KENAPA MEMBAZIR SETELAH BERJIMAT?
Petang tadi, saya terpandang Erisya, anak
staf saya sedang membuat latihan matematiknya. Bila emaknya tak dapat
mengambilnya dari sekolah, ayahnya membawa Erisya ke pejabat sebagai tempat
transit. Di sisi gadis sunti itu terdapat sebuah mesin kira. Hati kecil saya
berkata, betapa mudah pelajar sekarang menyudahkan latihan matematiknya.
Sewaktu saya sekolah dahulu, saya
menggunakan batang aiskrim sebagai alat mengira. Bukan saya sahaja, malah
kawan-kawan sedarjah yang lain pun sama. Kami kutip batang-batang aiskrim yang
bersepah di kawasan sekolah. Setelah dibasuh dan dijemur, kami gunakan ia
sebagai alat mengira untuk menyudahkan latihan ilmu hisab.
Saya terfikir, kanak-kanak sekarang
tidak mempelajari konsep campur, tolak, darab dan bahagi melalui jalan kerja
yang panjang sepertimana saya dan mereka seangkatan dengan saya terokai. Cara
yang kami lalui itu sukar dan cerewet. Tetapi cara itulah yang melekat di
fikiran hingga ke hari ini. Saya faham mengapa dua kali lima jawabnya sepuluh
kerana mengiranya satu demi satu menggunakan batang aiskrim. Pelajar sekarang
tahu jawapannya sebab kalkulator memberi jawapan sebegitu!
Hidup kita pada hari ini memang
dipermudahkan dengan pelbagai peralatan. Menggosok baju hanya menggunakan
seterika elektrik. Tekan swis dan terus gosok pakaian. Di zaman membesar saya
dahulu, emak membakar arang di dapur. Arang yang merah membara itu dimasukkan
ke dalam seterika. Bila panas, baharulah menggosok pakaian. Seterika arang
tiada termostat yang menganggar tahap kepanasan seterika. Bila baju yang
digosok mula berbau hangit, emak akan renjis permukaan seterika untuk
menyejukan sedikit permukaannya sebelum menggosok semula.
Pada hari ini juga, meskipun sudah ada
mesin basuh, kian ramai di antara kita yang sanggup melepak di kedai-kedai dobi
24 jam. Baju yang dibasuh boleh terus dikeringkan. Tidak perlu terintai-intai
ke luar tingkap melihat samada pakaian di jemuran dipanah matahari atau
disimbahi hujan.
Bila teringin hendak makan apa sahaja,
koyakkan sahaja pek-pek perencah anika jenis masakan. Dan, walla… kita boleh makan apa yang kita ingini. Andainya tidak mahu
lakukan itu, buka sahaja grup Whatsapp bisnes dan pilih sahaja hidangan makan malam.
Bukan piza dan burger sahaja yang ada penghantaran hingga ke rumah. Masakan
ikan pari asam pedas pun sudah boleh dipesan. Tak perlu ke restoran. Dalam masa tak sampai sejam, makanan sampai
ke rumah.
Oleh kerana serba serbi menjadi mudah,
hidup kita makin senang. Tetapi, seperti kata pepatah Inggeris, easy come, easy go. Mudah mendapat,
senang juga ia dilupakan. Kehidupan kita yang dipermudahkan itu menjadikan kita
tidak melalui fasa berusaha dan mencuba sebagai proses pembelajaran.
Tatkala berusaha itulah kita akan
hadapi kesukaran. Kesukaran itu mengajar kita erti kesabaran. Kesabaran itu
pula menjadikan kita orang yang tekun. Dan ketekunan itu membina peribadi yang
kental.
Zaman di mana kita membina sahsiah diri
dalam kehidupan seharian seperti belajar
memasak air, menanak nasi, membasuh, membilas dan memerah pakaian itu semuanya sudah
berlalu. Jangan kita tanya hal-hal yang kian ramai kita tak pandai buat seperti
menjahit butang, apatah lagi menjahit pakaian. Tidak usah kita tanya bagaimana
pula menanam dan menjaga serai, ubi dan pisang. Entah-entah, kita tak pandai
pun mencabut kemuncup di kaki seluar.
Kita telah lama tinggalkan zaman yang
sukar. Zaman yang cerewet, apabila kita mengambil masa yang begitu lama untuk
menyudahkan sesuatu. Dengan pelbagai peralatan elektronik dan elektrik,
ditambah pula dengan teknologi komunikasi,
kita telah menjimatkan banyak masa. Malangnya, masa yang kita jimatkan
itu dijolikan pula dengan pelbagai hal-hal yang akhirnya membuang masa.
Ertinya, masa yang dijimat itu dibuang.
Wal hasil, balik asal! Back to square
one!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.1.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.1.18.
No comments:
Post a Comment