Tuesday, June 28, 2011

YANG BISING, YANG SEPI






Photo credit: bilerico.com

SILENT MAJORITY
vs
VOCAL MINORITY

SILENT majority ~ majoriti senyap; vocal minority ~ minoriti vokal. Kedua-dua golongan ini wujud dalam masyarakat. Majoriti senyap adalah anggota masyarakat di dalam sesebuah negara mahupun kelompok yang tidak menzahirkan pendapat mereka secara terbuka. Mereka lebih suka berdiam diri.

Frasa majoriti senyap mula digunakan pada abad ke-19. Ketika itu frasa majoriti senyap membawa maksud yang berbeza daripada sekarang. Pada ketika itu, majoriti senyap membawa maksud mereka yang telah meninggal dunia. Pada tahun 60an, frasa ini menjadi popular apabila Richard M. Nixon, Presiden Amerika yang ke-37, memuji rakyat Amerika yang tidak berdemonstrasi menentang peperangan Vietnam sebagai ‘the great silent majority.’

Berbeza dengan majoriti senyap, kumpulan minoriti vokal pula lebih kecil. Sebagai kumpulan yang kecil, mereka lebih jelekit dan menonjolkan identiti yang tersendiri melalui jargon pertuturan dan paling menyerlah ialah penampilan fizikal melalui cara berpakaian. Kerana mereka kecil, mereka lebih sepakat dan lebih berbangga dengan kumpulan mereka.

Kumpulan-kumpulan minoriti bangsa seperti puak zionis di dalam bangsa Yahudi, kumpulan Ikhwanul Muslimin dalam agama Islam, kumpulan gay, lesbian, punk, malah kumpulan mat rempit dalam sesebuah masyarakat umum, atau kumpulan peminat-peminat sesuatu pasukan bolasepak seperti Manchester United adalah kumpulan minoriti. Parti-parti politik sama ada Umno, Pas, Dap dan lain-lain sebenarnya adalah kumpulan minoriti jika dijumlahkan ahli-ahlinya berbanding dengan jumlah penduduk Malaysia.

Sebagai kumpulan minoriti, mereka mudah berasa terancam kehilangan pengaruh. Untuk menunjuk kuat, mereka menjadi vokal. Akhirnya mereka menjadi minoriti vokal yang menarik perhatian majoriti senyap hingga mempengaruhi kumpulan itu untuk mendengar lalu menghormati aspirasi mereka.

Pengaruh media elektronik dan percetakan banyak digunakan oleh kumpulan minoriti hingga kumpulan ini dilihat sebagai kumpulan gergasi, hebat dan berpengaruh. Ini menjadikan kumpulan majoriti senyap berasa kecil dan akhirnya akan akur kehendak kumpulan ini. Kalau apa yang diperjuangkan oleh minoriti vokal itu baik, ia amat menguntungkan keseluruhan masyarakat. Jika sebaliknya, seluruh masyarakat akan runtuh kerana dimanipulasi oleh sesebuah kumpulan minoriti.

Kumpulan majoriti senyap memang besar tetapi lemah. Mereka lemah kerana tidak sepakat dan sependirian. Kalaupun mereka punyai pandangan yang sama, oleh kerana mereka lebih suka berdiam diri, mereka mudah dipermainkan oleh kumpulan minoriti vokal. Tambahan pula, sikap suka tunggu dan lihat kumpulan majoriti senyap ini menjadikan mereka pasif dalam menghadapi apa jua ancaman meskipun mengetahui akan kesannya terhadap masa depan mereka sendiri.

Jika berdepan dengan scenario di mana berlaku pertembungan mana-mana kumpulan minoriti vokal, kumpulan majoriti senyap lebih cenderung untuk menyokong mana-mana kumpulan minoriti yang lebih kuat. Ini adalah kerana mereka mahukan suasana yang stabil, kukuh dan selamat.

Menyokong minoriti yang lebih kuat itu bererti mereka boleh berehat daripada memikirkan apa yang diperjuangkan. Sama ada perjuangan sesuatu kumpulan minoriti itu betul ataupun salah, mereka tidak peduli. Yang penting, mereka memihak kepada kumpulan minoriti yang kuat supaya kumpulan itu menang dan mereka boleh bual hal-hal sendiri kembali serta menikmati kehidupan di dunia ini. Mereka tidak sukakan risiko.

Namun, sikap majoriti senyap inilah selalunya mengakibatkan mereka menjadi mangsa. Sebaliknya kumpulan minoriti vokal, yang kerap mendakwa kumpulan mereka tertekan, sebenarnya kumpulan yang lebih menguasai majoriti senyap. Justeru itu, jangan hairan kalau kita lihat di mana-mana tempat dan sektor aktiviti kehidupan di dunia ini, kumpulan minoriti lebih mempengaruhi kumpulan majoriti.

Bagaimana pun, apakah menjadi minoriti yang vokal itu bagus? Apakah tidak, pandangan, perjuangan dan aspirasi sesebuah kumpulan minoriti itu menyusahkan kelompok majoriti? Pendek kata, apakah kelompok yang banyak perlu mengikut kelompok yang sedikit? Bukankah daripada segi logik akal, kumpulan kecil lebih mudah memasuki kumpulan yang besar, dan bukan sebaliknya?

Tetapi, realiti memungkinkan yang kecil menguasai yang besar dan bukan sebaliknya. Itulah yang selalunya terjadi. Namun, majoriti senyap tidak selamanya akan menyepi. Apabila mereka berasa penat melayani kerenah minoriti vokal, majoriti senyap menjadi vokal. Ketika itu, apa-apa pun boleh berlaku.

Pergolakan di Timur Tengah adalah contoh pergolakan yang paling terkini, apa yang terjadi apabila majoriti senyap menjadi majoriti vokal!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.6.2011.

Tuesday, June 21, 2011



Photo credit: sodahead.com

TIADA SALAH
DUDUK DI ATAS PAGAR

DARI semasa ke semasa, saya kerap tersenyum sebaik sahaja kawan-kawan bertanya apakah kiblat politik akhbar Sinar Harian. Apabila saya katakan bahawa akhbar Sinar Harian tidak condong menyebelahi sama ada kerajaan BN mahupun PR, jawapan saya akan disambut dengan senyuman sinis. Mereka tidak percaya akhbar Sinar Harian tidak mahu senget kepada mana-mana pihak. Saya pula akan tersenyum apabila kawan-kawan mengatakan jika tidak menyebelahi mana-mana pihak, ia bererti Sinar Harian tiada pendirian. Maaf cakap, bukankah tidak memihak itu juga satu pendirian?

Apa yang hendak dihairankan? Kami menjual surat khabar. Dan kami perjuangkan dengan TELUS dan TULUS. Kalau kami ingin berjuang selain daripada itu, kami akan sertai mana-mana NGO mahupun parti-parti politik. Kami tidak perlu mempunyai apa-apa pendirian yang sentiasa condong kepada mana-mana pihak. Memang ada di antara kawan-kawan saya yang tidak boleh menerima pendirian yang begini.

Kata mereka, surat khabar mesti punyai pendirian. Dan pendirian itu mestilah condong ke mana-mana pihak. Jika tidak, mereka susah hendak menyokong Sinar Harian. Tetapi, saya pula berkata, apakah kita perlu bertanya apakah anutan politik si penjual nasi lemak, peniaga di pasar tani atau mamak roti canai sebelum kita membeli barangan mereka? Apakah kita tidak jadi membeli barangan mereka seandainya mereka tidak separti dengan kita?

Bagaimana pun, untuk rekod, kami di pihak editorial secara selamba dan terbuka tahu parti politik manakah yang masing-masing anggotai. Ada yang menganggotai BN dan juga PR. Dan kami boleh bekerja dengan selesa dan sepakat menjual surat khabar.

Lagi pula, prinsip akhbar Sinar Harian untuk tidak memihak itu lebih baik. Andainya Sinar Harian memihak, kami akan mempunyai pandangan yang terhad kepada kebaikan pihak yang disokong dan mengenepikan keburukannya. Pada waktu yang sama, kami akan melihat keburukan pihak yang kami tidak sokong dan menutup mata terhadap kebaikan yang ada pada pihak yang tidak disebelahi.

Begitulah, lazimnya pandangan orang politik yang sentiasa berasakan pilihan dan pemikirannya sahaja yang betul. Bagi saya, ‘only politicians see the grass is greener on HIS side!’ Orang politik hanya nampak laman di bahagiannya sahaja yang hijau. Itulah yang sukarnya seandainya memihak. Oleh itu, mana-mana kelompok harus melihat, memahami dan mengerti bahawa tidak memihak, dalam konteks politik berparti adalah sesuatu yang harus. Justeru itu, ia bukannya satu dosa.

Dalam pada itu, masih ramai lagi orang yang tidak boleh menerima pendirian untuk menyokong berdasarkan prinsip. Misalnya, kita menyokong BN kerana ketekunannya membina negara, tetapi dalam waktu yang sama, kita sokong pembangkang yang mengkritik kelemahan-kelemahan kerajaan di dalam pentadbiran. Kita sokong dengan positif usaha-usaha BN untuk meningkatkan pelabur asing. Tetapi kita tidak boleh terima perbelanjaan mereka yang tidak masuk akal. Kita sokong perjuangan BERSIH untuk pilihanraya yang adil, tetapi kita tidak sokong demokrasi demonstrasi.

Mengapa ada yang masih tidak boleh terima pendirian yang berkecuali? Ia mungkin terjadi kerana kehidupan kita sudah tersusun dengan sistem dan teratur dengan prosedur. Sistem dibuat agar pola kehidupan seharian kita bergerak mengikut paksinya. Apabila sistem diikuti, kesilapan dapat diminimakan. Prosedur pula dirangka agar sistem dipatuhi. Ini menjamin segala-galanya berjalan dengan baik mengikut jangkaan, congakan dan perkiraan.

Tanpa kita sedari, sistem dan prosedur yang disusun dan diatur itu jugalah yang menjadikan kita mempunyai pandangan yang begitu objektif. Kita hanya dapat melihat warna hitam dan putih, dan tidak lagi warna kelabu. Begitu juga, kita hanya dapat memahami kepada jawapan mahupun persoalan ‘ya’ ataupun ‘tidak,’ dan tidak mengerti sama sekali kepada jawapan ‘barangkali.’

Sehinggakan kita sampai kepada tanggapan pemikiran yang begitu simplistik. Andainya kita sukakan sesuatu, ertinya kita mesti membenci sesuatu yang bertentangan. Kalau kita mahu sesuatu, maknanya kita tidak hendak sesuatu yang lain. Kita tidak pandai untuk suka begitu dan juga begini; atau benci itu dan juga ini. Kerana itu, kita pelik andainya menemui mereka yang sukakan semuanya atau bencikan segala-galanya. Kita bertambah hairan kalau berdepan dengan mereka yang tidak punyai apa-apa perasaan mahupun pemikiran terhadap sesuatu perkara yang sedang menjadi perbualan ramai.

Siapakah mereka ini? Mereka adalah golongan yang duduk di atas pagar, ataupun fence sitters. Fence sitters duduk di tempat yang tinggi di antara kedua-dua padang. Kerana posisinya, dia boleh nampak semak samun dan juga belantara di kedua-dua tempat. Dan berada di tempat yang lebih tinggi, memungkinkan seseorang itu mempunyai helicopter view atau bird’s eye view iaitu berpandangan luas lagi menyeluruh. Justeru itu, visi horizonnya merangkum dan mencakup sesaujana mata memandang.

Dan keputusan yang diambilnya adalah berdasarkan perspektif yang holistik!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.6.2011

Tuesday, June 14, 2011

JANGAN SELALU BERBOHONG



BERLAKON UNTUK
MELEPAS DIRI

BERLAKON
untuk melepas diri? Anda yang membaca artikel ini juga tidak boleh tidak, pernah berlakon untuk melepaskan diri daripada pelbagai situasi. Bermula sejak di zaman persekolahan, kita berlakon kononnya buku latihan tertinggal di rumah, padahal kita tidak membuat kerja sekolah. Kita berlakon, kaki kita sakit sebab tidak memakai kasut sekolah, padahal kasut kita basah kerana kita bermain lopak hujan petang semalam.

Apabila dewasa, berlakon untuk melepaskan diri menjadi satu mekanisme muslihat untuk mempertahankan diri. Berpura-pura tidak nampak si kakak penjaja kerepek yang singgah dari meja ke meja ketika kita makan di restoran, adalah satu contoh lakonan untuk mengelak daripada membeli jajan yang kita tidak ingini. Menyombongkan diri ketika dihampiri si pengutip derma di hadapan pintu bank mahupun mencampak telefon bimbit ketika berbual sewaktu memandu kerana takut disaman anggota polis trafik yang muncul di sisi adalah contoh lakonan untuk melepas diri.

Terdapat banyak lakonan yang kita lakukan untuk melepaskan diri. Apakah ini satu pembohongan? Ya. Berlakon untuk melepaskan diri juga adalah satu bentuk pembohongan. Saya tidak berani mengatakan ia bohong sunat kerana setahu saya, tidak ada istilah bohong sunat. Kerana itu saya juga tidak berani untuk mengatakan, berlakon untuk melepaskan diri sebagai berpahala, apatah lagi satu perbuatan yang berdosa.

Namun, dalam pelbagai situasi dan ketika, kadangkala kita terpaksa berlakon untuk melepaskan kawan-kawan kita mahupun imej syarikat tempat kita bekerja. Contohnya, kita pernah menyatakan kawan kita Dol, sudah masuk ke pejabat tetapi terpaksa keluar kerana ada hal, sedangkan kita tahu dia datang lewat. Ataupun memberitahu pihak pembekal, cek untuknya masih belum bos tandatangani lagi, padahal pihak syarikat kita belum ada duit untuk membayarnya. Lakonan untuk menutup kesalahan orang atau pihak lain kita lakukan untuk cover line.

Walau apa pun, berlakon untuk melepaskan diri juga wajar dilakukan agar kita tidak terjerat dengan tipu helah orang lain. Yang tidak bagusnya ialah apabila lakonan untuk melepas diri itu dilakukan berlebih-lebihan sampai sebati di dalam diri. Akhirnya, kita menjadi orang yang sentiasa bersandiwara untuk menipu orang lain.

Manusia yang sebegini menghidap gangguan psikologi yang dinamakan sindrom penafian. Sebuah artikel menarik The Denial Syndrome and Its Consequences, tulisan Dr. Sabrina P Ramet, seorang pensyarah yang berkelulusan Sains Politik, Universiti California, Los Angeles, Amerika menggariskan manusia yang menghidap gangguan psikologi ini.

Menurutnya, seseorang yang menghidapi gangguan psikologi sindrom penafian mempunyai tiga peringkat. Pertama, menafikan yang benar, sebaliknya percaya apa yang diperkatakannya itu yang benar. Kedua, menafikan yang benar, walaupun dia tahu yang apa yang diperkatakannya itu tidak benar. Ketiga, dia mempunyai persepsi terpilih, ingatan terpilih dan intepretasi terpilih, lalu mengenepikan maklumat yang benar. Dalam erti kata lain, dia hanya memilih apa yang sesuai dengan kehendaknya.

Di peringkat ini, seseorang yang menghidapi sindrom penafian ini akan mempamerkan personaliti yang elok. Pada waktu yang sama, dia akan menyalah atau meletakkan kesemua kesalahan kepada orang lain. Dialah yang sentiasa benar dan orang lain yang menuduhnya pula yang salah.

Sindrom penafian yang ekstrim menjadikan seseorang itu kerap berbohong untuk melepaskan diri. Andainya ia sudah menjadi tabiat yang sebati di dalam diri, ia bererti dia terjerumus sebagai pembohong tegar yang hidup di dalam dunia pembohongan yang dianggapnya benar, sebaliknya realiti yang benar itu palsu pula baginya. Pendek kata, dia hidup di dalam dunia khayalan kerana sudah tidak sedar diri.

Orang begini berasakan dia boleh hidup dengan berbohong kerana dia menyangka orang lain sentiasa mempercayainya. Ini sama sekali tidak akan terjadi kerana seperti kata Abraham Lincoln, “You can fool all the people some of the time, and some of the people all the time, but you cannot fool all the people all the time."

Bukan semua orang bodoh, tetapi ada orang bodoh bagi semua orang.


Artikel ini bakal terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.6.2011.


Photo credit: amiyalen.com

Tuesday, June 7, 2011

USAH TERLALU MEMILIH



Photo credit: getentepreneurial.com

TIADA KERJA
TIADA
KERJAYA

BARU-BARU ini saya bertemu dengan Ewan, seorang petugas kedai farmasi di sebuah gedung membeli-belah. Oleh kerana perawakannya yang tertib dan melayani saya dengan baik sebagai pelanggannya, saya tertarik untuk mengetahui latar belakangnya.

Ewan sebenarnya adalah mahasiswa jurusan undang-undang UIA. Beliau bekerja secara sambilan pada cuti semesternya. Menurutnya, sejak di zaman persekolahan lagi, dia akan membuat kerja-kerja sambilan pada waktu cuti sekolah dan kampus. Dia pernah bertugas sebagai promoter di kedai kasut, kedai buku, melipat baju di syarikat membuat pakaian dan juga bertugas di gerai cendawan goreng, pasar tani.

Pada kunjungan saya yang berikutnya, saya dapati Ewan sudah pun menjaga kaunter bayaran. Ia menandakan, Ewan sudah pun mendapat kepercayaan taukenya. Saya berseloroh dengan mengatakan yang dia pun boleh jadi tauke kedai farmasi pada satu hari nanti. Dengan itu, dia seharusnya menyambung belajar dengan mengambil bidang perniagaan di peringkat sarjana.

Sambil tersenyum gembira, Ewan memberi jawapan yang mengkagetkan saya. Katanya, dia memang bercadang untuk mengambil kursus perniagaan di peringkat sarjana kelak. Lalu dia menyuarakan yang dia sebenarnya memohon kursus senibina tetapi ditawarkan jurusan undang-undang. Dia tidak teragak-agak untuk mengikuti kursus itu kerana ingin menimba ilmu. Tetapi, penglibatannya sebagai promoter di pelbagai perniagaan pada cuti sekolah dan semester membuatkan dia berasakan rezeki dan kerjayanya ada di bidang perniagaan.

Saya kagum dengan semangat dan pemikiran anak muda ini. Dia tidak menghadkan dirinya dalam kepompong bidang yang diminati. Sebaliknya dia cuba belajar bidang yang dia tidak sukai tanpa menoleh ke belakang lagi. Saya doakan Ewan akan berjaya dalam bidang perniagaan nanti. Pengetahuannya dalam bidang undang-undang akan banyak membantunya dalam perniagaan kelak.

Pada hari ini, mereka yang memohon untuk memasuki universiti tidak semestinya dapat belajar di universiti yang diingini, atau jurusan yang diminati. Walaupun ada yang dapat menerima kenyataan yang mereka tidak dapat apa yang dipohon, ramai juga yang hilang minat untuk belajar di jurusan yang bukan menjadi pilihan.

Sikap meletakkan hanya satu cita-cita hingga tidak boleh langsung meneroka bidang yang bukan selari dengan cita-cita akan menjadikan seseorang itu jumud pemikiran. Sikap ini akan melarat hingga tamat belajar. Kita dapati ramai sekali siswazah menjadi penganggur bukan kerana tiadanya pekerjaan tetapi kerana memilih kerja.

Saya pernah meninjau ke sebuah program Azam Kerja 1Malaysia di pinggir kota baru-baru ini. Tapak pameran itu terletak di tengah-tengah kawasan tidak kurang sepuluh rumah pangsa yang padat. Terdapat tidak kurang 50 buah agensi kerajaan dan swasta yang mengadakan program mengambil pekerja dengan kelulusan minima diploma. Malangnya, saya dapati tidak ramai siswazah menganggur yang berkunjung untuk mencari kerja.

Sayang. Kini kerja mencari calon, tetapi calon masih tercangak-cangak hendak memilih kerja yang sesuai. Seharusnya, mereka yang mencari kerja tidak boleh memilih. Sebaliknya, kerja yang diperoleh itu harus dijadikan tempat mengumpul pengalaman sebelum menyusur kembali ke kerjaya yang dihajati apabila ruang dan peluang terbuka nanti.

Yang lulus bidang senibina tidak semestinya menjadi arkitek. Yang lulus di bidang bioteknologi tidak semestinya menjadi seorang bioteknologis. Mereka yang mempunyai fikiran statik akan lambat berjaya. Dalam pada itu, ada ramai sekali mereka yang belajar di satu-satu jurusan boleh sukses di jurusan yang sama sekali berbeda daripada bidang yang dipelajari.

Ahli perniagaan berjaya seperti Syed Mokhtar Albukhary hanya berkelulusan SPM. Tokoh korporat Tony Fernandez, tauke Air Asia pula berkelulusan ekonomi dan Tun Dr Mahathir pula adalah seorang ahli politik yang berjaya sedangkan beliau adalah seorang doktor perubatan.

Apabila tiada kerja, bagaimana kita akan ada kerjaya? Jika kita terlalu memilih, renungkan juga ayat 216, Surah al-Baqarah. ‘… Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.’


Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian pada 8.6.2011.