piccredit: bernamaradio
SUARA PANGGILAN SAHABAT LAMA
MALAYSIA #QuranHour bukan hanya sebuah happening. Ia sudah menjadi sebuah
fenomena. Ia bermula sebagai riak yang kecil. Tetapi kini, ia menjadi sebuah
gelombang yang besar. Semakin lama, kempen Quran
Hour ini menjadi sebuah gerakan yang menarik sekian banyak khalayak untuk
menyertainya.
Isnin lalu,
tanggal 24 Ramadan atau 19 Jun, kalangan pelajar sekolah harian, sekolah
tahfiz, institusi pengajian tinggi, penjawat awam, kakitangan swasta, badan
berkanun, pasukan beruniform, NGO dan ramai juga individu telah meluangkan masa
untuk bersama al-Quran untuk satu jam. Kempen Malaysia #QuranHour bagi tahun 2017 ini dilaksanakan di Masjid
Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Lebih 5,000 insan-insan telah hadir untuk menyumbangkan masa
dan tenaga mereka untuk menyemarakkan kempen Malaysia #QuranHour di situ. Ini tidak termasuk ratusan ribu lagi
insan-insan lain yang berhimpun di masjid, surau, madrasah, pejabat, dewan
kuliah dan di mana sahaja ruang yang ada untuk sama-sama menyemarakkan suara
dari al-Quranul Karim.
Tidak lama lagi, 9 Zulhijah yang kebetulannya jatuh pada 31
Ogos, satu lagi gerakan menyemarakkan World
#QuranHour pula akan berlangsung. Pada kali ini, jutaan umat manusia dari
seluruh dunia pula akan melontarkan getaran zikrullah ke angkasaraya. Pada
tahun lalu, lebih 10 juta umat manusia telah menyumbangkan masa dan tenaga
untuk kempen ini. Mudah-mudahan pada tahun ini World #QuranHour akan mendapat sambutan yang berlipatkali ganda.
Namun, sebenarnya kempen berskala besar bertaraf dunia ini
bukan matlamat akhir. Meskipun jika diizinkan ALLAH SWT, kempen ini menarik
umat manusia melebihi 100 juta pun, itu bukan matlamatnya. Yang menjadi tujuan
akhir ialah untuk memahat dan memateri Al-Quran di hati setiap insan dengan
kempen My #QuranHour.
Unik. Mengapa kita perlukan sebuah gerakan raksaksa seantero
dunia, penuh dengan gerak gempita guruh melangit hanya untuk menembusi kalbu
kita yang begitu kecil? Jawabnya, kerana hati-hati kita semuanya telah kabur
dan kelabu dari sinaran nur al-Quran. Kita bukannya tak tahu al-Quran itu
mukjizat. Kita bukannya tidak mengerti bahawa al-Quran itu sebuah manual bukan
sahaja sebagai peta untuk kemahiran hidup, malah kemahiran mati!
Tetapi, kita terlupa. Ataupun kita tidak diberitahu mengenai
kehebatan al-Quran. Al-Quran diperkenalkan hanya sebagai sebuah kitab untuk
mengaji. Kalau tak pandai baca, kita kena sebat guru mengaji. Tapi, bila kita
habis membaca seluruh al-Quran, kita buat majlis khatam al-Quran. Selepas
khatam, kita anggap al-Quran sudah tersemat di dalam dada.
Bila kita ingin tambah kehebatan sebagai seorang pembaca
al-Quran, bukan sebagai pengamal al-Quran, kita baca lagi dan khatam lagi.
Justeru, kita dikira hebat jika kita sudah dapat khatam al-Quran berkali-kali.
Di bulan Ramadan kita berebut-rebut untuk khatam al-Quran. Bila dapat khatam,
kita berasa diri sudah bagus kerana menghidupkan al-Quran di bulan yang mulia.
Tetapi lebih bagus jika bacaan al-Quran itu diteruskan pada
11 bulan berikutnya hingga Ramadan datang kembali. Bukankah puasa sebulan itu
hanyalah latihan untuk 11 bulan berikutnya? Tabiat rapat dengan al-Quran perlu
diteruskan. Tidak boleh tertinggal al-Quran lagi.
Apatah lagi, perisian al-Quran sudah boleh dimasukkan ke
dalam telefon pintar. Maka kita lebih pintar dari telefon pintar jika kita
gunakan sebanyak mungkin masa kita untuk bersama al-Quran.
Al-Quran harus dijadikan sahabat. Jika al-Quran menjadi
sahabat, ia akan menemani kita di alam kubur kelak. Jika kita tinggalkan ia, ia
akan menjauhkan diri dari kita. Bila itu berlaku, maka jadilah kita pada hari
ini yang lebih banyak membuat pertimbangan, keputusan dan tindakan berdasarkan
naluri yang bertunjangkan nafsu. Semakin kita tidak menjadikan ia rujukan, kita
akan semakin sesat.
Sesat di dunia memang suatu masalah besar kerana kita tak
boleh tanya kepada sesiapa kerana barangkali orang yang kita tanya itu pun
sesat di dunia seperti kita. Yang membuatkan kita nampak jalan keluar ialah
dengan merujuk kepada al-Quran yang juga skrip untung nasib manusia.
Tundukkan pandangan, tawadukkan perasaan dan ketepikan rasa
malu. Kita lemah. Dan, kita perlukan al-Quran. Jika kita berasa tak kuat
semangat untuk kembali, berdoalah agar kita diberikan kekuatan. Mungkin juga
keriuhan World #QuranHour boleh memahat lubang telinga kita supaya dapat
mendengar suara panggilan dari seorang sahabat lama ~ al-Quran kitabullah.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.6.17.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.6.17.
No comments:
Post a Comment