SIANG JADI PEKERJA,
MALAM JADI MANUSIA
PAGI kelmarin saya menerima kedatangan Amsyairi Ismail,
seorang usahawan kek. Am, seperti nama panggilannya kelihatan tak makan usia
meskipun sudah berusia 37 tahun. Orang sekarang kata, baby face. Kami saling mengenali lebih 9 tahun. 9 tahun yang lalu,
Am adalah Ketua Meja Sukan di akhbar Sinar Harian yang saya terajui.
Dua tahun setelah dia berketuakan saya, Am memilih
jalan sendiri. Setelah beberapa tahun bertugas di syarikat media yang lain, Am
mengambil keputusan untuk menjadi seorang usahawan online. Tatkala orang lain menjadi ejen mahupun stokis menjual
produk ataupun menjual secara dropshipping, Am menjual kek yang
dijenamakan sebagai Kek Buah Kukus Mr. Kemaih. Dan, kek itu dibuatnya sendiri! Rasanya
pun sedap dan setanding dengan mana-mana produk keluaran syarikat-syarikat yang
lain.
Sambil berbual,
Am turut meminta idea dan pandangan saya mengenai perniagaannya. Saya gelak
sahaja kerana nampak asas perniagaannya amat kukuh. Jika sesebuah perniagaan
itu boleh bertahan lebih dari tiga tahun seperti bisnesnya, dia boleh survive, lebih-lebih lagi dalam iklim
ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.
Mengapa saya katakan perniagaannya kukuh? Pertama, dia
mengeluar dan menjual produknya sendiri. Kerana itu, ramuan, pembungkusan dan
pengedarannya adalah melalui jeringannya yang tersendiri. Pengedaran secara online melalui media sosial terus sampai
kepada kumpulan sasar. Dalam konteks ini, para pelanggannya terdiri daripada
kenalannya sendiri. Berniaga dengan kenalan lebih menjamin jualan berulang.
Kedua, naik turun geraf pemasarannya itu boleh dikawal.
Am sendiri mengakui yang dia melakukan promosi sekurang-kurangnya seminggu
sekali secara langsung melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga Whatsapp.
Sudah pasti dia mempunyai pangkalan data yang sentiasa disemasakan. Kerana itu,
perniagaannya konsisten.
Ketiga, selain
daripada pesanan-pesanan harian, beliau juga menerima tempahan kek secara pukal
untuk door gift majlis-majlis keramaian
khususnya untuk majlis perkahwinan. Melalui majlis-majlis seperti inilah beliau
dapat menjangkau pelanggan baharu di luar jaringannya.
Keempat, oleh kerana perniagaan melalui online ini tidak memerlukan modal
permulaan yang banyak, hingga ke hari ini perniagaannya berkembang secara
organik. Keuntungan yang diperoleh dilabur kembali sebagai modal pusingan.
Kerana itu, beliau tidak perlu membuat pinjaman bank. Apabila beliau mendapat kontrak
besar dan tetap umpamanya daripada syarikat penerbangan, baharulah beliau boleh
membuat pinjaman.
Kelima, beliau
masih boleh melakukan rutin harian, menghantar dan mengambil anaknya dari
sekolah, mengeteh dengan kawan-kawan, menziarahi keluarga dan sempat berjemaah
di surau berhampiran dengan rumahnya. Inilah heaven baginya. Am memperoleh keseimbangan dalam kehidupannya.
Inilah juga jalan yang diidami oleh ramai di antara
kita yang sudah terperangkap dengan apa yang dikatakan kehidupan sebagai
seorang profesional. Ramai di antara kita yang memanjat hieraki organisasi
memanjangkan angan-angan bekerja siang sampai ke malam dengan harapan akan naik
pangkat. Impian kita ialah, bila naik pangkat, pendapatan akan bertambah dan
hidup jadi senang. Malangnya ramai yang hanya mengejar fatamorgana. Dalam sibuk
mengejar, kita mengorbankan masa dunia kita sebagai manusia.
Tak sempat menatap matahari terbit, bulan mengambang,
menyapu embun di rumput, menghirup udara pagi mahupun merenung bintang di
langit. Makan malam tidak dapat lagi kerap bersama keluarga. Yang kerap hanya
menatap video wajah-wajah girang anak-anak di telefon kerana kita masih di
pejabat.
Kalau pun ingin melihat alam, bulan, bintang, matahari
dan laut yang luas terbentang, kita terpaksa pula mengambil masa untuk bercuti.
Seminggu pun dikira lama meskipun sekejap sangat. Bolehlah kita terbang jauh
bersama keluarga. Namun, meskipun anak-anak berada di sisi, jiwa kita pula yang
tercicir di bilik pejabat. Kerja sudah mengejar kita hingga ke hujung dunia.
Apakah yang kita kejar dalam hidup ini? Kita mengejar
duit untuk digunakan sebagai matawang membeli kasih sayang, kesenangan,
kegembiraan dan kebahagiaan. Kita rasa duit boleh membeli segala-galanya.
Sedangkan apabila masanya tiba untuk membeli kasih sayang yang hilang bila anak
lari dari rumah, kita dapati nilai duit yang kita ada itu tidak cukup untuk
membeli kasih sayang itu sendiri.
Hidup dan bekerja mestilah seimbang. Siang kita jadi
pekerja, malam kita jadi manusia. Kita bekerja untuk hidup, bukannya hidup
untuk bekerja.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.2.18.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.2.18.
No comments:
Post a Comment