Tuesday, August 31, 2010

MELIHAT DENGAN MATA HATI


Foto: urbanlegends.com

MELIHAT
APA YANG KITA
TIDAK NAMPAK


SAYA terserempak dengan Sabri, seorang kenalan di bengkel ketika menghantar kereta saya untuk diservis. Katanya, dia baharu sahaja ditimpa kemalangan, sambil mengunjuk ke arah keretanya yang sedang dibaiki. Keretanya dilanggar daripada belakang ketika sedang menanti lampu trafik merah bertukar hijau.

Katanya, sudah lebih sepuluh saat keretanya berhenti apabila sebuah kereta Kancil mendekat daripada arah belakang. Entah mengapa, secara tak semena-mena, si pemandu memutar sterengnya untuk menyusur ke simpang kiri. Perkiraannya silap kerana tersondol bontot Viva kepunyaan Sabri.

Kedua-duanya keluar daripada kereta. Kereta si pesalah sudah pecah lampu depannya. Bumpernya juga kemik. Kereta Sabri pula sudah senget bumpernya. Berkali-kali si pesalah mengatakan yang kereta Sabri tak apa-apa. Melihat pakaian dan wajah si pemandu, Sabri tak jadi marah. Sebaliknya dia hanya mengambil nombor telefon dan nombor plat si pemandu. Sabri percaya kata-kata si pesalah yang dia boleh dihubungi kemudian untuk menyelesaikan masalah.

Ketika Sabri menekan minyak, dia terdengar bunyi bising di bahagian belakang keretanya. Apabila dia memeriksa, dia dapati bahagian bawah bumpernya sudah bergesel dengan tayar. Setelah memarkir kereta, Sabri cuba menghubungi si pesalah. Lebih dua puluh kali mendail, Sabri hanya mendengar lagu tanpa panggilan berjawab. Tahulah dia yang si pemandu itu tidak jujur.

Saya bertanya Sabri, apakah dia membuat laporan kemalangan di balai polis, agar si pesalah dikenakan tindakan. Dan, ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk mencari si pesalah itu dan ambil tindakan terhadapnya.

Sabri hanya menggeleng dan tersenyum. Katanya, “Tidak ada satu pun perkataan maaf yang keluar dari bibirnya setelah dia melanggar kereta aku. Dia berjanji hendak selesaikan masalah, tetapi dia tidak jawab lebih 20 kali cubaan aku hubungi dia.

Kalau pun aku buat laporan, dia yang kena denda. Kos baiki kereta aku pun dia tak bayar kerana mungkin dia tak ada duit untuk bayar kos membaiki kereta aku. Sebab itu, dia diamkan diri tak jawab panggilan telefon. Kalau aku SMS ugut dia, aku yang sakit hati kalau dia buat tak tahu. Kalau aku cari dan pukul dia, aku pula yang akan kena tangkap.”

“Engkau tak rasa apa-apa?” tanya saya.
“Rasa terkilan kerana tindakan dia tu memang ada. Tapi, perasaan ini pun sementara. Sekejap lagi, bila tengok kereta aku dah molek semula, hati aku yang susah ini akan senang kembali. Lagipun, aku nak kejar pahala percuma Ramadan,” ujarnya seraya tersenyum.

Bila saya bertanya maksud kata-katanya, Sabri menjawab, “Allah nak beri aku pahala secara mudah. Orang lain kena buat banyak ibadah untuk dapat pahala. Tapi aku yang tak bersalah langsung pun dilanggar orang. Kalau aku ambil tindakan pada orang yang langgar aku kerana marah dan dendam, pahala puasa aku boleh kurang. Tapi kalau aku releks dan maafkan orang yang langgar aku, aku dapat banyak pahala Ramadan.”

Akhirnya saya tersenyum. Inilah Sabri yang amat sabar orangnya. Dia suka menolong orang. Apabila memandu di lebuhraya dan jika dia ternampak kereta rosak yang terparkir di tepi jalan, atau apabila melihat serpihan tayar pecah yang bersepah di tengah jalan, dia akan hubungi pihak pengurusan lebuhraya agar menghantar petugas untuk membantu atau membersihkan jalan.

Apabila Ramadan, dia akan menyimpan paket-paket biskut dan beberapa botol air mineral. Jika terpandang pemandu yang di dalam kesusahan kerana kereta rosak di tepi jalan, lebih-lebih lagi menjelang waktu berbuka, Sabri akan berhenti, memberi makanan dan minuman kepada orang yang di dalam kesusahan sebelum berlalu.


Jika orang yang sebaik ini mendapat musibah kereta dilanggar, pada saya, ia bukannya kifarah sebaliknya cara Allah Yang Maha Bijaksana ingin memberinya pahala.


Sabri melihat apa yang kita tidak nampak.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.9.2010

Tuesday, August 24, 2010

KEHURUHARAAN BERSUARA


Foto: napleswebdesign.com
BILA SEMUA ORANG
BERCAKAP SERENTAK


DAHULU, dunia komunikasi lebih berat sebelah. Biasanya, mereka yang menguasai media yang akan lebih berkuasa membentuk apa yang dinamakan sebagai public opinion. Orang awam lebih banyak menjadi penerima. Komunikasi adalah daripada atas ke bawah. Kerana itu, si penerima komunikasi akan lebih patuh kepada apa yang dia terima kerana dia tidak punyai ruang dan peluang untuk menyuarakan pendapatnya.

Apabila dunia pengiklanan mula rancak pada tahun-tahun 60an, apa yang dinamakan sebagai ledakan komunikasi telah terjadi. Sejak itu, seluruh pancaindera manusia mula ditawan iklan yang bentuknya lebih agresif. Hingga ke hari ini, iklan menjelma, mengintai dan mengacah minda dari pelbagai arah dengan beranika cara.

Julia (misalnya), yang bangun pagi tidak boleh tidak akan berdepan dengan tidak kurang daripada 20 produk sebelum dia sempat masuk ke pejabat. Sebaik sahaja bangun pagi, Julia menggosok gigi menggunakan ubat gigi Mukmin, mandi dengan sabun Dove dan bersyampu dengan Safi.

Selepas itu, dia menyarung baju daripada butik Munawwarah, bertudung Jakel bersarapan dengan meneguk susu Dutch Lady bersama sekeping roti Gardenia yang disapu majerin Dorina tatkala menonton TV3 sambil membelek majalah Rapi. Untuk ke pejabat, dia memakai kasut DKNY dan bertas tangan berjenama Gucci.

Ketika memandu Toyota Viosnya di lebuhraya Duke, Julia memasang radio Hot.fm dan terdengar iklan Etiqa dari Maybank. Sambil berbaris di tol, dia memandang iklan kolej Mahsa di bontot bas. Bila menoleh, dia terpandang pula iklan pasaraya Giant di sebelah kanan jalan dan sepanduk Jamu Mak Dara di kiri jalan.

Ledakan komunikasi begitu menggusarkan para sosiologi dan psikologi. Banyak perbincangan dan persidangan dibuat ke arah merumuskan bahawa pengiklanan yang terlalu banyak akan merosakkan fikiran manusia. Namun segala-galanya mengenai pengiklanan, komunikasi sehala dan kesannya menjadi perkara kecil apabila munculnya internet.

DUNIA internet, ternyata lebih mempengaruhi kita daripada pengiklanan itu sendiri. Bermula dengan komunikasi secara e-mel, dan sembang siber, laman-laman forum membuka lagi ruang sebilangan daripada kita untuk berinteraksi sama ada untuk mencari di manakah tempat yang terbaik untuk membeli tayar hinggalah apa yang artis X buat setelah bercerai. Kemunculan blog pula memungkinkan seseorang yang boleh menulis membuka laman peribadi.

Dan akhirnya, kemunculan laman-laman sosial pula membolehkan mereka yang tidak pandai menulis panjang untuk menyertai dunia komunikasi di alam siber. Ia adalah kemuncak kepada evolusi dunia komunikasi. Jika pada tahun-tahun 60an, komunikasi lebih berat sebelah, kini, sesiapa sahaja boleh menyuarakan pendapat masing-masing.

Kini, ia memberi erti baru kepada public opinion. Jika dahulu, public opinion bermaksud pendapat ramai yang lazimnya seragam, kini, public opinion adalah pendapat ramai yang pelbagai. Apa yang dinamakan sebagai kebebasan bersuara kini telah menjelma menjadi kehuruharaan bercakap. Bayangkan, apabila setiap individu mempunyai cara pemikirannya yang tersendiri dan dia ingin dunia mengetahui apa yang dia fikirkan, tidak kira sama ada ia baik atau buruk, yang hak atau batil, berfakta atau penuh fitnah, mementingkan maslahah atau sebaliknya, maka anarki pemikiran sudah menular ke dalam mana-mana masyarakat pada hari ini.

Jika dahulu kita takutkan ledakan komunikasi, pada hari ini kita sendiri yang merosakkan pemikiran kita sesama manusia dengan memaparkan sampah sarap minda untuk dibaca oleh orang lain. Apabila semua orang boleh bercakap, maka siapa pula yang hendak mendengar, apatah lagi memikirkan apa yang disampaikan? Bila masing-masing begitu self-centered, banyakkah kebaikan yang kita peroleh daripada komunikasi di internet sejak akhir-akhir ini?

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam.”


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.8.2010.

Tuesday, August 17, 2010

SETAHUN PEMERGIANMU


Foto: mahaguru58.blogspot.com
BIARLAH
ORANG BAIK
PENGARUHI KITA

SAYA terpegun setiap kali menatap wajah Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Asri, berzikir di TV. Suara Allahyarham bukan sahaja lunak, malah mendamaikan. Meskipun beliau telah pergi tak akan kembali pada 13 Ogos 2009, namun suara serta imejnya masih di sini. (al-fatihah)

Saya hanya mengenali Allahyarham dari jauh. Hanya mendengar dan menonton persembahannya di kaca TV. Kalau ada pun saya bertemu Allahyarham secara live ialah ketika beliau memimpin bacaan Yassin dalam satu majlis anjuran syarikat. Beliau membaca surah Yassin dengan suara yang lantang, dengan tartil; hampir sempurna tajwidnya. Saya yang tidak pandai berlagu pun boleh terikut-ikut dengan bacaan Yassin dengan berlagu pada malam itu.

Sejak itu saya meminati peribadi Allahyarham yang murni. Di antara kata-kata puitis beliau yang syahdu ialah, ‘Aku adalah pengejar syurga akhirat. Bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke mana pun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku.’ (dipetik daripada blog Allahyarham http://www.asrirabbani.blogspot.com/)

Saya menafsir kata-kata Allahyarham sebagaimana berikut: ‘Jika ingin menjadi ahli syurga, berperibadilah seperti ahli syurga di dunia ini.’ Sungguh. Saya ingin mempraktikkan apa yang Allahyarham sarankan. Namun, hati kecil saya selalu menyedarkan yang saya ini masih berperangai seperti ahli dunia setiap kali saya perasan yang saya sudah berperibadi ahli syurga.

Rasa kagum saya dengan Allahyarham Ustaz Asri dikongsi sama oleh sebilangan teman-teman. Ketika berbual-bual sementara menanti waktu berbuka, salah seorang rakan, Abdul Salam menyampuk, “Elok sangat bila kita boleh terpengaruh dengan orang-orang baik… walaupun kita tidak mengenali mereka dan mereka tidak mengenali kita.” Kata-kata rakan saya itu meskipun ringkas, membuatkan saya terfikir di sebaliknya. Bagaimana kita boleh terpengaruh dengan orang-orang yang tidak baik, walaupun kita tidak mengenali mereka, dan mereka tidak mengenali kita?

Di zaman ledakan maklumat, setiap hari kita terdedah untuk mengenali ramai sekali manusia yang kita belum pernah jumpa. Di dada akhbar, kita menatap dan membaca cerita mereka. Di kaca TV dan internet, kita menonton aksi dan mendengar suara mereka. Di internet juga, kita berkenalan secara siber, rakan-rakan teman sosial dan rakan blog yang sebahagian besarnya tidak kita kenali.

Pokoknya, baguslah jika mereka yang baik sahaja yang pengaruhi hidup kita. Rencana, filem dan video pengembara yang berani, pemuzik dan penyanyi yang menghiburkan atau kepandaian manusia yang mengagumkan patut sekali menjadi inspirasi, meskipun mereka tidak mengenali kita, dan kita tidak mengenali mereka.

Sebaliknya, mereka yang hodoh perangai, buruk lidah dan busuk hati tidak seharusnya mempengaruhi kita. Bagaimana pun, mengapa sebilangan daripada kita yang terlalu membenci mereka yang buruk ini, seolah-olah kita mengenali mereka dan mereka mengenali kita?

Ada di antara kita yang begitu terkesan dengan keburukan mereka yang tidak kita kenali hingga sanggup menghebah dan berkempen membenci mereka yang tidak kita sukai. Kita bukan sahaja mengkritik secara lisan, malah sanggup menghebahkan keburukan orang yang tidak kita kenal itu kepada dunia melalui internet. Hinggakan ada yang sanggup membuka laman anti-seseorang yang dibenci dan mengumpul pula penyokong mereka yang sama-sama tidak suka kepada seseorang itu hingga beribu-ribu jumlahnya.

Seharusnya, biarlah kita tahu mengenai keburukan seseorang yang tidak kita kenal secara sekali lalu. Tidak perlu kita memberi reaksi melalui tulisan dan perkataan. Kerana, tidakkah tindakan over kita itu sebenarnya menggambarkan kita terpengaruh dengan keburukan orang itu?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.8.2010.

Tuesday, August 10, 2010

SELAMAT MERAIKAN RAMADHAN


Foto: Umatanwasatan.net

BERPUASA
BUKAN UNTUK BERPUAS


ALHAMDULILAH kerana kita berpeluang untuk berpuasa lagi. Sebahagian besar daripada kita tentulah sempat bersahur. Mudah-mudahan kita yang sahur pada jam 3.00 pagi ke atas disenangkan untuk bangun setiap hari hingga ke akhir Ramadan. Tidak ada sehari pun terjaga setelah mentari menjenguk ke dalam jendela.

Tentu sekali puasa melatih diri untuk bersabar. Namun, sebagai manusia, kita mudah sangat terlupa untuk menjaga kesabaran. Mungkin kita sudah pun membunyikan hon pada kereta yang berada di hadapan kereta kita di lampu trafik pagi tadi kerana lewat sesaat untuk bergerak bila lampu bertukar hijau.

Mungkin kita sudah mengeluh bila pemandu kereta di hadapan terpaksa membuka pintu untuk menyentuh kad Touch and Gonya kerana cerminnya sudah rosak. Atau kita geram bila kereta kita dipintas secara tiba-tiba.

Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, apakah kita memotong queue untuk menaiki bas kerana tidak mahu menunggu lebih lama? Ataupun tidak memberi ruang bagi yang ingin keluar daripada koc komuter atau LRT sebelum kita menginjak menaikinya? Atau menghimpitkan diri ke dalam lif yang sendat kerana takut lewat memasuki pejabat sebentar tadi? Inilah cabaran kesabaran berpuasa.

Tiba awal ke pejabat kerana tidak perlu bersarapan memberi kita lebih banyak masa. Maka, tidak molek jika kita gunakan masa itu untuk membuka laman kenalan sosial, laman permainan, laman gossip artis, laman video hiburan atau segala macam laman fitnah dan ghairah seperti yang selalu kita lakukan.

Menu di bulan puasa perlu berubah kepada membuka laman Al-Quran online. Boleh juga e-tadarus dengan mendengar dan mengikut bacaan dengan tujuan memperbetulkan sebutan kita. Atau membuka laman-laman hadis, soal jawab agama, blog-blog ustaz-ustaz yang tentunya mempunyai pelbagai ulasan dan bahan mengenai puasa itu sendiri. Santapan minda yang baik di bulan puasa akan menajamkan fikiran walaupun ia sedikit melayukan mata.

Tentu sekali waktu makan tengahari juga boleh digunakan untuk bersolat dengan lebih lambat dan khusyuk. Setelah itu masa yang luang boleh digunakan untuk menghafal satu surah baru daripada mana-mana juz Amma. Sekurang-kurangnya kita tidak membaca surah-surah ‘empat Qul’ sahaja setiap kali solat sejak akil baligh hingga ke hari ini. Mudah-mudahan kita dapat menghafal satu surah pada setiap minggu.

Cabaran bazaar Ramadan sememangnya menguja nafsu. Terdapat beratus-ratus jenis makanan. Masakan yang dibakar, digoreng, direbus, dicelur kesemuanya ada. Tidak termasuk pelbagai jenis kuih muih dan pelbagai minuman beranika warna. Ada juga makanan yang hanya muncul setahun sekali seperti air kasira dan bubur lambok. Kesemua ini mengancam selera.

Apakah kita mengambil sejenis kuih atau membeli selagi tangan larat menjinjing? Hingga akhirnya kesemua makanan itu akan dipetisejukkan dengan niat hendak dihabiskan. Sedangkan bila tiba hari esoknya, kita membeli dan membeli lagi. Jika difikirkan, seisi rumah yang berpeti sejuk tidak perlu langsung membeli makanan setiap hari. Kerana percayalah, seisi rumah tidak akan kebuluran kerana peti sejuk dicipta untuk mengisi stok makanan sehingga seminggu.

Bagi yang berbuka di luar sama ada di gerai mahupun di hotel-hotel, apa yang lebih mustahak ialah untuk mengintai-intai di manakah terdapatnya surau dan tempat berwuduk. Maklumlah, menjamu selera dengan hidangan yang pelbagai juga melalaikan. Lebih-lebih lagi, perut yang berat akan juga membuatkan mata menjadi berat ketika berterawih. Jika kita terlalu santai dengan berbuka dan berebut-rebut untuk bersolat, keseronokan berpuasa dalam suasana tenang telah dinodai dengan kekalutan setelah berbuka, apatah lagi untuk bertadarus.

Pendek kata, kita perlu kurangkan makan, minum dan tidur ketika berpuasa. Apa yang perlu dilebihkan ialah beribadah. Tidak molek lebih makan, lebih minum dan lebih tidur.
Berpuasa itu bukan untuk berpuas.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian, 11.8.2010.

Wednesday, August 4, 2010

Menjadi Tukang Karut


Foto: Mywindownintheworld.com
KENAPA BERCAKAP
APA YANG KITA TAK TAHU?


DUA minggu lalu, saya ke majlis perkahwinan anak kenalan saya. Majlis diadakan di sebuah taman perumahan di Kelang, Selangor. Oleh kerana tidak pernah sampai ke rumahnya, saya berpandukan sahaja kepada peta yang tertera di belakang kad jemputan kahwin anaknya itu.

Pengalaman saya membaca peta kad kahwin yang jarang sekali betul membuatkan saya skeptikal. Ya, peta di kad kahwin yang saya tatap pada hari itu pun sama juga. Tidak betul pandu arahnya. Pandu arah menunjukkan saya perlu masuk ke sebuah simpang selepas stesen Petronas. Bila saya lalui jalan itu, rupa-rupanya ia jalan menuju tangki air kawasan perumahan itu.

Kerana khuatir tersesat, saya mula bertanya pada pekerja di stesen minyak. Kata pekerja tersebut, simpang yang dimaksudkan itu sebenarnya berada satu kilometer daripada stesen itu. Malangnya, bila saya ikut pandu arah pekerja itu, saya sampai pula ke kebun sayur!

Bila berpatah arah kembali saya bertanya pula dengan seorang remaja bermotorsikal. Saya kira, dia pemuda kampung itu kerana memacu motorsikal tanpa bertopi keledar. Malangnya, dia juga menunjukkan arah yang akhirnya membuatkan saya berputar hingga ke simpang di belakang stesen Petronas pula. Akhirnya, saya ke Balai Polis untuk bertanya arah. Hampir sejam kemudian, saya tiba juga ke rumah kawan saya itu.

Mengapa saya sesat jalan? Selain daripada kesilapan pada peta, saya tersesat akibat menggunakan maklumat yang salah yang disampaikan oleh mereka yang tidak tahu. Mereka memberi pandu arah seolah-olah mereka tahu apa yang mereka perkatakan.

Tidak tahu tetapi bercakap seolah-olah orang yang berpengetahuan adalah satu bentuk rasa rendah diri yang mula berputik sejak di zaman kanak-kanak. Kita biasa mendengar seorang budak bercerita mengenai hantu kepada kawan-kawan. Nada suara dan gaya dia bercerita begitu menyakinkan seolah-olah dia sendiri pernah berjumpa hantu. Padahal, dia mungkin mendengar cerita orang atau memperoleh idea mengenai hantu setelah menonton TV.

Tujuannya hanya untuk menarik perhatian dan untuk menunjuk-nunjuk. Perangai begini terbawa-bawa hingga ke dewasa. Daripada bercerita tentang hantu, dia mula suka menggosip, tidak kira sama ada ia cerita politik, kisah artis, hal jiran mahupun gosip di dalam pejabat. Orang begini tahu, pegawai kerajaan mana yang makan duit haram, datuk mana yang dapat kontrak melalui jalan rasuah dan Tan Sri mana yang meletak jawatan kerana kononnya menyelewengkan wang syarikat.

Dia tahu artis mana yang suka goda suami orang, yang suka tonggang arak, yang berbogel di tepi pantai atau yang menipu dalam perniagaan. Orang begini tahu serba-serbi yang kita tidak ambil pusing pun pada mulanya. Bila bercakap mengenai agama pula, dia pandai-pandai kata haji ini dan imam itu amal ajaran sesat atau menghukum jemaah yang tidak mengikut cara amalannya sebagai terpesong. Tetapi oleh kerana ceritanya begitu menyakinkan, kita jadi percaya.

Mengapa terdapat banyak sangat gosip agama, politik mahupun artis di kalangan kita? Masalahnya juga muncul kerana sikap kita sendiri juga. Apabila mendengar cerita seseorang, kita lebih suka berdiam diri dan mengangguk untuk mengambil hati si pencerita. Apabila kita hanya menjadi pendengar yang pasif, maka si pencita menjadi lebih galak. Lepas satu, satu lagi cerita dibebelkan sehingga kita sendiri percaya.

Andainya kita pintas ceritanya dan bertanya daripada mana dia tahu mengenai sesuatu cerita itu, biasanya daripada sepuluh pencerita, sembilan daripada mereka akan terkedu dan memberi pelbagai alasan yang tidak menyakinkan ~ yang menggambarkan yang dia sendiri tidak tahu apa yang dia sendiri perkatakan.

Sebenarnya, kitalah yang sepatutnya peka dan bersedia untuk menolak apa jua cakap orang yang tidak tahu tetapi mengaku tahu. Dengan cara mempersoalkan kesahihan sumber maklumatnya, kita sendiri akan menjadi pembanteras fitnah.

Ya, mungkin kita tidak disukai olehnya. Tetapi sekurang-kurangnya, kita tidak akan disesatkan. Kalau sesat ke rumah pengantin, ia tidak menjadi hal. Tetapi jika tersesat daripada jalan kebenaran, itu adalah padah yang parah!


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.8.2010.