MASYARAKAT YANG LEMAU PEMIKIRAN
Tatkala
menjalankan tugas, saya bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Biasa juga
berdepan dengan berbagai kerenah dan bersemuka dengan bermacam tahap pemikiran.
Saya selalu bertemu dengan anak muda yang pandai berhujah dan terjumpa juga
dengan orang berusia yang bercakap macam budak-budak. Kesemuanya membuat saya
pelik dan mula mengerti akan kata-kata orang dahulu, kecil jangan disangka
anak, besar jangan disangka bapa.
Kadangkala
saya berurusan dengan orang yang nampak selamba dan toya. Tetapi bila bercakap,
ayat-ayatnya tersusun bagai sebuah teks ucapan yang betul nahunya. Ada
ketikanya saya bercakap dengan individu yang tampak hebat lagi berpersonaliti. Bagaimana
pun, apabila bertukar pendapat, kata-katanya begitu klise, yang saya pernah
dengar di mana-mana.
Mengapa
terjadi begitu? Mengapa usia itu tidak dapat mencerminkan tahap pemikiran
seseorang? Bukankah sedari kecil, apabila seseorang itu memasuki tadika, dia
dilatih untuk mengenal abjad dan hafal turutan nombor? Lazimnya hampir kesemua
daripada mereka dapat mengenal dan menghafal abjad dan nombor-nombor itu.
Menginjak
ke darjah satu, dua, tiga dan seterusnya… kesemua pelajar mendapat ilmu yang
sama. UPSR menjadi pengukur tahap pemahaman mereka. Apabila memasuki sekolah
menengah, ada pula PT3, SPM, STPM dan pelbagai peperiksaan yang menyeragamkan
kesemua kefahaman para pelajar secara setara.
Di
universiti pula, walaupun masing-masing mengambil jurusan yang berbeza, mereka
kesemua akhirnya mempunyai kemahiran asas berfikir yang hampir serupa. Mereka
terlatih dalam pemahaman dan kefahaman, berfikiran secara kritikal, menyelesai
masalah, mentafsir, menganalisa dan merumus. Jadi, secara asasnya, apabila mereka
keluar dari menara gading, masing-masing mempunyai aras pemikiran yang setara.
Sistem
pelajaranlah yang menyelaraskan tahap pemikiran para pelajar mengikut usia.
Sukatan pelajaran yang tertentu telah membentuk dan menjadi acuan agar kesemua
mereka yang belajar hingga ke tahap universiti akan mempunyai satu aras
pemikiran yang setara.
Jadi,
mengapa juga kita akan terjumpa para pensyarah yang boleh tertipu dalam skim
yang palsu? Mengapa kita temui ahli-ahli politik yang berhujah dengan
alasan-alasan yang kartun? Bagaimana pula kita temui ahli perniagaan yang
membina empayar dengan cara menipu dan tidak dengan cara menggembleng pemikiran
intelektualnmya untuk memperoleh untung?
Setelah
merenung, saya cenderung untuk mengatakan bahawa sebahagian besar mereka yang
telah tamat zaman pendidikan masing-masing telah membuang buku jauh-jauh dari
diri mereka. Pendekata, mereka tidak lagi mahu atau suka membaca. Keterujaan
untuk menimba ilmu sudah tiada lagi dalam kamus hidup mereka. Akhirnya, usia
mental mereka telah terhenti sebaik sahaja mereka mendapat segulung ijazah.
Keseronokan
mencari ilmu sudah hilang dari sanubari mereka. Mata mereka lebih meliar bila
berkunjung ke butik pakaian kerana riang melihat pelbagai jenis pakaian. Mereka
terlalu seronok menatap menu sajian di restoran. Tetapi ramai ibubapa yang
bertahap intelektual hanya membelek majalah di gedung-gedung buku sementara
menanti si anak mendapatkan novel siri kegemarannya.
Keinginan
untuk menambah ilmu sudah mati. Bila usia semakin lanjut dan ilmu tidak
bertambah, otak yang ada semakin berkarat. Ia mudah lemah bila tidak diberi
santapan minda berupa bahan-bahan bacaan. Akibatnya, sebilangan besar daripada
mereka membuat keputusan hidup bersandarkan dengan apa yang orang lain lakukan.
Bukan hasil dapatan original diri sendiri hasil dari bahan bacaan yang lain
daripada orang lain.
Kita
berdepan dengan masyarakat yang lemau pemikiran. Jika mereka setuju pada
sesebuah pandangan, mereka akan mengulas balik apa yang mereka perolehi secara
bombastik dan berlebih-lebihan umpama burung kakak tua. Sebaliknya jika mereka
tidak setuju dengan sesebuah pendapat,
mereka bukannya memberi pandangan yang kontra terhadap pendapat itu.
Sebaliknya, membelasah si pemberi pendapat itu sekali!
Assalamualaikum..
ReplyDeleteartikel yang baik tuan...keep it up
Terima kasih
Delete