HIDUP MENURUT TABIAT ALAM
SAYA terbaca sebuah artikel pendek yang tular melalui Whatsapp. Artikel yang berjudul PESAN ALAM itu antaranya mempunyai inti pemikiran yang menarik buat renungan kita bersama. Saya ubah serba sedikit ayat-ayatnya untuk keselesaan bacaan. Di antara isinya berbunyi:
Kalau ingin menangkap ayam, jangan dikejar ayam itu. Nanti kita yang
penat sedangkan ayam makin menjauh. Sebaliknya,
taburkan beras, nanti ayam akan datang mendekat. Jika ingin memelihara kupu-kupu,
jangan dikejar kupu-kupu itu. Kelak ia akan terbang pergi. Sebaliknya tanamlah
bunga. Nanti yang menjelma bukan sahaja kupu-kupu. Tetapi turut datang sama
termasuklah lebah dan pepatung.
Sudah lama saya ingin berkongsi mengenai betapa eloknya jika kita
menyesuaikan tindak tanduk kita dengan prinsip-prinsip alam. Artikel yang tular
itu menjadi pemangkin kepada apa yang saya ingin kongsi di sini.
Alam dan seluruh kejadiannya mempunyai aturan yang amat tersusun.
Seluruh alam dengan bertrilion bintang-bintang dan planet-planetnya ini diikat
dengan graviti. Bumi, bulan dan matahari misalnya berputar menurut paksi dan
polarnya. Andainya salah sebuah beranjak di luar paksinya ia akan merosakkan
perjalanan kesemuanya. Malah, ia akan memberi kesan berangkai yang mengakibatkan
kemusnahan alam semesta ~ kiamat.
Kita sebagai makhluk yang wujud si alam ini perlu bertindak menurut
aturannya. Jika kita melanggar atau cuba melakukan sesuatu yang tidak sesuai
dengan pola kelakuan alam, maka kita akan mengalami kesukaran, malah kegagalan.
Kanak-kanak yang lahir itu terbaring, meniarap, merangkak, bertatih,
berjalan dan akhirnya berlari. Jika kita memaksanya berjalan dengan baby walker, walaupun ia di peringkat
merangkak, ia akan beri kesan kepada pertumbuhan tulang, otot-otot dan juga
pergerakannya. Kajian perubatan menemukan bukti bahawa kanak-kanak yang menggunakan baby walker itu pandai berjalan lebih
lewat daripada yang belajar berjalan secara semulajadi.
Begitu juga, pokok yang sihat itu ditanam, disirami air dan dibaja
secukupnya agar ia membesar dengan baik. Akarnya menunjang ketinggian pokok
menurut kadar besarnya. Sebaliknya pokok segera yang ditanam untuk mencantikkan
taman-taman itu perlu ditambat dahulu agar akarnya menjalar di dalam tanah
sebelum ia tertanam teguh di dalam tanah.
Namun, banyak juga pokok-pokok segera yang patah dahan dan tumbang bila
datangnya hujan. Sekali lagi, jika kita cuba mencari jalan pintas dan segera,
kita akan tersadung dan tersasar. Mengejar bukan satu-satunya jalannya. Tetapi bila
semua orang berlari untuk mengejar, kita yang berjalan berasa ketinggalan lalu
mengejar juga, kerana terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat.
Justeru itu, ingatlah tabiat alam dan turutilah lenggoknya. Tabiat alam
ialah berputar menurut paksinya. Kita pula mesti melangkah ke hadapan. Bukannya
mengundur atau berjalan mengiring. Jangan lupa, alam itu berputar dan akan
kembali melalui ke tapak yang sama. Sejauh mana kita melangkah, hendaklah kita
ingat bahawa kita akan menemui kedudukan yang sama kerana rasmi alam yang
berputar. Hidup, umpama roda, itulah falsafahnya. Bukan naik sahaja, tetapi
turun juga.
Alam itu lazimnya tenang. Begitu juga, manusia sukakan kecantikan,
kelembutan dan kebahagiaan. Apa jua yang bersifat harmoni itulah fitrah manusia.
Benar, malapetaka alam itu bersifat ganas. Jadi jika kita mahukan begitu juga,
maka bersedialah untuk berdepan dengan kesan kemarahan alam dengan keganasan yang
berakhir dengan kemusnahan.
Elemen-elemen yang menenangkan itu mempunyai kuasa penarik. Ertinya
kekuatan sebenar bukanlah dengan mengejar untuk merangkul kejayaan. Kekuatan
sebenar ialah dengan menawan dengan cara menarik. Umpama besi berani.
Sedangkan mendapatkan sesuatu dengan cara menggunakan kuasa tarikan itu
lebih hebat kekuatannya. Maknanya, untuk apa mengejar sasaran? Bukankah ada
jalan agar sasaran datang kepada kita? Kita kenalah fikirkan jalannya kerana
selagi ada kemahuan, selagi itu ada jalannya.
Barangkali falsafah wanita Melayu dahulu itu punyai makna yang tersirat
tetapi terlalu hebat maksudnya. Kata wanita Melayu yang hebat, ‘sekali kupetik
jari, 10 yang datang!’ Dia tak kejar ke
merata tempat untuk mendapatkan 10 lelaki. Tetapi cukup dengan memetik jari
hanya sekali!
Fahamilah prinsip berdiam diri umpama pohon. Tetapi akarnya menjalar
teguh memasak bumi. Pucuknya jauh di atas mencapai awan. Dilayani angin taufan
dengan meliuk lintuk. Bila ribut pergi, ia masih teguh di situ!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.2.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.2.18.
No comments:
Post a Comment