah punyai kelemahan membeli tanpa usul periksa.

Sesungguhnya kita perlu muhasabah diri. Di antara sebab mengapa kita sukar berubah ialah kerana kita sendiri tidak mahu menukar tabiat. Oleh itu, sekiranya kita asyik mengulangi tabiat yang sama, apakah kita ini orang yang bijak? Banyak robot yang tercipta pada hari ini punyai artificial intelligence. Apakah makin ramai di antara kita pula punyai intelligence yang artificial?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.1.18. 

Tuesday, January 2, 2018

MENGAPA KITA NI SUKA SANGAT DISPOON-FEED


BILA DAH DAPAT,
TAK MAU MENCARI LAGI

SEBENTAR tadi saya baharu berbual dengan Karen Jacobsen. Karen, wanita kelahiran Australia yang berambut perang ini adalah seorang penghibur, penceramah motivasi dan juga seorang penulis lirik. Ada kalanya saya ajak Karen menemani saya ke mana-mana apabila memandu bersendirian!
Di dalam kenderaan, biasanya, dialah yang banyak berceloteh. Lazimnya, saya mengiyakan sahaja ramahnya di dalam hati. Tetapi, ada ketikanya saya akan bertekak dengannya bila dia tak sabar menyuruh saya membelok, walhal simpang di depan masih jauh lagi. Akibat geram, selalu juga saya tengking menyuruh Karen diam. Namun, saya tak pernah mematikan perbualan kami begitu sahaja kerana saya amat perlukan kehadiran wanita manis ini di sisi.
Siapakah dia Karen Jacobsen? Kekasih gelap? Bukan. Teman sekerja? Juga bukan. Beliau adalah suara yang kita seringkali dengar apabila kita memasang GPS. Suara lembut tetapi tegas itu suara manusia rupanya, bukan suara yang diprogram melalui komputer.
Kadangkala, terbetik juga rasa ingin tahu siapakah tuan punya suara yang mengumumkan angka giliran di bank, pejabat pos dan lain-lain jabatan kerajaan. Atau suara wanita mat salih yang memberitahu jumlah bayaran parkir. Tetapi saya pernah terbaca salah satu suara yang mengumumkan lokasi perjalanan LRT di Kuala Lumpur itu milik aktres terkenal Yasmin Yusoff.
Mengapa saya bercerita mengenai hal ini? Saya menyentuh perkara ini kerana ingin berkongsi bagaimana internet boleh membantu kita mendapat jawapan kepada hampir semua perkara lahiriah yang tercetus di fikiran.
Meskipun ramai di antara kita sudah tahu hal ini, namun apa yang saya ingin utarakan ialah bagaimana internet melalui lebih satu bilion laman yang wujud itu telah membantu saya dalam pencarian ilmu dan pengetahuan. Apa yang tercetus di fikiran akan saya cari dan memperolehinya. Pendek kata saya gemar memburu ilmu.
Banyak pendapat yang mengatakan bahawa maklumat di internet itu tidak semestinya sahih. Kalau begitu, kebijaksanaan kita jugalah yang harus digunakan untuk mencari mana satu laman yang sahih maklumatnya dan mana satu laman yang menyediakan maklumat-maklumat mengarut.
Ada pihak yang mengatakan kebijaksanaan itu berkait rapat dengan pemikiran atau kemahiran intelektual. Ia benar, namun belum melengkapi. Kemahiran IQ yang di antaranya untuk bertindak balas dengan cepat, motivasi diri, peka diri dan suasana itu hanyalah sebahagian daripada kebijaksanaan.
Kita perlukan juga kemahiran emosi atau EQ yang turut mencakupi kepekaan dalam perhubungan, boleh bekerjasama dan menghormati perbezaan pandangan. Sementara itu, kemahiran spiritual atau SQ itu seperti sikap bersabar, bersyukur, memaafkan dan qanaah juga perlu menjadi ciri-ciri yang mencerminkan kebijaksanaan seseorang.
Tetapi, bagaimanakah seseorang itu memperoleh kesemua IQ, EQ dan SQ ini melainkan dengan tahu bagaimana cara dan di mana untuk mendapatkannya? Kepandaian mencari maklumat juga adalah sebahagian daripada kebijaksanaan. Kerana itu, kemahiran untuk menghafal, mentafsir, menghitung dan menterjemah itu sahaja tidak cukup melainkan dengan kebolehan untuk memperkembang apa jua kemahiran yang ada. Caranya ialah dengan mencari untuk menambah pengetahuan.
Pada hari ini kita tidak perlu mendapatkan pengetahuan asas dan awal mengenai sesuatu perkara melainkan dengan melayari internet. Kita boleh baca dan juga tonton apa yang kita ingin tahu bagi menambah pengetahuan. Inti daripada semua ini ialah rasa ingin mencari.
Kita tahu yang internet ini memperkenalkan kita dengan dunia teknologi maklumat. Namun, sebilangan daripada kita melihatnya sebagai kemudahan untuk memperoleh pengetahuan. Lebih malang lagi apabila ada yang menganggap internet ini adalah tempat untuk memperoleh cerita.
Maka, apabila kita membuka internet, melayari aplikasi Whatsapp, media sosial Facebook dan Twitter serta Instagram misalnya, kita hanya menerima sahaja apa yang terpapar. Apabila kita membuka internet mahupun aplikasi hanya untuk menerima apa yang sampai di skrin, kita makin malas mencari.
Akhirnya kita menjadi manusia yang lembab apabila hanya reti menerima. Kelemahan untuk menyaring, menafsir dan menaakul apa yang sampai di depan mata menjadikan manusia yang sudah tidak pandai mencari. Apabila kita sama seperti orang lain yang hanya tahu menerima, kita hilang naluri untuk memburu ilmu.
Konsep pencarian ilmu sudah lama ditinggalkan. Ini tidak bagus untuk perkembangan minda.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.1.18.