Piccredit: sinarTV
DIALOG DAN DEBAT YANG SIHAT
MINGGU lepas, saya bertemu Hasbi yang baharu pertama kali mengerjakan umrah. Banyak
cerita yang dibawanya. Hal kawasan Masjidilharam yang begitu luas, hal pelbagai
gelagat umat dari merata dunia, hal betapa mudahnya menjamah kurma serta air
zam-zam dan tidak ketinggalan juga suasana meriahnya kedai-kedai membeli-belah
yang dibuka 24 jam sehari.
Dalam
bercerita itu, Hasbi menceritakan kepada saya suatu peristiwa yang amat
menakjubkannya. Ia bukanlah peristiwa keajaiban seperti yang banyak kita dengar
daripada mereka yang pernah ke tanah suci itu. Sebaliknya, ia adalah insiden
dua orang pak Arab yang bergaduh.
Ia
terjadi di sebuah kedai yang menjual pelbagai minyak wangi di antara si penjual
dan si pembeli. Entah di mana puncanya, sedang Hasbi asyik membelek minyak
wangi, dia terdengar pertengkaran di antara dua orang pak Arab. Kelihatan si
pembeli sedang berkata sesuatu kepada si
pembeli.
Kata
Hasbi, mungkin si pembeli tidak puashati dengan kualiti minyak wangi yang ingin
dibelinya sedangkan si penjual cuba menyakinkan si pembeli hingga kedua-duanya
meninggikan suara. Pertengkaran kedua-duanya mengundang perhatian mereka yang
lalu lalang di hadapan kedai itu.
Hasbi
mengagak, pasti pergelutan akan terjadi. Lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya
saling mendekati hingga hampir hidung bertemu hidung. Namun tiba-tiba, si
penjual mengucapkan salam dan selawat ‘salluna alan nabi’ kepada si pembeli. Si
pembeli turut berselawat dan kedua-duanya berpeluk-pelukan dan berlaga pipi. Si
pembeli terus membayar harga minyak wangi yang sebelum ini dikritiknya dan
diterima oleh si penjual dengan senyum lebar.
Hasbi
kagum bagaimana pertengkaran yang gamat itu boleh tiba-tiba kendur dan hilang
seperti api yang padam apabila disirami air. Begitulah budaya orang Arab. Pada
zahirnya kelihatan kasar dan celupar. Tetapi, mereka boleh saling memaaf dan
melupakan apabila bertukar selawat.
Andainya
ia terjadi di negara ini, hampir pasti pergaduhan, pergelutan dan mungkin juga
mengakibatkan kecederaan kepada kedua-dua pihak. Kerana itu, apabila sesuatu
disuarakan secara terbuka, kejadian yang tidak diingini boleh berlaku di
luar jangkaan.
Orang
kita lazimnya tidak sukakan konflik. Mereka akan cuba mengelaknya. Apabila
melihat sesuatu hal yang tidak elok di mata, kita lebih suka mendiamkan diri
atau buat-buat tak nampak. Ataupun kita lebih suka membungkam perasaan.
Membiarkan perkara yang tidak baik terus berlaku. Jika menegur pun hanya secara
berbisik-bisik sesama sendiri. Kalau tidak pun hanya berani bercakap lantang di
belakang.
Bila
kita bercakap di belakang, masalah tidak akan selesai kerana orang yang
diperkatakan itu tidak dengar pun teguran yang dibuat. Kerana itu dia tidak
berubah kerana teguran itu sendiri tidak sampai ke pengetahuannya.
Namun,
masyarakat kita kian berubah. Kita makin terbuka dengan arus perubahan yang
berlaku di sekeliling, malah di seluruh dunia. Kita mula belajar dan terdedah
kepada pendekatan keterbukaan. Tidak boleh tidak, kita dipengaruhi dengan
pemikiran kritikal dan juga pertuturan kritis.
Jika
sebelum ini, teguran untuk memperbetul kesilapan sesama kita jarang sekali
terjadi. Kini ia mula menjadi kebiasaan. Benar… terdapat juga di kalangan kita
yang sudah terlalu terbuka hingga bercakap dengan bahasa yang celupar dan
kesat. Bukan untuk menegur, tetapi untuk membelasah cukup-cukup sesuatu
kesilapan itu.
Dalam
pada itu, kita mula terbiasa dengan cara menegur secara terbuka, tepat, lantang
tetapi berhemah. Ia bisa terjadi secara informal dalam bentuk pertengkaran atau
bertekak. Bagaimana pun, cara yang bersifat formal serta tertib berlaku dalam
format berforum, berwacana, berdebat mahupun berdialog.
Masyarakat
yang ingin matang dalam menangani perbezaan pendapat perlulah menyuburkan interaksi
sebegini. Ia sihat kerana perbezaan lazimnya menimbulkan pergeseran. Pergeseran
pula melahirkan tenaga. Dan, tenaga itulah yang jika dipupuk dengan baik, ia
akan melahirkan suatu pandangan yang akhirnya membina masyarakat.
Mustahil,
perbezaan pendapat yang diadakan dalam bentuk dan suasana terkawal yang boleh
disaksikan oleh jutaan pasang mata boleh mengakibatkan kerosakan dan rusuhan.
Mereka yang terlibat itu sendiri akan mendapat malu apabila berkelakuan
barbarik sebegitu. Yang menganjur pun tentu sudah mengambilkira risiko yang bakal
terjadi dan mengawal suasana agar yang panas tidak jadi berapi.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.3.17.
No comments:
Post a Comment