Piccredit: huffingtonpost.com
SATU KELAS BELAJAR DENGAN ANAK BUAH
MINGGU lepas saya menghadiri sebuah kursus pengurusan. Kursusnya ialah mengenai
cara-cara meningkatkan prestasi kerja. Ia juga memberi panduan, bagaimanakah
cara menjadi seorang pemimpin yang mampu memantau kerjanya dengan baik. Kursus
itu turut memberi panduan bagaimanakah cara paling berkesan untuk menangani prestasi
kerja anak-anak buah.
Seperti
mana-mana kursus yang lain, saya lebih gemar mendengar dan menulis beberapa tip
yang saya fikir berguna buat saya. Saya tidak mencatat segala-gala diconteng di
papan putih atau yang ditutur penceramah seperti seorang siswa merakam
percakapan seseorang pensyarah termasuk ‘err’ dan ‘ahnya.’
Bagi
saya, kuliah sejam untuk sesebuah sesi itu barangkali hanya memberi lima atau enam poin
yang berguna buat saya. Apa yang saya rasa tidak penting, tidak akan saya
catat. Apatah lagi, kursus yang dihadiri itu bukannya punyai ujian dengan
pelbagai soalan dan mempunyai markah.
Secara
berkala, kita perlu menghadiri kursus. Betapa pun, ramai yang lazimnya menganggap
sesebuah kursus itu hanya berguna seandainya ia memberi sesuatu ilmu baharu. Anggapan
sedemikian tidak tepat. Ilmu baharu, khususnya jika ia berkaitan dengan
sesebuah pendekatan praktik mengenai sesuatu skop kerja itu sebenarnya hanyalah
sudut pandang baharu mengenai sesuatu perkara. Ia baharu andai isinya berkaitan
dengan hal-hal teknologi.
Kadangkala,
sesuatu ilmu baharu itu tidak sempat dipelajari jika ia disampaikan dalam masa
dua atau tiga hari. Lagi pula sering kali juga sesebuah ilmu baharu yang dipelajari
di dalam sesebuah kursus itu tidak boleh dipraktikkan di alam pekerjaan,
mungkin kerana kekurangan peralatan dan juga kefahaman. Justeru itu, kursus yang
menyampaikan sesuatu ilmu baharu perlu diadakan dalam tempoh yang panjang.
Mungkin juga modulnya dipecah-pecahkan ke beberapa sesi agar ilmunya boleh
difahami dan dipraktikkan.
Dalam
pada itu, ada juga di kalangan kita yang berandaian jika sesebuah kursus itu
punyai isi yang lebih kurang dengan kursus sebelumnya, ia tidak bermakna
langsung. Pandangan begini juga tidak tepat kerana kita tidak mungkin mendapat
ilmu yang 100 peratus serupa, meskipun ia mengenai tajuk yang sama.
Penyampai
yang berbeza mahupun kefahaman kita yang berlainan juga boleh menjadikan
sesebuah kursus bermodul yang sama itu berbeza sama sekali nilai kefahaman
walaupun jika kita menghadirinya buat kali kedua. Ia bagai memperoleh ilmu dari
bacaan al-Quran. Surah dan ayat yang sama bisa mengubah pandangan kita terhadap
erti sesebuah ayat itu apabila kita membacanya di waktu yang lain.
Menjelang
tamat kursus pada hari yang pertama, penceramahnya menemui saya lalu menyatakan bahawa kursus
yang disampaikan itu lebih tertumpu untuk anak-anak buah saya. Ia bukannya
khusus buat saya sebagai bosnya. Saya jawab yang saya tidak menghadiri kursus untuk
bos-bos syarikat yang diadakan sebelum ini. Bagaimana pun, saya hadiri kursus
ini bersama dengan anak-anak buah saya kerana dua perkara.
Pertama,
saya inginkan ilmu yang disampaikan. Kedua, saya ingin mendalami penerimaan
anak-anak buah saya terhadap kandungan kursus itu sendiri. Oleh kerana itu,
saya tidak kisah seandainya berbincang sesama anak-anak buah saya di sepanjang kursus
mereka sendiri.
Ada
ketikanya, kita bukan sahaja perlu mengetahui apa yang dialami oleh mereka di
bawah tanggungjawab kita. Tetapi, kita juga perlu sama-sama mempelajari apa
yang anak-anak buah lalui demi mempunyai rasa empati terhadap mereka. Tambahan pula
ia bagus untuk anak-anak buah apabila ketua mereka hadir sekursus dengan mereka.
Dalam
kehidupan seharian pun, kita perlu mengambil tahu apa yang anak-anak kita
belajar di sekolah. Juga kita perlu memahami apa yang diminati anak-anak kita
samada ia adalah permainan sukan, minat hiburan, laman-laman sosial mereka dan
juga fikrah yang sedang bercambah di minda mereka yang muda itu.
Dengan
menaruh minat dan turut bergelumang di dalam dunia mereka, anak-anak akan lebih
hormat dengan kita. Yang penting, kita kena cuba tahu apa yang mereka minati
agar imej sebagai kita orang tua itu sentiasa positif dan dihormati anak-anak.
Di
zaman ini, kita tidak boleh lagi menasihati anak-anak kita menyuruh mereka ‘belajar
rajin-rajin, nanti lulus periksa,’ sepertimana yang ibubapa kita sering
klisekan kepada kita di zaman persekolahan dahulu. Cara begitu akan membuat
anak-anak sekarang mempersoalkan keprihatinan kita terhadap apa yang mereka
lalui.
Dalam
pada itu, kita bukan setakat perlu mengetahui apa yang anak-anak buah kita
pelajari. Sebaliknya, kita juga perlu
ambil tahu apa ilmu yang dipelajari oleh bos atau pemimpin kita. Belajar ilmu
orang bawah dan juga orang atasan. Sikap ini amat berguna kerana memahami apa
yang bos kita pelajari itu boleh membuatkan kita faham pemikirannya. Apabila
kita faham apa yang difikirkannya, akhirnya, kita boleh jadi bos sepertinya!
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.3.17.
No comments:
Post a Comment