WARGA EMAS: EMAS YANG BERHARGA
3 Jun lalu saya
menginjak ke usia 60 tahun. Maknanya sudah 10 tahun saya menjadi warga emas.
Tatkala berusia 50 tahun, saya berasa janggal kerana status warga emas
itu. Adik pelayan di restoran mula memanggil
saya pakcik, bukan lagi encik, apatah lagi abang. Jika menaiki LRT, ada anak
muda yang bangun memberi saya tempat duduknya. Saya akan buat-buat tak perasan
dan menyuruh orang lain duduk di tempat itu. Di lapangan terbang, diri terasa
segan bila diberi peluang beratur menaiki pesawat terlebih dahulu kerana status
warga emas itu.
Namun lama
kelamaan, perasaan itu hilang. Mungkin kerana saya sudah menerima realiti.
Tetapi mungkin juga kerana saya sudah tidak peduli dengan angka-angka itu.
Justeru, apabila menjangkau ke usia 60 tahun, saya tidak berasa janggal lagi.
Iya, saya berasa diri saya semakin tua. Tetapi, saya tidak berlagak seperti
orang tua. Dan, tentu sekali bukan berperangai seperti orang muda. Yang
penting, saya jalani hari-hari yang mendatang dengan seadanya.
Alhamdulilah
kerana di usia ini ALLAH swt telah kesihatan tubuh, kewarasan akal dan
ketenangan jiwa. Barometer kesihatan saya amat mudah. Berselera makan, mudah
tidur, mudah bangun dan juga baik sistem perkumuhan. Jika salah satunya berasa
terganggu, saya akan cepat-cepat bertemu dengan doktor saya. Buat pemeriksaan
yang mana patut.
Insya-ALLAH
secara fizikalnya saya masih okey. Ujian stress
test untuk jantung, paru-paru dan buah pinggang masih berfungsi dengan
baik. Diabetes dan darah tinggi pun masih terkawal dengan pemeriksaan empat
bulan sekali. Oleh kerana kedua-duanya bukan penyakit berjangkit dan jenis
penyakit yang tidak akan menular, saya kawal ia seadanya.
Jika ke kenduri
atau dinner, saya akan belasah apa
yang melintas. Tetapi pada keesokannya, saya boleh sahaja makan biskut dan
kismis yang direndam di dalam milo kosong. Maknanya, jika saya hendak makan,
saya akan makan. Bila diri saya kata ‘berhenti,’ saya akan berhenti.
Alhamdulilah, saya boleh berhentikan sesuatu tabiat sebegitu sahaja seperti
saya berhenti ketagihan merokok 15 tahun lalu.
Ingatan saya juga
masih baik. Masih banyak benda yang boleh diingat. Boleh lagi mendera fikiran
secara paksa bila keadaan memerlukan. Cuma bila menghadiri mesyuarat yang
panjang, saya surrender. Selepas
mesyuarat, fikiran saya jadi berat dan saya akan bersantai dengan menonton
filem.
Pemikiran di usia
sebegini ada cabarannya. Seboleh mungkin saya akan ikuti perkembangan semasa
dan perkembangan teknologi. Apa jua tren di dalam industri akan saya ikuti. Apa
sahaja pendekatan pentadbiran mahupun pengurusan akan saya teliti. Tidak mahu
berfikiran old school.
Pada banyak
situasi dan ketika, bertugas di akhbar memerlukan respon membuat keputusan
dalam lima saat. Silap pertimbangan, akan tersasar. Tetapi bila silap pun, kena
cekap mengubah haluan keputusan untuk damage control. Di usia ini saya perlu
berfikir seperti orang muda tetapi menimbang fikiran itu sebagai orang tua.
Jiwa pun semakin
tenang di usia sebegini. Begitulah yang saya rasa. Jika dahulu, pantang ada
kereta memotong, saya akan memecut untuk meninggalkan kereta itu. Kini, jika
kereta di sebelah mengendeng di laluan saya di plaza tol, saya berikan sahaja
dengan senyuman.
Bila menoleh ke
belakang menelusuri lipatan sejarah kehidupan, saya dapati diri saya amat
bernasib baik. Orang putih kata, God has
been kind to me. Apa sahaja ilmu yang saya timba dalam kehidupan,
pengalaman yang saya lalui sebelum ini boleh diaplikasikan semula walaupun
dalam bentuk yang berbeza.
Di kolej, saya
belajar senireka perusahaan. Tetapi saya telah berkerja sebagai setiausaha
kerja di dalam NGO, menjadi pemudah cara, jurulatih dan penganalisis politik
tatkala bertugas dengan kerajaan. Saya pernah menjadi kaunselor pelajar,
bekerja di bidang pemasaran, sumber manusia, pengurusan dan telah menulis lapan
buah buku termasuk lima buah novel.
Kini, apabila
menjadi ketua pengarang sebuah akhbar, semua ilmu yang saya peroleh sejak mula
bekerja pada tahun 1980, boleh saya adun menjadi sebuah ramuan bagi
menghasilkan hidangan santapan minda yang setanding dengan akhbar-akhbar yang
lain.
Meskipun saya
bersyukur dengan apa yang saya telah lalui, saya akan lebih gembira seandainya
apa yang saya ada ini dapat saya tumpahkan kepada sesiapa sahaja yang
memerlukan. Ilmu dan pengalaman yang saya peroleh ini juga kepunyaan-NYA. Saya
hanya pinjam seketika. Saya hanya alat atau medium di mana ilmu itu hinggap. Rugi
jika tiada sesiapa yang mahukannya.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.6.17.
mahu..mahu...saya mahu...he....:)
ReplyDelete