Tuesday, June 27, 2017

MARI MULAKAN PUASA ENAM



PICCREDIT: MELVISTER.COM

HIDUP DENGAN
SEMANGAT
RAMADAN

SEBENTAR sahaja rasanya berpuasa, kita sudahpun berhari raya. Sekejap sahaja berhari raya, kita sudah kembali semula kepada rutin sebelum Ramadan. Apabila balik kepada kehidupan yang super sibuk, mudah-mudahan kita tidak lupa kepada Ramadan, yang bukan sahaja dikatakan sebagai bulan ibadah, tetapi sebagai bulan latihan.

Ramadan diertikan sebagai bulan penyucian setelah memperoleh kemaafan daripada Yang Maha Pengampun. Kita kembali kepada fitrah, kepada asal sebagai manusia yang bersih, bagai bayi yang lahir tanpa dosa. Begitulah kehendak. Bagaimana pula kemampuan kita ?

Kehendak dan kemampuan adalah dua perkara yang berbeza. Kehendak itu adalah keinginan. Ditingkatkan rasa keinginan itu, jadilah ia azam. Imaginasi kejayaan azam itu adalah impian. Apabila dipasak dengan iltizam, iaitu konsisten dalam tindakan, maka tidak mustahil kehendak itu menjadi realiti. Kehendak yang disertai dengan kemampuan bisa menjadikan keinginan itu sesuatu yang boleh digapai.

Sebaliknya jika kehendak itu tanpa kemampuan, keinginan yang mendatang itu hanya angan-angan. Ia bukan menjadi impian, malah mimpi semata-mata. Tidak sampai sehari, sesuatu yang dikehendaki itu boleh sahaja hilang dari ingatan. Hangat-hangat tahi ayam.

Dan kita kembali menjadi manusia yang biasa-biasa sahaja ~ manusia yang tiada cita-cita walaupun sekecil hama. Kita hanya hidup mengikut arus kehidupan. Kalau bernasib baik, terdamar di pulau cita-cita. Jika tidak beruntung, tenggelam sahaja di lautan khayalan.

Ramada itu bulan latihan. Sebelas bulan yang berikutnya adalah bulan praktikal. Soalnya bagaimana latihan sebulan Ramadan itu boleh ditempias, malah ditumpahkan ke sebelas bulan berikutnya agar latihan itu menjadi amalan? Ramadan itu berbeza daripada bulan-bulan yang lain kerana polar rutin harian kita beranjak terus daripada paksinya.

Sarapan menjadi sahur. Masanya sebelum subuh dan ada had waktunya. Waktu maghrib dinanti kerana ia adalah juga waktu berbuka atau makan malam. Lazimnya waktu Maghrib pada bulan-bulan yang lain akan ditangguh-tangguh. Tetapi oleh kerana ia petanda waktu berbuka sudah tiba, maka Maghrib juga diingati.

Untuk bertarawih, mesti tunaikan solat Isyak dahulu. Isyak mesti dilaksanakan tepat pada waktu kerana selepas Isyak baharulah boleh bertarawih. Tetapi sebelum tunaikan Isyak, kenalah solat Maghrib lebih awal dan bukannya last minute. Maknanya di bulan Ramadan, sekurang-kurangnya tiga waktu solat; Maghrib, Isyak dan Subuh  dapat dilakukan tepat pada waktunya berbanding daripada bulan-bulan yang lain.

Pada dasarnya kita punyai kemajuan daripada segi menepati waktu ibadah untuk sekurang-kurangnya tiga waktu. Waktu sarapan berubah, makan tengahari tiada dan makan malam di waktu yang singkat. Bersama puasa, inilah perbezaan ketara di bulan Ramadan kerana aktiviti lain seperti bekerja atau belajar sama sahaja seperti di bulan-bulan yang lain.

Justeru itu, andainya kita mahu agar amalan Ramadan itu dibawa ke bulan-bulan yang beikutnya, maka tidak boleh tidak, amalan berpuasa itu sendiri perlu dibawa ke bulan-bulan yang seterusnya. Ini adalah kerana, puasa itu sendiri adalah kunci amalan yang membawa perubahan kepada tabiat seharian kita.

Kerana itu, apa yang digalakkan ialah berpuasa enam hari di bulan Syawal. Di tengah-tengah suasana riuh rendah riang ria aidilfitri di mana kita boleh makan minum sesukanya, ibadah puasa ini muncul sebagai cabaran utama sesiapa yang benar-benar mahu mempraktikkan latihan berpuasa di bulan Ramadan.

Berpuasa di kalangan mereka yang sibuk menjamu selera rumah terbuka di sana-sini, hidangan kuih dan biskut raya oleh rakan-rakan sepejabat akan meracun perasaan agar kita menangguhkan puasa enam. Mudah-mudahan tangguhan itu jangan sampai tak jadi puasa kerana ia cabaran melawan nafsu yang besar. Tatkala orang lain bebas kembali kepada rutin, kita berjuang untuk meneruskan amalan Ramadan di bulan Syawal.

Bila kita berjaya, itu sebenarnya belum memadai jika kita mahu amalan Ramadan pada bulan-bulan selepas Syawal. Ramai juga di antara kita yang berjaya membawa amalan Ramadan di bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan seterusnya dengan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.


Mudah-mudahan pada tahun ini kita boleh mula membawa semangat Ramadan ke dalam amalan kehidupan dengan puasa enam. Mudah-mudahan juga kita boleh terus mula berpuasa sunat yang lain.

Iyalah, jika kita berasa Ramadan lalu adalah Ramadan terakhir kita, apa ikhtiar yang kita ada untuk bertaqarrub kepada-NYA?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.6.17.

Tuesday, June 20, 2017

AL QURAN ITU SAHABAT




piccredit:  bernamaradio

SUARA PANGGILAN SAHABAT LAMA

MALAYSIA #QuranHour bukan hanya sebuah happening. Ia sudah menjadi sebuah fenomena. Ia bermula sebagai riak yang kecil. Tetapi kini, ia menjadi sebuah gelombang yang besar. Semakin lama, kempen Quran Hour ini menjadi sebuah gerakan yang menarik sekian banyak khalayak untuk menyertainya.

Isnin lalu, tanggal 24 Ramadan atau 19 Jun, kalangan pelajar sekolah harian, sekolah tahfiz, institusi pengajian tinggi, penjawat awam, kakitangan swasta, badan berkanun, pasukan beruniform, NGO dan ramai juga individu telah meluangkan masa untuk bersama al-Quran untuk satu jam. Kempen Malaysia #QuranHour bagi tahun 2017 ini dilaksanakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Lebih 5,000 insan-insan telah hadir untuk menyumbangkan masa dan tenaga mereka untuk menyemarakkan kempen Malaysia #QuranHour di situ. Ini tidak termasuk ratusan ribu lagi insan-insan lain yang berhimpun di masjid, surau, madrasah, pejabat, dewan kuliah dan di mana sahaja ruang yang ada untuk sama-sama menyemarakkan suara dari al-Quranul Karim.

Tidak lama lagi, 9 Zulhijah yang kebetulannya jatuh pada 31 Ogos, satu lagi gerakan menyemarakkan World #QuranHour pula akan berlangsung. Pada kali ini, jutaan umat manusia dari seluruh dunia pula akan melontarkan getaran zikrullah ke angkasaraya. Pada tahun lalu, lebih 10 juta umat manusia telah menyumbangkan masa dan tenaga untuk kempen ini. Mudah-mudahan pada tahun ini World #QuranHour akan mendapat sambutan yang berlipatkali ganda.

Namun, sebenarnya kempen berskala besar bertaraf dunia ini bukan matlamat akhir. Meskipun jika diizinkan ALLAH SWT, kempen ini menarik umat manusia melebihi 100 juta pun, itu bukan matlamatnya. Yang menjadi tujuan akhir ialah untuk memahat dan memateri Al-Quran di hati setiap insan dengan kempen My #QuranHour.

Unik. Mengapa kita perlukan sebuah gerakan raksaksa seantero dunia, penuh dengan gerak gempita guruh melangit hanya untuk menembusi kalbu kita yang begitu kecil? Jawabnya, kerana hati-hati kita semuanya telah kabur dan kelabu dari sinaran nur al-Quran. Kita bukannya tak tahu al-Quran itu mukjizat. Kita bukannya tidak mengerti bahawa al-Quran itu sebuah manual bukan sahaja sebagai peta untuk kemahiran hidup, malah kemahiran mati!

Tetapi, kita terlupa. Ataupun kita tidak diberitahu mengenai kehebatan al-Quran. Al-Quran diperkenalkan hanya sebagai sebuah kitab untuk mengaji. Kalau tak pandai baca, kita kena sebat guru mengaji. Tapi, bila kita habis membaca seluruh al-Quran, kita buat majlis khatam al-Quran. Selepas khatam, kita anggap al-Quran sudah tersemat di dalam dada.

Bila kita ingin tambah kehebatan sebagai seorang pembaca al-Quran, bukan sebagai pengamal al-Quran, kita baca lagi dan khatam lagi. Justeru, kita dikira hebat jika kita sudah dapat khatam al-Quran berkali-kali. Di bulan Ramadan kita berebut-rebut untuk khatam al-Quran. Bila dapat khatam, kita berasa diri sudah bagus kerana menghidupkan al-Quran di bulan yang mulia.

Tetapi lebih bagus jika bacaan al-Quran itu diteruskan pada 11 bulan berikutnya hingga Ramadan datang kembali. Bukankah puasa sebulan itu hanyalah latihan untuk 11 bulan berikutnya? Tabiat rapat dengan al-Quran perlu diteruskan. Tidak boleh tertinggal al-Quran lagi.

Apatah lagi, perisian al-Quran sudah boleh dimasukkan ke dalam telefon pintar. Maka kita lebih pintar dari telefon pintar jika kita gunakan sebanyak mungkin masa kita untuk bersama al-Quran.

Al-Quran harus dijadikan sahabat. Jika al-Quran menjadi sahabat, ia akan menemani kita di alam kubur kelak. Jika kita tinggalkan ia, ia akan menjauhkan diri dari kita. Bila itu berlaku, maka jadilah kita pada hari ini yang lebih banyak membuat pertimbangan, keputusan dan tindakan berdasarkan naluri yang bertunjangkan nafsu. Semakin kita tidak menjadikan ia rujukan, kita akan semakin sesat.

Sesat di dunia memang suatu masalah besar kerana kita tak boleh tanya kepada sesiapa kerana barangkali orang yang kita tanya itu pun sesat di dunia seperti kita. Yang membuatkan kita nampak jalan keluar ialah dengan merujuk kepada al-Quran yang juga skrip untung nasib manusia.

Tundukkan pandangan, tawadukkan perasaan dan ketepikan rasa malu. Kita lemah. Dan, kita perlukan al-Quran. Jika kita berasa tak kuat semangat untuk kembali, berdoalah agar kita diberikan kekuatan. Mungkin juga keriuhan World #QuranHour boleh memahat lubang telinga kita supaya dapat mendengar suara panggilan dari seorang sahabat lama ~ al-Quran kitabullah.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.6.17.




  

Tuesday, June 13, 2017

MENGINJAK KE USIA 60 TAHUN

-->



WARGA EMAS: EMAS YANG BERHARGA

3 Jun lalu saya menginjak ke usia 60 tahun. Maknanya sudah 10 tahun saya menjadi warga emas. Tatkala berusia 50 tahun, saya berasa janggal kerana status warga emas itu.  Adik pelayan di restoran mula memanggil saya pakcik, bukan lagi encik, apatah lagi abang. Jika menaiki LRT, ada anak muda yang bangun memberi saya tempat duduknya. Saya akan buat-buat tak perasan dan menyuruh orang lain duduk di tempat itu. Di lapangan terbang, diri terasa segan bila diberi peluang beratur menaiki pesawat terlebih dahulu kerana status warga emas itu.

Namun lama kelamaan, perasaan itu hilang. Mungkin kerana saya sudah menerima realiti. Tetapi mungkin juga kerana saya sudah tidak peduli dengan angka-angka itu. Justeru, apabila menjangkau ke usia 60 tahun, saya tidak berasa janggal lagi. Iya, saya berasa diri saya semakin tua. Tetapi, saya tidak berlagak seperti orang tua. Dan, tentu sekali bukan berperangai seperti orang muda. Yang penting, saya jalani hari-hari yang mendatang dengan seadanya.

Alhamdulilah kerana di usia ini ALLAH swt telah kesihatan tubuh, kewarasan akal dan ketenangan jiwa. Barometer kesihatan saya amat mudah. Berselera makan, mudah tidur, mudah bangun dan juga baik sistem perkumuhan. Jika salah satunya berasa terganggu, saya akan cepat-cepat bertemu dengan doktor saya. Buat pemeriksaan yang mana patut.

Insya-ALLAH secara fizikalnya saya masih okey. Ujian stress test untuk jantung, paru-paru dan buah pinggang masih berfungsi dengan baik. Diabetes dan darah tinggi pun masih terkawal dengan pemeriksaan empat bulan sekali. Oleh kerana kedua-duanya bukan penyakit berjangkit dan jenis penyakit yang tidak akan menular, saya kawal ia seadanya.

Jika ke kenduri atau dinner, saya akan belasah apa yang melintas. Tetapi pada keesokannya, saya boleh sahaja makan biskut dan kismis yang direndam di dalam milo kosong. Maknanya, jika saya hendak makan, saya akan makan. Bila diri saya kata ‘berhenti,’ saya akan berhenti. Alhamdulilah, saya boleh berhentikan sesuatu tabiat sebegitu sahaja seperti saya berhenti ketagihan merokok 15 tahun lalu.

Ingatan saya juga masih baik. Masih banyak benda yang boleh diingat. Boleh lagi mendera fikiran secara paksa bila keadaan memerlukan. Cuma bila menghadiri mesyuarat yang panjang, saya surrender. Selepas mesyuarat, fikiran saya jadi berat dan saya akan bersantai dengan menonton filem.

Pemikiran di usia sebegini ada cabarannya. Seboleh mungkin saya akan ikuti perkembangan semasa dan perkembangan teknologi. Apa jua tren di dalam industri akan saya ikuti. Apa sahaja pendekatan pentadbiran mahupun pengurusan akan saya teliti. Tidak mahu berfikiran old school.

Pada banyak situasi dan ketika, bertugas di akhbar memerlukan respon membuat keputusan dalam lima saat. Silap pertimbangan, akan tersasar. Tetapi bila silap pun, kena cekap mengubah haluan keputusan untuk damage control. Di usia ini saya perlu berfikir seperti orang muda tetapi menimbang fikiran itu sebagai orang tua.

Jiwa pun semakin tenang di usia sebegini. Begitulah yang saya rasa. Jika dahulu, pantang ada kereta memotong, saya akan memecut untuk meninggalkan kereta itu. Kini, jika kereta di sebelah mengendeng di laluan saya di plaza tol, saya berikan sahaja dengan senyuman.

Bila menoleh ke belakang menelusuri lipatan sejarah kehidupan, saya dapati diri saya amat bernasib baik. Orang putih kata, God has been kind to me. Apa sahaja ilmu yang saya timba dalam kehidupan, pengalaman yang saya lalui sebelum ini boleh diaplikasikan semula walaupun dalam bentuk yang berbeza.

Di kolej, saya belajar senireka perusahaan. Tetapi saya telah berkerja sebagai setiausaha kerja di dalam NGO, menjadi pemudah cara, jurulatih dan penganalisis politik tatkala bertugas dengan kerajaan. Saya pernah menjadi kaunselor pelajar, bekerja di bidang pemasaran, sumber manusia, pengurusan dan telah menulis lapan buah buku termasuk lima buah novel.

Kini, apabila menjadi ketua pengarang sebuah akhbar, semua ilmu yang saya peroleh sejak mula bekerja pada tahun 1980, boleh saya adun menjadi sebuah ramuan bagi menghasilkan hidangan santapan minda yang setanding dengan akhbar-akhbar yang lain.

Meskipun saya bersyukur dengan apa yang saya telah lalui, saya akan lebih gembira seandainya apa yang saya ada ini dapat saya tumpahkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Ilmu dan pengalaman yang saya peroleh ini juga kepunyaan-NYA. Saya hanya pinjam seketika. Saya hanya alat atau medium di mana ilmu itu hinggap. Rugi jika tiada sesiapa yang mahukannya. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.6.17.

Tuesday, June 6, 2017

UJI DIRI UNTUK SUSAH DAN SENANG




Piccredit:  youtube

TIDAK KEKOK
UNTUK RASA SUSAH

DUA atau tiga bulan sekali, saya akan menghantar kereta untuk dibaikpulih di sebuah pusat servis yang terletak kira-kira satu kilometer daripada pejabat. Lazimnya saya akan menelefon pusat servis tiga-empat hari sebelum itu untuk membuat tempahan. Saya mahu jadi pelanggan yang pertama supaya kereta yang diservis dapat siap sebelum jam 1.00 petang.

Selepas menghantar kereta, saya lebih gemar berjalan kaki sahaja ke pejabat. Saya suka begitu kerana mahu beriadah di samping merangsang deria pandangan dan pendengaran. Dengan berjalan, saya dapat memerhati kejadian alam.

Saya biasa nampak kupu-kupu berterbangan di celah-celah rumpun pokok, burung berbuat sarang atau kucing memamah tikus di celah semak. Saya berpeluang melompat melintasi becak, merasai berjalan di ruang pejalan kaki yang tinggi rendah kerana kontraktornya tidak meratakan jalan yang dikoreknya. Yang penting, saya berpeluang mencabut kemuncup bila tiba ke pejabat – sesuatu yang saya tidak suka lakukan di zaman persekolahan dahulu!

Sewaktu menapak, saya dapat mendongak melihat betapa besarnya tanda arah jalanraya. Di dalam kenderaan, saya nampak saiznya kecil sahaja. Saya sempat juga mengintai ke dalam parit dengan sampah yang kebanyakannya dari jenis plastik. Bila melalui di bawah jejambat, saya terpaksa berjingkit-jingkit agar debu tidak hinggap di kaki seluar atau terpijak tahi anjing.

Dengan berjalan juga, saya merangsang kembali kemahiran melintas jalan. Jika perlu berlari, berlarilah bila nampak kereta dipandu laju. Saya perasan, betapa pejalan kaki tidak dilihat sebagai orang yang juga punyai urusan penting. Semakin saya dilihat cuba melintas, semakin laju kenderaan dipandu agar saya hanya melintas setelah kenderaan itu berlalu. Bunyi kenderaan yang membising memang menyakitkan telinga. Sungguh berbeza tatkala saya memandu dengan tingkap tertutup. Yang kedengaran hanya deru pendingin hawa.

Ada ketikanya, saya akan terdengar hon dan pemandunya memperlahankan kenderaan apabila menghampiri saya. Biasanya, rakan sepejabatlah yang ingin berhenti untuk menumpangkan saya. Pelawaan itu saya hanya balas dengan senyuman, mengangkat tangan dan terus menapak.

Sebenarnya saya melakukan itu untuk mengingatkan diri sendiri agar tidak berasa patah kaki bila tidak berkenderaan. Dalam banyak keadaan ketiadaan kereta dalam tempoh lama seperti kereta rosak, kereta terpaksa diservis berhari-hari atau terpaksa parkir jauh dari tempat yang dituju memaksa saya menapak.

Malah sekali sekala, saya biasa meninggalkan kereta di mana-mana medan letak kereta lalu melompat menaiki LRT, komuter mahupun teksi. Tujuannya semata-mata supaya saya dapat rasa kerenyahan sebagai penumpang yang tiada kenderaan.

Bila orang bertanya mengapa saya boleh berjalan dengan selamba di dalam hujan, menghirup cendol di gerai bawah pokok, mengeluarkan kertas fotostat yang tersangkut di mesin, membasuh pinggan di sinki, membuat kopi sendiri atau menjahit butang baju… ia adalah kerana saya selalu ingatkan diri untuk susah bila tiba waktunya.

Hidup ini tidak semata-matanya indah. Bukan sentiasanya senang lenang. Jika susah itu suatu ujian, kesenangan juga adalah ujian. Apabila susah, begitu mudah kita sedar ia ujian kerana banyak kekangan yang membataskan fikiran dan tindakan kita. Namun, ramai di antara kita tidak sedar kita juga diuji tatkala senang. Ujian tatkala senang yang paling bermakna ialah dengan meletakkan diri dengan kesusahan dalam suasana serba ada.

Dengan berasa susah tatkala senang, atau tidak berasa terbeban tatkala susah, sikap mengeluh dan kompelin tidak menjadi perangai kita apabila tibanya kesukaran. Yang penting ialah melalui keadaan susah dan senang dengan selamba. Lalui sahaja zaman susah seperti menmdaki gunung. Rentasi zaman senang seperti berlari di padang yang luas.

Orang tua kata, hidup itu umpama roda. Berselambalah apabila berada di atas tetapi jangan pula panik apabila terpaksa berada di bawah. Putaran itu akan datang dan pergi dan datang kembali. Ia adalah ujian peribadi yang akan mempengaruhi juga mereka di sekeliling kita ~ samada untuk panik atau tenang mengharunginya.