SIAPA PILIHAN
PENGUNDI ATAS PAGAR?
PENGUNDI ATAS PAGAR?
Banyak pihak sudah meneka bilakah PRU-14 akan
diadakan. Pengulas dan penganalisis politik serta ramai kolumnis media telah
cuba meramal tarikh itu. PM pun juga ditanya. Beliau sekadar menjawab, ‘belum
dapat ilham.’ Walau bagaimana pun, SPR sudah pun memulakan taklimat persediaan
kepada para petugasnya. Pilihanraya dah dekat.
Sekretariat parti-parti politik pula
memperhebatkan aktiviti prasarana dan jaringan komunikasi serta prosedur
operasi standard masing-masing. Program memusatkan hala fikiran jentera parti
melalui majlis-majlis ceramah, kuliah, perasmian malah retreat diperhebat.
Para pengundi pula dijenguk melalui laman
sosial, telefon malah secara bersemuka. Survei dan dapatan kajian ini akan
diulang kembali selagi PRU belum berlangsung. Segala maklumbalas ini akan
didatakan guna mengimbas trend pemikiran pengundi.
Gendang PRU sudah dipalu. Parti-parti politik
sudah membuka bunga-bunga langkah. Pencaknya sahaja yang belum dipersembahkan.
Masing-masing menanti nafiri ditiup PM menandakan gelanggang akan dibuka.
Sebaik sahaja tarikh PRU diumum, suasana akan jadi gegak gempita.
Mereka yang disenaraipendek, yang menawarkan
diri, yang dirisik, malah yang
dipakaikan persalinan bakal ADUN mahupun Ahli Parlimen secara bidan terjun akan
mula seram sejuk dan diserang demam pilihanraya. Betapa pun, semua suasana
penuh suspens ini hanya berkisar di kalangan mereka yang aktif dalam kepompong dan tempurung politik.
Bagaimana pula di luar sana? Betapa pula
keadaan mereka yang berada jauh dari bahang dapur markas politik? Mereka ini
daripada kalangan orang yang hanya mengikuti politik apabila terbaca
mengenainya di media sosial mahupun akhbar.
Kerana, politik hari ini bermakna sindir
menyindir, perli-memerli, kata mengata, ejek mengejek, fitnah dilapisi fitnah,
persepsi mengatasi realiti, aku betul kau salah dan aku akan menang kau akan
kalah. Ada juga yang mengata, kalau kau menang negara tergadai, tapi dalam
diam, dua kali lima… aku menang negara jadi kedai.
Ini juga yang menjadikan ramai di kalangan
mereka di luar mengalami political
fatique. Letih melayan segala yang berat-berat mengenai politik, apatah
lagi cerita-cerita di sebalik tabir dan kelambu orang politik. Mereka akan
ambil tahu juga apa yang berlaku. Sekali-sekala memberi reaksi, walaupun
sekadar meletak emoticon-emoticon atau komen noted kepada mesej Whatsapp kawan. Itupun sekadar mengambil
hati. Lihatlah rating topik-topik yang paling hot di mana-mana portal berita.
Bukan ucapan retorik pak menteri, tetapi cerita-cerita human interest.
Ini adalah kerana, minda siapa yang tak celaru,
fikiran siapa yang tak keliru bila mereka melihat orang politik beralih political allignment? Pas dan Dap yang
berpimpinan tangan pada PRU-13 kini bermusuh. UMNO dan Pas yang berdekad-dekad
bermusuh kini boleh duduk sepentas. Itu belum termasuk Amanah serpihan Pas dan
Bersatu serta PKR dari serpihan UMNO pula. Masing-masing berlaga angin.
Bagaimana pula persepsi boleh terbentuk bila
sebelum ini ada gabungan bernama Pakatan Rakyat tetapi kini Pakatan Harapan
pula? Memanglah jawapannya terletak pada ROS tetapi hakikatnya ia belum dapat
membina mental picture para
pengundi selagi belum ada bendera yang satu.
Para pengundi di luar sana belum dapat make up their mind selagi tiada imej
Pakatan Harapan yang jelas dan jitu pihak yang akan menandingi Barisan
Nasional. Dalam konteks pemasaran, brand
itu amat penting. Jadi, Pakatan Harapan yang belum punya imej ini akan
menghadapi masalah yang besar untuk dikenali apatah lagi diyakini.
Imej Barisan Nasional yang berlambang dacing
itu sudah kukuh di minda pengundi. Namun, setakat itu sahajalah kerana
kredibiliti mereka yang menganggotainya dijadikan persoalan. Punca kredibilitinya
dipersoal tak perlu disebut kerana masing-masing boleh menelah ia mengenai apa.
Hendak membina memang sukar. Sebaliknya hendak meruntuhkan amat mudah. Pakatan
Harapan sukar membina imejnya. Tetapi imej Barisan Nasional pula mudah
dicalar-balar. Oleh kerana imej ini sahaja yang menyerlah, ia terjerumus dalam
situasi sitting duck.
Justeru, siapa yang menjadi pilihan pengundi di
luar sana? Siapa yang diyakini oleh orang biasa yang tidak menganggotai
mana-mana parti politik yang kita sebut sebagai golongan atas pagar ini? Mereka
akan memilih wajah yang mereka kenal, orang yang selalu hadir bersama mereka
dan individu yang cakna dengan keperluan mereka.
Informasi dan maklumat berlambak-lambak untuk
dijadikan pertimbangan para pengundi. Kerana itu, pilihan pengundi terhadap
calon dan bukan parti kian terserlah. Ia menjadi kriteria pertama. Pilihan
bersandarkan parti hanya menjadi keutamaan kedua.
Barisan Nasional dan Pakatan Harapan tentu sudah membaca gelombang pemikiran pengundi atas pagar ini.
No comments:
Post a Comment