Tuesday, March 28, 2017

BOS YANG BERJIWA PEKERJA




Piccredit: huffingtonpost.com


SATU KELAS BELAJAR DENGAN ANAK BUAH

MINGGU lepas saya menghadiri sebuah kursus pengurusan. Kursusnya ialah mengenai cara-cara meningkatkan prestasi kerja. Ia juga memberi panduan, bagaimanakah cara menjadi seorang pemimpin yang mampu memantau kerjanya dengan baik. Kursus itu turut memberi panduan bagaimanakah cara paling berkesan untuk menangani prestasi kerja anak-anak buah.

Seperti mana-mana kursus yang lain, saya lebih gemar mendengar dan menulis beberapa tip yang saya fikir berguna buat saya. Saya tidak mencatat segala-gala diconteng di papan putih atau yang ditutur penceramah seperti seorang siswa merakam percakapan seseorang pensyarah termasuk ‘err’ dan ‘ahnya.’

Bagi saya, kuliah sejam untuk sesebuah sesi  itu barangkali hanya memberi lima atau enam poin yang berguna buat saya. Apa yang saya rasa tidak penting, tidak akan saya catat. Apatah lagi, kursus yang dihadiri itu bukannya punyai ujian dengan pelbagai soalan dan mempunyai markah.

Secara berkala, kita perlu menghadiri kursus. Betapa pun, ramai yang lazimnya menganggap sesebuah kursus itu hanya berguna seandainya ia memberi sesuatu ilmu baharu. Anggapan sedemikian tidak tepat. Ilmu baharu, khususnya jika ia berkaitan dengan sesebuah pendekatan praktik mengenai sesuatu skop kerja itu sebenarnya hanyalah sudut pandang baharu mengenai sesuatu perkara. Ia baharu andai isinya berkaitan dengan hal-hal teknologi.

Kadangkala, sesuatu ilmu baharu itu tidak sempat dipelajari jika ia disampaikan dalam masa dua atau tiga hari. Lagi pula sering kali juga sesebuah ilmu baharu yang dipelajari di dalam sesebuah kursus itu tidak boleh dipraktikkan di alam pekerjaan, mungkin kerana kekurangan peralatan dan juga kefahaman. Justeru itu, kursus yang menyampaikan sesuatu ilmu baharu perlu diadakan dalam tempoh yang panjang. Mungkin juga modulnya dipecah-pecahkan ke beberapa sesi agar ilmunya boleh difahami dan dipraktikkan.

Dalam pada itu, ada juga di kalangan kita yang berandaian jika sesebuah kursus itu punyai isi yang lebih kurang dengan kursus sebelumnya, ia tidak bermakna langsung. Pandangan begini juga tidak tepat kerana kita tidak mungkin mendapat ilmu yang 100 peratus serupa, meskipun ia mengenai tajuk yang sama.

Penyampai yang berbeza mahupun kefahaman kita yang berlainan juga boleh menjadikan sesebuah kursus bermodul yang sama itu berbeza sama sekali nilai kefahaman walaupun jika kita menghadirinya buat kali kedua. Ia bagai memperoleh ilmu dari bacaan al-Quran. Surah dan ayat yang sama bisa mengubah pandangan kita terhadap erti sesebuah ayat itu apabila kita membacanya di waktu yang lain.

Menjelang tamat kursus pada hari yang pertama, penceramahnya  menemui saya lalu menyatakan bahawa kursus yang disampaikan itu lebih tertumpu untuk anak-anak buah saya. Ia bukannya khusus buat saya sebagai bosnya. Saya jawab yang saya tidak menghadiri kursus untuk bos-bos syarikat yang diadakan sebelum ini. Bagaimana pun, saya hadiri kursus ini bersama dengan anak-anak buah saya kerana dua perkara.

Pertama, saya inginkan ilmu yang disampaikan. Kedua, saya ingin mendalami penerimaan anak-anak buah saya terhadap kandungan kursus itu sendiri. Oleh kerana itu, saya tidak kisah seandainya berbincang sesama anak-anak buah saya di sepanjang kursus mereka sendiri.

Ada ketikanya, kita bukan sahaja perlu mengetahui apa yang dialami oleh mereka di bawah tanggungjawab kita. Tetapi, kita juga perlu sama-sama mempelajari apa yang anak-anak buah lalui demi mempunyai rasa empati terhadap mereka. Tambahan pula ia bagus untuk anak-anak buah apabila ketua mereka hadir sekursus dengan mereka.

Dalam kehidupan seharian pun, kita perlu mengambil tahu apa yang anak-anak kita belajar di sekolah. Juga kita perlu memahami apa yang diminati anak-anak kita samada ia adalah permainan sukan, minat hiburan, laman-laman sosial mereka dan juga fikrah yang sedang bercambah di minda mereka yang muda itu.

Dengan menaruh minat dan turut bergelumang di dalam dunia mereka, anak-anak akan lebih hormat dengan kita. Yang penting, kita kena cuba tahu apa yang mereka minati agar imej sebagai kita orang tua itu sentiasa positif dan dihormati anak-anak.

Di zaman ini, kita tidak boleh lagi menasihati anak-anak kita menyuruh mereka ‘belajar rajin-rajin, nanti lulus periksa,’ sepertimana yang ibubapa kita sering klisekan kepada kita di zaman persekolahan dahulu. Cara begitu akan membuat anak-anak sekarang mempersoalkan keprihatinan kita terhadap apa yang mereka lalui.


Dalam pada itu, kita bukan setakat perlu mengetahui apa yang anak-anak buah kita pelajari.  Sebaliknya, kita juga perlu ambil tahu apa ilmu yang dipelajari oleh bos atau pemimpin kita. Belajar ilmu orang bawah dan juga orang atasan. Sikap ini amat berguna kerana memahami apa yang bos kita pelajari itu boleh membuatkan kita faham pemikirannya. Apabila kita faham apa yang difikirkannya, akhirnya, kita boleh jadi bos sepertinya!

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.3.17.

Tuesday, March 21, 2017

BERTEKAK CARA TERKAWAL



Piccredit: sinarTV


DIALOG DAN DEBAT YANG SIHAT

MINGGU lepas, saya bertemu Hasbi yang baharu pertama kali mengerjakan umrah. Banyak cerita yang dibawanya. Hal kawasan Masjidilharam yang begitu luas, hal pelbagai gelagat umat dari merata dunia, hal betapa mudahnya menjamah kurma serta air zam-zam dan tidak ketinggalan juga suasana meriahnya kedai-kedai membeli-belah yang dibuka 24 jam sehari.

Dalam bercerita itu, Hasbi menceritakan kepada saya suatu peristiwa yang amat menakjubkannya. Ia bukanlah peristiwa keajaiban seperti yang banyak kita dengar daripada mereka yang pernah ke tanah suci itu. Sebaliknya, ia adalah insiden dua orang pak Arab yang bergaduh.

Ia terjadi di sebuah kedai yang menjual pelbagai minyak wangi di antara si penjual dan si pembeli. Entah di mana puncanya, sedang Hasbi asyik membelek minyak wangi, dia terdengar pertengkaran di antara dua orang pak Arab. Kelihatan si pembeli sedang berkata sesuatu  kepada si pembeli.

Kata Hasbi, mungkin si pembeli tidak puashati dengan kualiti minyak wangi yang ingin dibelinya sedangkan si penjual cuba menyakinkan si pembeli hingga kedua-duanya meninggikan suara. Pertengkaran kedua-duanya mengundang perhatian mereka yang lalu lalang di hadapan kedai itu.

Hasbi mengagak, pasti pergelutan akan terjadi. Lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya saling mendekati hingga hampir hidung bertemu hidung. Namun tiba-tiba, si penjual mengucapkan salam dan selawat ‘salluna alan nabi’ kepada si pembeli. Si pembeli turut berselawat dan kedua-duanya berpeluk-pelukan dan berlaga pipi. Si pembeli terus membayar harga minyak wangi yang sebelum ini dikritiknya dan diterima oleh si penjual dengan senyum lebar.

Hasbi kagum bagaimana pertengkaran yang gamat itu boleh tiba-tiba kendur dan hilang seperti api yang padam apabila disirami air. Begitulah budaya orang Arab. Pada zahirnya kelihatan kasar dan celupar. Tetapi, mereka boleh saling memaaf dan melupakan apabila bertukar selawat.

Andainya ia terjadi di negara ini, hampir pasti pergaduhan, pergelutan dan mungkin juga mengakibatkan kecederaan kepada kedua-dua pihak. Kerana itu, apabila sesuatu disuarakan secara terbuka, kejadian yang tidak diingini boleh berlaku di luar  jangkaan.

Orang kita lazimnya tidak sukakan konflik. Mereka akan cuba mengelaknya. Apabila melihat sesuatu hal yang tidak elok di mata, kita lebih suka mendiamkan diri atau buat-buat tak nampak. Ataupun kita lebih suka membungkam perasaan. Membiarkan perkara yang tidak baik terus berlaku. Jika menegur pun hanya secara berbisik-bisik sesama sendiri. Kalau tidak pun hanya berani bercakap lantang di belakang.

Bila kita bercakap di belakang, masalah tidak akan selesai kerana orang yang diperkatakan itu tidak dengar pun teguran yang dibuat. Kerana itu dia tidak berubah kerana teguran itu sendiri tidak sampai ke pengetahuannya.
Namun, masyarakat kita kian berubah. Kita makin terbuka dengan arus perubahan yang berlaku di sekeliling, malah di seluruh dunia. Kita mula belajar dan terdedah kepada pendekatan keterbukaan. Tidak boleh tidak, kita dipengaruhi dengan pemikiran kritikal dan juga pertuturan kritis.

Jika sebelum ini, teguran untuk memperbetul kesilapan sesama kita jarang sekali terjadi. Kini ia mula menjadi kebiasaan. Benar… terdapat juga di kalangan kita yang sudah terlalu terbuka hingga bercakap dengan bahasa yang celupar dan kesat. Bukan untuk menegur, tetapi untuk membelasah cukup-cukup sesuatu kesilapan itu.
Dalam pada itu, kita mula terbiasa dengan cara menegur secara terbuka, tepat, lantang tetapi berhemah. Ia bisa terjadi secara informal dalam bentuk pertengkaran atau bertekak. Bagaimana pun, cara yang bersifat formal serta tertib berlaku dalam format berforum, berwacana, berdebat mahupun berdialog.

Masyarakat yang ingin matang dalam menangani perbezaan pendapat perlulah menyuburkan interaksi sebegini. Ia sihat kerana perbezaan lazimnya menimbulkan pergeseran. Pergeseran pula melahirkan tenaga. Dan, tenaga itulah yang jika dipupuk dengan baik, ia akan melahirkan suatu pandangan yang akhirnya membina masyarakat.


Mustahil, perbezaan pendapat yang diadakan dalam bentuk dan suasana terkawal yang boleh disaksikan oleh jutaan pasang mata boleh mengakibatkan kerosakan dan rusuhan. Mereka yang terlibat itu sendiri akan mendapat malu apabila berkelakuan barbarik sebegitu. Yang menganjur pun tentu sudah mengambilkira risiko yang bakal terjadi dan mengawal suasana agar yang panas tidak jadi berapi.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.3.17.

Tuesday, March 14, 2017

PENANGAN LIKE FACEBOOK




Piccredit: techworldinfotech.com

TAK JUJUR BILA BERBUAT BAIK

PUJIAN adalah reaksi seseorang yang memandang tinggi dengan pendirian atau tindakan yang telah kita lakukan. Lagi tinggi penghormatan mahupun persetujuan seseorang itu terhadap perlakuan baik kita, lagi tinggi melangitlah pujiannya. Kita lazimnya akan kembang hidung apabila dipuji.

Proses mendidik anak menggunakan pujian sebagai cara menggalak seseorang anak itu mengekal atau memperbanyakkan sesuatu sikap yang baik. Apabila dipuji, seseorang anak itu belajar bahawa apa yang dilakukannya itu adalah baik. Si anak akan mengulangi perlakuan yang menerima pujian bagi mengesahkan kepada dirinya bahawa ia adalah suatu perbuatan yang disukai.

Si anak yang mahu keseronokan dipuji itu akan mengulangi perbuatan yang menerima pujian itu. Misalnya, seorang anak yang pandai bertepuk tangan, akan menerimna pujian dari ibunya. Pujian ini menggembirakannya. Kerana suka, si anak akan bertepuk tangan lagi untuk dipuji dan dipuji lagi.

Bagaimana pun, pujian itu ibarat gula. Demikian rumusan Dr. Richard Bailey dari Universiti Oxford. Katanya, jika pujian diberi secara berpatutan, ia adalah sesuatu yang membahagiakan. Sebaliknya, jika dilakukan secara berlebih-lebihan, ia akan merosakkan. Benar, katanya.

Pujian yang melampau juga boleh menjadi suatu ketagihan. Orang yang menerima pujian yang berlebih-lebihan akhirnya melakukan sesuatu yang baik itu bukannya kerana dia bersikap sebegitu. Sebaliknya dia berbuat baik kerana mahukan pujian. Apakah seseorang itu jujur seandainya dia melakukan sesuatu semata-mata kerana mahukan pujian? Sudah tentu kita katakan tidak!

Jika begitu, kita kenalah berhati-hati. Kerana, akhir-akhir ini tanpa kita sedari, kita banyak kali juga melakukan sesuatu kebaikan bukannya untuk memperoleh pahala. Sebaliknya melakukan kebaikan kerana mahu dipuji. Bagaimana boleh jadi begitu? Facebook!

Kini kita mungkin perasan betapa Facebook membuat kita suka melakukan sesuatu yang baik itu bukan kerana mahu menyenang atau membahagiakan orang lain. Sebaliknya kerana mahu dipuji! Andainya anda belum perasan lagi, biarlah saya katakan sikap kita yang suka dipuji ini disebabkan oleh butang ‘like.’

Apabila Mark Zukerberg, tauke Facebook memperkenalkan butang ‘like,’ ia bertujuan supaya seseorang yang membaca status kita boleh memberi reaksi. Butang itu sebenarnya membolehkan status yang dipaparkan itu masuk ke dalam newsfeed kita apabila menekan butangnya. Ia diprogram agar mereka yang kita ‘like’ itu akan mudah hadir di depan mata apabila kita membuka laman sosial itu di lain waktu.

Bagaimana pun, ramai yang silap apabila mentafsir butang ‘like’ itu hanya menandakan seseorang itu menyukai apa yang kita catatkan. Walhal untuk Facebook, ia bertujuan untuk mengumpul data interaksi sesama individu, yang punyai minat yang sama, yang sekepala, yang sestatus agar mudah Facebook membuat psikografik pengiklanannya.

Sebaliknya, kita hanya melihat butang ‘like’ itu semata-mata sebagai tahap pengukur kebaikan atau kebagusan kita. Apabila kita terpesona dengan berapa banyaknya ‘like’ sebagai petanda kepopularan, maka kita mula menaikkan sesuatu status semata-mata kerana mahukan pujian.

Kita membanding-bandingkan ‘like’ kita dengan ‘like’ orang. Kita muram bila hanya memperoleh dua ‘like’ untuk sebuah status yang kita paparkan. Dan kita berasa iri hati apabila ‘like’ orang lain itu berpuluh, malah baratus-ratus jumlahnya. Kerana itu, sudah timbul tren di mana ada di kalangan kita yang akan mengugut kawan-kawan supaya ‘like’ apa yang dipaparkan. Malah, ada yang beri amaran sanggup putus kawan jika mereka senyap sunyi tidak memberi reaksi terhadap apa yang dipaparkan.

Helo… di dunia nyata, kita tidak akan sekali-kali membuang kawan semata-mata kerana mereka tidak menjawab salam kita, tak hadir kenduri atau tak ziarah tatkala kita terbaring di hospital. Mengapa pula di dunia siber, kita sanggup buang kawan? Apakah kita punyai dua darjat perhubungan? Lain kawan di alam siber, lain kawan di alam nyata.

Oh, mungkin kita bertindak begitu kepada kawan-kawan di Facebook kerana kita tak kenal pun mereka walaupun setelah menerima mereka sebagai kawan. Maka, apabila kita mudah menerima mereka, maka dengan mudah juga kita membuang mereka. Rupa-rupanya silap kita juga kerana tidak berhati-hati memilih kawan selama ini. Nampaknya, kita juga tidak serius hendak berkawan dengan mereka.

Jika begitu, jangan terkejut jika kita dapati ada di antara kawan yang sudah membuang kita sebagai kawannya!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.3.17.

Tuesday, March 7, 2017

KALAU TAK TAHU, BAIK DIAM



Piccredit: bbc.com

JANGAN JADI NASI TAMBAH

PEMBUNUHAN Kim Jong Nam di KLIA2 pada 13 Februari lalu telah menambah satu lagi insiden buruk yang melanda negara. Sebelum ini, kita telah berdepan dengan pelbagai tragedi-tragedi besar yang mendapat perhatian dunia.

Serangan di Lahad Datu pada 2013,  kehilangan kapalterbang MH370 dan MH, kedua-duanya pada 2014, dan kini pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara Kim Jong Un membuka lembaran intrig di persada antarabangsa. Tiada sesiapa pun yang suka Malaysia menjadi perhatian dunia kerana insiden-insiden buruknya.

Namun, ia mencatat sejarah negara bahawa kita juga pernah berdepan dengan pelbagai malapetaka berskala besar yang negara lain hadapi. Kita biasa berdepan dengan banjir, gempa bumi, bangunan runtuh, tsunami dan ribut kecil.

Mudah-mudahan, kita tidak berdepan dengan malapetaka yang lebih buruk daripada apa yang kita telah dan sedang alami. Untuk itu, kita perlu sama-sama berdoa agar terhindar daripada kesukaran ini.

Peristiwa pembunuhan Kim Jong Nam melibatkan dua buah negara. Setelah masing-masing menunjukkan ketegasan, nampaknya kemelut ini akan berpanjangan. Ia mungkin mengundang campurtangan negara lain. Apa-apa sahaja boleh terjadi samada menjadi jernih mahupun sebaliknya.

Dalam pada itu, kita sebagai rakyat perlu memainkan peranan yang sewajarnya. Cara yang paling berkesan ialah menghormati tugas mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk menangani masalah ini. Ini adalah soal jenayah yang bersangkut paut dengan hal-hal diplomatik di antara dua negara.

Mereka yang menjalankan tanggungjawab itu tidak perlulah diasak dengan pelbagai pandangan yang tidak membantu menyelesaikan masalah yang ada. Kita tidak boleh main-main dengan kekuatan media sosial. Satu sahaja perbuatan ikut suka atau seronok-seronok yang dilakukan, yang kemudiannya menjadi tular, boleh dihidu dalam waktu yang singkat.
Akhirnya ia boleh menyukarkan kerja mereka yang bertanggungjawab. Tidak molek seandainya mana-mana individu atau kumpulan, atas nama kebebasan bersuara, kebebasan  menuntut keadilan, memandai-mandai menuntut itu dan ini kepada pihak Korea Utara. Niat kita mungkin baik, tetapi persepsi pihak yang menerimanya mungkin sebaliknya.

Tidak cantik seandainya ada mana-mana orang politik yang ingin angkat bakul menjadi hero lalu menggunakan mulut laser untuk menangguk undi. Mudah sangat mengeluarkan kritik ke atas pihak yang bertanggungjawab kononnya menyelesaikan kemelut ini menurut pandangan mereka. Pandangan negatif atau mencabar mereka ini tidak diperlukan sama sekali pada saat dan ketika ini.

Kita sebagai warga negara Malaysia, perlu faham dan sedar di mana waktu dan ketikanya yang wajar kita suarakan komen-komen sinis. Pemimpin-pemimpin yang ada adalah pemimpin negara yang dipilih mengikut lunas demokrasi.  Meskipun ada sisi-sisi mereka yang kita tidak senangi, kita perlu beri ruang dan peluang kepada mereka untuk menonjolkan sisi-sisi hebat mereka.

Bukankah kita sendiri begitu? Kita ada sisi baik dan sisi buruk. Sisi cantik dan sisi hodoh. Kita lahir dengan pakej yang tidak sempurna sebagai manusia.  Bagaimana jika orang di sekeliling kita menolak kita secara total semata-mata kerana kita punyai beberapa perangai buruk?

Apa perasaan kita seandainya mereka di sekeliling kita melihat apa sahaja yang kita lakukan untuk kebaikan mengada-ada, palsu, menunjuk-nunjuk, riak, ujub dan apa-apa sahaja yang negatif. Mereka tidak nampak satu pun kebaikan kita semata-mata kerana satu kesalahan yang telah kita lakukan.

Berbalik pada kemelut yang sedang kita hadapi, cara yang paling bagus ialah mengikuti perkembangan dengan tenang. Kita boleh mengeluarkan pendapat yang berbeza, tetapi tidak perlulah pandangan itu diangkat seolah-olah ia adalah pendapat yang perlu didengar dan ditunaikan oleh pihak yang berwajib.

Kita tidak wajar menjadi nasi tambah dalam hal-hal yang serius sebegini. Ikut sahaja adab yang dibawa Rasulullah saw: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.” (Al-Bukhari)

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.3.17.