Saturday, January 31, 2009

SEMINAR KEANAK-ANAKAN!




foto daripada:aavc.vassar.edu

31.1.09

TIADA ISTILAH,
TIADA ILMUNYA!


KEIBUBAPAAN adalah proses menjaga dan mendidik anak daripada bayi sehinggalah dewasa. Peranan ini dimainkan oleh mereka yang mempunyai pertalian darah dengan si anak ataupun terhadap anak di bawah jagaan orang dewasa.

Matlamat keibubapaan adalah untuk memberi keselamatan dan pembangunan diri anak daripada aspek mental dan fizikal. Pemahaman dan amalan konsep keinsanan serta keehsanan juga perlu diberikan kepada mereka.

Pakar-pakar psikologi keluarga berpendapat, di antara masalah remaja pada hari ini juga berpunca kerana kurangnya kemahiran keibubapaan. Maka banyaklah seminar-seminar, kursus-kursus dan sesi-sesi motivasi diadakan sama ada secara live mahupun melalui TV untuk memberi ilmu kepada ibubapa.

Ya, ilmu cara-cara menjaga anak ini bagus sekali. Pengetahuan, kemahiran dan sikap positif sekalian ibubapa akan dapat diaplikasikan terhadap anak-anak mereka agar berkembang menjadi remaja dan orang dewasa yang baik. Dengan ilmu keibubapaan, ibu dan bapa dah tak perlu menangani anak dengan tangan!

Tapi… apakah anak-anak diberi ilmu bagaimana pula cara menjaga ibubapa? Pada hari ini, kita tahu ada ibubapa yang makan hati dengan anak-anak mereka. Anak yang tidak menjenguk ibubapa, tidak memberi perhatian, tidak langsung menyara makan pakai atau tidak menjenguk ibubapa yang sakit di hospital sudah biasa kita dengar. Malah, kita tahu ada anak-anak yang mewakilkan orang lain menjaga ibubapa mereka dengan menghantar mereka ke rumah kebajikan.

Anak-anak jenis apakah ini? Mereka adalah anak-anak yang tiada ilmu menjadi anak yang baik. Salahkah mereka? Tidak juga sebab, sudah adakah ilmu khusus untuk menjadi anak yang baik seperti ilmu khusus menjadi ibubapa yang baik? Jika ada ilmu keibubapaan atau parenting, apakah ada ilmu keanak-anakan atau kidding?

Istilah ilmu keanak-anakan atau kidding pun pelik bunyinya kerana ia mempunyai makna yang jauh berbeza daripada maksud yang sepatutnya. kerana itu, saya percaya, tiada ilmu khusus cara anak-anak menjaga ibubapa sepertimana ilmu parenting.

Oleh kerana tiada istilah yang bertentangan dengan parenting atau keibubapaan, maka tiadalah cabang ilmu khusus mengenainya. Bila tiada cabang ilmu itu, maka mereka yang tahu ilmu kidding, memperoleh ilmu itu melalui pengalaman dan perasaan(skill & attitude), bukannya melalui ilmu (knowledge). Oleh sebab tiada istilah kemahiran menjaga ibubapa seperti kemahiran menjaga anak (parenting), maka masyarakat masih teraba-raba mengenai punca mengapa ada anak sanggup melukai hati orang tua mereka tanpa rasa bersalah.

Buat sementara waktu, selagi tiada cabang ilmu mengenai kidding, ibubapa terpaksalah terus ambil hati dengan anak-anak kerana mereka tak masuk kelas keanak-anakan sepertimana mereka menghadiri kelas keibubapaan!

Sunday, January 25, 2009



KAWANKU
HOE KOON BIN AHMAD


SAYA ada seorang kawan sekelas bernama Hoe Koon Bin. Oleh kerana dia tiada ‘berbin’ maka cikgu Ilmu Alam kami yang baru mengajar di Sekolah Menengah Sri Mersing menambah ‘Ahmad’ pada ‘binnya.’ Jadilah namanya Hoe Koon Bin Ahmad! Kali pertama nama Hoe Koon Bin Ahmad dipanggil Cikgu Shukran ketika meminta kami mengambil buku latihan masing-masing, satu kelas ketawa terkekeh-kekeh. Sejak itu Koon Bin menerima nama timangan itu seadanya.

Seingat saya, dialah di antara kawan sekelas saya sejak di Darjah Satu hingga ke Tingkatan Lima Sastera. Sebelas tahun kami bersama. Oleh kerana kami tinggal di bandar Mersing yang kecil, kami agak rapat. Saya kenal abangnya Hoe Koon Tong yang sekelas dengan abang saya. Saya juga tahu ayahnya membuka sebuah kedai kopi bernama Seaview Restaurant, di tepi sungai Mersing.

Sejak di sekolah rendah, kami akan bermain police and thief sebelum kelas bermula ataupun di waktu rehat. Kami juga bermain belon acah, sebuah permainan tradisional yang menggunakan gelanggang sepak takraw di sekolah. Bila memasuki ke sekolah menengah, kami selalu bermain badminton terutamanya di belakang rumah saya.

Pengalaman yang paling tak saya lupakan bersamanya ialah bila mana saya bergocoh dengannya. Puncanya, saya hendak mempraktikkan buah silat yang saya baru belajar dari seorang kawan. Pantang diacah, saya tumbuk dan tetak rusuk Koon Bin. Koon Bin sempat membalas dengan menumbuk muka dan badan saya berkali-kali. Kalau tak ada Ng Yue Tee yang menahan, boleh jadi kami akan berdendam.

Koon Bin adalah di antara kawan-kawan daripada kaum Cina yang rapat dengan saya. Malah, di zaman persekolahan, saya lebih rapat dengan kawan-kawan daripada kaum Cina. Selain daripada beliau, ada Poh Boon Pin yang suka pinjam komik saya untuk dibaca di dalam kelas, Lim Ten Hock yang selalu ajar saya matematik, Chew Kay Tong, anak tauke kedai runcit yang selalu belanja saya gula-gula dan Chan Choong Kim yang selalu ajak ke rumahnya kerana ia berhampiran dengan sekolah.

Selain daripada kawan-kawan lelaki, saya juga ada ramai amoi-amoi sekelas. Chan Ee Mei, Ketua Darjah yang tegas, Mock Joo Fong yang pendiam, Foo Der Ying yang becok dan Kan Gah Ying yang pandai ilmu hisab tambahan. Di mana mereka, ya?

Saya bertemu sebilangan daripada mereka di Hotel Seri Malaysia Mersing beberapa bulan yang lalu pada majlis pertemuan pelajar-pelajar 1974. Tetapi kelibat Hoe Koon Bin tidak kelihatan. Kata kawan-kawan yang lain, Hoe Koon Bin belayar ke Pulau Tioman waktu itu membawa para pelancong. Kini Koon Bin adalah tauke pakej pelancongan di Mersing.

Teringin sekali bertemu dia bila berpeluang kembali ke Mersing nanti. Namun, buat waktu ini, walau di mana pun dia berada, saya ucapkan SELAMAT TAHUN BARU CINA buat Hoe Koon Bin. Begitu juga buat kawan-kawan yang lain.
foto daripada:hermann-uwe.de

Sunday, January 4, 2009


CUTI-CUTI
YANG MEMBIMBANGKAN


HARI cuti Krismas pada Khamis 25 Disember 2008, diikuti pula dengan cuti Awal Muharram pada Isnin, 29 Disember dan cuti Tahun Baru 2009 pada Khamis, 1 Januari membolehkan ramai orang mengambil cuti tampal sehingga 8 hari.

Bagi ramai orang, hari-hari cuti yang panjang membolehkan mereka sekali lagi melancong, pulang ke kampung atau berehat-rehat sahaja di rumah untuk menghabiskan cuti tahunan masing-masing. Bagi yang punyai anak-anak yang bersekolah, hari-hari cuti pada penghujung tahun digunakan untuk menyiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak. Ya, cuti panjang amat merehat dan menyeronokkan.

NAMUN, bagi sebilangan orang, berita cuti amat membimbangkan! Teman-teman yang bekerja di kilang, khususnya kilang-kilang elektronik mula gementar bila penyelia mereka mengumumkan cuti. Cuti diberi bermakna tiada tempahan barangan. Sudah ada kilang-kilang yang mengumumkan cuti berselang mingguan ~ minggu ini bekerja, minggu hadapan bercuti hingga entah bila. Ada yang diberi cuti mulai pertengahan Januari hingga ke hujung bulan ~ kononnya untuk sambutan Tahun Baru Cina.

Ada juga yang terus diberi cuti sebulan tanpa gaji. Mereka akan dipanggil bekerja bila ada kerja. Kalau tahan menunggu, tunggulah. Kalau tak tahan, carilah kerja di tempat lain. Inilah pemberhentian secara taktikal. Pihak majikan tak perlu membayar pampasan.

PEMBERIAN cuti-cuti sebegini mula menunjukkan tanda-tanda merebak ke kilang-kilang tekstil dan perniagaan-perniagaan yang berkaitan dengan eksport khususnya ke Amerika dan Eropah. Begitulah, cuti tidak semestinya menggembirakan.

Bagi aku, penghujung tahun 2008 aku penuhi dengan bekerja bagi memastikan aku tak mengumumkan cuti paksa kepada mana-mana staf aku. Biarlah mereka seronok bercuti dan buat apa yang mereka suka.

'Kerjaku sendiri sebenarnya adalah satu percutian panjang!'