PICCREDIT: MELVISTER.COM
HIDUP DENGAN
SEMANGAT RAMADAN
SEBENTAR sahaja rasanya berpuasa, kita sudahpun berhari raya. Sekejap sahaja berhari
raya, kita sudah kembali semula kepada rutin sebelum Ramadan. Apabila balik kepada
kehidupan yang super sibuk, mudah-mudahan kita tidak lupa kepada Ramadan, yang
bukan sahaja dikatakan sebagai bulan ibadah, tetapi sebagai bulan latihan.
Ramadan
diertikan sebagai bulan penyucian setelah memperoleh kemaafan daripada Yang
Maha Pengampun. Kita kembali kepada fitrah, kepada asal sebagai manusia yang
bersih, bagai bayi yang lahir tanpa dosa. Begitulah kehendak. Bagaimana pula
kemampuan kita ?
Kehendak
dan kemampuan adalah dua perkara yang berbeza. Kehendak itu adalah keinginan.
Ditingkatkan rasa keinginan itu, jadilah ia azam. Imaginasi kejayaan azam itu
adalah impian. Apabila dipasak dengan iltizam, iaitu konsisten dalam tindakan,
maka tidak mustahil kehendak itu menjadi realiti. Kehendak yang disertai dengan
kemampuan bisa menjadikan keinginan itu sesuatu yang boleh digapai.
Sebaliknya
jika kehendak itu tanpa kemampuan, keinginan yang mendatang itu hanya angan-angan.
Ia bukan menjadi impian, malah mimpi semata-mata. Tidak sampai sehari, sesuatu
yang dikehendaki itu boleh sahaja hilang dari ingatan. Hangat-hangat tahi ayam.
Dan
kita kembali menjadi manusia yang biasa-biasa sahaja ~ manusia yang tiada
cita-cita walaupun sekecil hama. Kita hanya hidup mengikut arus kehidupan.
Kalau bernasib baik, terdamar di pulau cita-cita. Jika tidak beruntung,
tenggelam sahaja di lautan khayalan.
Ramada
itu bulan latihan. Sebelas bulan yang berikutnya adalah bulan praktikal. Soalnya
bagaimana latihan sebulan Ramadan itu boleh ditempias, malah ditumpahkan ke
sebelas bulan berikutnya agar latihan itu menjadi amalan? Ramadan itu berbeza
daripada bulan-bulan yang lain kerana polar rutin harian kita beranjak terus
daripada paksinya.
Sarapan
menjadi sahur. Masanya sebelum subuh dan ada had waktunya. Waktu maghrib
dinanti kerana ia adalah juga waktu berbuka atau makan malam. Lazimnya waktu Maghrib
pada bulan-bulan yang lain akan ditangguh-tangguh. Tetapi oleh kerana ia
petanda waktu berbuka sudah tiba, maka Maghrib juga diingati.
Untuk
bertarawih, mesti tunaikan solat Isyak dahulu. Isyak mesti dilaksanakan tepat
pada waktu kerana selepas Isyak baharulah boleh bertarawih. Tetapi sebelum
tunaikan Isyak, kenalah solat Maghrib lebih awal dan bukannya last minute. Maknanya
di bulan Ramadan, sekurang-kurangnya tiga waktu solat; Maghrib, Isyak dan
Subuh dapat dilakukan tepat pada
waktunya berbanding daripada bulan-bulan yang lain.
Pada
dasarnya kita punyai kemajuan daripada segi menepati waktu ibadah untuk
sekurang-kurangnya tiga waktu. Waktu sarapan berubah, makan tengahari tiada dan
makan malam di waktu yang singkat. Bersama puasa, inilah perbezaan ketara di
bulan Ramadan kerana aktiviti lain seperti bekerja atau belajar sama sahaja
seperti di bulan-bulan yang lain.
Justeru
itu, andainya kita mahu agar amalan Ramadan itu dibawa ke bulan-bulan yang beikutnya,
maka tidak boleh tidak, amalan berpuasa itu sendiri perlu dibawa ke bulan-bulan
yang seterusnya. Ini adalah kerana, puasa itu sendiri adalah kunci amalan yang
membawa perubahan kepada tabiat seharian kita.
Kerana
itu, apa yang digalakkan ialah berpuasa enam hari di bulan Syawal. Di
tengah-tengah suasana riuh rendah riang ria aidilfitri di mana kita boleh makan
minum sesukanya, ibadah puasa ini muncul sebagai cabaran utama sesiapa yang
benar-benar mahu mempraktikkan latihan berpuasa di bulan Ramadan.
Berpuasa
di kalangan mereka yang sibuk menjamu selera rumah terbuka di sana-sini,
hidangan kuih dan biskut raya oleh rakan-rakan sepejabat akan meracun perasaan
agar kita menangguhkan puasa enam. Mudah-mudahan tangguhan itu jangan sampai
tak jadi puasa kerana ia cabaran melawan nafsu yang besar. Tatkala orang lain
bebas kembali kepada rutin, kita berjuang untuk meneruskan amalan Ramadan di
bulan Syawal.
Bila
kita berjaya, itu sebenarnya belum memadai jika kita mahu amalan Ramadan pada
bulan-bulan selepas Syawal. Ramai juga di antara kita yang berjaya membawa amalan
Ramadan di bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan seterusnya dengan
puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.
Mudah-mudahan
pada tahun ini kita boleh mula membawa semangat Ramadan ke dalam amalan kehidupan
dengan puasa enam. Mudah-mudahan juga kita boleh terus mula berpuasa sunat yang
lain.
Iyalah, jika kita berasa Ramadan lalu adalah Ramadan terakhir kita, apa ikhtiar yang kita ada untuk bertaqarrub kepada-NYA?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.6.17.
Iyalah, jika kita berasa Ramadan lalu adalah Ramadan terakhir kita, apa ikhtiar yang kita ada untuk bertaqarrub kepada-NYA?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.6.17.
No comments:
Post a Comment