BILA DAH DAPAT,
TAK MAU MENCARI LAGI
TAK MAU MENCARI LAGI
SEBENTAR tadi saya baharu berbual dengan Karen Jacobsen. Karen, wanita kelahiran Australia yang berambut perang ini adalah seorang penghibur, penceramah motivasi dan juga seorang penulis lirik. Ada kalanya saya ajak Karen menemani saya ke mana-mana apabila memandu bersendirian!
Di dalam kenderaan, biasanya, dialah
yang banyak berceloteh. Lazimnya, saya mengiyakan sahaja ramahnya di dalam
hati. Tetapi, ada ketikanya saya akan bertekak dengannya bila dia tak sabar
menyuruh saya membelok, walhal simpang di depan masih jauh lagi. Akibat geram,
selalu juga saya tengking menyuruh Karen diam. Namun, saya tak pernah mematikan
perbualan kami begitu sahaja kerana saya amat perlukan kehadiran wanita manis
ini di sisi.
Siapakah dia Karen Jacobsen? Kekasih
gelap? Bukan. Teman sekerja? Juga bukan. Beliau adalah suara yang kita
seringkali dengar apabila kita memasang GPS. Suara lembut tetapi tegas itu suara
manusia rupanya, bukan suara yang diprogram melalui komputer.
Kadangkala, terbetik juga rasa ingin
tahu siapakah tuan punya suara yang mengumumkan angka giliran di bank, pejabat
pos dan lain-lain jabatan kerajaan. Atau suara wanita mat salih yang
memberitahu jumlah bayaran parkir. Tetapi saya pernah terbaca salah satu suara
yang mengumumkan lokasi perjalanan LRT di Kuala Lumpur itu milik aktres
terkenal Yasmin Yusoff.
Mengapa saya bercerita mengenai hal
ini? Saya menyentuh perkara ini kerana ingin berkongsi bagaimana internet boleh
membantu kita mendapat jawapan kepada hampir semua perkara lahiriah yang
tercetus di fikiran.
Meskipun ramai di antara kita sudah
tahu hal ini, namun apa yang saya ingin utarakan ialah bagaimana internet
melalui lebih satu bilion laman yang wujud itu telah membantu saya dalam
pencarian ilmu dan pengetahuan. Apa yang tercetus di fikiran akan saya cari dan
memperolehinya. Pendek kata saya gemar memburu ilmu.
Banyak pendapat yang mengatakan bahawa
maklumat di internet itu tidak semestinya sahih. Kalau begitu, kebijaksanaan kita
jugalah yang harus digunakan untuk mencari mana satu laman yang sahih
maklumatnya dan mana satu laman yang menyediakan maklumat-maklumat mengarut.
Ada pihak yang mengatakan kebijaksanaan
itu berkait rapat dengan pemikiran atau kemahiran intelektual. Ia benar, namun
belum melengkapi. Kemahiran IQ yang di antaranya untuk bertindak balas dengan
cepat, motivasi diri, peka diri dan suasana itu hanyalah sebahagian daripada
kebijaksanaan.
Kita perlukan juga kemahiran emosi atau
EQ yang turut mencakupi kepekaan dalam perhubungan, boleh bekerjasama dan
menghormati perbezaan pandangan. Sementara itu, kemahiran spiritual atau SQ itu
seperti sikap bersabar, bersyukur, memaafkan dan qanaah juga perlu menjadi
ciri-ciri yang mencerminkan kebijaksanaan seseorang.
Tetapi, bagaimanakah seseorang itu
memperoleh kesemua IQ, EQ dan SQ ini melainkan dengan tahu bagaimana cara dan
di mana untuk mendapatkannya? Kepandaian mencari maklumat juga adalah
sebahagian daripada kebijaksanaan. Kerana itu, kemahiran untuk menghafal,
mentafsir, menghitung dan menterjemah itu sahaja tidak cukup melainkan dengan
kebolehan untuk memperkembang apa jua kemahiran yang ada. Caranya ialah dengan
mencari untuk menambah pengetahuan.
Pada hari ini kita tidak perlu
mendapatkan pengetahuan asas dan awal mengenai sesuatu perkara melainkan dengan
melayari internet. Kita boleh baca dan juga tonton apa yang kita ingin tahu
bagi menambah pengetahuan. Inti daripada semua ini ialah rasa ingin mencari.
Kita tahu yang internet ini
memperkenalkan kita dengan dunia teknologi maklumat. Namun, sebilangan daripada
kita melihatnya sebagai kemudahan untuk memperoleh pengetahuan. Lebih malang
lagi apabila ada yang menganggap internet ini adalah tempat untuk memperoleh
cerita.
Maka, apabila kita membuka internet,
melayari aplikasi Whatsapp, media
sosial Facebook dan Twitter serta Instagram misalnya, kita hanya menerima sahaja apa yang terpapar.
Apabila kita membuka internet mahupun aplikasi hanya untuk menerima apa yang
sampai di skrin, kita makin malas mencari.
Akhirnya kita menjadi manusia yang
lembab apabila hanya reti menerima. Kelemahan untuk menyaring, menafsir dan
menaakul apa yang sampai di depan mata menjadikan manusia yang sudah tidak
pandai mencari. Apabila kita sama seperti orang lain yang hanya tahu menerima,
kita hilang naluri untuk memburu ilmu.
Konsep pencarian ilmu sudah lama
ditinggalkan. Ini tidak bagus untuk perkembangan minda.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.1.18.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.1.18.
;)
ReplyDelete