Piccredit: youtube
TIDAK KEKOK
UNTUK RASA SUSAH
UNTUK RASA SUSAH
DUA atau tiga
bulan sekali, saya akan menghantar kereta untuk dibaikpulih di sebuah pusat
servis yang terletak kira-kira satu kilometer daripada pejabat. Lazimnya saya
akan menelefon pusat servis tiga-empat hari sebelum itu untuk membuat tempahan.
Saya mahu jadi pelanggan yang pertama supaya kereta yang diservis dapat siap
sebelum jam 1.00 petang.
Selepas
menghantar kereta, saya lebih gemar berjalan kaki sahaja ke pejabat. Saya suka
begitu kerana mahu beriadah di samping merangsang deria pandangan dan
pendengaran. Dengan berjalan, saya dapat memerhati kejadian alam.
Saya biasa nampak
kupu-kupu berterbangan di celah-celah rumpun pokok, burung berbuat sarang atau
kucing memamah tikus di celah semak. Saya berpeluang melompat melintasi becak,
merasai berjalan di ruang pejalan kaki yang tinggi rendah kerana kontraktornya
tidak meratakan jalan yang dikoreknya. Yang penting, saya berpeluang mencabut
kemuncup bila tiba ke pejabat – sesuatu yang saya tidak suka lakukan di zaman
persekolahan dahulu!
Sewaktu menapak,
saya dapat mendongak melihat betapa besarnya tanda arah jalanraya. Di dalam
kenderaan, saya nampak saiznya kecil sahaja. Saya sempat juga mengintai ke
dalam parit dengan sampah yang kebanyakannya dari jenis plastik. Bila melalui
di bawah jejambat, saya terpaksa berjingkit-jingkit agar debu tidak hinggap di
kaki seluar atau terpijak tahi anjing.
Dengan berjalan
juga, saya merangsang kembali kemahiran melintas jalan. Jika perlu berlari,
berlarilah bila nampak kereta dipandu laju. Saya perasan, betapa pejalan kaki
tidak dilihat sebagai orang yang juga punyai urusan penting. Semakin saya
dilihat cuba melintas, semakin laju kenderaan dipandu agar saya hanya melintas
setelah kenderaan itu berlalu. Bunyi kenderaan yang membising memang
menyakitkan telinga. Sungguh berbeza tatkala saya memandu dengan tingkap
tertutup. Yang kedengaran hanya deru pendingin hawa.
Ada ketikanya,
saya akan terdengar hon dan pemandunya memperlahankan kenderaan apabila
menghampiri saya. Biasanya, rakan sepejabatlah yang ingin berhenti untuk
menumpangkan saya. Pelawaan itu saya hanya balas dengan senyuman, mengangkat
tangan dan terus menapak.
Sebenarnya saya
melakukan itu untuk mengingatkan diri sendiri agar tidak berasa patah kaki bila
tidak berkenderaan. Dalam banyak keadaan ketiadaan kereta dalam tempoh lama
seperti kereta rosak, kereta terpaksa diservis berhari-hari atau terpaksa
parkir jauh dari tempat yang dituju memaksa saya menapak.
Malah sekali
sekala, saya biasa meninggalkan kereta di mana-mana medan letak kereta lalu melompat
menaiki LRT, komuter mahupun teksi. Tujuannya semata-mata supaya saya dapat
rasa kerenyahan sebagai penumpang yang tiada kenderaan.
Bila orang
bertanya mengapa saya boleh berjalan dengan selamba di dalam hujan, menghirup
cendol di gerai bawah pokok, mengeluarkan kertas fotostat yang tersangkut di
mesin, membasuh pinggan di sinki, membuat kopi sendiri atau menjahit butang
baju… ia adalah kerana saya selalu ingatkan diri untuk susah bila tiba
waktunya.
Hidup ini tidak
semata-matanya indah. Bukan sentiasanya senang lenang. Jika susah itu suatu
ujian, kesenangan juga adalah ujian. Apabila susah, begitu mudah kita sedar ia
ujian kerana banyak kekangan yang membataskan fikiran dan tindakan kita. Namun,
ramai di antara kita tidak sedar kita juga diuji tatkala senang. Ujian tatkala
senang yang paling bermakna ialah dengan meletakkan diri dengan kesusahan dalam
suasana serba ada.
Dengan berasa
susah tatkala senang, atau tidak berasa terbeban tatkala susah, sikap mengeluh
dan kompelin tidak menjadi perangai kita apabila tibanya kesukaran. Yang
penting ialah melalui keadaan susah dan senang dengan selamba. Lalui sahaja
zaman susah seperti menmdaki gunung. Rentasi zaman senang seperti berlari di
padang yang luas.
Orang tua kata,
hidup itu umpama roda. Berselambalah apabila berada di atas tetapi jangan pula
panik apabila terpaksa berada di bawah. Putaran itu akan datang dan pergi dan
datang kembali. Ia adalah ujian peribadi yang akan mempengaruhi juga mereka di
sekeliling kita ~ samada untuk panik atau tenang mengharunginya.
iyaa....
ReplyDelete