Tuesday, February 27, 2018

KITA KERJA UNTUK APA?

-->
SIANG JADI PEKERJA, 
MALAM JADI MANUSIA
PAGI kelmarin saya menerima kedatangan Amsyairi Ismail, seorang usahawan kek. Am, seperti nama panggilannya kelihatan tak makan usia meskipun sudah berusia 37 tahun. Orang sekarang kata, baby face. Kami saling mengenali lebih 9 tahun. 9 tahun yang lalu, Am adalah Ketua Meja Sukan di akhbar Sinar Harian yang saya terajui.
Dua tahun setelah dia berketuakan saya, Am memilih jalan sendiri. Setelah beberapa tahun bertugas di syarikat media yang lain, Am mengambil keputusan untuk menjadi seorang usahawan online. Tatkala orang lain menjadi ejen mahupun stokis menjual produk  ataupun menjual secara dropshipping, Am menjual kek yang dijenamakan sebagai Kek Buah Kukus Mr. Kemaih. Dan, kek itu dibuatnya sendiri! Rasanya pun sedap dan setanding dengan mana-mana produk keluaran syarikat-syarikat yang lain.
 Sambil berbual, Am turut meminta idea dan pandangan saya mengenai perniagaannya. Saya gelak sahaja kerana nampak asas perniagaannya amat kukuh. Jika sesebuah perniagaan itu boleh bertahan lebih dari tiga tahun seperti bisnesnya, dia boleh survive, lebih-lebih lagi dalam iklim ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.
Mengapa saya katakan perniagaannya kukuh? Pertama, dia mengeluar dan menjual produknya sendiri. Kerana itu, ramuan, pembungkusan dan pengedarannya adalah melalui jeringannya yang tersendiri. Pengedaran secara online melalui media sosial terus sampai kepada kumpulan sasar. Dalam konteks ini, para pelanggannya terdiri daripada kenalannya sendiri. Berniaga dengan kenalan lebih menjamin jualan berulang.
Kedua, naik turun geraf pemasarannya itu boleh dikawal. Am sendiri mengakui yang dia melakukan promosi sekurang-kurangnya seminggu sekali secara langsung melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga Whatsapp. Sudah pasti dia mempunyai pangkalan data yang sentiasa disemasakan. Kerana itu, perniagaannya konsisten.
Ketiga,  selain daripada pesanan-pesanan harian, beliau juga menerima tempahan kek secara pukal untuk door gift majlis-majlis keramaian khususnya untuk majlis perkahwinan. Melalui majlis-majlis seperti inilah beliau dapat menjangkau pelanggan baharu di luar jaringannya.
Keempat, oleh kerana perniagaan melalui online ini tidak memerlukan modal permulaan yang banyak, hingga ke hari ini perniagaannya berkembang secara organik. Keuntungan yang diperoleh dilabur kembali sebagai modal pusingan. Kerana itu, beliau tidak perlu membuat pinjaman bank. Apabila beliau mendapat kontrak besar dan tetap umpamanya daripada syarikat penerbangan, baharulah beliau boleh membuat pinjaman.
Kelima,  beliau masih boleh melakukan rutin harian, menghantar dan mengambil anaknya dari sekolah, mengeteh dengan kawan-kawan, menziarahi keluarga dan sempat berjemaah di surau berhampiran dengan rumahnya. Inilah heaven baginya. Am memperoleh keseimbangan dalam kehidupannya.
Inilah juga jalan yang diidami oleh ramai di antara kita yang sudah terperangkap dengan apa yang dikatakan kehidupan sebagai seorang profesional. Ramai di antara kita yang memanjat hieraki organisasi memanjangkan angan-angan bekerja siang sampai ke malam dengan harapan akan naik pangkat. Impian kita ialah, bila naik pangkat, pendapatan akan bertambah dan hidup jadi senang. Malangnya ramai yang hanya mengejar fatamorgana. Dalam sibuk mengejar, kita mengorbankan masa dunia kita sebagai manusia.
Tak sempat menatap matahari terbit, bulan mengambang, menyapu embun di rumput, menghirup udara pagi mahupun merenung bintang di langit. Makan malam tidak dapat lagi kerap bersama keluarga. Yang kerap hanya menatap video wajah-wajah girang anak-anak di telefon kerana kita masih di pejabat.
Kalau pun ingin melihat alam, bulan, bintang, matahari dan laut yang luas terbentang, kita terpaksa pula mengambil masa untuk bercuti. Seminggu pun dikira lama meskipun sekejap sangat. Bolehlah kita terbang jauh bersama keluarga. Namun, meskipun anak-anak berada di sisi, jiwa kita pula yang tercicir di bilik pejabat. Kerja sudah mengejar kita hingga ke hujung dunia.
Apakah yang kita kejar dalam hidup ini? Kita mengejar duit untuk digunakan sebagai matawang membeli kasih sayang, kesenangan, kegembiraan dan kebahagiaan. Kita rasa duit boleh membeli segala-galanya. Sedangkan apabila masanya tiba untuk membeli kasih sayang yang hilang bila anak lari dari rumah, kita dapati nilai duit yang kita ada itu tidak cukup untuk membeli kasih sayang itu sendiri.
Hidup dan bekerja mestilah seimbang. Siang kita jadi pekerja, malam kita jadi manusia. Kita bekerja untuk hidup, bukannya hidup untuk bekerja.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.2.18.

Tuesday, February 20, 2018

TREND PEMIKIRAN PENGUNDI BAHARU

SIAPA PILIHAN
PENGUNDI ATAS PAGAR?

Banyak pihak sudah meneka bilakah PRU-14 akan diadakan. Pengulas dan penganalisis politik serta ramai kolumnis media telah cuba meramal tarikh itu. PM pun juga ditanya. Beliau sekadar menjawab, ‘belum dapat ilham.’ Walau bagaimana pun, SPR sudah pun memulakan taklimat persediaan kepada para petugasnya. Pilihanraya dah dekat.

Sekretariat parti-parti politik pula memperhebatkan aktiviti prasarana dan jaringan komunikasi serta prosedur operasi standard masing-masing. Program memusatkan hala fikiran jentera parti melalui majlis-majlis ceramah, kuliah, perasmian malah retreat diperhebat.

Para pengundi pula dijenguk melalui laman sosial, telefon malah secara bersemuka. Survei dan dapatan kajian ini akan diulang kembali selagi PRU belum berlangsung. Segala maklumbalas ini akan didatakan guna mengimbas trend pemikiran pengundi.

Gendang PRU sudah dipalu. Parti-parti politik sudah membuka bunga-bunga langkah. Pencaknya sahaja yang belum dipersembahkan. Masing-masing menanti nafiri ditiup PM menandakan gelanggang akan dibuka. Sebaik sahaja tarikh PRU diumum, suasana akan jadi gegak gempita.

Mereka yang disenaraipendek, yang menawarkan diri, yang dirisik,  malah yang dipakaikan persalinan bakal ADUN mahupun Ahli Parlimen secara bidan terjun akan mula seram sejuk dan diserang demam pilihanraya. Betapa pun, semua suasana penuh suspens ini hanya berkisar di kalangan mereka yang aktif dalam kepompong dan tempurung politik.

Bagaimana pula di luar sana? Betapa pula keadaan mereka yang berada jauh dari bahang dapur markas politik? Mereka ini daripada kalangan orang yang hanya mengikuti politik apabila terbaca mengenainya di media sosial mahupun akhbar.

Kerana, politik hari ini bermakna sindir menyindir, perli-memerli, kata mengata, ejek mengejek, fitnah dilapisi fitnah, persepsi mengatasi realiti, aku betul kau salah dan aku akan menang kau akan kalah. Ada juga yang mengata, kalau kau menang negara tergadai, tapi dalam diam, dua kali lima… aku menang negara jadi kedai.

Ini juga yang menjadikan ramai di kalangan mereka di luar  mengalami political fatique. Letih melayan segala yang berat-berat mengenai politik, apatah lagi cerita-cerita di sebalik tabir dan kelambu orang politik. Mereka akan ambil tahu juga apa yang berlaku. Sekali-sekala memberi reaksi, walaupun sekadar meletak emoticon-emoticon atau komen noted kepada mesej Whatsapp kawan. Itupun sekadar mengambil hati. Lihatlah rating topik-topik yang paling hot di mana-mana portal berita. Bukan ucapan retorik pak menteri, tetapi cerita-cerita human interest.

Ini adalah kerana, minda siapa yang tak celaru, fikiran siapa yang tak keliru bila mereka melihat orang politik beralih political allignment? Pas dan Dap yang berpimpinan tangan pada PRU-13 kini bermusuh. UMNO dan Pas yang berdekad-dekad bermusuh kini boleh duduk sepentas. Itu belum termasuk Amanah serpihan Pas dan Bersatu serta PKR dari serpihan UMNO pula. Masing-masing berlaga angin.

Bagaimana pula persepsi boleh terbentuk bila sebelum ini ada gabungan bernama Pakatan Rakyat tetapi kini Pakatan Harapan pula? Memanglah jawapannya terletak pada ROS tetapi hakikatnya ia belum dapat membina mental picture para pengundi selagi belum ada bendera yang satu.

Para pengundi di luar sana belum dapat make up their mind selagi tiada imej Pakatan Harapan yang jelas dan jitu pihak yang akan menandingi Barisan Nasional. Dalam konteks pemasaran, brand itu amat penting. Jadi, Pakatan Harapan yang belum punya imej ini akan menghadapi masalah yang besar untuk dikenali apatah lagi diyakini.

Imej Barisan Nasional yang berlambang dacing itu sudah kukuh di minda pengundi. Namun, setakat itu sahajalah kerana kredibiliti mereka yang menganggotainya dijadikan persoalan. Punca kredibilitinya dipersoal tak perlu disebut kerana masing-masing boleh menelah ia mengenai apa. Hendak membina memang sukar. Sebaliknya hendak meruntuhkan amat mudah. Pakatan Harapan sukar membina imejnya. Tetapi imej Barisan Nasional pula mudah dicalar-balar. Oleh kerana imej ini sahaja yang menyerlah, ia terjerumus dalam situasi sitting duck.

Justeru, siapa yang menjadi pilihan pengundi di luar sana? Siapa yang diyakini oleh orang biasa yang tidak menganggotai mana-mana parti politik yang kita sebut sebagai golongan atas pagar ini? Mereka akan memilih wajah yang mereka kenal, orang yang selalu hadir bersama mereka dan individu yang cakna dengan keperluan mereka.


Informasi dan maklumat berlambak-lambak untuk dijadikan pertimbangan para pengundi. Kerana itu, pilihan pengundi terhadap calon dan bukan parti kian terserlah. Ia menjadi kriteria pertama. Pilihan bersandarkan parti hanya menjadi keutamaan kedua. 

Barisan Nasional dan Pakatan Harapan tentu sudah membaca gelombang pemikiran pengundi atas pagar ini.

Tuesday, February 13, 2018

ASSIMILASI KITA DENGAN ALAM


HIDUP MENURUT TABIAT ALAM

SAYA terbaca sebuah artikel pendek yang tular melalui Whatsapp. Artikel yang berjudul PESAN ALAM itu antaranya mempunyai inti pemikiran yang menarik buat renungan kita bersama. Saya ubah serba sedikit ayat-ayatnya untuk keselesaan bacaan. Di antara isinya berbunyi:
Kalau ingin menangkap ayam, jangan dikejar ayam itu. Nanti kita yang penat sedangkan ayam makin menjauh. Sebaliknya, taburkan beras, nanti ayam akan datang mendekat. Jika ingin memelihara kupu-kupu, jangan dikejar kupu-kupu itu. Kelak ia akan terbang pergi. Sebaliknya tanamlah bunga. Nanti yang menjelma bukan sahaja kupu-kupu. Tetapi turut datang sama termasuklah lebah dan pepatung.
Sudah lama saya ingin berkongsi mengenai betapa eloknya jika kita menyesuaikan tindak tanduk kita dengan prinsip-prinsip alam. Artikel yang tular itu menjadi pemangkin kepada apa yang saya ingin kongsi di sini.
Alam dan seluruh kejadiannya mempunyai aturan yang amat tersusun. Seluruh alam dengan bertrilion bintang-bintang dan planet-planetnya ini diikat dengan graviti. Bumi, bulan dan matahari misalnya berputar menurut paksi dan polarnya. Andainya salah sebuah beranjak di luar paksinya ia akan merosakkan perjalanan kesemuanya. Malah, ia akan memberi kesan berangkai yang mengakibatkan kemusnahan alam semesta ~ kiamat.  
Kita sebagai makhluk yang wujud si alam ini perlu bertindak menurut aturannya. Jika kita melanggar atau cuba melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan pola kelakuan alam, maka kita akan mengalami kesukaran, malah kegagalan.
Kanak-kanak yang lahir itu terbaring, meniarap, merangkak, bertatih, berjalan dan akhirnya berlari. Jika kita memaksanya berjalan dengan baby walker, walaupun ia di peringkat merangkak, ia akan beri kesan kepada pertumbuhan tulang, otot-otot dan juga pergerakannya. Kajian perubatan menemukan bukti bahawa  kanak-kanak yang menggunakan baby walker itu pandai berjalan lebih lewat daripada yang belajar berjalan secara semulajadi.
Begitu juga, pokok yang sihat itu ditanam, disirami air dan dibaja secukupnya agar ia membesar dengan baik. Akarnya menunjang ketinggian pokok menurut kadar besarnya. Sebaliknya pokok segera yang ditanam untuk mencantikkan taman-taman itu perlu ditambat dahulu agar akarnya menjalar di dalam tanah sebelum ia tertanam teguh di dalam tanah.
Namun, banyak juga pokok-pokok segera yang patah dahan dan tumbang bila datangnya hujan. Sekali lagi, jika kita cuba mencari jalan pintas dan segera, kita akan tersadung dan tersasar. Mengejar bukan satu-satunya jalannya. Tetapi bila semua orang berlari untuk mengejar, kita yang berjalan berasa ketinggalan lalu mengejar juga, kerana terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat.
Justeru itu, ingatlah tabiat alam dan turutilah lenggoknya. Tabiat alam ialah berputar menurut paksinya. Kita pula mesti melangkah ke hadapan. Bukannya mengundur atau berjalan mengiring. Jangan lupa, alam itu berputar dan akan kembali melalui ke tapak yang sama. Sejauh mana kita melangkah, hendaklah kita ingat bahawa kita akan menemui kedudukan yang sama kerana rasmi alam yang berputar. Hidup, umpama roda, itulah falsafahnya. Bukan naik sahaja, tetapi turun juga.
Alam itu lazimnya tenang. Begitu juga, manusia sukakan kecantikan, kelembutan dan kebahagiaan. Apa jua yang bersifat harmoni itulah fitrah manusia. Benar, malapetaka alam itu bersifat ganas. Jadi jika kita mahukan begitu juga, maka bersedialah untuk berdepan dengan kesan kemarahan alam dengan keganasan yang berakhir dengan kemusnahan.
Elemen-elemen yang menenangkan itu mempunyai kuasa penarik. Ertinya kekuatan sebenar bukanlah dengan mengejar untuk merangkul kejayaan. Kekuatan sebenar ialah dengan menawan dengan cara menarik. Umpama besi berani.
Sedangkan mendapatkan sesuatu dengan cara menggunakan kuasa tarikan itu lebih hebat kekuatannya. Maknanya, untuk apa mengejar sasaran? Bukankah ada jalan agar sasaran datang kepada kita? Kita kenalah fikirkan jalannya kerana selagi ada kemahuan, selagi itu ada jalannya.
Barangkali falsafah wanita Melayu dahulu itu punyai makna yang tersirat tetapi terlalu hebat maksudnya. Kata wanita Melayu yang hebat, ‘sekali kupetik jari,  10 yang datang!’ Dia tak kejar ke merata tempat untuk mendapatkan 10 lelaki. Tetapi cukup dengan memetik jari hanya sekali!
Fahamilah prinsip berdiam diri umpama pohon. Tetapi akarnya menjalar teguh memasak bumi. Pucuknya jauh di atas mencapai awan. Dilayani angin taufan dengan meliuk lintuk. Bila ribut pergi, ia masih teguh di situ!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.2.18.

Tuesday, February 6, 2018

MANA LEBIH BAIK? BUKU ATAU E-BOOK?


TIDAK MEMBACA
MINDA JADI KEBULUR!

BILL GATES, usahawan terkenal seantero dunia dengan perisian Microsoft pernah berkata, dia membaca 50 buah buku setahun. Mengapa tauke perisian yang terkenal itu masih membaca buku? Walhal, dia boleh sahaja  melayari laman web? Katanya, itulah salah satu caranya belajar.

Meskipun dia kerap bertemu dengan cendekiawan atau menonton kuliah atas talian, buku membolehkan dia mengetahui perkara baharu dan turut menguji kefahamannya. Kadangkala, membaca membolehkan dia melihat sesuatu dari sudut pandang yang berbeza.

Memang menakjubkan bagaimana seseorang pakar teknologi maklumat yang hebat sepertinya masih bergantung kepada platform teknologi maklumat yang tua iaitu melalui buku sebagai caranya memahami ilmu. Malah, Bill Gates juga mengaku yang dia bukan kaki e-book!

Berdasarkan kata-katanya itu, kita boleh simpulkan tiga perkara. Pertama, membaca buku itu mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Kedua, bahan bacaan di internet sama-sekali tidak dicipta untuk menggantikan buku secara fizikal. Ketiga, jika teknokrat digital hebat seperti Bill Gates membaca buku sebagai platformnya, pasti dia nampak keistimewaan yang kita tidak sedari. Bagi kita internetlah segala-galanya.

Jurnal Social Science and Medicine, pula memaparkan dapatan kajian Universiti Yale yang menakjubkan! Menurut kajian selama 12 tahun universiti itu, mereka yang membaca lebih 3.5 jam seminggu akan hidup dua tahun lebih lama kepada sesiapa sahaja tidak kira yang berharta, berpelajaran mahupun menurut jantina.

Lebih 3,500 warga emas mengambil bahagian di dalam survei itu. Menurut laporan kajian itu juga, membaca buku lebih bermakna daripada membaca majalah kerana membaca buku mampu merangsang minda untuk berfikir dengan lebih mandalam.

Saya berpendapat, majalah yang mempunyai banyak artikel yang pendek-pendek itu hanya mampu merangsang minda secara sebentar. Sebaik sahaja seseorang itu mahu tenggelam di dalam dunia pembacaannya, artikel yang dibaca sudah tamat dan fikirannya terpancung ke suasana semasa.

Sebaliknya apabila seseorang membaca buku, kontinuasi isi panjang sesebuah buku itu mampu menarik seseorang itu ke dasar pemikiran bawah sedarnya. Setelah beberapa minit membaca, seseorang itu boleh relaks apabila pemikirannya fokus kepada apa yang dibacanya.

Apakah kita tidak boleh membaca e-book? Bukankah isinya sama juga dengan sesebuah buku yang dipilih? Sebenarnya ada banyak sekali pandangan yang menyatakan kebimbangan terhadap membaca di skrin komputer.

Majalah Medical Daily tidak lama dahulu menerbitkan pandangan berupa amaran bahawa membaca terlalu lama melalui skrin memberi stres kepada retina. Stres itu pula boleh mengakibatkan insomnia. Tentu sekali kajian itu memaksudkan jika seseorang itu menghadap komputer dalam kadar waktu yang begitu lama. Tetapi, tidakkah ramai di kalangan kita punyai tabiat menghadap komputer selama berjam-jam?

Betapa pun, tanpa mengambil contoh Bill Gates, laporan jurnal Social Science and Medicine hasil kajian Universiti Yale serta majalah Medical Daily, kita sendiri boleh merasai perbezaan ketara jika kita cuba membandingkan sendiri kesan membaca buku dan juga e-book. Kita tahu membaca buku punyai manfaat yang lebih daripada membaca melalui e-book.

Mereka di dalam industri buku di negara ini juga perlu melihat tabiat membaca dari sudut psikologi dan kesihatan. Tidak semata-mata melihat dari sudut kewangan. Jika dilihat daripada sudut duit sahaja, mereka yang di dalam industri ini akan risau kepada persoalan mengapa buku tak laku?

Sebaliknya, apabila mereka melihat ia daripada sudut keperluan manusia kepada buku sebagai ilmu, maka mereka akan bertindak dengan apa sahaja secara semerta untuk menyelamatkan khalayak pembaca Malaysia yang kebuluran bahan untuk santapan minda!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.2.18.